Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 2

TOK TOK TOK!

Tumpuan Rayyan pada komputer riba di hadapannya itu beralih apabila bunyi pintu diketuk kedengaran. Angkat wajah, pintu bilik kerjanya yang tertutup rapat itu dipandang bagai mahu tembus. "Siapa?" soalnya, dengan suara yang agak kuat.

"Saya!"

Mendengar suara Arya yang menyahut, Rayyan hela nafas kecil. "Masuk!" arah Rayyan seraya menumpukan semula perhatiannya pada komputer riba. Jari kembali menari-nari di atas papan kekunci komputer riba.

"Hubby..." Arya menjengulkan kepalanya di sebalik pintu yang hanya dibuka sedikit itu.

"Ada apa cari aku?" soal Rayyan, memandang isterinya bersama kening yang berkerut.

"Saya bawakan hubby air," ujar Arya seraya tersengih. Kuakan pintu dilebarkan. Kemudian, dia melangkah masuk ke dalam bilik kerja suaminya itu. Tangan kanannya membawa mug berisi air coklat panas.

"Rajin kau buatkan aku air," ujar Rayyan, menongkat wajahnya dengan tangan kiri.

"Buatkan air pun salah ke?" soal Arya, bersama wajah yang sedikit masam. Mug di tangannya diletakkan di hadapan Rayyan.

"Tak cakap pun salah," balas Rayyan, seraya mengangkat mug berwarna biru itu dan dibawa rapat ke mulut. Dicicip perlahan air yang berasap tipis itu. Lega tekak. Isterinya macam tahu-tahu je dia sedang haus.

"Hubby buat apa tu? Banyak kerja ke?" soal Arya, bergerak menghampiri kerusi yang diduduki oleh Rayyan.

"Bukan buat kerja office," balas Rayyan. Mug di tangan diletakkan di tepi komputer ribanya.

"Habis tu buat kerja apa?" Dahi Arya berkerut memandang skrin komputer riba Rayyan. Ada dua komputer riba. Satu, skrinnya hanya penuh dengan tulisan-tulisan halus. Satu lagi, terpapar gambar apa entah. Dia pun tidak tahu.

"Menyiasat." Ringkas jawapan Rayyan beri.

"Huh? Hubby nak jadi Detective Conan ke?" soal Arya. Selamba, leher Rayyan dipeluknya. Kepalanya dilabuhkan di bahu kiri Rayyan.

Rayyan tergeleng kecil mendengar soalan isterinya. "Mana Aidan?" soalnya, dengan jari yang kembali menari lincah di atas papan kekunci komputer riba. Mata pula fokus pada skrin komputer riba.

"Dah tidur. Jadi saya biar jelah dia kat bilik."

"Kau kenapa tak tidur lagi? Esok ada kelaskan?" soal Rayyan, mengerling sekilas ke arah Arya.

"Belum mengantuklah."

Mendengar nada suara isterinya itu, Rayyan hela nafas kecil. Lingkaran tangan Arya di lehernya dileraikan. Kemudian, ditarik wanita itu ke hadapan kerusinya. "Rindu aku ke?" soalnya, memaksa Arya untuk duduk di ribanya.

"Hmm... Saya sunyi." Wajah Arya mencuka. Sudah agak lama tidak dapat meluangkan masa bersama suaminya itu. Selepas balik dari percutian mereka ke Itali sebulan lepas, suaminya itu jadi sibuk melampau. Hari minggu pun kerja. Sehingga dia rasa terabai. Sudahlah dengan stres belajar, tak dapat nak bersama suami pula. Sebab itulah dia minta izin untuk keluar petang tadi. Nak healing kononnya.

"Sorry," ucap Rayyan seraya mengucup lembut pipi isterinya. Rasa bersalah teramat.

"Minggu depan saya ada cuti pendek. Nak pergi bercuti boleh?" soal Arya, merenung wajah suaminya tak lepas.

"Ke mana, sayang?" soal Rayyan. Melayan walaupun dia tidak pasti dapat tunaikan permintaan isterinya itu atau tidak.

"Nak pergi Cameron boleh? Teringin nak rasa strawberry segar dari ladang."

Rayyan senyum tipis. "InshaAllah. Nanti aku cuba kosongkan jadual. Okay?" Kepala Arya diusap lembut.

"Okay. Saya masuk bilik dululah. Nak layan movie." Arya bangun daripada riba Rayyan.

"Jangan tidur lewat!" Rayyan menitipkan pesanan kepada isterinya.

"Baik hubby. Selamat malam. Lebiu." Arya kucup lembut puncak hidung Rayyan sebelum dia berlari ke arah pintu.

Rayyan hantar pemergian isterinya itu dengan pandangan. Apabila pintu bilik kerjanya itu kembali tertutup rapat, dia melepaskan satu keluhan kecil. Pandangan dihalakan ke arah dua komputer riba di hadapannya itu bergilir.

Selepas saja makan malam tadi, dia berkurung di dalam bilik itu. Melakukan sedikit penyiasatan.

Tentang Diego Allesio Louise.

*****

"MACAM mana?"

Rafiq yang sejak tadi fokus menghadap komputer riba angkat wajah. Merenung wajah Rayyan, satu keluhan berat dilepaskannya. "Tak bolehlah. Macam nak pecah otak aku dok hadap laptop ni dari tadi," ujarnya seraya mengurut kening. Komputer riba ditolak menjauh. Matanya terasa pedih dek kerana terlalu lama memandang skrin komputer riba. Jari pun penat dah asyik tekan-tekan papan kekunci.

Rayyan yang baru labuhkan punggung di atas kerusi pejabatnya menghela nafas berat mendengar kata-kata Rafiq.

"Selalunya kerja-kerja gini Geon dengan Raf yang buat. Sekarang ni dua-dua tak ada kat sini." Daniel yang sedang berbaring santai di sofa panjang yang ada di dalam bilik pejabat abangnya itu mencelah.

"Tulah pasal. Aku kalau bab belasah orang pandailah. Kalau nak godam, siasat ni, bodoh sikit," balas Rafiq. Dia bangun daripada duduknya dan melangkah ke arah Daniel. Selamba, kaki Daniel ditepuknya kuat.

"Aduh, sakitlah King." Daniel menyeringai kecil.

"Tepi sikit. Aku nak duduk sini. Punggung aku sakit duduk kat kerusi sana. Bagi dia berlabuh kat sofa empuk ni," ujar Rafiq, sekali lagi menepuk kaki Daniel.

"Janganlah pukul! Sakitlah!" bentak Daniel. Tajam matanya memandang wajah Rafiq.

"Alih kaki kau ni. Kalau tak, aku potong," ugut Rafiq.

Daniel mendengus kecil. Dia bingkas bangun dari sofa dan melangkah ke arah kerusi di hadapan meja kerja Rayyan.

"Eloklah duduk situ. Tolong Ray tu daripada asyik main game. Dasar makan gaji buta," hambur Rafiq. Dia terus merebahkan tubuhnya di atas sofa panjang itu. Ah, lega dapat baring.

Daniel mengajuk percakapan Rafiq. Memandang skrin komputer riba di hadapannya itu, dahinya berkerut.

"Dah kenapa kau? Faham ke tengok tulisan-tulisan tu semua?"

Daniel tidak menjawab soalan Rafiq. Telefon bimbit di tangannya diletakkan ke tepi. Kemudian, dia tarik komputer riba merapat ke arahnya. Jemarinya lincah menekan papan kekunci komputer riba.

"Apa kau buat?" Kening Rayyan berkerut.

Daniel tidak menjawab. Matanya fokus pada skrin komputer, dan jari masih tidak berhenti menekan papan kekunci.

"Kau main game ke Dan? Aku suruh kau tolong Ray, bukan main game." Rafiq yang sudah memejam mata berbaring di sofa bersuara.

Kata-kata Rafiq itu bagaikan angin lalu saja di telinga Daniel.

Ting!

Bersama bunyi pendek itu, skrin komputer riba yang tadinya penuh dengan tulisan-tulisan halus berubah kepada paparan sebuah peta. Raut wajah Daniel yang tadinya serius mula berubah. Ulas bibirnya mengukir senyuman lebar. Komputer riba ditolak ke arah Rayyan. Kemudian dia bangun daripada duduknya.

"Kau nak pergi mana?"

"Minum. Daaa..." Sejurus itu, Daniel melangkah ke arah pintu.

Rayyan hanya memandang sehinggalah kelibat adiknya itu hilang daripada pandangan. Apabila pintu bilik pejabatnya itu kembali tertutup, dia pantas menarik komputer riba berwarna biru tua itu ke arahnya. Tatkala melihat skrin komputer riba itu, dia terkedu dua saat.

"King, sini sekejap."

"Apa? Cakap je. Aku malas nak bangun," ujar Rafiq mendatar.

"Sinilah sekejap. Tengok ni."

Rafiq buka matanya. Menoleh, Rayyan dipandang dengan kening terjongket sebelah. "Apa hal?"

"Sinilah!" Tegas Rayyan. Ada juga yang kena hempuk ni.

Rafiq berdecit kecil. Perlahan-lahan dia bangun dan dengan malas melangkah ke arah Rayyan. "Apa?"

Rayyan tolak komputer riba ke arah Rafiq. "Tengok ni."

Rafiq pandang wajah Rayyan sebelum dia halakan pandangan ke arah skrin komputer riba. "The fish? Dan ke buat ni?"

Rayyan angguk menjawab soalan Rafiq.

"Wei, sejak bila dia pandai IT ni?" soal Rafiq, melabuhkan punggung di kerusi Daniel duduk tadi. Mata tidak beralih daripada memandang skrin komputer riba.

"Aku speechless," ujar Rayyan. Gila tak speechless. Adiknya adalah ahli paling bodoh dalam kumpulan mereka. Tiba-tiba, dapat buat kerja yang dia dan Rafiq tak boleh buat.

"Dia belajar dari siapa ni? Kenapa dia lagi pandai dari aku ni? KG turunkan ilmu kat budak tu ke? Dahlah, kau bunuh jelah aku." Rafiq sembam wajahnya pada meja kerja Rayyan. Drama.

"Overlah kau. Syukurlah Dan dah bantu kita. Kita dah dapat tahu kat mana dia ni bertapak. Aku boleh hantar budak untuk intip tempat dia dulu," ujar Rayyan.

"Selesai yang ni. Masalah kedua, anak bini kau."

Mendengar kata-kata Rafiq, Rayyan terus termenung. Ya, masalah sekarang adalah Arya dan Aidan. Dia sibuk dengan kerja. Mana mungkin dia mampu untuk menjaga isteri dan anaknya 24 jam. Jika dulu, memang KG lah yang menjadi penjaga isteri dan anaknya itu kerana KG sahaja yang tidak terlalu sibuk dengan kerja. Tetapi kini, lelaki itu sudah tiada. Jauh di Korea sana. Isyraf pula sudah kembali ke tanah airnya, Brunei. KK? Lelaki itu sibuk di hospital. Rafiq, seperti dia. Sibuk di pejabat. Dan lelaki itu juga sibuk menguruskan kafenya. Daniel? Silap-silap Arya yang menjaga lelaki itu.

Sayup-sayup kedengaran suara orang sedang berbual, menarik perhatian Rayyan dan Rafiq. Keduanya saling berpandangan.

"Aku macam kenal suara ni," ujar Rafiq, seraya menoleh memandang ke arah pintu bilik pejabat Rayyan itu.

Rayyan tidak kata apa. Bebola matanya juga tertumpu tepat pada pintu yang masih tertutup rapat itu.

Seminit...

Dua minit...

Bam!

"Opocot gajah terbang!" Rafiq melatah dek kerana terkejut dengan bunyi hempasan pintu itu.

"Yo King! Lama tak jumpa." Zaryan yang berdiri di muka pintu menyapa.

Sepasang mata Rafiq tajam memandang lelaki berhoodie yang berada di sebelah Daniel itu. "Kau kalau buka pintu tu elok sikit boleh tak? Macam nak terkeluar jantung aku tau."

Rayyan yang mendengar kata-kata Rafiq jongket kening. Buka pintu elok? Dia pun dua kali lima je. Buka pintu macam nak bagi pintu tu tertanggal.

"Oh, terkuat sangat ke? Sorrylah. Hamba tak sengaja." Selamba Zaryan menjawab. Melangkah masuk ke dalam bilik pejabat Rayyan itu, dia terus menuju ke sofa. Begitu juga dengan Daniel.

"Ni apa hal tiba-tiba muncul kat office aku?" Rayyan yang senyap sejak tadi bersuara.

"Saja. Aku bosan kat rumah," balas Zaryan.

"Dah tu kau ingat pejabat aku ni kedai mamak ke suka hati kau nak melepak?" bidas Rayyan.

"Alah, chill bro. Bukan selalu pun aku datang sini."

Rayyan mendengus kecil. Baru dia nak buka mulut lagi, suara Rafiq kedengaran menyebut namanya. Rayyan pandang lelaki yang duduk di hadapannya itu bersama kening terjongket sebelah.

"Aku dah dapat jalan penyelesaian untuk masalah kedua kau."

"Apa?"

Rafiq tidak menjawab soalan Rayyan. Hanya bibirnya saja yang mengukir senyuman. Lebar selebarnya lagi melebarkan.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro