Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 13

TINDAKAN Isha serba tak kena. Sesekali dia mengerling Rahman yang sedang makan sebelum tertunak pada mata tajam yang leka memerhatikannya. Kepala ditundukkan dari bertentangan mata dengan lelaki yang sedang berpeluk tubuh.

Habis semua makanan sedap jadi tak sedap!

Dia ni kenapa? Asyik pandang aku aje. Dah jatuh cinta dengan aku ke? Kalau bos garang ni jatuh cinta dengan aku, sekarang juga aku menari tanggo, ucap hati Isha.

"Bos tak makan ke?" Hujung mata Isha menjeling air minuman Shahrul yang masih tak berusik.

Macam mana nak makan? Satu makanan pun dia tak oder untuknya. Yang Shahrul tahu, memerhati Isha sampai muka Isha naik merah.

"Kau rasa aku boleh makan dengan menghadap muka kau?!"

Isha yang memegang sudu, terlepas. Memang dia suka bosnya tapi kalau bosnya tenung dia macam ular nak telan katak, mahu tersekat semua makanan di tekaknya. Tambahan lagi yang sedang merenungnya, handsome tahap seribu.

Rahman menghentikan suapannya. Memerhati tingkah dua manusia yang saling duduk berhadapan sebelum kembali menguyah makanannya.

Lantak la kau orang nak bertekak ke, nak berpandangan atau nak menggila sekali pun, janji aku kenyang! Hati Rahman bersuara.

"Bos tak lapar ke?"

Kali ini Isha meletakkan sudu dan garfu di tangannya.

"Lapar!"

Sudah! Isha tak senang duduk. Selalunya dia aje yang buat muka selamba berhadapan dengan Shahrul, sekarang dia rasa macam cacing kepanasan pula.

"Ooo..." Isha mengangguk. Tak tahu nak jawab apa.

Kalau ditilik muka Shahrul memang macam orang kelaparan. Orang kelaparan yang tak sabar nak makan orang.

Keadaan tiba-tiba terasa sunyi. Beberapa saat kemudian, Isha memejam matanya. Mata helang itu masih tertunak pada wajahnya. Shahrul ni dah hilang akal gamaknya.

Shahrul hampir saja ketawa. Kelakar tengok muka cuak itu. Sengaja dia buat begitu. Biar Isha serik!

"Errr... Bos, saya pergi ladies sekejap." Isha mula bangun.

Lagi lama dia di situ, mungkin dia akan disumpah jadi patung lilin. Sepemergian Isha, Shahrul mengeluh kuat. Air minumannya disedut.

"Sedap sangat ke makanan tu, Rahman?"

Rahman yang enak dibuai rasa terkejut. Terjatuh terus nasi dari mulutnya. Apabila Shahrul terjegil melihat aksinya, Rahman tersengih.

"Sedap, bos."

Shahril mengerling tajam. Lima minit dia menunggu Isha kembali tapi wajah Isha tak muncul. Mana pula perempuan tu? Buat apa lama sangat dekat tandas tu? Dia menunggu dengan keluhan.

Isha membetulkan bajunya sambil pantas melangkah. Dia menunduk sikit melihat bajunya yang bertompok basah. Macam mana dia boleh cuai sampai air memercik pada bajunya.

"Kau memang cuai la, Isha!" Kepalanya ditepuk dengan langkah semakin dilajukan.

"Auchhh!!!"

Kepalanya disentuh. Benda keras apa pula dilanggarnya? Isha pantas mengangkat muka. Berkedut dahinya memandang lelaki yang tersengih-sengih. Kena langar pun boleh tersengih lagi ke? Bukan nak minta maaf atau marah sebab dilanggar tapi tersengih macam kerang busuk pula.

"Saya minta maaf. Saya tak sengaja," ucap Isha dengan muka bersalah.

Fikirnya lelaki itu akan marah tapi lelaki tu boleh pula ketawa kecil. Isha mula mengintai wajah lelaki itu. Boleh tahan handsome tapi kenapa ketawa lagak orang sakai? Isha ada buat lawak ke?

Dia demam kut, getus hati Isha.

"You memang macam ni, ya? Langgar orang lepas tu cakap macam ni. Maaf, saya tak sengaja," bicara lelaki itu tiba-tiba.

Isha yang tak mengerti hanya pandang dengan muka 'kau gila ke?' Sayang, muka dah kacak tapi gila rupa-rupanya. Tapi bos aku lagi kacak la. Ceh! Sempat lagi puji beruang muka ketat tu.

"You tak ingat I?"

Isha membatu dengan gelengan. Dia bahasakan I dan you pula. Geli aku!

"Jarang orang tak ingat saya lepas pertemuan pertama."

"Saya kenal awak ke?" soal Isha dengan muka separa meluat. Jarang orang tak ingat dia lepas pertemuan pertama? Hebat sangat ke lelaki itu sampai perlu diingati?

"Betul tak ingat saya?"

Isha geleng. Nasib lelaki itu pandai bahasakan diri saya.

Lelaki itu tersenyum.

"Ingat dekat KLIA. Awak langgar orang lepas tu awak minta maaf dan pergi macam tu saja. Ingat tak?"

Otak Isha ligat berfikir sebelum kejadian itu terulang tayang dalam mindanya.

"Awak lelaki yang kena siram dengan air Pepsi tu, kan?" Isha kembali ingat.

Wah! Kecilnya dunia ni.

"Ya, saya."

"Saya minta maaf sangat. Masa tu saya nak cepat dan maaf la sebab tak berhati-hati sampai terlanggar awak." Isha tayang muka simpati.

"Awak perasan tak? Setiap kali berjumpa, mesti awak langgar saya."

Isha tersengih tapi dalam hati dia mencebik. Setiap kali berjumpa. Dia ni cakap macam dah berpuluh kali aku dengan dia bertembung. Baru dua kali aje la!

"Anyway, saya Khairul. Tengku Khairul Adam." Tengku Khairul mula memperkenalkan diri dan menghulurkan tangan. Tangannya tak bersambut. Lantas tangannya dijatuhkan kembali.

"Maaf ya, saya rasa saya kena pergi sekarang. Ada hal sikit," ucap Isha tiba-tiba. Langsung tak perkenalkan diri kembali. Isha mula merapatkan beg tangan di sisi dan tanpa menunggu balasan daripada lelaki itu, dia mula melangkah laju.

"Huh! Tengku konon. Ya la tu tengku. Entah-entah tungku batu. Macam la aku tak tahu, sekarang ni ramai sangat lelaki yang suka menyamar. Nak pikat aku la tu. Maaf la, walaupun kau handsome, hati aku dah terikat dengan bos aku yang macam beruang muka ketat tu, okey!" bebel Isha dalam perjalanan ke meja makan.

Sesekali dia ketawa. Tak ada benda lain ke nak menyamar? Menyamar jadi Datuk ke, anak Tan Sri ke, percaya juga aku. Tapi tengku? Macam la aku ni bertuah sangat nak jumpa kerabat-kerabat ni semua.

Alamak! Lupa pula dekat bos. Mesti muka dia lagi ketat tunggu aku! Mati!

"You are..." Shahrul bersuara saat muka Isha muncul di depan matanya.

"Late!!!" jerkah Shahrul melengkapkan ayatnya sampai orang lain dah perhatikan mereka semacam.

Terpejam mata Isha dengan jerkahan tu. Cepat-cepat dia menghampiri Rahman, kononnya nak menyorok di belakang Rahman sebab tak tahan tengok muka garang Shahrul. Tapi lagi dia hampir dengan Rahman, Rahman semakin menjauh.

Sorry, I am not your backup, ucap hati Rahman.

"Maaf, bos. Saya tak sengaja."

"Itu aje yang kau tahu! Maaf dan tak sengaja. Dekat lima belas minit aku tunggu kau dekat sini. Apa yang kau buat lama sangat, hah? Kau ingat aku ni penunggu kau ke?!"

Shahrul benci menunggu lagi-lagi yang terpaksa ditunggunya ialah pekerja bawahannya. Panas hati!

"Saya bukan sengaja tapi..."

"Tapi apa?"

"Saya excident!"

"Excident?!!!" Suara Rahman dan Shahrul berpadu tapi suara beruang muka ketat lagi kuat.

Isha hanya mampu tersengih sambil mengangguk. Ini semua salah lelaki yang kononnya tengku tu!

SHAHRUL memegang cermin bulat itu sambil tangan kanan sibuk mengusap dagunya.

"Kacak sangat ke aku ni?" soalnya sendiri. Serentak dengan itu, otaknya kembali terkenangkan hal tadi.

"Bos ni kacak. Kulit bos tu tak ada jerawat langsung. Sekali tengok macam arca kaca. Bos guna produk apa, hah?"

Bibir lelakinya tersenyum. Perempuan? Semuanya hanya memandang luaran.

Di sebalik dinding kacanya, dia melihat Isha menghadap komputer dengan tangan menghirup minuman. Sesekali gadis itu ketawa. Entah buat kerja atau buat benda lain.

Shahrul tersenyum lagi. Ketawa gadis itu buat hatinya tercuit. Semua stafnya takut kepadanya macam dia nak makan orang tetapi stafnya yang bernama Isha tu cukup selamba dengannya. Mungkinkah sebab gadis itu mengenalinya sebelum dia menjadi bos besar di syarikat ini?

Shahrul teringat balik saat mereka ingin kembali ke pejabat setelah makan tengah hari tadi. Peristiwa di dalam kereta, kembali menjengah fikiran.

"Bos, kalau nak tanya sikit boleh tak?"

Shahrul menjeling. Malas nak melayan.

"Bos tak bosan ke asyik serius aje dua puluh empat jam? Dari bos culik saya dulu sampai sekarang, saya tak pernah nampak bos senyum. Patut la orang cakap bos ni macam baru lepas kena suntik bo..." bebelan Isha terhenti.

Isha rasa dia terlebih membebel. Kalau dia teruskan perkataan botoks tu, mahu dia kena pancung dengan mata bak pedang tajam zaman Jepun dulu.

Shahrul mengerling dengan mata mengecil. Menunggu Isha menghabiskan ayat tapi gadis itu terdiam. Cermin mata yang tersangkut di hidung, dibetulkan.

Isha tersengih. Mulut ni nak kena tampar agaknya. Tak reti simpan rahsia langsung.

"Tapi kan bos, kalau bos senyum, saya jamin semua orang akan cair punya."

Rasa nak sambung aje, semua orang cair termasuk saya. Tapi dia tak berani. Tak pasal-pasal nanti kena cup perempuan gatal!

Dari tadi dia cuba berbual dengan beruang muka ketat tu tapi banyak mana pun dia bercakap, berbuih mana pun mulutnya, Shahrul hanya diam. Isha terfikir, aku tengah cakap dengan tunggulkah?

Shahrul tersentak daripada lamunan. Dia memandang Isha di sebalik cermin dan saat itu dia tersenyum lagi. Bukan senyuman sinis tapi senyuman yang pernah hilang dari bibirnya sejak lima tahun yang lalu.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro