BAD[AR]: 07
"Amacam? Sedap tak dapat rasa penangan abang aku?" Iffat muncul di hadapan Qowiy yang ketika itu baru hendak menjamah bungkusan nasi lemaknya. Tidak dilupakan senyuman mengejek turut diselitkan bersama.
Qowiy diam, tidak ingin tergesa-gesa. Dia tahu, tujuan Iffat di situ adalah semata-mata ingin membangkitkan api kemarahannya. Di samping menampakkan keburukannya di hadapan pelajar lain.
"Bertugas, buat cara bertugas. Bukannya sibuk curi tulang dekat sini," balas Qowiy, langsung tidak menghiraukan soalan Iffat. Tangannya membuka lipatan daun pisang yang berisi nasi lemak penuh cermat.
Panas hati Iffat tatkala diperli begitu. Sejak rahsianya pecah di mata Qowiy dulu, dendamnya terhadap lelaki itu tak pernah pudar malah semakin marak dari hari ke hari. Yang turut terkena tempias siapa lagi kalau bukan Badrul, abang kembarnya.
"Kau fikir hebatlah macam ini? Hei, silap besarlah. Aku akan buat Badrul bencikan kau, sama macam aku bencikan kau. Lagi teruk daripada itu pun aku boleh buat," ugut Iffat. Giginya hadapannya diketap kuat. Penuh dendam.
Qowiy langsung tak gentar dengan ungkapan berbaur ugutan itu. Baginya, Iffat umpama tin kosong yang omongnya saja lantang, tetapi langsung tak selari dengan tindakan. Ataupun bahasa mudahnya, sembang kencang sampai babi pun terbang.
"Suka hati kaulah Fat. Aku langsung tak kisah. Bukan kau yang pegang hati manusia." Mendatar nadanya membalas. Sesuap nasi lemak dimasukkan ke dalam mulut. Sedap! Cukuplah untuk dia melupakan kehadiran Iffat di situ.
"Oh, kau dah tak takut dengan aku sekarang?"
Suapan Qowiy terhenti. Wajah sombong Iffat dipandang lama.
"Pernah ke aku takut dengan kau? Entah-entah kau yang takut dengan aku. Takut aku bocorkan rahsia kau pasal..." Jari telunjuk dan jari hantunya dibawa ke bibir kemudian dilayangkan.
"Betul tak?" bisik Qowiy. Kali ini, tiba masa untuk senyuman sinisnya pula muncul di bibir.
Qowiy cuba mengikut rentak permainan pengawas berbaju biru itu. Iffat mengugut, dia juga boleh! Selagi namanya Badrul Qowiy, maka jangan pernah dipandang sebelah mata.
Kulit muka Iffat lantas berubah merah. Urat-uratnya mulai timbul dan menegang. Ikutkan hati, hendak saja dicekik leher Qowiy sampai mati. Dia benci melihat air muka tenang yang menghiasi seraut wajah itu. Seolah-olah mengingatkannya terhadap Badrul Amin, abang kandung yang dibenci sedari kecil.
Kerana Badrul Amin, dia kehilangan kasih sayang. Kerana Badrul Amin jugalah kelibatnya langsung tak dipandang. Di mana saja mereka berada, ibu bapanya pasti menjadikan Badrul Amin sebagai fokus utama. Iffat Hazwan bersumpah takkan membiarkan perkara itu berlaku lagi. Sudah tiba zaman kegemilangan abangnya menemui titik penamat. Saat itu terjadi, Iffat Hazwanlah yang bakal menaiki takhta. Dirinya akan dipandang tinggi di mata manusia.
Di dalam kelas 4 Kirana, Qowiy duduk diam di atas kerusi. Suasana hingar-bingar rakan-rakan akibat ketiadaan guru di dalam kelas itu langsung tidak mencuri tumpuannya. Sel-sel otaknya ligat memikirkan sesuatu.
'Patut ke aku pergi kerja malam ni? Dah seminggu juga duit poket tak masuk. Kalau tak kerja, macam mana nak dapat duit?' Hatinya membisik gundah.
'Tapi kalau kerja, macam-macam pula dia orang tanya pasal lebam kat tepi bibir ni. Dahlah tak sembuh lagi,' getus Qowiy. Berperang dengan perasaan sendiri yang 50-50 dalam membuat keputusan.
Pintu kelas diketuk oleh seseorang. Suasana gamat tadi bertukar sunyi hanya dalam sekelip mata. Mana taknya, aura Badrul begitu menonjol dan mendatangkan kesan pada setiap mereka yang memandang.
"Aku nak jumpa Qowiy sekejap," kata Badrul di muka pintu.
Qowiy dihujani rasa hairan. Tak ada angin tak ada ribut, tiba-tiba saja Badrul ajak berjumpa? Sedangkan hubungan di antara mereka masih belum baik.
Dia akur juga dalam terpaksa. Lambat-lambat kakinya menapak mengikut Badrul.
"Cikgu Halimah panggil kau. Ada perjumpaan pengawas untuk sesi tahun depan," jelas Badrul bagaikan mengerti tanda tanya yang mengelilingi Qowiy.
Mendengarkannya, remaja itu mendengus perlahan. Baru saja hendak disorok berita lantikan itu daripada Badrul, namun ketahuan juga akhirnya.
"Tahniah. Aku dah agak kau mesti terpilih," sambung Badrul lagi. Cuba untuk beramah mesra atau lebih tepat sedang cuba menjernihkan persahabatan mereka.
Qowiy bagaikan dapat menghidu sesuatu. Kelopak matanya menumpu pandangan terhadap Badrul yang berjalan seiring dengannya menuju ke bilik disiplin.
"Kau yang cadang nama aku, kan?"
Badrul tersenyum nipis.
"Betullah tu. Tak sangka kau dapat teka."
Berombak dada Qowiy menahan rasa. Ingin saja rasa tak puas hatinya diluah, namun tatkala sedar yang mereka sudah tiba di hadapan bilik disiplin, niatnya ditangguh dulu. Badrul direnung tajam.
"Kau ada hutang dengan aku. Selepas habis sekolah, kita jumpa dekat padang."
𖣔𖣔𖣔
Ketika kaki Qowiy menjejak lantai bilik berhawa dingin itu, berpasang-pasang mata menyambut ketibaannya. Tak lupa juga bisikan-bisikan dek tak sangka dan pandangan menghina. Siapa lagi kalau bukan daripada Iffat, musuh ketatnya.
Tidak berminat ingin melayan, duduknya dilabuhkan di atas sebuah kerusi kosong. Tatkala mendongak ke hadapan, baru dia perasan yang Aisy tak lepas memandangnya. Qowiy sekadar membiarkan. Tidak ingin mengambil pusing akan reaksi gadis itu.
"Alhamdulillah... semua pengawas kita dah lengkap nampaknya. Jadi, kita mulakan perjumpaan kita pada hari ini dengan bacaan Al-Fatihah."
Masing-masing yang beragama Islam lantas mengangkat tangan membaca doa. Manakala yang bukan Islam sekadar menunduk sebagai tanda hormat.
"Saya rasa, para pengawas semua dah tahu tujuan perjumpaan kita pada hari ini. Tanpa membuang masa, saya akan perkenalkan dulu siapa yang akan menyandang jawatan ketua pengawas sekolah untuk tahun hadapan." Cikgu Halimah bergerak ke agenda utama.
"Guru-guru telah bersepakat melantik Iffat Hazwan sebagai ketua pengawas sekolah bagi sesi tahun hadapan."
Suasana sunyi buat seketika. Tiada bunyi sorakan ataupun tepuk tangan seperti biasa. Hampir semua terkedu mendengarkan lantikan daripada Cikgu Halimah. Bagaikan tak percaya. Bagaimana seseorang yang pernah dilucutkan jawatan daripada badan pengawas diangkat naik menjadi ketua?
Paling penting, kenapa bukan Badrul Amin? Satu-satunya calon yang paling layak di mata mereka? Tingkah Iffat yang bergerak mendabik dada ke hadapan cukup menimbulkan rasa meluat dalam kalangan pengawas yang memerhati.
Qowiy mencebik bibir. Dia tahu benda ini akan berlaku. Iffat dan sifat tamaknya takkan pernah berenggang. Pasti Badrul dengan sifat pelindungnya sebagai abang telah digunakan sebagai kambing hitam.
Aisy juga tak dapat menyembunyikan riak hampa. Masakan tidak, diharapkan pujaan hati menjadi ketua, rupa-rupanya sang durjana pula yang beraja.
Badrul hanya mampu mengukir senyum. Tipulah andai tiada sekelumit pun rasa kecewa. Jawatan ketua pengawas itu sudah lama menjadi dambaan. Tetapi kerana permintaan si adik, dia akhirnya akur untuk berhenti daripada terus memasang impian.
"Mulai tahun hadapan, Iffat Hazwan Bakhtiar akan memegang tampuk kepimpinan pengawas. Jadi saya berharap setiap pengawas dan pemimpin pelajar di depan saya ini akan memberikan kerjasama yang terbaik. Ingat, dalam suatu kepimpinan ketua dan ahli saling memerlukan. Jadi, kerjasama dan keserasian adalah sangat penting." Panjang lebar pesanan Cikgu Halimah buat anak-anak muridnya.
Masing-masing mengangguk, mengiakan tanpa bantahan.
Beberapa biro telah diumumkan ketuanya. Seperti biasa, Badrul berjaya mengekalkan kuasa sebagai ketua biro disiplin. Kini, hanya tinggal biro BADAR dan biro 3K saja yang belum disebut.
"Saya akan maklumkan dahulu ketua dan timbalan ketua bagi biro BADAR."
Qowiy yang sedia tahu hanya buat-buat tak dengar. Apa yang penting sekarang, dia hanya mahu tahu siapa insan malang yang akan bekerjasama dengannya.
"Ketua BADAR bagi sesi seterusnya ialah Badrul Qowiy dan timbalan ketuanya ialah Aisyatul Rihanna."
Jika sewaktu pelantikan Iffat Hazwan tadi suasana senyap sunyi tetapi kali ini berubah sebaliknya. Sekelip mata, bilik gerakan disiplin itu berubah menjadi hingar-bingar seperti di pasar. Terdengar juga suara jeritan seolah-olah histeria. Semua yang berada di situ ingin membantah.
Badrul Qowiy... terkenal dengan kaki buli. Kaki gangster. Kaki gaduh. Tak lama lagi bakal berubah menjadi kaki masjid. Biar betul?
Lantikan daripada Cikgu Halimah tadi membuatkan Aisy terasa ingin pitam. Dia akan bekerjasama dengan Qowiy? Dalam urusan BADAR?
Ya Allah, adakah ini petanda dunia bakal tiba ke penghujungnya?
❥︎❥︎❥︎
Yeay, dapat juga update BAD[AR] 😆
So, macam mana guys? Boleh terima tak tu Iffat jadi ketua? 😜
Qowiy dengan Aisy pula jadi pasangan dalam BADAR. Ada sesiapa nak bantah?😂
Apapun, stay tune for chap 8 😍
Enjoy reading! 😉
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro