BAB 2
TOK TOK TOK!
“Masuk!”
Mendengar jeritan daripada dalam bilik, tombol dipulas. Daun pintu dikuak. Elleyani menjengah sedikit kepalanya ke dalam bilik. “Yes papa, anything important?” soalnya dengan hanya berdiri di muka pintu.
“Come here.”
Elleyani hela nafas perlahan. Dengan rasa terpaksa, kaki melangkah masuk ke dalam bilik itu. Terhidu bau yang tidak menyenangkan, dia sepit hidung menggunakan jari. Iyark! Bagaimana papanya boleh duduk di dalam bilik yang baunya busuk sebegitu?
“Elle sihat?”
“Macam yang papa lihat. Sihat,” balas Elleyani.
“Baik. Sebenarnya, papa ada kerja nak suruh anak papa ni buat,” ujar lelaki berusia separuh abad yang sedang duduk bersilang kaki di atas sebuah sofa kulit. Rokok paip elok saja dipegangnya. Sesekali dia sedut lalu melepaskan berkepul-kepul asap putih ke udara.
“Kerja? Kerja apa?” soal Elleyani, merenung tepat ke wajah papanya.
Pak!
Dahi Elleyani berkerut melihat sampul coklat yang dilemparkan ke atas meja kopi itu. “Apa ni?”
“Kerja untuk Elle.”
Elleyani gigit hujung bibirnya. Dia mencapai sampul coklat itu. Bahagian atasnya dikoyakkan. Tangannya menyeluk ke dalam sampul coklat itu lalu ditarik keluar isi yang ada. Ada beberapa keping gambar. Lama dia perhati gambar-gambar tersebut.
“Kenal siapa yang ada dalam gambar tu?”
Elleyani pandang sekilas wajah papanya sebelum pandangannya beralih semula pada gambar di tangannya. “Kenal.”
“Papa nak Elle dapatkan adik dia. Papa dapat tahu, dia baru break dengan girlfriend dia dua bulan lepas. Jadi, dapatkan dia.”
“Dapatkan? Maksud papa?” soal Elleyani, tidak begitu faham apa yang dikatakan oleh papanya itu.
“Cari dia, kawan dengan dia, bercinta, nikah. Get it?”
“For what? Crazy!” bentak Elleyani, tidak bersetuju dengan arahan yang diberikan.
“Please, help me honey. Selama ni papa bagi apa yang Elle nak, papa tak pernah bantah. Papa mintak Elle buat satu ni je. Please…”
“Tapi pa…”
“Rosmina Elleyani…”
Elleyani terdiam. Apabila nama penuhnya disebut, tahulah dia bahawa dia tiada pilihan untuk membantah. Nafas ditarik panjang lalu dihela perlahan. Tidak berkata apa, dia melangkah ke arah pintu.
“I give you maximum two months. Okay?”
Kata-kata papanya itu bagaikan angin lalu saja di telinganya. Elleyani terus keluar dari bilik itu. Dia naik ke tingkat dua rumah untuk ke bilik tidurnya. Katil bersaiz Queen dihampiri. Terus punggungnya dihempas kasar ke atas tilam. Buat kesekian kalinya, gambar di tangannya direnung. Terngiang-ngiang arahan daripada papanya tadi.
Cari.
Kawan.
Bercinta.
Nikah.
Elleyani hela nafas kasar. Semudah ABC saja papanya memberikan arahan. Cari dan berkawan, tiada masalah. Namun melibatkan cinta dan nikah, itu yang menjadi masalah.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro