Prolog
Terjingkit-jingkit Trisya memasukkan sebakul besar pakaian kotor ke dalam mesin basuh. Satu penutup cecair pencuci turut dimasukkan. Kemudian dia menarik kerusi plastik yang berada di sebelah penyodok di bucu dinding. Penyandar kerusi dipegang. Dia mula memanjat untuk membuka pili sambil tangan kirinya menekan penutup mesin basuh tersebut agar kedudukannya menjadi stabil.
"Pendek! Satu lagi!" Aisyah mencampakkan sehelai pakaian kotor.
Selamat baju berwarna hijau muda itu mendarat di atas kepala si kecil berusia enam tahun. Trisya memegang pakaian tersebut lalu memasukkannya ke dalam mesin basuh. Sepatah perkataan pun tidak terkeluar dari mulutnya.
Yang didengari hanyalah suara Aisyah ketawa terbahak-bahak merasai kemenangan berpihak kepadanya seperti selalu. Seronok betul dia mengenakan adiknya itu.
Trisya tidak mahu bertekak. Dia malas hendak bertempik memarahi tingkah biadab si kakak yang melenggang mengelek buku matematik tahun 6 itu ke hulu ke hilir sejak tadi. Sama ada Aisyah betul-betul belajar atau sekadar bersandiwara, dia tidak tahu. Yang pasti, emak mereka selalu memuji kakaknya yang satu itu bijak dan pandai.
Trisya turun dari kerusi. Dia mula bergerak ke dapur. Tidak mahu melengahkan masa. Nanti kalau disergah oleh Mahani dia belum memasak apa-apa hidangan, teruk dia dikerjakan oleh wanita itu.
Peti ais dibuka. Bekas plastik berisi ikan dan sedikit sayur-sayuran dikeluarkan lalu diletakkan ke dalam singki.
"Siapa kat dapur? Mak kau ke?" Sayup-sayup suara Anuar menerjah cuping telinga Trisya.
"Trisya. Mak tidur lagi." Suara Aisyah menjawab pertanyaan itu sebelum bunyi hempasan pintu bilik kedengaran.
'Trisyalah kat dapur, ayah. Siapa lagi kalau bukan Trisya?' Kelopak mata si kecil bergenang.
Kadang-kadang, dia cukup cemburu dengan kawan-kawan seusianya apabila mereka mengatakan bahawa mereka tidak perlu melakukan kerja rumah sebagaimana yang dia lakukan seharian. Bahkan, mereka tidak tahu bagaimana cara untuk melakukannya. Semua dikerjakan oleh wanita yang bergelar ibu.
Bulu matanya yang panjang dikerdip-kerdip. Bimbang basah alisnya itu disedari oleh sesiapa yang menghuni rumah teres kos rendah itu.
'Mak selalu kata Trisya budak bodoh. Macam mana Trisya nak pandai, ayah? Mak tak bagi Trisya belajar macam Kak Esyah. Kalau Trisya boleh belajar macam Kak Esyah, tentu Trisya pun boleh jadi pandai. Lagipun Trisya kecik lagi. Kenapa nak suruh jadi budak pandai? Kenapa mak tak sayang Trisya bila Trisya ni bodoh?'
"Trisya nak masak apa?" Lembut suara Anuar menyoal.
Trisya mendongak. Dia tidak sedar bila lelaki yang berkulit agak gelap itu memasuki dapur. Ralit betul dia tenggelam dalam emosinya sendiri.
Wajah ayah yang kelihatan penat itu dipandang. Trisya senyum. Dia tahu si ayah itu baru sahaja pulang dari kerja. Tentu penat membanting tulang empat kerat itu semata-mata mahu mencari rezeki. Dia tidak tahu pekerjaan apakah yang dilakukan oleh Anuar. Tetapi ayah selalu turutkan apa sahaja kehendak jiran-jiran sekeliling. Asal ada orang minta tolong, mesti ayahnya itu akan menolong.
"Trisya nak masak ikan singgang dan sayur goreng, ayah." Trisya meletakkan bawang yang sudah siap dikupas ke dalam mangkuk.
Dia keluar dari dapur untuk mengambil kerusi plastik yang diletakkan berhampiran mesin basuh. Diheret kerusi plastik itu mendekati singki. Dia memanjat ke atas kerusi untuk mengambil semula sayuran yang diletakkan tadi.
"Biar ayah buat. Hari ni hari minggu. Trisya pergilah main. Ayah ada belikan anak patung untuk Trisya."
Trisya terkejut bercampur teruja. Kedua-dua belah tangannya menekup mulut. Namun reaksinya bagai direntap sesuatu.
"Ayah dapat gaji hari ni. Trisya tak suka?" ujar Anuar seraya membongkokkan badan dan menggosok-gosok kepala si kecil itu.
Laju Trisya menggeleng. "Nanti mak marah."
Wajah Trisya berubah monyok. Sudah berkali-kali ayah membelikannya mainan. Alih-alih dirampas oleh ibu dan diberikan kepada kakaknya, Aisyah.
"Main dalam bilik aje. Jangan bawak keluar. Kalau Trisya tak bagi tahu, mak dan Kak Esyah takkan tahu. Dah, pergi main kat dalam bilik."
Laju Trisya mengangguk. Anuar tersenyum puas. Lapang dadanya melihat senyuman lebar di bibir kanak-kanak itu.
"Trisya cuci kain?"
"Ya, ayah."
"Okey. Nanti ayah tengok-tengokkan."
Buk! Trisya terlanggar kaki Mahani. Terduduk dia di atas lantai. Trisya takut-takut mengangkat mukanya memandang ke wajah emak yang pastinya menyinga.
"Kau buta ke?" Gempita suara Mahani membuatkan liur Trisya terasa payah untuk ditelan.
"Apa ni, Ani? Bukan Trisya sengaja nak langgar awak. Lagipun tak ada patahnya kaki awak tu. Trisya tu yang dapat sakit."
Trisya bangun menikus. "Maafkan Trisya, mak. Trisya tak sengaja."
Terkedek-kedek Trisya cuba berjalan meninggalkan ruang dapur. Terasa kakinya tidak dapat melangkah apabila bajunya tiba-tiba dicekak di bahagian bahu.
"Kau nak pergi mana?" Kasar nada Mahani seperti tidak menyukai perbuatan Trisya meninggalkan pekerjaan rutinnya itu.
"Ha... Trisya nak pergi tandas, mak," bohong Trisya seraya berpaling memandang ke arah ayahnya.
Anuar menggeleng-gelengkan kepala. Dia memang cukup tidak menggemari sikap berat sebelah isterinya yang terlalu memanjakan Aisyah. Sebaliknya, memperhamba anak bongsu mereka. Walhal kedua-duanya anak kandung.
Anuar mengambil pisau dan papan pemotong. Sawi yang sudah siap dicuci, dipotong. Mahani melepaskan genggaman tangannya yang mencengkam baju Trisya. Dia menerpa mendekati Anuar.
"Abang geleng kepala sebab abang mengata saya, kan? Abang mengata Ani, kan?"
"Memang! Memang saya dah muak nak layankan perangai awak ni, Ani! Esyah tu memang anak kita tapi awak perlu ingat, Trisya ni pun anak kita. Anak abang! Anak awak! Dia darah daging kita!"
Trisya kecut perut. Wajahnya berubah pucat. Perlahan-lahan kakinya mula mengundur selangkah demi selangkah.
"Kalau bukan kerana budak Trisya tu, kita takkan susah macam ni! Sejak dia lahir macam-macam rezeki kita ditarik! Tengok, dulu kita mampu pakai kereta. Bila budak tu wujud, kita kena jual kereta kita! Sekarang ni apa yang ada? Motor buruk! Abang dibuang kerja. Kerja apa aje abang sekarang ni?"
"Mengucap, Ani! Mengucap! Semua tu harta dunia. Anak-anak adalah harta kita yang sebenar!"
"Seluruh keturunan Ani tak pernah ada yang tak ada kerja tetap macam abang! Ani tak pernah hidup miskin hingga tak mampu nak makan ayam! Apatah lagi sotong, udang, kerang semua tu! Ani ni dah lama tak melaram barang kemas. Apa yang abang mampu beli untuk Ani? Ni semua sebab budak tu! Sebab Trisya sial tulah!"
"Subhanallah, Ani! Trisya tu anak kita! Jangan menuduh anak kita tu pembawa sial! Tak baik! Berdosa! Pengemis kat luar sana tu, tempat tinggal pun tak ada. Syukurlah kita masih ada rumah untuk berlindung dari hujan dan panas."
"Abang nak bandingkan Ani dan Esyah dengan pengemis? Arghhh! Selagi budak tu tak mampus, selagi tu hidup kita melarat miskin!"
"Ani!" Anuar menggigil.
Ringan tangannya mahu menampar mulut Mahani yang bercakap seperti tidak menggunakan akal itu. Merah matanya menahan amukan yang bergelodak dalam hati.
"Apa? Memang! Memang Ani suka kalau dia mati! Abang nak marah Ani? Marahlah! Nak pukul? Pukullah! Pukul!" Mahani mencabar.
'Ya Allah, kuatkan kesabaran aku bila berhadapan dengan isteri macam ni!' Anuar kembali menghadap singki. Makin dipandang wajah Mahani, makin membuatkan dia hilang sabar.
"Sudahlah bodoh! ABC pun masih tak kenal-kenal! Bengap! Aku tak ada keturunan sebebal tu!" gumam Mahani dengan mulut terkumat-kamit.
Trisya memusingkan badannya ke belakang lalu berlari pantas menuju ke biliknya. Dia tahu bahana setiap kali kedua-dua ibu bapanya itu bergaduh. Pasti dia yang akan menjadi mangsa.
Jantung Trisya mula berdetak laju. Tombol pintu biliknya segera dipulas. Terketar-ketar dia menghampiri katil dan duduk mencangkung sambil menyelak ropol cadar.
Kepalanya ditoleh ke arah pintu yang ternganga. Dia kembali bangun dan sepantas kilat menutup daun pintu bilik. Berdesup dia kembali ke arah katil dan menyorok di bawahnya. Kain cadar ditarik supaya menutupi dirinya yang sedang bersembunyi.
"Bunuh dia, Ani. Bunuhlah dia kalau awak rasa dengan membunuh darah daging sendiri boleh buat awak kembali hidup senang! Allah sedang menguji kita, Ani. Ini semua ujian Allah untuk kita sebagai hamba-Nya!"
Pisau di tangannya diletakkan di atas papan pemotong dengan kuat. Biar isterinya sedar hatinya sedang membara geram. Pili dibuka. Tangannya dicuci. Jemu dia hendak bertekak dengan Mahani yang keras kepala itu.
"Abang ni kalau bertekak dengan saya, mesti nak lari!" tebak Mahani sambil ekor matanya tidak lepas daripada mengamati perbuatan si suami itu.
"Saya bukan lari! Saya penat nak bertekak hari-hari!"
Sengaja Anuar melanggar Mahani yang gedempol seraya berjalan keluar dari dapur terus ke pintu utama rumah.
Trisya menggenggam kedua-dua belah tangannya dengan kelopak mata terpejam. Badannya meringkuk sambil bibirnya memanjat doa mengharapkan ibunya tidak tahu dia bersembunyi di situ.
"Awak nak pergi mana tu, abang? Boleh tak abang dengar apa yang saya nak cakap?"
"Ah, ke mana-mana saja asal tak payah nak layankan amuk gila awak tu!" Anuar mencapai kunci motor yang digantung di tepi pintu.
Kakinya menyarung selipar lalu bergegas menghampiri motor. Anuar menghidupkan enjin. Dia mendengus lantas keluar dari pagar.
"Arghhh, orang tua ni memang lesap setiap kali bergaduh! Siap kau, Trisya! Siap! Sebab kau, aku laki bini bergaduh! Bila kau nak mati, hah? Ada pun asyik menyusahkan orang!" pekik Mahani.
Trisya panik. Semakin dirinya dihambat rasa takut, semakin kerap dia mengulangi doa. Sungguh-sungguh dia tidak mahu dirinya dijumpai oleh sesiapa. Dia tidak sanggup 'menikmati' penangan tali pinggang pada hari ini. Kesan pukulan diayun dengan kerusi plastik semalam, masih belum hilang.
'Allah, tolong Trisya! Trisya takut. Ya Allah, jangan bagi mak nampak Trisya duk kat sini. Jangan bagi Kak Esyah tahu Trisya menyorok. Trisya takut!'
"Trisya! Trisya! T-R-I-S-Y-A!"
"Mak cari siapa? Budak pendek tu ke? Tadi Esyah nampak dia cuci baju." Aisyah menjengulkan kepalanya di muka pintu bilik.
"Apa? Cuci baju? Pergi tengok! Pergi tengok sama ada air tu dah melimpah ke belum? Budak ni memang nak mati!"
Aisyah menghentakkan kaki. Menyesal dia masuk campur. Dengan muka tidak berpuas hati, dia melangkah keluar dari bilik dan menghampiri mesin basuh. Sedikit lagi mahu melimpah airnya.
"Mak, air dah melimpah! Trisya ni memang tak boleh haraplah, mak. Esyah banyak kerja sekolah nak kena buat ni," rungut Aisyah berbaur bohong.
Mahani menyingsing lengan. "Pergi cari budak tu! Biar mampus aku kerjakan dia!"
Aisyah sengih. "Okey, mak."
'Tolong Trisya, Ya Allah. Trisya bukan budak jahat. Trisya tak sengaja nak biar air tu melimpah. Trisya takut dengan mak. Mak selalu pukul Trisya.'
Air mata Trisya mula mengalir membasahi pipi. Esakan halus mula kedengaran. Lekas-lekas dia menutup bunyi esakannya dengan menggigit lengan sendiri.
Sedar-sedar, dia tertidur dalam tangisan dan hanya terjaga apabila telinganya menangkap bunyi azan zohor dilaungkan. Tidak sedar ketakutan yang dirasakan telah membuatkannya terlelap.
'Harap-harap mak tak marah Trisya lagi. Ya Allah, jangan bagi mak marah Trisya lagi,' doa Trisya dalam hati.
Kain cadar diselak. Kepalanya dikeluarkan dari bawah katil. Telinganya tidak menangkap sebarang bunyi melainkan suara azan. Dia bangun berdiri dan mula melangkah menghampiri pintu.
Tombol pintu dipulas tanpa mengeluarkan sebarang bunyi. Terjengul kepalanya mengintai kelibat Aisyah dan Mahani. Keadaan rumah sunyi sepi. Trisya memberanikan diri untuk keluar.
"Trisya!" panggil Aisyah kasar.
Trisya dengan muka bosan, menoleh. "Apa?"
"Pergi bancuhkan milo O ais untuk aku!"
"Malaslah. Kak Esyah pergilah buat sendiri. Trisya kan kecik lagi. Kakak orang lain semua buat sendiri. Kenapa Kak Esyah selalu suruh Trisya? Kak Esyah tak sayang Trisya ke?"
Tajam renungan Aisyah diakhiri dengan letusan tawa. "Eh, pendek! Kau tu tolong sedar diri. Kalau mak yang beranakkan kau pun tak sayangkan kau, apa yang kau harapkan daripada aku? Beruntung mak tak halau kau. Beruntung sangat mak tak tinggalkan kau kat hospital masa lahirkan kau dulu. Dah, pergi buatkan aku air!"
Trisya terkesima. Dia tahu Mahani tidak pernah sayangkannya tapi apakah dia juga tidak layak untuk mendapat kasih sayang daripada seorang kakak? Hina sangatkah kelahirannya di dunia ini?
Trisya segera ke dapur. Suis cerek elektrik dihidupkan. Dia memanjat kerusi lalu mencapai tin Milo dan gula. Satu sengihan terbit di bibirnya tiba-tiba. Balang berisi gula ditolak kembali ke tempat asal dan digantikan dengan garam.
Trisya ketawa terkekeh-kekeh. Bimbang tawanya didengari oleh Aisyah, dia mengemam bibir. Disudunya garam ke dalam muk. Kemudian ditambahnya serbuk Milo.
Sebaik sahaja air mendidih, dia memanjat ke atas kabinet dapur. Kedua-dua belah tangannya memegang pemegang cerek elektrik. Dengan berhati-hati, dituang air didih itu ke dalam muk. Sambil tersenyum, dia membancuh 'Milo special' itu.
"Hah, dah siap?" terjah Aisyah di muka pintu dapur.
Trisya dengan mimik muka dikawal, mengangguk-anggukkan kepala.
"Bagus, orang gaji! Bagus! Macam nilah orang gaji! Aku..." Aisyah melenggang mendapatkan muk. Bibirnya menyisip minuman tersebut.
"Bluerkkk!" Tersembur air Milo perisa garam.
Trisya ketawa geli hati lalu berlari keluar dari dapur. Sengaja dia menanti reaksi kanak-kanak perempuan yang pemalas itu.
"Batrisya!!!" Aisyah bengang. Langsung dia tidak menyangka Trisya berani memperdajal dia sebegitu rupa.
Bunyi enjin motor dimatikan di hadapan rumah. Tergopoh-gopoh Trisya menerjah ke arah pintu. Dia tahu, tentu itu ayahnya.
"Yeah, ayah dah balik! Ayah dah balik!" Girang Trisya.
"Ni seronok sangat ni, dah solat ke belum?" soal Anuar seraya menongkat motor.
"Kejap lagi Trisya solatlah," dalih Trisya.
Anuar menghampiri si kecil berumur enam tahun itu. Tubuh kurus Trisya diangkat lalu didukung. Dia melabuhkan punggung di atas buaian di luar rumah.
"Orang Islam kena solat. Wajib kita menunaikan solat walau dalam apa jua keadaan sekalipun."
"Kalau orang sakit kena solat jugak ke ayah?"
"Sakit pun kena solat. Apatah lagi kalau kita ni sihat."
"Habis tu, kenapa Trisya tak pernah tengok mak solat? Kenapa Kak Esyah tak solat? Kenapa ayah sorang aje solat? Orang perempuan tak payah solat ke ayah?"
Anuar bungkam. Dahulu, Mahani memang kuat mengerjakan ibadah. Sejak kehidupan mereka diuji, Mahani memang tidak pernah menunaikan kehendak Allah.
"Mak solatlah. Siapa cakap mak dan Kak Esyah tak solat? Mereka solat dalam bilik. Macam Trisya jugak. Trisya solat dalam bilik, kan?" Hidung Trisya dicuit.
Laju Trisya mengangguk sambil mengamati wajah si ayah. Hanya lelaki itu sahaja yang menyenangi kehadirannya di dunia ini.
"Kenapa Trisya pandang ayah macam tu?"
"Ayah sayang Trisya, kan?"
"Tentulah sayang. Trisya kan anak ayah."
Trisya membenamkan wajahnya ke dada Anuar. Bibirnya digigit sambil menahan rasa dalam hati. Perasaannya berkecamuk.
"Trisya bukan anak mak ke ayah? Trisya bukan adik Kak Esyah ke? Kenapa mak tak sayang Trisya? Kenapa mak benci Trisya? Kenapa mak tak sayang Trisya macam mak sayangkan Kak Esyah? Sebab Trisya ni bodoh eh? Sebab Trisya tak pandai macam Kak Esyah?" Lontaran suara Trisya makin lama makin perlahan.
"Shhh... Jangan cakap macam tu. Kecik hati mak dan Kak Esyah nanti." Anuar sebak.
Kepala Trisya diusap lalu dikucup. Mulutnya beku untuk terus membalas. Nafasnya ditarik dalam-dalam sebelum bersuara. Namun tuturnya dipintas oleh Trisya.
"Mak pernah panggil Trisya ni... buah busuk. Biasa kalau buah dah busuk, Trisya campak aje dalam tong sampah. Ayah, mak nak campak Trisya dalam tong sampah ke kalau Trisya masih tak pandai-pandai bila besar nanti? Mak nak lori sampah bawak Trisya pergi? Ayah tolong Trisya, ayah! Trisya tak nak duduk dalam lori sampah! Busuk!"
Anuar mengulum senyum menahan tawa. Mahu sahaja dia menghambur tawa. Namun melihat serius wajah Trisya, niatnya terbantut.
"Tentu mak suka kalau Trisya mati, kan ayah? Cikgu Emi cakap, orang mati dah tak boleh bangun balik. Kalau Trisya mati, Trisya takkan susahkan ayah lagi. Trisya takkan buat mak dan ayah bergaduh sebab Trisya lagi. Kak Esyah pun dah tak boleh suruh-suruh Trisya lagi. Lagipun biarlah Trisya mati dulu sebelum ayah. Kalau ayah mati dulu sebelum Trisya, sedihlah Trisya. Trisya dah tak ada geng lagi. Trisya dah tak ada siapa-siapa lagi untuk sayang Trisya."
Anuar segera menekup mulut si kecil itu. Dia tidak sanggup mendengar Trisya meneruskan kata-kata lagi.
"Ayah tak nak dengar Trisya cakap macam ni lagi. Mana Trisya belajar cakap macam ni? Trisya ingat satu perkara ni. Ayah akan ada sentiasa dengan Trisya. Biar satu dunia ni tak sayangkan Trisya sekalipun, ayah tetap ada. Lagipun bila kita bagi orang kasih sayang, orang pun akan balas kasih sayang tu kat kita. Sebab tulah Trisya kena sayang pada semua orang."
"Ayah bohong! Trisya bagi kasih sayang pada mak tapi mak tak suka Trisya. Trisya bagi kasih sayang pada Kak Esyah tapi Kak Esyah pun tak sayang Trisya."
Anuar terpukul. Dia bangun serta-merta sehingga Trisya jadi tercengang. Dia sudah lama tahu, Trisya lebih matang daripada usianya yang sebenar.
"Trisya nak gula-gula? Kita pergi kedai, nak?"
Trisya mengeluh. "Ayah nak gula-gulakan Trisya ke? Ayah janganlah membazir. Nanti mak jerit lagi cakap Trisya ni kaki cukur."
"Kaki cukur?" Anuar bingung.
Dahi Trisya berkerut. Dia pasti dengan perkataan yang disebutnya itu. Makin berkerut dahinya apabila ayahnya itu melontar ketawa dengan tiba-tiba.
"Anak ayah ni nak sebut pisau cukur ke?"
Pipi Trisya berona merah. "Ayah!"
Trisya pura-pura memukul dada ayahnya. Malu. Sengaja Anuar meneruskan tawanya. Lebih kepada mengusik. Dia lebih suka mentertawakan Trisya daripada membiarkan anak kecil itu terbeban dalam emosi sendiri. Baginya, Trisya terlalu kecil untuk merasai apa itu derita.
Mujur dia yang menamakan kanak-kanak itu. Kalaulah dibiarkan Mahani yang menguruskan pendaftaran nama Trisya, entah apa nama yang Mahani letakkan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro