
Bab 12
"KENAPA la perut ni asyik lapar. Baru aje nak diet dia buat hal. Kalau aku tahu aku tak boleh tahan lapar macam ni, baik aku keluar lunch dengan Fazilah dengan Nurul. Menyesal betul la! Tak pasal-pasal terpaksa lepak dekat kafe seorang diri!"
Tak henti-henti Isha merungut sambil menapak satu per satu anak tangga. Tangannya yang memegang botol air mineral itu diayun laju.
Hari ni dia terlebih rajin guna tangga bagi menyahut seruan Malaysia, rakyat cergas, minda cerdas. Tapi rasanya dah macam-macam dia buat untuk cergas tapi kenapa mindanya masih tak berapa nak cerdas, erk?
"Tapi kan, agak-agak dekat mana bos sekarang? Mesti tengah lunch, kan?" ujarnya sendiri.
"Bestnya kalau dapat lunch dengan bos. Kalau itu terjadi, gilalah hati patik selama tiga puluh hari. Bos, mana bos, saya menyeru datang la bos ku yang kacak."
Boleh pula Si Isha ni menggedik sambil turun tangga. Menggedik seorang diri tak apa, kan?
Tangannya semakin galak berayun dengan mulut tak henti-henti memanggil nama bosnya. Macam la bos dia akan datang kalau dah diseru. Parah dah budak seorang ni. Sedar tak sedar pegangannya pada botol air semakin longgar. Tak sampai seminit, tup-tup botol di tangan melepas. Elok aje terpelanting sebelum jatuh ke bawah. Langkah Isha termati.
"Aduh!!!"
Isha tergamam. Ada orang mengaduh?
"Bodoh! Siapa punya kerja ni!"
Kuat tengkingan itu membuatkan Isha cepat-cepat berlari ke bawah. Saat dia melihat tubuh yang sedang memegang botol airnya, dia terkaku.
"Itu bukan botol air aku ke?" tanyanya sendiri dengan bibir terketar-ketar.
Muka yang sedang menyinga itu buat Isha menggeletar. Memang dia seru bosnya tapi rasanya ini waktu tak sesuai untuk tunjuk muka. Kalau tidak, mungkin dia bakal ditamatkan riwayatnya.
Shahrul mendengus dengan perkataan bodoh berulang-ulang di mulutnya. Siapa tak marah kalau sedang bercakap di telefon, tiba-tiba ada benda keras jatuh elok di atas kepala. Lagi bengang apabila telefon bimbitnya terlepas dan jatuh menyembah tanah. Nahas orang yang buat semua ni!
"Mati aku!"
Isha terasa tekaknya kering. Hilang terus nafsu makannya. Perlahan-lahan dia berpusing. Rasanya situasi seperti ni tak perlu dia nak menegur Shahrul tapi lebih baik dia larikan diri saja. Baru saja berkalih nak sembunyikan diri, bulu romanya menegak.
"Kau!!!"
Langkah Isha termati. Dia berpusing dan saat itu tanpa dipinta, mulutnya tersungging senyuman tawar. Kantoi!
"Ni kau punya kerja, kan? Ni botol air kau, kan?!" Bentak Shahrul lantas melempar kuat botol air di tangannya.
Isha sebik aje pandang botol airnya yang menjadi mangsa balingan makhluk ganas di depannya. Rezeki tu, dia boleh baling macam itu aje. Dah la aku dapat percuma.
"Aku tanya bukan nak suruh kau tercegat, bukan suruh kau tersengih. Aku tanya, jawab!"
Ternaik terus bahu Isha. Mahu tak mahu dia mengangguk. Kalau ada orang lain dia dah tuduh dah, tapi masalahnya saat ini hanya ada dia dengan Shahrul saja. Sah-sah la botol itu dia punya.
Melihat saja anggukan itu, hidung Shahrul seakan-akan mahu keluar asap. Banyak-banyak staf, kenapa dia asyik bertemu staf yang sengal ni? Dah tu, setiap kali bertemu, mesti dia malang. Nak kena pasang pendinding lepas ni.
"Aku suruh kau jawab bukannya mengangguk. Setakat ni tak ada lagi syarikat hired pekerja bisu!"
Isha menunduk. Kena marah lagi.
"Saya punya, bos," akur Isha akhirnya.
Dia memandang Shahrul sekilas sebelum melangkah mengutip botol air yang tergolek di atas lantai.
"Kau tahu tak apa yang kau dah buat?!"
Bergegar sekejap jantung Isha. Nasib tak berhenti terus. Botol air mineral itu dipeluk sampai Shahrul yang melihat rasa sakitnya hati.
"Kau nampak tak ni?" Shahrul menunjuk kepalanya.
"Kalau pecah siapa nak jawab?!"
"Ha?!" Isha terkesima. Pecah kepala? Biar betul?
"Tuan okey ke tak ni?" soal Isha. Hilang terus rasa takut bersalahnya digantikan dengan perasaan cemas. Bosnya tak boleh pecah kepala. Rugilah kalau kepala yang kacak tu pecah.
"Tuan sakit dekat mana?" Isha bersuara lagi. Kali ini dia menghampiri Shahrul.
Sebelum kakinya menghampiri Shahrul, dia terasa bagaikan terpijak sesuatu. Kaki diangkat dan kepala ditunduk. Saat itu matanya terbeliak.
Melotot mata Shahrul sebaik saja Isha mengangkat kaki. Terketar-ketar bibirnya menunjuk ke arah benda yang dipijak oleh Isha. Suhu panas naik lagi.
"Mampus aku!" desis Isha perlahan.
Shahrul bengang. Sikit masa lagi dia rasa nak meletus. Pantas dia meluru ke arah Isha dan menolak kuat tubuh gadis itu. Benda yang dipijak Isha, dia kutip.
"Kau... Kau..." Shahrul terdiam sebentar. Dia tak boleh meneruskan kata sebab terlampau marah. Degupan jantungnya cuba ditenangkan.
"Berani kau pijak telefon aku!!!" jerit Shahrul kemudiannya. Pijar biji matanya memandang skrin yang sudah retak. Terasa api mengelilingi kepalanya.
"Itu handphone bos ke?"
Memang Isha ni sengaja tempah maut awal. Apa kebodohnya dia tanya soalan itu. Kalau nampak muka hilang akal lelaki itu, maknanya itu handphone Shahrul la.
Terketar-ketar gigi Shahrul yang menggigit bibirnya sendiri. Amarahnya naik ke kepala. Takat didih dah sampai tahap maksimum, cuma tunggu saat nak meletus saja.
"Kau boleh tanya lagi? Ada orang lain ke yang kau nampak nak mengaku handphone ni handphone dia?!"
Nah! Tersembur air liur Shahrul. Marah sangat la tu.
Isha senyum pahit. Otaknya zero nak bagi reaksi apa. Akhirnya dia cuma menunduk dengan hati yang ketakutan.
"Maaf, bos," ucapnya perlahan.
Dengar saja ucapan maaf itu, lagi la otak Shahrul mendidih.
"Maaf?" Shahrul pandang Isha seperti gorila yang ingin menelan monyet.
"Maaf... Maaf..." Shahrul ulang lagi perkataan yang sama denga nada tertekan.
Dia yakin sangat dia tengah menggelegak. Kalau dia meletup, confirm Isha kena teruk. Daripada dia buat sesuatu yang tak masuk akal nanti, lagi baik dia hilangkan diri dari depan gadis itu. Tangan kuat menggenggam handphonenya sebelum dia melangkah tanpa pamitan.
Isha angkat muka. Tiba-tiba bulu romanya tak meremang dah.
"Mana dia?" Mata Isha membesar.
Baru ada sekejap tadi, tiba-tiba hilang. Macam Chipsmore pula. Lantas matanya terhala ke bawah dan waktu itu dia melihat Shahrul melangkah menuju ke arah bawah.
Bos, tunggu saya, bos! Hati Isha menjerit kuat.
Isha berlari malah lariannya semakin kencang. Semuanya gara-gara mengejar bosnya. Saat kakinya melangkah ke lobi syarikat, langkahnya terhenti. Kepala dipusing ke kiri dan ke kanan. Mencari muka kacak yang sudah hilang dari matanya.
Beberapa saat kemudian, dia tersenyum seronok. Dari pintu kaca, dia melihat Shahrul menuju ka arah Rahman yang menunggu dengan kereta. Pantas dia berlari lagi ke arah bosnya.
Shahrul yang baru saja ingin masuk ke dalam kereta, tersentak apabila lengan bajunya terasa dipegang oleh seseorang. Macam nak terkeluar soket mata saat melihat muka yang sedang tersengih di depannya. Tanpa kata, tubuh itu ditolak kasar.
"Auch!!!"
Terdorong Isha ke belakang. Tu la, pergi pegang baju anak teruna orang siapa suruh. Kan dah kena tolak. Mulanya dia nak mengutuk bosnya yang sesuka hati menolak dirinya tapi apabila tengok muka Shahrul, dia tersenyum manis pula. Macam inikah saat hati dah ada bibit-bibit cinta?
"Hai, bos..." Isha melambai.
"Apa kau nak lagi, hah?!"
Sakit hati Shahrul belum pulih, tapi muka Isha kembali tertayang di depannya.
"Bos nak pergi mana? Nak lunch?" soal Isha sambil menilik kereta Shahrul. Cantiknya BMW ni. Dah tu warna merah kesukaan aku pula tu, desis Isha dalam hati.
"Kalau aku nak lunch pun, kau sibuk apa? Apa masalah kau?!"
Isha garu kepala.
"Tak ada masalah pun tapi..."
"Tapi apa?"
"Tapi kalau saya nak ikut boleh tak? Saya lapar sangat ni, bos."
Shahrul terkejut. Gila mak ai! Ni perempuan datang dari mana? Dia tengah marah tapi gadis itu masih boleh minta benda yang tak masuk dek akal. Siapa dia nak keluar makan dengan staf bawahan?
"Kau ni!!!" Jari telunjuk Shahrul betul-betul hampir pada batang hidung Isha.
"Saya tak terima pun duit bos bagi tu malah bos sendiri tak nak berterima kasih kepada saya. Apa kata bos belanja saya makan hari ni? Lepas tu hutang terima kasih bos kepada saya tu, dianggap terhapus," cadang Isha sebelum Shahrul buat keputusan.
"Tak mungkin! Kau yang tak nak terima duit tu, bukan aku yang suruh kau tak terima? Sekarang kau ke tepi. Aku tak suka masa aku terbuang lebih-lebih lagi dengan orang macam kau. Pergi!"
Isha tersentap. Hatinya kecewa lagi. Tak dapat la aku realisasikan impian aku nak naik BMW ni dengan bos kacak ni, rungutnya dalam hati.
Tengok muka mendung Isha, Shahrul mendengus. Dia buat muka sedih pula dah!
"Rahman!" panggil Shahrul.
"Ya, bos?"
"Ambil ni." Dua keping not seratus diletakkan di atas tapak tangan Rahman.
"Apa ni, bos?"
"Kau ambil duit ni, bawa dia ni makan," jawab Shahrul.
"Habis, bos macam mana?" soal Rahman lagi. Kalau dia bawa Isha, Shahrul nak naik apa?
"Aku tahu cari makan aku sendiri!" tegas Shahrul. Rahman ni buat macam dia anak kecil pula!
Rahman mengangguk faham. Shahrul di sisi Rahman memandang Isha yang nampak terkelu.
"Dan kau, lepas ni jangan ganggu aku dah! Jangan dekat dengan aku! Kau ikut Rahman dan aku kira hutang kau dengan aku dah tamat!"
Usai berkata, bibir Shahrul terjongket sebelum dia memulakan langkah ke suatu arah.
"Mana boleh macam tu, bos." Suara Isha mematikan langkah Shahrul.
"Apa yang tak boleh?!"
"Kenapa bos suruh saya makan dengan Abang Rahman? Yang saya bantu tu ialah bos, bukannya Abang Rahman. Sekurang-kurangnya hargailah sikit bantuan saya tu. Saya minta belanja makan aje pun, bukan suruh terjun bangunan."
Gila! Isha memang jenis berani mati. Berani dia 'bahasakan' bosnya sendiri.
Shahrul mendengus kuat. Laju langkahnya menghampiri Isha dan saat itu juga mukanya dibawa betul-betul menghadap muka gadis yang berani bersuara kepadanya itu. Isha terjuling, Rahman yang melihat terkesima. Di dalam otak Rahman ada dua perkara aje. Bosnya nak tarik muka perempuan tu atau nak penggal terus kepala Isha. Kilat dah terpancar hebat di atas kepala Shahrul.
"Baik! Kau nak makan dengan aku sangat, kan? Jom!"
Saat perkataan jom meniti di mulut Shahrul, saat itu juga tubuh Isha ditolak ganas masuk ke dalam kereta. Isha mengaduh apabila kepalanya terhantuk tapi Shahrul peduli apa? Kepala Isha pula ditolak biar masuk ke dalam kereta! Pintu kereta dihempas ganas. Seganas rasa amarah yang meledak dalam sanubarinya.
Rahman cepat-cepat masuk ke dalam kereta apabila melihat Shahrul melangkah masuk ke dalam kereta.
"Sakitnya..." Tangan kecil Isha menggosok kepalanya sendiri. Kasar betul la bos ni! omelnya dalam hati.
Lantas matanya dibawa menghadap muka serius di sisinya. Isha tersenyum kecil. Lelaki itu ialah lelaki yang sama menyelamatkan dirinya. Kini dia sedang duduk di sebelah lelaki itu. Macam mimpi! Mulut Shahrul ditatap. Semejak dia kembali bertemu Shahrul, dia tak pernah lagi melihat senyuman manis itu. Dia betul-betul ingin melihat senyuman Shahrul sekali lagi.
Kerana Shahrul, semangatnya pulih. Walaupun Shahrul di sisinya saat ini berbeza dengan yang dilihatnya dulu, hatinya tetap gembira. Kerana dalam hatinya dia tahu, Shahrul dan lelaki itu ialah dua orang yang sama.
"Why you staring at me?"
Shahrul tiba-tiba saja berkalih memandang Isha. Detik itu, dua mata saling bertentangan. Dalam mata Isha merenung anak mata yang terlindung di sebalik cermin mata putih itu. Terasa perasaannya kembali hangat. Ada rasa yang mengalir dalam ruang hatinya.
Kenapa dia asyik terfikirkan pertemuan dulu? Andai saat ini menjadi saat silam di mana mereka bertemu, pasti dia bahagia dapat melihat senyuman yang begitu dirinduinya. Senyuman yang menghasilkan lekuk pada pipi Shahrul. Lekuk yang membuatkan Isha tertarik untuk menatap wajah jejaka itu.
"Aku tahu, aku cukup kacak tapi aku benci orang pandang aku macam kau!"
Isha terkaku. Pantas dikalihkan wajahnya ke sisi. Entah kenapa, dia hampir menitiskan air mata saat terbayang kenangan dulu.
"Maaf bos, apabila saya pandang bos, saya terfikirkan sesuatu," ujar Isha kembali berpaling menghadap Shahrul. Senyuman ditampal di bibirnya.
"Apa?"
"Bos ni kacak. Kulit bos tu tak ada jerawat langsung. Sekali tengok macam arca kaca. Bos guna produk apa, hah?"
Isha tersengih. Dalam sengihan itu, sempat lagi dia mengutuk diri sendiri. Apa yang dia merepek ni?
Shahrul tak menjawab tapi tersenyum sinis. Perempuan semuanya sama! Pantang tengok lelaki kacak!
Isha pandang senyuman sinis Shahrul dengan senyuman pahit. Kau betul-betul dah hilang akal Isha, kutuk hatinya. Kali ini terasa macam nak sorok aje muka di bawah kereta.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro