
Bab 11
SAMPUL di atas meja dipandang dengan mata yang semakin mengecil. Sesekali dia mengusap dagunya dengan senyuman kecil.
"Awak ada satu hutang lagi. Jawapan! Awak dah ada girlfriend?"
Shahrul senyum lagi. Muka gadis yang cukup selamba berhadapan dengannya, terbayang di ruang mata. Tak kira betapa kuatnya suara dia menjerkah, betapa besar matanya mencerlung, gadis itu tetap tersenyum dan berbicara dengan cara cukup bersahaja.
Baru dia perasan, perempuan itu cukup suka mempamerkan sebaris giginya. Mindanya terawang saat dia menculik gadis itu. Bukannya nak cemas tapi cukup berani meletakkan syarat kepadanya. Berani juga bertanya soalan-soalan bodoh.
Matanya tiba-tiba terhala pada skrin komputer dan saat itu wajahnya terbias. Hilang terus senyuman di bibirnya. Dia menggeleng panjang.
Tidak! Dia tak patut ketawa atau tersenyum. Dia tak perlukan rasa gembira dan bahagia itu. Apa yang dia perlukan adalah dunianya. Dunia yang penuh rasa sakit hati dan benci. Kerana benci dan kemarahan yang menetap dalam hatinya, dia masih bertahan dan berjaya hingga ke tahap ini.
Tok-tok...
Shahrul tersentak. Dibetulkan duduknya sebelum melaungkan perkataan masuk.
"Kau nak apa, Rahman?" soal Shahrul malas saat wajah Rahman terjengul.
"Ini tuan..."
Rahman mara ke arah Shahrul. Satu sampul diletakkan di atas meja bos besar itu.
"Ini maklumat perempuan yang tuan nak tu. Perempuan di KLIA hari itu," sambung Rahman apabila Shahrul bertanya 'apa' dengan lirik matanya sahaja.
Shahrul terus memandang sampul dan pantas tangannya mencapai sampul itu. Perempuan itu. Dia hampir terlupa akan gadis yang ditemui di KLIA itu. Cantik dan manis cuma tercemar dek wajahnya yang nampak perengus.
"Siti Nur Diana Humaira," ucap Shahrul akan nama yang tertulis di atas sekeping kertas putih itu. Gambar gadis itu ditilik dengan senyuman sinis.
"Dia bekerja di syarikat Love Design sebagai pereka dalaman, tuan." Tanpa disuruh, Rahman menyampuk.
Shahrul angkat muka.
"Aku tahu baca, Rahman." Dia menjeling dengan muka sombong.
Tertunduk terus Rahman dibuatnya. Tu la mulut gatal nak bersuara, kan dah kena sound.
"Maaf, tuan," pinta Rahman.
Shahrul diam. Sedikit pun tak memandang Rahman yang beria-ria minta maaf dengan muka mendung.
"Kalau tak ada apa-apa lagi, saya minta diri, tuan."
Shahrul macam tadi juga tak memandang Rahman namun kali ini dia mengangguk kecil.
Sepergian Rahman, mata lelakinya menghadap kembali kertas putih di hadapannya. Shahrul tersenyum penuh makna sambil mengetuk kecil kertas itu.
"Kita pasti bertemu, Humaira..."
Baru saja dia ingin meletakkan kertas yang mengandungi data peribadi Diana Humaira, dia terpandangkan sampul putih yang terbiar sepi. Pantas tangannya menekan butang interkom.
"Panggil Isha masuk!" arahnya pendek sebelum mengeluh sambil mencapai sampul putih itu.
ISHA garu kepala di depan bilik Shahrul. Siapa sangka lelaki itu sudah menggantikan adik dia. Bos Shahril pula beralih menguruskan perniagaan hotel mereka. Terfikir juga Isha, berapa banyak syarikat mereka ni ada. Dalam diam, Isha seronok. Lelaki yang dia sukai jadi bos besar. Hari-hari dia boleh usyar. Sungguh dia sanggup bekerja di situ walaupun untuk tempoh seratus tahun lagi.
Cuma yang dia tak puas hati apabila ada yang mengutuk orang kesayangannya. Ingatannya melayang pada peristiwa pagi tadi.
"Kak Kiah tak suka la dengan bos baru tu. Muka macam tertelan kapur barus!"
Bulat mata Isha. Berani si mulut murai ni mengata cinta hatinya. Jangan risau bos, pembela bos ada di sini.
"Ala cakap aje la Kak Kiah tu jealous sebab bos baru tu kacak. Ya la, Kak Kiah kan dah kahwin, jadi tak boleh nak pikat bos lagi. Kak Kiah takut bos dapat dekat kami yang muda bergetah macam kami ni, kan?" Isha balas selamba. Lain kali jangan mengata dekat sayang aku!
Terbeliak mata Kak Kiah. Ke situ pula budak ni! Aku tak ingin la bos muka seposen itu.
"Kamu ni kenapa Isha?!" Kak Kiah cekak pinggang.
"Apa yang aku cakap semua tak betul!"
"Saya bukan kata Kak Kiah tak betul tapi saya tengok bos okey aje... Sweet lagi. Betul tak?" Isha pandang kawan sekerjanya yang lain. Meminta sokongan.
Tapi semua terdiam. Siap ada yang menggeleng lagi.
"Memang la bos tu kacak tapi aku rasa betul cakap Kak Kiah tu. Muka bos macam jean ketat!"
"Aku pun rasa benda yang sama. Bos baru ni berlagak bagus! Tengok tadi, mula-mula masuk tak senyum langsung. Macam baru lepas kena cucuk botoks!"
Cucuk botoks? Kesian lelaki idaman aku tu kena kutuk.
"Dah tu, asyik bagi arahan dengan muka bengis. Baru hari pertama masuk dah herdik sana sini!" Aisyah tunjukkan rasa bengangnya.
Isha ketap bibir tapi Kak Kiah senyum bangga. Ada orang backup, suka la hati Kak Kiah tu. Dalam hati Isha, nak aje dia celup muka-muka di depannya di dalam perigi. Tersedak bos kesayangan aku tu kau orang kutuk.
Angin yang menyapa, buat Isha tersedar. Lama dia memandang bilik di depannya sebelum mengetuk. Saat arahan masuk diterima, perlahan-lahan pintu ditolak.
"Bos nak jumpa saya?" Masuk-masuk saja, Isha dah tersengih.
Shahrul buang nafas. Tengok! Apabila nampak mukanya, gadis itu pasti tersengih. Tangannya terawang-awang memanggil Isha supaya lebih dekat.
"Ambil ni!" Sampul putih tadi ditolak ke depan meja.
"Apa ni, bos?"
"Kau jangan nak banyak soal sangat! Aku cakap ambil, ambil la!"
"Kenapa saya kena ambil? Bos bagi tahu la apa benda ni?"
Shahrul merengus. Banyak hal!
"Duit!" beritahunya kuat.
"Duit?" Isha tercengang. Patut la tangannya gatal dari tadi. Tapi duit apa dalam sampul tebal ni? Kalau sampul tebal maknanya duit dekat dalam pun tebal juga la, kan?
"Untuk apa, bos?"
"Pertama sekali, jangan panggil aku bos. Aku tak suka!"
"Habis tu nak panggil apa?"
"Panggil aku tuan dan bukannya bos!" tegas Shahrul.
Isha menggeleng.
"Tapi saya lebih suka panggil bos."
Shahrul mengetap bibir. Pantang kalau ada yang membangkang. Tak boleh ke ikut aje apa yang dia mahu?
"Shut up! Lain kali apa yang aku suruh tu, ikut aje. Aku suruh kau panggil aku tuan bukan nak dengar bantahan kau sama ada suka atau tak! Kau tak suka, aku peduli apa?!"
Terherdik hati Isha dibuatnya. Orang cakap baik-baik, bos menengking tiba-tiba. Rugi saya bela bos tadi tau!
"Itu duit penghargaan untuk kau sebab kau dah tolong aku dan termasuk jadi saksi di mahkamah," sambung Shahrul apabila Isha terdiam dan tercegat.
Mata Shahrul menentang mata itu tapi mata itu nampak seperti ketakutan dengan bentakannya. Namun mata itu tetap menatapnya dengan lembut.
"Kau dengar tak ni?!" tengking Shahrul lagi. Meja ditepuk kasar hingga bahu Isha terangkat sendiri.
"De... Dengar, bos." Kepala Isha terangguk-angguk bagaikan burung belatuk.
Shahrul mendengus. Bos lagi! Dia hanya biarkan saja. Perempuan di depannya itu bukan jenis faham bahasa.
"Jadi, tunggu apa lagi? Ambil duit tu lepas tu keluar!" halau Shahrul dengan dua jarinya sahaja. Seketika kemudian dia kembali memandang fail di depannya.
Isha yang masih berdiri, tak berganjak. Sebik matanya memandang duit berkepuk-kepuk tu.
"Saya tak boleh terima ini, bos."
Shahrul angkat muka. Apa yang dia lihat, Isha mengambil sampul itu dan meletakkan hampir di depan matanya. Namun, ada riak kesal di muka itu. Kesal sebab memulangkan duit ke?
"Aku tak ambil barang yang aku dah bagi!" Sampul ditolak ke arah Isha.
"Saya tak boleh terima!" Sampul ditolak kembali ke arah Shahrul.
"Aku pantang orang bantah apa yang aku suruh!" Sampul itu ditolak lagi.
"Saya tetap tak mahu!" Laju sampul itu menuju ke arah Shahrul.
Pap!!!
Isha tengok sampul itu dah terenyuk di dalam genggaman tangan Shahrul yang berwajah bengis. Macam harimau tak makan setahun. Tiba-tiba rasa macam kena cekik.
"Apa yang saya buat bukan sebab duit tapi ikhlas. Saya tak bantu dalam kes untuk dapat ganjaran tapi saya memang nak tolong. Lagipun Tuan Rusman tu memang jahat dan memang patut pun ditangkap," ujar Isha tanpa disuruh.
"Lagipun Bos Shahril tu pernah jadi bos. Dia bos yang baik jadi saya memang ikhlas bantu bagi tahu rancangan kotor Tuan Rusman tu!" Kali ni muka Isha nampak bersungguh-sungguh.
"Apabila saya dapat tahu Rusman yang cuba nak bunuh Bos Shahril, saya memang nak bagi tahu polis cuma saya takut. Tapi apabila bos culik saya, lepas tu suruh saya jadi saksi, saya lega sangat. Lega sebab tak perlu simpan rahsia tu. Saya rasa kalau saya masih simpan rahsia tu sampai sekarang, mesti saya mati awal sebab rasa bersalah, bos," jelas Isha panjang lebar. Tapi dia memang bersungguh-sungguh nak Shahrul tahu yang dia tak harapkan balasan.
"Dah habis cakap?"
Isha mengangguk.
"Baik! Kalau kau tak nak."
Sampul itu terus diambil dan disimpan di dalam laci.
Kuyu aje mata Isha apabila duit itu disimpan. Dia sedang tolak rezekikah? Tiba-tiba rasa menyesal sebab serahkan kembali duit itu. Kalau dia tarik balik kata-kata dia, okey tak?
"Rasanya kau dah tak ada apa-apa nak cakap, kan? Kau boleh keluar sekarang. Silakan," halau Shahrul dengan nada lembut.
Bodoh punya perempuan. Tolak rezeki! maki Shahrul dalam hati.
Isha mengangguk tapi matanya masih pandang laci milik Shahrul. Bye-bye duit.
Saat kakinya hampir pada pintu, Isha berkalih lagi dengan sengihan tawar. Apabila Shahrul mencerlung tajam, cepat-cepat dia lari menghilang sebalik pintu. Seram!
Sebaik sahaja bayang Isha hilang, Shahrul ketawa kecil sambil menggeleng. Tipu kalau dia cakap dia tak tercuit dengan tingkah dan mimik muka yang pelik daripada gadis itu.
Bukan dia tak nampak muka berat hati Isha apabila melepaskan duit itu. Nampak dan jelas sangat. Satu yang dia belajar daripada gadis itu, Isha tak pandai bermuka-muka. Apa yang dirasa itu yang dikata. Tanpa sedar Shahrul ketawa kecil sekali lagi.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro