BAD[AR]: 01
Larian langkahnya dipecut laju. Dada tak usah cakaplah, mula berdetak secara abnormal. Peluh pun merenik di dahi akibat terkejar-kejar di pagi hari.
Melihatkan pintu pagar sekolah yang tinggal beberapa inci sebelum ditutup oleh pengawas bertugas, Qowiy sedar peratus untuk mengelak daripada nama dicatat semakin mencapai angka mustahil. Kasar desahan nafasnya melepas lelah dan dia pasrah. Tapak kaki dipasak lemah di hadapan pagar sekolah yang kian pudar warnanya.
"Apa alasan kau pula hari ni, Qowiy?" Malas-malas suara itu menerjah telinga. Spontan kepala yang sedari tadi merenung tar terdongak lurus mencari punca.
"Weh Badrul! Huish, tak sia-sialah aku datang lambat pagi ni. Aku tak sangka pula hari ni kau bertugas jaga pagar depan." Batang tubuh Badrul di depan mata direnung penuh teruja. Nampaknya, ada peluang untuk dia dilepaskan! Yeay!
Badrul mengetap gigi. Kawannya itu dipandang nak tak nak saja.
"Kau tak jawab lagi soalan aku, kawan. Apa alasan kau?" soalnya buat kali kedua.
Seperti yang dijangka, hanya sengihan tak bersalah milik Qowiy diterima sebagai balasan.
"Alah... pasal benda itu kau pun dah sedia tahu kan. Takkan nak ulang banyak kali kot?" Sempat pula Qowiy menggumam tak puas hati. Jemarinya dilalukan di ruang kecil antara pagar yang memisahkan mereka.
Badrul menggelengkan kepalanya. Memanglah dia dah sedia maklum tentang perkara tersebut, tetapi sampai bila? Sampai bila dia harus pejamkan mata dan memilih untuk membiarkan?
"Apa yang kau buat selama ini tak salah weh. Malah bagus sangat sebab tak semua orang boleh buat macam kau. Tapi kau kena ingat juga, sekolah ni ada peraturan. Jadi kau kenalah patuh. Setiap hari nama kau tersenarai dalam rekod disiplin, tak serik ke?" Pengawas biru itu bercekak pinggang.
'Hmm, keluar dah aura cikgu disiplin dia.' Qowiy menggetus di dalam hati. Sedikit menyesal kerana terpaksa mendengar ceramah percuma. Sesekali cuping telinga diramas kasar. Entah kenapa terasa gatal pula. Rasa tak selesa. Mungkin dah tak lut dengan nasihat.
Bakal ketua pengawas itu kelihatan fasih dengan bebelannya yang tidak menemukan titik noktah. Akibat tak mampu bertahan, Qowiy melencongkan pandangan menjadikan langit sebagai tatapan utama, bukan lagi wajah Badrul yang sedang menyinga. Berdirinya juga sudah tidak tegak seperti waktu takbiratul ihram, sebaliknya sudah kelihatan dalam posisi rukuk.
"Weh bangunlah! Kau fikir aku cakap dengan pagar karat ni ke? Aku cakap dengan kau tau. Support la member sikit!"
Bahu Qowiy yang sepatutnya beralas baju seragam putih tetapi kini bertukar kelabu ditepuk. Habis terjulur keluar tangannya dari celah pagar. Itu pun nasib baik Qowiy sempat mengelak, kalau tak pastinya mendapat penangan khas daripada wakil bola tampar sekolah.
"Macam mana aku nak support kau Bad, kalau kau membebel tak berhenti? Takkanlah kau nak aku sambung bebelan kau lepas tu kita buat sistem batch? Kalau macam tu, bilanya aku nak masuk kelas? Bukan setakat masuk kelas, cecah kawasan sekolah pun belum lagi ni." Hanya dalam sekali nafas, Qowiy membalas. Hah! Dia pun turut ikut membebel panjang sekarang. Berjangkit dengan Badrul la ni! Menyampah betul.
Baru tersedar masa yang kian berjalan, Badrul pantas menutup khilaf dengan sengihan.
"Haahlah baru aku sedar. Dah nak pukul lapan tapi kau tak masuk kelas lagi. Hehe janganlah marah sahabat... kita kan brothers!" Penumbuk tangannya disua. Lambat-lambat Qowiy menyambut.
Pintu pagar bercat biru itu ditolak ke kanan. Memberi ruang untuk rakannya melangkah masuk. Belum sampai beberapa langkah bayang kelibatnya menghilang, jeritan milik Badrul kedengaran dari arah belakang.
"Qowiy! Tunggu sekejap!"
Tahu-tahu saja, batang tubuh lelaki itu sudah berdiri di sisi. Tapak tangan Qowiy ditarik sebelum beberapa keping kertas diletakkan.
"Nah, duit ni bagi dekat mak kau. Kesian dia... pagi petang cari duit untuk sekolahkan kau."
Qowiy terkedu buat seketika. Wajah Badrul direnung tak berkelip. Agak terkejut dengan pemberian rakannya. Bukannya seringgit dua yang dihulur, tetapi seratus ringgit!
Badrul sekadar membalas dengan senyuman ikhlas. Lengannya melingkar kemas di batang leher Qowiy.
"Dah jom, masuk kelas. Sesi belajar nak mula dah ni," ajaknya lagi. Namun Qowiy pantas memotong.
"Weh Badrul, terima kasih. Banyak kali dah kau tolong aku. Aku... aku tak tahu nak balas apa."
"Alah, chill-chill sudah. Kita kan kawan... Mestilah support each other!" Penuh semangat kata-kata itu dilontarkan. Qowiy tersenyum sendiri. Badrul memang baik.
Sambil berjalan beriringan, mereka bergerak menaiki anak tangga menuju ke kelas masing-masing. Sebelum tibanya waktu berpisah, sempat Qowiy menyoal.
"Kau tak nak ambil nama aku ke hari ni?" Senyuman sinis terjongket di tepi bibir Qowiy. Sengaja menduga sahabatnya itu.
Badrul menoleh sekilas sebelum membuat muka jengkel.
"Dah, tak payah. Aku dah bosan asyik tengok nama kau je yang tertulis dekat laporan harian aku. Kalau nama awek-awek cun tak apalah juga. Ini tidak, asyik-asyik Badrul Qowiy... Badrul Qowiy. Menyampah!" Bersungguh Badrul membalas. Dahi Qowiy juga dijentik kuat, melepas geram.
"Weh sakitlah siot! Berlubang dahi aku nanti!" Qowiy mengaduh sakit. Tangannya diangkat menutup kawasan yang terasa pedih.
"Heh, padan muka." Puas hatinya. Tak dapat tulis nama, dapat jentik tuan empunya nama pun jadilah.
𖣔𖣔𖣔𖣔𖣔
Suasana di kantin hiruk-pikuk dengan kehadiran pelajar yang berpusu-pusu membeli makanan. Masing-masing beratur dalam satu barisan lurus. Tidak terkecuali juga Badrul Qowiy.
Untuk hari ini, dia berseorangan menikmati waktu rehat. Badrul terlebih dahulu menghilang untuk menjalankan tanggungjawab meronda kawasan blok sekolah. Nasiblah dapat kawan berjawatan pengawas. Sibuk mengalahkan Perdana Menteri!
Sedang Qowiy elok-elok beratur, tubuhnya dirempuh kuat dari arah belakang. Bagaikan permainan dominos, satu yang ditolak maka yang lain turut menjadi mangsa. Nasib baik tiada siapa yang terjatuh mahupun cedera. Namun tidak bagi Badrul Qowiy. Dia begitu sakit hati sekarang.
"Err... sorry bang. Saya terlanggar tadi. A... ada orang ugut saya bang. Dia nak ambil duit poket saya." Takut-takut pelajar itu memohon maaf. Riak wajahnya turut kelihatan pucat.
Di depannya kini ialah Badrul Qowiy, pelajar yang paling banyak menimbulkan masalah. Dengar kata, sudah ramai mangsa yang terkena penangannya. Ingatkan dengan berlari ke kantin, dia akan selamat. Rupa-rupanya, terlepas dari mulut buaya, masuk ke mulut harimaulah pula! Ah, malang sungguh nasibnya hari ini!
Mendengarkan penjelasan budak itu, Qowiy meraup mukanya dengan kasar. Renungan bak helang menikam tepat pada seraut wajah itu. Sudah tidak dihiraukan lagi berpasang-pasang mata yang kini tertumpu pada mereka berdua.
"Nama kau siapa, budak?"
Diam. Tiada balasan yang diterima. Pelajar itu juga hanya menunduk jauh sekali ingin bertentang empat mata.
"Aku tanya ni, nama kau siapa?" Kali ini, nada suaranya dilembutkan. Namun, intonasinya tak seiring dengan perlakuan. Sebaliknya, kolar baju murid lelaki itu dicekak kuat.
"Aaa... err nama saya Pian bang, Pian!" Laju saja jawapan diterima selepas digertak.
Qowiy mengukir senyuman sinis. Pegangannya pada kolar baju itu serta-merta dilepaskan.
"Ooo... Baby Pian la ni?" Qowiy tersengih. Pelajar-pelajar lain yang menjadi pemerhati turut tertawa mendengar ulah lelaki itu.
Tubir mata Pian mulai berkaca. Dia rasa hendak menangis di situ juga. Sudahlah tadi dibuli, sekarang dibuli lagi. Memang hari ini Hari Buli Sedunia ke? Menyesal pula tak check kalendar terlebih dahulu sebelum pergi ke sekolah. Kalau dia tahu lebih awal, pasti perkara sebegini takkan terjadi.
"Haih, kau ni cengenglah Baby Pian. Lap air mata kau tu. Aku tak buat apa punlah. Cuma nak pesan, hari ni je kau boleh langgar aku sebab mood aku tengah baik. Kalau hari lain kau buat, tak payah tunggu lama memang penumbuk aku dah masuk mulut kau dulu. Ada faham?" Sambil mengucap kata, baju Pian dikibas-kibas. Ingin menghilangkan kesan renyuk akibat perbuatannya tadi.
Mulut Pian sudah melopong luas. Air mata yang tadi hampir-hampir saja ingin mengalir jatuh kini seolah-olah tertarik ke atas melawan daya graviti. Rasa sendunya juga hilang bagaikan angin. Bagaikan tak percaya dengan cakap Qowiy. Adakah ini mimpi?
"Ya Allah, bang. Betul ke ni? Terima kasih Abang Qowiy!" Terus badan Qowiy dipeluk erat. Terharu sangat dah ini.
Giliran Qowiy pula yang terkaku. Automatik badannya dikeraskan ibarat patung cendana. Tanpa menunggu lama, Baby Pian ditolak menjauh.
"Hah, yalah yalah. Kau ni pun. Tak payahlah peluk-peluk. Geli aku. Meremang tahu tak!" Qowiy membentak kasar.
Pian hanya tertunduk sambil menahan senyum. Dalam hati tak payah cakaplah, kembang semangkuk dibuatnya. Bangga sungguh! Tak percaya pun ada yang dia dah peluk Abang Qowiy aka gangster sekolah. Gilalah!
❥︎❥︎❥︎
Macam mana dengan bab 1 hari ni? Harapnya korang sukalah huhu.
Nak bagitahu, insya-Allah saya cuba utk update satu hari satu bab okey? Takpe, kita kayuh pelan-pelan sampai ending hehe.
Stay tune for bab 2 geng! ❤️
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro