Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAD[AR]: 04

"Eh, anak mak dah balik? Macam mana sekolah?" Puan Latifah bergerak mendapatkan anaknya yang baru saja melangkah masuk ke dalam rumah. Kebiasaannya, begitulah tingkahnya. Tak pernah lelah menyambut kepulangan si anak yang telah seharian menuntut ilmu.

Qowiy langsung tidak menjawab sapaan itu. Sebaliknya, Puan Latifah dihadiahkan jelingan tajam.

"Siapa anak kau? Aku bukan anak kau. Tak ada siapa yang nak mak durjana macam kau." Sinis kata-kata itu meluncur di ulas bibir itu. Langsung tidak mengendahkan air muka Puan Latifah yang jelas bermuram durja.

Dalam hati, hanya Tuhan tahu betapa lukanya hati tatkala dilemparkan cacian sebegitu. Namun Puan Latifah tetap gagah mengukir senyum, menyorokkan duka dalam dada. Tidak diambil hirau bicara yang tajam bagai sembilu. Lagipun, Puan Latifah dah lali.

"Qowiy nak makan sekarang? Ataupun nak mandi dulu?" soal Puan Latifah, sarat nada keibuan.

"Bodoh ke apa kau ni? Tak nampak ke aku tengah berpeluh sekarang? Mestilah aku nak mandi dulu! Kau fikir aku ini kotor macam kau ke, hah?" Serentak dengan itu, bahu si ibu ditolak. Cukup membuatkan belakang Puan Latifah terhentak kuat pada dinding kayu rumah. Melihatkannya, Qowiy mengukir senyum sinis. Puas hatinya.

Pelupuk mata tua Puan Latifah bergenang air mata, tetapi pantas diseka dengan belakang tangan. Dia sendiri sedih dengan apa yang berlaku. Segala apa yang dilakukan ada saja yang tak kena di mata anaknya itu. Qowiy begitu bencikannya di atas peristiwa lalu. Wasiat terakhir arwah suaminya terngiang-ngiang di tepi telinga.

"Jaga dia baik-baik Ifah... Qowiy tu satu-satunya harta yang kita ada. Macam mana pun baik buruk dia, kita kena terima. Dia istimewa, tak sama macam budak lain. Sekarang mungkin dia tak faham, tapi bila Qowiy dapat tahu hal sebenar nanti, abang harap Ifah kuatkan hati."

Pesanan itulah yang menjadikan Puan Latifah terus tega melayan kerenah Qowiy. Anak yang disayangi sampai mati.

Menginjak malam, Qowiy bersiap-siap hendak keluar bekerja. Sudah menjadi rutinnya, keluar malam dan menjelang subuh barulah dia tiba semula di rumah. Sudah banyak kali juga Puan Latifah menghalang, namun langsung tak diendahkan. Peduli apa dia. Wanita tua itu bukan siapa-siapa dalam hidupnya. Qowiy lebih bahagia andai Puan Latifah mati, meninggalkannya seorang diri.

Motosikal peninggalan arwah ayahnya ditarik lalu dipusingkan menghadap arah jalan. Kunci yang sedari tadi dalam genggaman digunakan untuk menghidupkan enjin. Kurang seminit, cahaya lampu hadapan menyala terang. Walaupun hanya motosikal cabuk, kenderaan beroda dua itu masih dapat digunakan dengan baik. Qowiy menjaga harta milik ayahnya itu ibarat nyawa sendiri.

Remaja lelaki itu menyarungkan topi keledar ke kepala sebelum memulakan perjalanan. Baru saja ingin menggapai pedal minyak, kata-kata Badrul mematikan tingkahnya.

"Sebelum mula buat apa-apa tu, baca bismillah dulu. Barulah ada keberkatan. Setiap kali ada berkat, setiap kali itu juga Allah reda dengan kita. Insya-Allah..."

"Bismillah..." Ucapan itu dibaca perlahan. Kemudian barulah tindakannya diteruskan.

Puan Latifah yang mengintai di sebalik tingkap kaca tersenyum nipis. Dalam hati, syukur dipanjatkan ke hadrat Tuhan. Sekurang-kurangnya dia tahu, anaknya masih terpelihara dengan agama. Terbayang pula Badrul, rakan baik anaknya itu. Pasti dia yang memimpin dan mengajar Qowiy selama ini. Ternyata Badrul cuba untuk mengotakan janjinya. Janji untuk membawa Qowiy ke jalan yang benar.

Teman yang baik diibaratkan seperti penjual minyak wangi. Penjual minyak wangi akan memberikanmu minyak wangi tersebut, atau kamu membeli daripadanya dan mendapat harumannya. Manakala teman yang buruk pula diibaratkan seperti tukang besi yang akan membakar bajumu, dan engkau pula akan mendapat bau yang busuk.

[Hadis riwayat Bukhari dan Muslim]

𖣔𖣔𖣔

Lariannya dipacu ke tahap maksima. Masakan tidak, dia terlewat sekali lagi pada hari ini. Celik-celik saja, mentari mulai gagah memancarkan sinar pagi. Hanya berbaki 10 minit sebelum pintu pagar sekolah ditutup. Kesannya, Puan Latifah diherdik atas alasan tidak mengejutkannya ke sekolah.

Bukannya dia tak boleh menggunakan motosikal, cuma dia sendiri yang enggan. Lagipun, musuhnya beribu dan kawan hanya satu. Macam-macam kemusnahan boleh terjadi nanti.

Kali ini situasi berbeza sedikit. Nak dikatakan rezeki, Qowiy berjaya melangkah masuk melepasi pagar bercat biru itu tepat-tepat pada jam lapan. Tak sia-sia dia membaca bismillah sebelum keluar rumah tadi. Mungkin sebab itu Tuhan mengizinkannya datang tepat pada waktunya.

"Wow, datang tepat pada masa... not bad." Suara itu membuatkan kelegaan yang dikecapi hilang begitu saja.

Iffat bergerak setapak demi setapak mendekati Qowiy. Penampilan Qowiy diperhatikan atas bawah. Senyuman sinis tak lekang daripada seulas bibir itu. Pandangan menghina turut disertakan.

"Kau fikir kau boleh lepas? Silap besarlah," bisik Iffat seraya mencatat sesuatu di buku 555 miliknya. Qowiy berpaling ke arah lain. Malas hendak menatap gerangan yang cukup menyakitkan hati di depannya saat ini. Pandai-pandailah Qowiy menjelaskan perkara sebenar jika dipanggil. Buat apa nak takut, dia bukannya datang lambat.

"Get ready la kena panggil dengan cikgu disiplin nanti. Asyik-asyik muka kau yang datang lambat. Aku harap kali ini kau kena buang sekolah terus. Kau ada dekat sekolah pun tak guna, buat semak mata je," sindir Iffat lagi.

Bebola mata Qowiy singgah pada pengawas bongkak itu.

"Huish, bau mulut kau busuklah bro. Macam bau... rokok." Qowiy memicit hidung seraya menggelengkan kepala. Mendengarkannya, riak wajah Iffat lantas berubah. Senyuman sinis yang selama ini tak pernah lekang di bibir perlahan-lahan menghilang. 

Qowiy mengulum senyum. Dia menang sekali lagi. Tak menunggu lama, gerak langkahnya terus berlalu meninggalkan Iffat di situ. 

Pemergian Qowiy dihantar dengan hati membara. Budak miskin itu memang sengaja mencari pasal. Kolar baju pengawasnya ditarik kasar. Tak apa, untuk kali ini dia biarkan. Tunggu sajalah apabila tiba waktunya nanti. Dia boleh buat lebih teruk lagi. Iffat Hazwan memasang tekad.

Di dalam kelas, pembelajaran diteruskan. Subjek pertama merupakan subjek Kimia yang dijalankan di makmal khas. Lemah longlai saja dia bergerak ke makmal kimia yang terletak di tingkat bawah. Subjek ini bukanlah subjek kegemarannya kerana dia lebih berminat untuk tidur.

Paling tepat, dia tak berminat untuk belajar tahun ini memandangkan tiada peperiksaan besar yang bakal dihadapi. Pergi mampus sajalah dengan semua teori, amali dan praktikal. Hanya jika mood memberi kerjasama, barulah semua itu dipandang. Itu pun sekadar cukup syarat untuk dapatkan pangkat lulus dan mengelakkan leteran guru-guru.

"Ikatan kimia terbahagi kepada dua, ikatan ion dan ikatan kovalen. Beza kedua-dua ikatan ini ialah ikatan kimia terdiri daripada atom logam dan atom bukan logam. Manakala ikatan kovalen pula hanya melibatkan atom-atom bukan logam. Untuk hari ini..."

Selepas itu penerangan Madam Sulfat sudah tidak kedengaran lagi. Qowiy lena diulit mimpi. Lagi-lagi apabila tempat duduknya ini terletak betul-betul di bawah kipas dan agak tersorok daripada pandangan.

Faiq resah gelisah melihat kelopak mata Qowiy yang terpejam rapat. Lengan lelaki itu dicuit-cuit untuk mengejut bangun. Kalau boleh, dia tak naklah turut terkena tempias kerana membiarkan rakannya tidur sewaktu sesi pembelajaran. Madam Sulfat itu dahlah garang!

"Qowiy... bangunlah! Hish, menyesal pula aku duduk sebelah dia ni," rungut Faiq. Sesekali dia menjeling Madam Sulfat di hadapan. Takut ditangkap tak fokus.

Namun sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Gerak-geri Faiq pantas saja dikesan.

"Faiq Hakimi!" Bagai kilat senja, bagai petir tunggal suara Madam Sulfat bergema di seisi ruang makmal itu. Terhenjut bahu masing-masing yang mendengar. Kus semangat!

Kini Faiq menjadi tumpuan ramai. Lambat-lambat dia bangun daripada duduknya. Serba salah rasanya hendak mengangkat muka walaupun Faiq tahu dia tak patut dipersalahkan dalam hal ini. Saat itulah tingkah Qowiy yang ralit menganyam mimpi menjengah pandangan Madam Sulfat. Kelopak mata guru berusia 40-an itu membulat.

"Badrul Qowiy! Bangun sekarang! Berani betul awak tidur dalam kelas saya, ya?" jerkahnya. Kemudian, meja tempat Qowiy mengalas kepala ditepuk kuat. Berdentum bunyinya.

Terkulat-kulat Qowiy membuka mata. Ketika pandangan bertamu dengan riak wajah Madam Sulfat yang bertukar menyinga, spontan dia berdiri tegak. Hilang sudah kantuknya tadi. Air liur yang ditelan terasa berpasir. Habislah...

"Seronok tidur tadi? Sekarang saya nak tanya awak. Badrul Qowiy, kalau awak bijak bestari, sebutkan tiga jenis ikatan kimia dekat saya. Now!" arah guru kimia itu.

"Hah? Err... tiga jenis ikatan kimia. Hmm... ikatan ion, ikatan kovalen... lagi satu, ikatan... ikatan..." Tergagap-gagap dia mencari jawapan.

"Ikatan apa?" celah Madam Sulfat.

"Ikatan perkahwinan, madam!" Akibat terlampau takut, Qowiy bantai saja menjawab. Meletus tawa para pelajar 4 Kirana kecuali Faiq. Dia nak gelak kuat-kuat juga, tetapi sebaik terpandang jelingan tajam Qowiy membuatkan dia sedaya upaya menahan. Tak pasal-pasal rehat nanti orang lain makan nasi lemak, dia terpaksa makan penumbuk.

"Badrul Qowiy..." Madam Sulfat bercekak pinggang bersama gelengan yang tak henti-henti. Nafas dalam ditarik. Nampak sangat yang anak muridnya itu langsung tak fokus sewaktu dia mengajar. Ikatan kimia hanya ada dua, bukan tiga!

"Berdiri dekat luar makmal sekarang!" tegas suara itu memberikan arahan. Qowiy mengeluh berat. Aduh, pagi tadi elok saja... tiba-tiba bala pula datang menerpa! Nasib, nasib. 

Diksi Ilmu

Bagai kilat senja, bagai petir tunggal - tangkas sikap dan kuat bunyi suaranya (pahlawan dan lain-lain)

︎❥︎❥︎❥︎

Hmm... nak cakap apa ek? Hahaha tak tahu dah nak cakap apa. 🤣

Harap korang enjoylah ek baca bab ini. Happy reading! 

Oh ya, agak-agak Qowiy buat apa keluar malam-malam tu? 👀

Stay tune for bab 5 geng~ ✨❤


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro