
Bab 10
ISHA meniarap di atas katil dengan cebikan. Namun seketika kemudian, dia tersenyum-senyum pula. Dia hilang di sebalik lamunan. Sepasang mata bening itu mengganggu benaknya. Cara Shahrul melihat mempunyai gaya tersendiri hingga membuatkan dia terasa aura lelaki itu begitu hampir dengan dirinya. Perasaan itu membawanya ke daerah yang rasanya penuh dengan bunga-bunga cinta.
Mata, hidung, bibir dan lekuk pada pipi itu mengganggu jiwa perempuannya. Dia tak pernah merasa seperti ini. Dulu pertama kali bertemu dengan Shahrul, jantungnya berdebar tapi sekarang debaran itu lebih kuat. Dia tak pernah merasakan itu dengan mana-mana lelaki pun. Shahrul lelaki pertama yang buat hatinya melayang-layang.
"Shahrul Haikal," gumamnya sendiri.
Argh! Kalau boleh sekarang juga dia ingin melihat wajah itu lagi. Dia betul-betul gila! Baru aje terjumpa kembali, dia dah separa tak betul. Hebat betul lelaki itu!
Kali ini Isha menelentang, memandang siling putih dengan muka angau, miang, gatal dan semua yang sewaktu dengannya.
Tak tahu nak buat macam mana dah. Kalau dia boleh arahkan hati supaya tak ingatkan lelaki itu, dia memang akan buat. Sekarang masalahnya, dia pusing sana sini pun masih teringat akan lelaki itu. Otot mukanya pula tak habis-habis bergerak sampai buat mimik mukanya jadi macam orang angau bercinta. Hakikatnya, dia tak bercinta pun!
Lelaki itu, lelaki yang pernah buat dia sedar dan tersenyum semula saat dia tak mampu terima yang seluruh keluarganya sudah tiada. Senyuman lelaki itu saat menghulurkan tangan kepadanya masih terbayang di ruang mata. Tapi kenapa sejak pertemuan semula itu dia tak pernah melihat lelaki itu senyum seperti dulu? Mengapa?
"Weh, dah la tu. Tercabut bulu roma aku tengok kau sawan semacam!"
Isha tersedar. Bola matanya terarah kepada Ita di sisi. Dia tersengih.
"Dari tadi aku perhati aje. Sekejap kau senyum, sekejap kau masam, sekejap macam hilang akal, sekejap lagi macam orang hilang duit! Kau ni kenapa? Dah kritikal dah aku tengok kau ni."
Isha tak menjawab. Tapi masih lagi tersengih.
"Budak ni! Dalam aku cakap boleh tayang senyuman sengal dia tu. Dari tadi kau asyik sebut nama... Entah nama apa? Dah macam orang abnormal, tahu tak?"
Tergeleng Ita dengan perangai Isha. Dia duduk di sebelah Isha tapi selamba badak Isha tayang muka angau tu. Dia rasa semacam dah tau!
"Shahrul la. Nama dia Shahrul."
Isha menghampiri Ita. Matanya terhala pada skrin komputer riba Ita sebelum mencebik. Cis, dia pun sama dua kali lima, masih mahu kata dekat orang! Tenung muka tunang sendiri dalam komputer riba. Itu lagi la angau!
"Aku angau? Habis kau tu apa? Sawan?" Tangkas jarinya terhala pada skrin komputer riba Ita dengan satu jelingan. Jelingan yang membawa maksud, kau dengan aku sama saja!
Giliran Ita pula tayang gigi. Dah seharian tunangnya tak telefon, rindu kut.
"Sekurang-kurangnya aku angau dekat tunang sendiri. Kau pula? Apa ada?" lawan Ita.
Bulat mata Isha. Amboi, perli nampak! Tahu la Shahrul tu bukan tunang, kekasih dan jauh sekali suami dia. Tapi hati dia dah tak boleh dikawal dari sukakan abang bos tu, nak buat macam mana? Lima tahun aku harap jumpa dengan dia balik.
Baru saja Isha nak menjawab, pintu bilik diketuk. Muncul wajah Iman.
"Hah, tunang kau telefon tu. Kau pergi tinggal handphone dekat luar tu kenapa?" bebel Iman apabila muka Ita terpampang di depan matanya. Ganggu dia tengok TV aje!
Ita bingkas bangun apabila mendengar kata-kata Iman. Tunang kesayangannya dah telefon! Dia pandang Isha dengan muka mengejek.
"Ish, geramnya aku!!!" rengus Isha. Muka perli Ita memang tak boleh blah! Tunggu Shahrul jadi milik aku, aku tayang depan mata kau sampai terjojol biji mata! desis Isha dalam hati. Ketika asyik membebel dalam hati, tiba-tiba komputer riba di atas meja berbunyi. Cepat saja dia melompat dari katil.
"Hai, kak long." Isha melambai-lambai tangannya.
"Kata nak Skype pagi, tapi dah petang baru nampak muka!" Isha mencebik. Kononnya merajuk.
Tergelak Irdina dalam skrin komputer melihat muka cemberut Isha.
"Tak sengajalah. Kak long busy tadi. Tak payah la buat muka cekadak macam tu. Hodoh!"
"Sibuk apanya? Hari ni hari minggu okey. Tu mesti sibuk dengan abang long la tu! Merajuk la kalau macam ni!" Isha berpeluk tubuh.
"Apa pula? Bukanlah! Akak busy sebab keluarga Abang Ilham datang tiba-tiba tadi."
"Ooo..." Bulat mulut Isha. Macam tu rupa-rupanya. Tak jadilah nak merajuk.
"Ni yang sibuk nak suruh kak long Skype bagai ni kenapa? Mesti ada benda nak bagi tahu, kan?"
Isha tersenyum. Cepat aje kak longnya dapat tangkap. Adik saudaramu nak mengadu domba ni, bisik Isha dalam hati.
"Kak long, Isha jumpa dia lagi." Bersinar-sinar mata bulatnya. Kalah sinaran berlian termahal di dunia.
"Siapa?" Dahi Irdina berkerut memikirkan siapa gerangan lelaki itu.
"Lelaki tu..."
"Lelaki mana?" Irdina blur.
"Ala, lelaki yang Isha jumpa dulu tu. Lelaki yang sama buat hal masa majlis pernikahan kak long dulu tu."
Mendengar keyword 'lelaki yang buat hal' terus muka Irdina masam.
"Kenapa masam pula tu?" soal Isha. Pelik kak long aku ni, fikir Isha.
"Mahu tak masam. Disebabkan lelaki tu, majlis akak hampir haru-biru. Abang Ilham dah pandang serong kepada akak masa tu. Ingat akak ada simpan spare tayar belakang dia. Nasib jadi kahwin juga, kalau tak mendara la akak sampai tua."
Isha bantai ketawa. Seronok pula dia tengok muka lemau Irdina. Bukannya dia tak ingat macam mana marahnya Irdina hari itu. Kalau dapat kepala Shahrul, mahu Irdina buat sup sepuluh rasa!
"Relaks... Relaks. Dah selamat dah pun, kan?" Isha berdecit. Jangan la marahkan Shahrul. Hatinya baru nak berbunga sebab Shahrul.
"Kak long, Isha rasa Isha dah kena virus merah jambu la," ujar Isha tiba-tiba setelah Irdina diam hanya mencebik. Saat ini mukanya merona merah jambu.
"Virus merah jambu? Apa benda pula tu?" Irdina pening. Virus apa tu? Bahaya tak?
Isha tepuk dahi. Virus merah jambu pun tak tahu? Nama aje pensyarah!
"Jatuh cinta la, kak long!"
Isha bercekak pinggang. Hilang terus malu-malu kucing dia tadi.
"Ha?!" Irdina tersentak.
"Dengan siapa? Lelaki tu?"
Isha mengangguk. Mukanya kembali merah. Malu juga tapi memang selalunya dia berkongsi dengan Irdina kalau tak pun dengan kak ngahnya, Intan.
Irdina diam. Sejujurnya dia nampak sinar cinta itu dah lama dulu. Isha boleh tersenyum kembali setelah bertemu dengan lelaki itu. Masa Isha melarikan diri dari hospital dulu, dia dapat panggilan yang Isha sudah kembali ke hospital. Kata jururawat seorang lelaki yang menghantar Isha. Sayang dia tak bertemu dengan lelaki itu sebab lelaki itu ada hal dan tak boleh menunggu.
Sejak dari hari itu, Isha asyik bercerita tentang lelaki itu. Itu belum bab Isha mengenang saat-saat dia bertemu dengan lelaki itu. Sekarang Isha kembali bertemu dengan lelaki itu. Adakah ini yang dinamakan jodoh atau sekadar kebetulan?
"Kak long, sekejap lagi kita sambung la. Sakit perut!" jerit Isha tiba-tiba. Usai berkata-kata, Isha terus melompat dari kerusi dan terus menghilang.
Irdina menggeleng. Ada aje tingkah Si Isha ni. Lantas komputer riba ditutup sambil mengerling si suami yang sedang bermain Tab di atas katil. Irdina mengeluh pendek. Wajah Isha terbayang dan saat itu ada cecair hangat turun dari bibir matanya.
"Are you crying?"
Terasa ada tangan berlabuh di atas bahunya. Irdina hanya mengerling sebelum menjatuhkan kepalanya di bahunya.
"Kenapa ni? Tadi ceria aje abang tengok Dina berbual dengan budak Isha tu? Sekarang sedih pula?" soal Ilham. Rambut si isteri dielus lembut.
"Irdina teringatkan keadaan Isha dulu. Setiap kali Dina tengok Isha tersenyum, hati Dina ni lega sangat tapi..."
"Tapi?"
"Tapi Dina takut kalau Isha kembali seperti dulu. Dina tak sanggup nak tengok Isha lalui apa yang pernah dia lalui sekali lagi."
Hati Irdina sebak. Dia takut perkara dulu berulang lagi. Saat ini dia terbayangkan seorang gadis muda yang teresak-esak di penjuru bilik yang sangat gelap. Esakan sayu itu bagaikan menampar telinganya. Esakan yang sangat meruntunkan jiwa kepada sesiapa saja yang mendengarnya.
Mata gadis itu benar-benar kosong, namun di sebalik mata bundar itu, terpampang kelukaan, kesedihan, dan ketakutan yang menyelubungi jiwa itu. Gadis itu keseorangan dengan jiwanya yang hampir mati. Tak kesah apa yang terjadi di sekelilingnya. Dia seolah-olah hidup di dalam dunianya yang tersendiri. Dunia yang penuh kedukaan.
"Shhh... Jangan cakap macam tu. Isha dah pulih, dia dah mampu tersenyum. Abang yakin Isha tak akan jadi seperti dulu lagi. Irdina jangan bimbang ya, sayang." Lembut suara Ilham memujuk.
Air mata isterinya dikesat lantas satu ciuman berlabuh di dahi itu. Pelukannya dieratkan. Dia cintakan Irdina dan dia tahu perasaan isterinya saat ini.
"Tapi Isha masih tak tahu perkara yang sebenar. Dia tak ingat, bang. Dina takut kalau suatu saat ingatannya kembali. Dina tak mampu nak tengok Isha menderita lagi."
Ilham diam. Dia juga turut risau. Isha dah dianggap seperti adiknya sendiri. Sebelum dia kenal Irdina pun, dia terlebih dahulu mengenali Isha. Budak riang yang berusaha menyatukan dia dengan Irdina dulu. Tapi saat peristiwa hitam tu terjadi, Isha seperti diselubungi dunia kegelapan.
"Dina takut bang. Dina sayangkan Isha," luah Irdina sebak. Dia tak tahu apa yang bakal terjadi jika Isha kembali dihantui oleh kenangan silamnya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro