Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAD[AR]: 02

Badrul mula mengemas seusai tamat sesi pengajaran dan pembelajaran pada hari itu. Buku-buku teks disusun rapi sebelum diletakkan di ruang bawah meja. Begitu juga alat tulis yang digunakan, disimpan di dalam bekas pensel yang tersedia.

Pelajar lain awal-awal lagi sudah beredar dan bersedia untuk pulang tatkala jarum jam menginjak ke angka satu petang. Jadi, tinggal la dia seorang yang masih berada di dalam kelas. Setelah memastikan tiada lagi barang dan semua suis kipas serta lampu ditutup, barulah beg sandangnya dicapai lalu Badrul mengorak langkah untuk keluar.

Namun, bukan anak tangga ke tingkat bawah menjadi pilihan. Sebaliknya, dia menuju ke kelas Qowiy yang berada di aras sama cuma terletak di hujung koridor.

Kelas 4 Kirana, kelas yang menempatkan pelajar aliran Lukisan Kejuruteraan ataupun ringkasannya LK. Ramai rakan-rakan mereka seolah tak percaya apabila Qowiy, si pelajar nakal berjaya menempatkan diri di dalam kelas itu. Maklumlah, peralatan untuk belajar LK saja menelan belanja hampir 200 ringgit sedangkan majoriti tahu yang Qowiy bukanlah datang daripada golongan berada. Bagi Badrul tiada apa nak dihairankan kerana dia tahu Qowiy bekerja keras semata-mata hendak mengumpul duit membeli kelengkapan tersebut.

Badrul mengintai dari celah tingkap. Kosong tanpa sesiapa. Ternyata telahannya silap apabila kornea mata menangkap kelibat Qowiy yang sedang tidur nyenyak beralaskan beg hitamnyaa di atas meja guru.

"'Ish, boleh pula dia buat tahi mata," dengus Badrul sambil menggelengkan kepala. Rakan baiknya itu dihampiri lalu dikejut supaya sedar.

"Qowiy, bangun. Kau tak nak balik ke?"

"Soalan gred apa kau tanya ni? Mestilah nak. Aku cuma tertidurlah. Penat sangat," balas Qowiy sambil terpisat-pisat menggosok kedua belah mata.

Badrul yang memerhati tingkah rakannya terkebil-kebil sendiri. Aik, cepatnya respons?

"Aku tidur-tidur ayam je tadi," jawab Qowiy lagi seolah-olah mengerti. Badrul mengangguk faham.

"Cepatlah weh. Kita tak solat zohor lagi ni." Itulah prinsip Badrul Amin. Solat di awal waktu adalah keutamaan baginya. Lengan Qowiy digoyang-goyangkan tanda menggesa.

Mendengarkan perkataan solat, semakin berat tulang Qowiy ingin bangkit dari duduknya.

"Aku bukannya tak nak ikut kau pergi solat, Bad. Kalau diberi pilihan, aku nak ikut sangat-sangat. Cuma itulah, aku tengah 'cuti' sekarang." Beria-ia penjelasan diberi. Riak wajah sedih turut dipamerkan. Mengharapkan Badrul yang mendengar akan memahami situasi yang dihadapi.

"Alahai bongoknya sahabat! Qowiy... kau tu lelaki! Lelaki mana ada cuti solat! Astaghfirullahalazim. Ya Allah, sedarkanlah kawanku ini daripada kejahilan serta kesesatan yang nyata. Amin." Telapak tangan ditadah memanjat doa sebelum disapu ke seluruh muka. Ingatkan apalah tadi sampaikan tak boleh solat. Rasa nak diluku-luku saja kepala Qowiy dengan bucu meja. Biar center sedikit otak itu.

Hanya riak muka toya tanpa perasaan dipamerkan tatkala mendengar kata-kata Badrul yang jelas berbaur sindiran. Haih, nampaknya tak dapatlah dia nak mengelat untuk kali ini. Sejenak pandangan mengarah pengawas berbaju biru itu menikam mata. Qowiy lantas mengeluh.

"Badrul... kau kena faham satu hakikat. Aku ni pergi solat ke, tak solat ke sama je. Aku still dipandang hina. Aku still jadi orang yang jahat dekat mata manusia. Jadi tak ada guna pun aku buat semua itu. Sia-sia, tahu tak?" Usai mengungkap kata, kepalanya diletak kembali di atas meja. Bersedia untuk menyambung lena yang tadinya terganggu.

Badrul bertindak pantas, mematahkan pernyataan Qowiy yang jelas jauh dari persimpangan.

"Kawan, aku rasa kau pun kena faham satu hakikat. Sehina mana kita di mata manusia, sejahat mana kita di depan makhluk, Allah tak pernah anggap kita macam itu. Depan Allah, kita semua sama. Tak ada yang baik atau jahat. Yang membezakan kita semua hanyalah taqwa. Solat ini bukan untuk nampak baik. Solat ini salah satu rukun islam yang wajib kita buat. Tak kisahlah perangai kau macam mana pun. Selagi masih bergelar muslim, selagi itu wajib dilaksanakan dan haram kalau tinggal," terang Badrul.

Tipulah kalau kata dia tak sentap dan terkesan dengan ungkapan panjang lebar Badrul tadi. Rasa terbakar weh! Habis bertukar merah warna cuping telinganya sekarang.

"Okay, fine! Aku solat. Ish, semaklah kau ini." Kepala yang tadi di atas meja diangkat lalu bibirnya merengus kuat. Malas hendak berlama-lama mendengar tazkirah Badrul, jadi dia lebih rela mengalah.

Badrul tersenyum lebar. Langsung tak ambil hati dengan cakap Qowiy. Dia tahu, walaupun luaran lelaki itu kelihatan agak kasar sebenarnya masih terdapat satu sisi lembut yang jarang ditonjolkan. Pengalaman bersahabat sepanjang empat tahun cukup untuk mengajar Badrul mengenali sisi hitam putih pelajar nakal itu.

"Woi Bad, cepatlah! Kau buat apa lagi tercegat dekat situ? Tadi beria-ia sangat nak ajak orang solat!" Suara Qowiy memetir di muka pintu kelas dengan beg sekolah tersandang di bahu lebarnya. Kecil besar kecil besar saja dilihat Badrul saat ini.

"Sabarlah kawanku. Kau pun satu, nak cepat sangat sampai lupa tutup suis kipas dah kenapa? Aku nak tolong tutupkanlah ini." Badrul menggelengkan kepala. Haih... apalah nasib. Qowiy kalau anginnya tak baik, dengan dirinya sekali turut terkena tempias.

𖣔𖣔𖣔

Saat kakinya menapak masuk ke dalam kawasan surau sekolah, rata-rata pandangan pelajar di situ terjerumus ke arah mereka berdua. Qowiy tak selesa, namun perkara itu dibiarkan saja. Bukannya dia tak tahu, pandangan itu ialah pandangan menghina yang ditujukan khas buatnya.

Badrul juga sedar akan hal itu. Bahu rakannya ditepuk memberi semangat.

"Buat chill je bro. Kau datang sini nak solat, bukannya nak cari gaduh."

Tanpa membuang masa, langkah kaki mereka beriringan ke bilik wuduk. Tak menjadi masalah kepada Qowiy untuk berwuduk, kerana ibunya sendiri sangat menitikberatkan soal ibadah di rumah. Cuma di sekolah saja dia mengambil sambil lewa. Untunglah ada Badrul yang selalu menjadi penggera untuk mengingatkan.

Solat zohor pada hari itu diimamkan oleh Badrul sendiri. Qowiy pula lebih memilih untuk menjadi makmum di saf terakhir. Terasa dia masih belum layak untuk mendahului orang lain.

"Assalamualaikum warahmatullah..." Salam yang terakhir diberi kemudian diikuti dengan tiga kali istighfar, bacaan Surah Al-Fatihah dan doa ringkas dalam bahasa Arab.

Setelah selesai bersalaman sesama imam dan makmum, masing-masing berpecah dengan urusan sendiri. Ada yang menunaikan solat sunat ba'diyyah, ada juga yang mencari tempat di tepi surau untuk membaca Al-Quran.

Qowiy lebih rela untuk menanti Badrul di luar surau di samping menjadi pemerhati tak bertauliah. Entah kenapa, dia tak ada rasa hendak melakukan ibadah tambahan walaupun Badrul turut mengajaknya tadi.

"Lama betul kau dekat dalam tu. Solat sunat dua rakaat je pun. Lupa niat ke apa?" Sempat dia memerli Badrul yang baru saja keluar dari surau. Pecah tawa si pengawas itu jadinya.

"Mana ada. Aku sengaja nak bagi kau tunggu lama. Yalah, nak juga merasa buli Badrul Qowiy. Asyik-asyik dia je yang membuli orang. Tak gitu?" Selamba saja Badrul memulangkan paku buah keras.

"Dahlah kau. Baik kita blah sebelum aku paksa kau makan selipar yang tersusun dekat depan surau ini." Geram dia dengan mulut Badrul yang boleh tahan pedasnya. Sekali lagi Badrul mempamerkan senyuman kemenangan.

Sedang mereka berjalan berdua, tiba-tiba terdengar satu gerangan manusia memanggil.

"Badrul... Qowiy!" Serentak itu, kedua-dua sahabat itu menoleh.

Berdiri di hadapan mereka sekarang seorang pelajar perempuan bertudung labuh biru yang sama ronanya seperti kemeja seragam sekolah Badrul. Kelihatan gadis itu tercungap-cungap mencari nafas buat seketika. Namun apa yang pasti, bibir miliknya kekal tersenyum manis.

"Maaf mengganggu. Saya nak cari Badrul... Qowiy," ujar pelajar itu setelah helaan nafasnya kembali teratur.

Qowiy menjeling Badrul di sisi. Badrul juga turut berbuat perkara yang sama. Masing-masing berhubung melalui ekor mata.

"Saya Badrul."

"Saya Qowiy."

"Awak cari yang mana?" Soalan terakhir itu diajukan serentak oleh Badrul dan Qowiy.

Aisyatul Rihanna yang melihat situasi tersebut bagaikan terkedu. Alamak, macam mana ini? Dahlah dia sendiri pun tak pasti. Itulah, tak dengar betul-betul sewaktu cikgu cakap tadi!

"Err... cikgu disiplin cari Badrul. Saya tak pasti yang mana satu sebab tak lama selepas itu cikgu sebut Qowiy juga." Aisy menjelaskan perkara sebenar.

"Oh... kalau cikgu disiplin yang panggil, tak lain tak bukan orangnya mesti kau Qowiy!" Pantas Badrul membuat andaian.

"Aik? Kenapa pula?" Qowiy jadi hairan.

"Yalah, minggu ini kau belum jumpa cikgu disiplin lagi. Bukan ke setiap minggu muka kau wajib masuk bilik disiplin tu?" balas Badrul.

"Eh eh Bad. Kau tengah perli aku ke apa ni? Sakit pula hati kita ni." Renungan tajam dihadiahkan kepada Badrul di sebelahnya. Seperti biasa, muka Badrul hanya beriak selamba.

Aisy sekadar menyaksikan perbalahan di depan mata. Sambil itu, otaknya ligat mencerna dan memproses maklumat yang diterima daripada guru disiplin sebentar tadi. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu.

"Saya baru ingat. Badrul Qowiy, pelajar tingkatan 4 Kirana."

"Hah, kan betul aku cakap. Cikgu nak jumpa kau!" Belakang badan Qowiy dipukul kuat diiringi gelak tawa Badrul. Seronok pula melihat air muka rakannya yang bertukar keruh.

"Alah, cikgu ni pun. Tak tahu ke sekarang dah habis waktu sekolah? Orang nak balik rumahlah. Aduuu..." Qowiy mengeluh berat lalu tertunduk lemah. Entah apa lagilah denda yang akan diterima nanti.

Aisy tersenyum. "Jangan risau, cikgu nak jumpa sekejap je tu." Lembut suaranya menutur kata.

Pandangan Qowiy terangkat memandang wajah Aisy. Lama wajah itu diteliti.

"Perempuan, nama kau apa?" Tiba-tiba saja pertanyaan itu terpacul daripada mulut Qowiy.

"Nama saya Aisyatul Rihanna. Panggil saya Aisy. Dari kelas 4 Tirani."

"Lain kali fahamkan soalan. Jangan jadi bengap. Aku tanya nama je. Aku tak nak tahu pun kelas kau," sindir Qowiy.

Kali ini, Aisy kehilangan kata. Hampir-hampir saja senyumnya pudar. Namun pantas ditampal kembali bersama keyakinan yang masih berbaki. Sinisnya kata-kata itu dilontarkan. Langsung tidak memikirkan perasaan insan yang berada di hadapan.

Badrul pula bagaikan dapat merasa aura negatif yang mula menyelubungi mereka. Pada masa yang sama, kasihan melihat Aisy yang sedaya upaya mengekalkan roman manis di wajah. Jadi, ada baiknya dia menjadi perjenih suasana.

"Qowiy, pergilah jumpa cikgu cepat. Lagi cepat kau jumpa, lagi cepat benda ni selesai," pujuk Badrul.

Akhirnya, Qowiy beralah. Sebelum melangkah jauh, Aisy direnung tajam buat ke sekian kalinya. Jujur, dia kurang senang dengan kehadiran pelajar perempuan itu. Tuhan seperti sedang mengingatkan dia tentang kenangan lama yang telah berlalu. 

Diksi Ilmu

solat sunat ba'diyyah- solat sunat dua rakaat selepas solat fardu zohor, maghrib dan isyak

︎❥︎❥︎❥︎

Maaf sbb lambat update hari ni. 😅

So, how's Bab 2? OK ke KO?

Ermm... agak-agaknya apa kenangan lama Qowiy ek?

Stay tune for Bab 3 ❤️ insya-Allah ✨





















Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro