PROLOG
NOTA AWAL : Assalamualaikum. Cerita ini adalah kisah Daniel Louise, adik kepada Rayyan dalam BGMI. Bakal terbit dalam bentuk ebook. Jadi, saya hanya akan update beberapa bab awal saja untuk bacaan di Wattpad. Selebihnya, boleh dapatkan dalam versi ebook nanti. Terima kasih.
Love,
CtNorLiana ❤️🐰
___________________________________________
LANGKAH diatur menuju ke bilik air. Tangannya sempat menyambar tuala yang tergantung pada palang di tepi bilik air. Gigi digosok terlebih dahulu. Kemudian, cuci muka. Tidak lupa juga cukur jambang halus yang tumbuh di sekitar rahangnya. Geli ada bulu-bulu di wajah. Terasa seperti gorila saja.
Hampir 20 minit berada di dalam bilik air, dia keluar dengan hanya bertuala. Almari pakaian dituju. Sehelai t-shirt berwarna emerald green ditarik keluar bersama jeans biru cair. Selesai menyarung pakaian ke tubuh, dia menapak ke meja solek. Sikat rambut, pakai sedikit serum di wajah, lipbalm dicalit di bibir supaya nampak segar. Bibirnya tersenyum puas hati melihat penampilannya di cermin. Perfect!
Daniel melangkah ke katil. Telefon bimbit yang berada di atas meja sisi katil diambil. Dompet turut diambil dan dimasukkan ke dalam poket seluar. Kemudian, salah satu laci meja sisi ditarik. Satu kotak baldu merah berbentuk hati diambil. Kotak baldu yang dipegangnya dipandang. Apabila dibuka kotak baldu itu, di dalamnya terdapat sebentuk cincin berhiaskan berlian berwarna kehijauan. Cantik.
Hari ini, akan menjadi hari istimewa di dalam hidupnya kerana dia akan melamar seorang gadis yang sudah setahun menjadi teman wanitanya, Rasyel untuk dijadikan sebagai isteri. Saat yang amat dia nantikan. Sebelum ini dia pernah bercinta, namun semuanya putus di tengah jalan. Kali ini, mungkin tepat pilihannya. Lagipun sudah setahun mereka bercinta. Sudah sampai masanya untuk dia menghalalkan gadis itu.
Daniel tarik nafas panjang sebelum dihela perlahan. Tidak mahu membuang masa, dia melangkah ke arah pintu dan keluar dari bilik. Sambil menuruni anak tangga, dia bersiul ceria.
“Amboi, seronok nampak. Nak ke mana tu?”
Niat Daniel mahu memulas tombol pintu terbantut apabila mendengar suara yang mengajukan soalan itu. Dia berpaling. Terukir senyuman di bibir tatkala melihat wanita yang sedang menghampirinya itu. “Kakak…”
“Nak pergi mana lawa-lawa ni?”
“Keluar. Okaylah, Dan pergi dulu ya. Bye!” Sejurus itu, Daniel pulas tombol pintu. Dia terus keluar. Kasut yang berada di atas rak dicapai lalu disarungkan ke kaki.
“Hati-hati ya bawa kereta.”
“Baik!” Daniel berlari anak menuju ke keretanya yang terparkir di dalam garaj. Masuk ke dalam kereta, enjin dihidupkan. Dia mula memandu keretanya keluar dari perkarangan rumah agam milik abangnya itu. Sepanjang perjalanan, bibirnya asyik tersenyum. Perasaannya bercampur baur ketika itu. Rasa teruja. Tetapi dalam masa yang sama ada rasa takut juga.
Hampir setengah jam perjalanan, akhirnya kereta yang dipandu olehnya tiba juga di destinasi yang hendak dituju. Debaran di dada semakin kuat terasa. Nafas ditarik panjang lalu dihela perlahan-lahan. Setelah rasa sedikit tenang, barulah dia keluar daripada perut kereta dan mula mengatur langkah menuju ke lif. Butang angka dua ditekan. Sementara menunggu kotak bergerak itu tiba di aras yang ditetapkan, buat kesekian kalinya Daniel tatap kotak baldu di tangannya itu.
Ting!
Serentak bunyi ringkas itu, pintu lif terbuka sendiri. Daniel melangkah keluar. Hala tujunya ketika itu adalah rumah teman wanitanya.
Berdiri di hadapan rumah teman wanitanya, degup jantungnya semakin laju. Daniel cuba berlagak tenang. Tarik nafas, hembus. Tarik nafas lagi, hembus lagi. Setelah itu, tangan kanannya diangkat, mahu menekan butang loceng di tepi pintu. Belum sempat dia menekan, pintu berwarna coklat gelap itu sudah terbuka sendiri daripada dalam. Bibir Daniel terus ukir senyum kerana menyangka teman wanitanya yang buka pintu. Namun apabila melihat gerangan yang muncul di muka pintu itu, senyumannya pudar.
“Who are you?”
Soalan yang diajukan oleh gerangan itu tidak dijawab. Dia pandang gerangan itu atas bawah. Pelbagai persoalan bermain di fikirannya. Bagaimana boleh ada lelaki di rumah teman wanitanya itu? Setahunya, di rumah itu tiada sesiapa. Teman wanitanya juga tidak mempunyai adik-beradik lelaki. Jadi, dari mana lelaki itu datang?
“Baby, what’s wrong?”
Kali ini, pandangan Daniel beralih ke arah si empunya suara halus itu. Gadis yang baru muncul di muka pintu itu dipandang tidak berkelip.
“Daniel…” Rasyel nyata terkejut dengan kemunculan Daniel di situ.
“Siapa ni?” Daniel terus menyoal. Tepat anak matanya menikam ke dalam anak mata gadis itu.
“Dan, I can explain.”
“Then, explain,” arah Daniel. Riak wajahnya cuba dikawal. Kotak baldu berisi cincin yang berada di tangan kirinya digenggam erat. Dia berharap, apa yang bermain di fikirannya ketika itu tidak benar sama sekali.
“Sebenarnya dia…”
“I’m her boyfriend.”
“You!”
Terpejam terus mata Daniel di saat mendengar pengakuan daripada lelaki itu. Boyfriend? Jadi benar apa yang difikirkan olehnya?
“Daniel… I…”
“Rasyel, jujur jelah dengan dia ni. Buat apa you nak tipu dia ni lagi? You sendiri kata kat I, you tak cintakan dia. You sendiri kata you tak tahan dengan perangai dia. Jadi? Terus terang je. Senangkan? Tak payah berlakon lagi.”
Daniel tunduk wajah apabila kata-kata daripada lelaki yang mengaku sebagai teman lelaki Rasyel itu menerpa gegendang telinga.
“Daniel…”
“Betul apa dia cakap?” soal Daniel, masih tidak mengangkat wajah. Tidak kuat. Jika benar apa yang lelaki itu katakan, bermakna selama ini dia hanya bertepuk sebelah tangan. Gadis itu tidak cintakan dia. Jadi, apa makna hubungan mereka selama setahun itu? Sia-sia saja. Dia bazirkan masa, bazirkan wang kepada gadis itu.
“Daniel…”
“Answer me!” Suara Daniel naik seoktaf.
Bahu Rasyel terhinjut dek kerana terkejut. “Ya! Dia boyfriend I. I bersama dengan dia dah hampir tiga tahun.”
Berkerut dahi Daniel. Perlahan wajahnya diangkat. “Tiga tahun? Habis tu selama ni…”
“I tak cintakan you. I dengan you, sebab I nak kikis harta you. Tu je. I minta maaf, Daniel. Hati I tak dapat terima you. You lembik! Lemah! Manja! I sabar je selama ni layan karenah you. I dah penat. I minta maaf. Hubungan kita sampai sini je. Okay?”
Terkedu Daniel sebaik mendengar setiap patah perkataan yang keluar daripada mulut Rasyel. “Kenapa you buat macam ni? Kenapa baru sekarang?” soalnya dengan suara di celah gigi.
“I minta maaf, Daniel. Jangan cari I lagi. Okay?”
Daniel diam.
“Tunggu apa lagi? Blah!”
Sejurus itu, tubuh Daniel ditolak kasar. Daniel hampir tersungkur. Mujur dia dapat mengimbangkan tubuh.
Bam!
Matanya terpejam di saat bunyi hempasan pintu itu kedengaran. Tidak betah menunggu di situ, langkah diatur. Lemah. Jika tadi, dia berasa teruja. Tetapi tidak sekarang. Segalanya berubah kepada rasa kecewa dan sedih. Hari ini, sepatutnya menjadi hari bahagia buatnya. Tetapi telah berubah kepada hari paling malang. Dia ditipu, dicurangi serta dihina oleh orang yang dia sayang. Hatinya seperti dihiris sembilu. Sakit yang amat. Selama ini dia putus cinta. Tetapi tidak sesakit apa yang dia rasakan ketika ini.
PINTU kereta dihempas kuat. Kemudian, Daniel melangkah laju menuju ke pintu utama rumah abangnya itu. Kasut ditanggalkan kasar daripada kaki. Pintu dikuak lantas dia menonong masuk ke dalam rumah. Ketika itu, dia terserempak dengan abang kembarnya yang baru keluar dari dapur.
“Daniel, kenapa…”
Belum sempat Rayyan menghabiskan ayatnya, Daniel sudah mendaki anak tangga naik ke tingkat atas. Bilik tidurnya dituju. Masuk ke dalam bilik, terus kotak baldu di tangannya itu dilemparkan ke dinding. Marah, geram, sedih, semuanya bercampur baur.
“Dan?”
Daniel menoleh sedikit ke belakang. Melihat wajah si abang, air mata yang ditahan sejak tadi akhirnya mengalir juga ke pipi.
“Dan, kenapa ni?” Rayyan bergegas melangkah ke arah Daniel. Risau apabila melihat lelaki itu menangis.
Daniel tidak menjawab. Air mata dibiarkan mengalir. Dia tidak rasa malu menangis di hadapan abangnya ketika itu.
“Kau kenapa ni? Apa jadi?” Rayyan menyoal lagi.
“Dan nampak lembik ke abang? Lemah? Bodoh?” soal Daniel dengan suara yang agak serak. Karpet berbulu yang dipijaknya direnung bagai mahu tembus.
“Kenapa kau tanya macam ni?”
Daniel pejam mata seketika. Dia tarik nafas dalam lalu dihela semula. Perlahan-lahan dia memusingkan tubuh. Matanya yang merah dan berkaca itu memandang tepat wajah Rayyan.
“Dan…” Rayyan terkedu sendiri. Mata bundar yang sentiasa nampak polos itu menjadi setajam pisau menikam pandangannya.
“Pukul Dan, abang,” arah Daniel tiba-tiba.
Rayyan kerut dahi sendiri. “Apa…”
“Pukul Dan! Pukul Daniel Louise!” jerit Daniel. Tangan Rayyan disentap lalu dipaksa memukul tubuhnya.
Rayyan pantas menarik tangannya. “Kau kenapa ni?”
Daniel tidak menjawab. Tubuhnya perlahan-lahan melorot ke bawah. Dia terduduk lemah di atas karpet berbulu itu.
“Daniel…”
“Dia kata Dan lembik… Dan lembab… Dan bodoh. Dia kata Dan manja,” ujar Daniel, berselang-seli dengan tangisannya.
Rayyan hela nafas perlahan mendengar kata-kata Daniel. Tidak berkata apa, tubuh Daniel ditarik ke dalam pelukannya. Belakang badan adik kembarnya itu diusap perlahan.
“Dia tipu… Dia curang… Dia hina Dan…” Daniel mengongoi di dalam pelukan Rayyan.
“Tell me what happen.”
Daniel tidak menjawab. Hanya tangisannya saja yang berbunyi.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro