Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 9

Trisya membetulkan posisi badannya yang sudah lenguh. Fail setebal lima inci itu ditutup. Jam sudah menunjukkan ke angka 4 pagi. Dia menguap. Kemudian dia bangun dan keluar dari bilik berlabel stor itu.

Badannya direbah di atas katil. Telefonnya dibelek. Mesej daripada Nadiha pada pukul 7 petang tadi belum sempat dibuka. Banyak dokumen Double B Scarf yang perlu dia sain dan teliti.

I dah selesaikan urusan pembelian dua unit rumah sepertimana yang Cik Trisya arahkan. – Nadiha

Terima kasih. – Trisya

Trisya mendepakan kedua-dua belah tangan. Matanya tepat memandang siling. Tidak semena-mena perbuatannya mencuci luka-luka di tubuh Almarhumah tok wan menjengah dalam ingatannya. Dia ingat lagi betapa remuk hatinya ketika mengutip seekor demi seekor ulat yang merayap keluar dari luka-luka itu.

Tapak tangan kiri dan kanannya diangkat ke udara. Dua tangan itu pernah dilumuri darah merah dan pekat. Muntah darah Almarhumah itu dipenuhi dengan paku dan jarum tajam. Trisya tidak dapat membayangkan betapa kuatnya Almarhumah menanggung sengsara.

"Kenapa mereka berperangai lebih kejam daripada syaitan, tok wan?" Trisya menumbuk dada. Sakit hatinya tidak dapat ditahan hingga dia menjerit melepaskan beban yang terbuku.

Trisya menarik bantal dan menutupi muka. "Trisya rindu tok wan! Rindu sangat sampai hati ni tak tertahan. Tok wan, datanglah dalam mimpi Trisya..."

Pipinya mula basah. Dalam pada menangis tanpa suara, dia terlelap. Baru sahaja dua jam matanya lena, telefon yang diletak bersebelahan tiba-tiba menjerit. Trisya tersentak. Telefon diambil.

"Assalamualaikum, Trisya. Dari semalam lagi ayah tak sabar nak telefon kamu. Ayah nak bagi tahu yang ayah suka sangat bawak kereta tu. Terjojol biji mata orang-orang taman perumahan ni. Yang tak seronoknya, mak kamu tu la! Berkali-kali desak ayah suruh kamu datang ambil kereta tu dan pulangkan semula pada bos kamu. Isy!" Suara Aluwi teruja.

Terpisat-pisat Trisya bangun. Matanya dipicingkan pada jam di dinding. Tepat jam enam.

Aluwi berdeham. Suaranya cuba dibetulkan. "Sebenarnya ayah serba salah nak telefon kamu ni. Errr... Segan betul nak cakap. Trisya... Ayah tak ada duitlah nak isi minyak."

"Nanti Trisya bagi terus ke akaun ayah."

"Maaflah dah susahkan Trisya."

"Tak apa, ayah. Tak susahkan pun."

Sekali lagi Aluwi berdeham. "Kak Esyah kamu tu tak lama lagi dah nak bernikah. Dengan sepupu yang kamu tolak tu."

"Alhamdulillah. Jodoh mereka." Ringkas Trisya membalas.

"Trisya, mak kamu datang. Ayah letak dulu panggilan ni. Assalamualaikum."

Belum sempat Trisya menjawab salam, Aluwi sudah memutuskan talian. Trisya memindahkan sejumlah wang ke akaun peribadi ayah tirinya itu sebelum bangkit untuk membersihkan diri.

Usai bersiap, Trisya segera turun ke tempat parkir. Tentu Haq sudah lama menunggu.

"Selamat pagi, Cik Trisya," ucap Haq sebaik sahaja Trisya menguak pintu kereta.

"Pagi, Haq."

Trisya membelek skrin telefon. Aplikasi media sosial dibuka. Akaun rasmi TrisyaBeauty dan Double B Scarf dibuka.

"Cik Trisya, petang nanti saya minta izin balik awal, ya? Umi dan babah saya datang jadi saya kena ambik mereka di airport."

Trisya pantas menoleh. "Umi dan babah datang?"

Bola mata Trisya bersinar. Dia terbayangkan lauk-pauk yang dimasak oleh Acik Rozita semuanya sedap-sedap. Kecur liurnya mengingatkan hidangan yang pernah dia makan sebelum ini.

"Awal-awal umi dah pesan. Pelawa Cik Trisya makan malam di rumah malam nanti." Haq senyum kelat. Jujurnya, dia tidak suka ibu bapanya selalu mengundang kehadiran gadis bernama Trisya itu. Bukan kerana dia tidak suka tetapi tidak berkenan dengan harapan menggunung dalam hati kedua-dua orang tuanya. Antara dia dan Trisya tidak mungkin ada hubungan istimewa.

Gadis kaya dan berjaya seperti Trisya umpama enggang dan pipit. Dia cuma ada rupa dan pelajaran. Bukannya harta yang membolehkan dia berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan gadis itu.

Trisya mengemam bibir malu-malu. Perlahan-lahan dia mengangguk seraya senyum. Segan pula dia selalu sangat menerima jemputan daripada ibu bapa Haq itu.

Haq membalas senyuman lalu kembali memandang lurus ke hadapan jalan. Dalam 15 minit perjalanan, akhirnya Haq memberhentikan kereta betul-betul di hadapan pintu masuk bangunan TrisyaBeauty. Dia kemudian mengiringi Trisya memasuki perut lif seperti kebiasaan yang dia lakukan.

"Selamat pagi, Cik Trisya," ucap para kakitangan.

"Pagi," balas Trisya seraya mengayun stilettonya ke dalam lif.

Haq menekan nombor 80 pada butang lif. Selang beberapa saat, pintu lif terbuka. Ruang pejabat masih lagi kosong dan sepi. Cuma ada pekerja pembersihan sedang melakukan kerja.

Nadiha yang bersut putih memasuki pejabat dengan selipar jepun dan wajah mencuka. Haq menjongket kening.

Wajah Nadiha merah padam. "Wedges I terputus tali. I tumpang husband hari ni. Selipar ni aje ada dalam kereta. You jangan nak gelak-gelakkan I!"

Nadiha memberi penjelasan biarpun Haq tidak bertanya sepatah pun. Kelam-kabut dia ke meja kerjanya. Kasut tiga incinya sentiasa tersedia di bawah meja untuk kegunaan pada waktu kecemasan.

Haq tidak memberikan sebarang reaksi. Dia hanya berpeluk tubuh dan duduk di meja yang dikhaskan untuknya.

Selang 10 minit, Fatihah dan Zulfahmi datang hampir serentak. Haq syak, kedua-dua manusia itu pasti punya apa-apa. Setiap hari pasti memasuki pejabat pada waktu yang sama. Peliknya, masing-masing tidak bertegur sapa seolah-olah musuh tegar. Bagi Haq, apa salahnya bercinta sesama rakan sekerja.

"Kopi, Encik Haq." Lunak suara Mel disertakan dengan senyuman terlebih gula sambil meletakkan secawan kopi di atas meja si jejaka.

"Saya dah minum," tolak Haq seperti biasa. Ekor matanya memerhati Nadiha memasuki bilik Trisya.

"Tak apalah kalau dah minum sekalipun. Jemputlah minum lagi. Hari-hari Encik Haq tolak. Encik Haq tak sudi minum air tangan saya? Kalau tak nak kopi, boleh ambik hati. Dua-dua saya sudi." Mel mengenyit mata seraya menggoyang-goyangkan badannya.

Tajam anak mata Haq menikam mata Mel membuatkan gadis itu kecut. Mel mengeluh. Dia berlalu ke tempat duduknya. Tindakannya cuba mengetuk pintu hati lelaki itu umpama menyimbah air di atas daun keladi. Sia-sia.

"Haq, Cik Trisya panggil you!" beritahu Nadiha sebaik sahaja keluar.

Haq bangun. Dia menuju ke bilik Trisya. "Ya, Cik Trisya?"

Trisya yang kelihatan sibuk, menguit Haq supaya masuk ke dalam.

"Ya, cik?" Sekali lagi Haq menyoal.

Trisya mengangkat wajah memandang ke arah Haq. "Saya baru aje terima mesej. Awak ingat lagi tak dengan mak cik saya, Ungku Ramisa? Yang rambut macam mandi air karat tu? Pakai spek macam mak cik tua cerita zaman dulu tu? Dia sekarang berada di James Squad Hospital. Saya nak mintak tolong awak lawat dia dan hantarkan bunga?"

"Baik, Cik Trisya."

Trisya menyandarkan badannya ke kerusi dan mula mengemas fail-fail yang bersepah di atas meja. Pintu biliknya diketuk. Muncul beberapa orang kakitangan termasuk Nadiha di muka pintu. Trisya mempersila mereka duduk lalu.

"Berkenaan status penjaga kedai-kedai runcit tu, pihak HR dah panggil seramai 100 orang calon dalam senarai pendek. Di mana, 2:1. Maksudnya, dua orang calon bagi setiap kampung. Jadi, 50 orang calon akan dipilih sebagai kakitangan tetap TrisyaBeauty dengan gaji minimum diberikan pada setiap bulan," jelas Nadiha sebagai pembuka bicara.

Farhan dari jabatan kewangan mula membangkang. "Apa kata kalau kita berikan kuasa penuh kepada seorang individu? Maksud saya, kita bagi kedai. Kita set up. Tapi bukan secara percuma."

"Konsep jual beli?" Nadiha menyampuk.

"Ya, puan. Empunya kedai hanya perlu membuat pembayaran secara bulanan kepada syarikat sebanyak mana jumlah kos yang telah kita habiskan bagi mewujudkan satu kedai runcit termasuk kos harga barang serta set up kedai. Secara tidak langsung, kita tidak akan terbeban dengan tambahan kos gaji bulanan sebanyak RM60K. Jumlah RM720K setahun itu suatu pembaziran yang kita tidak perlu lakukan. Meski konsep program ini mahu membantu mereka yang hidup susah di luar sana, kita mesti mengambil kira setiap sen yang dikeluarkan oleh syarikat."

Nadiha kurang bersetuju. Ada antara pemohon yang kurang berkemampuan. Dia telah dimaklumkan tentang kedudukan kewangan sesetengah pemohon.

"Kita takkan paksa berapa jumlah bulanan yang mereka perlu bayar, Puan Nadiha. Atau kita boleh membuat pengecualian terhadap bayaran bagi individu-invidu tertentu sepertimana kebimbangan Puan Nadiha." Farhan seakan-akan dapat membaca apa yang berada dalam fikiran Nadiha.

Trisya mendengar dengan fokus. Ada benarnya dengan apa yang diperkata oleh Farhan. Bunyi pintu ditolak dengan kasar dari luar membuatkan mereka tergamam.

Puteri dengan wajah berlagak memandang Trisya seperti gadis itu layak berada di tapak kakinya sahaja. Anak tunggal Ungku Farouk itu memang seorang yang besar kepala. Segala kemahuannya mesti dan wajib dituruti. Selamba dia masuk dan duduk di atas sofa dengan kaki bersilang dan tangan berpeluk tubuh. Ungku Farouk dan Munirah kemudian turut sama berjalan masuk.

Trisya menghembus nafasnya perlahan seraya menutup fail. Dia memberikan isyarat supaya para stafnya beredar. Perbincangan ditangguhkan. Trisya bangun dan mempelawa Ungku Farouk supaya duduk.

"Ya, uncle? Ada apa-apa yang saya boleh bantu ke?" Trisya menyoal. Dia tidak punya banyak masa untuk dibazirkan.

Ungku Farouk duduk bersebelahan dengan anak gadisnya. "Puteri dan Munirah akan jalani latihan industri kat sini mulai esok."

Dahi Trisya berkerut. Dia pura-pura gelak. "Arahan ke tu? Rasanya belum pernah ada yang memberi arahan pada saya di sini."

"Buat masa ini memang tak ada tapi kau kena ingat! Kita ni bukannya saudara! Kau tu budak pungut!" Munirah berpeluk tubuh. Dia menjeling pemilik TrisyaBeauty itu umpama Trisya itu kecil sahaja di matanya.

Trisya tidak terkejut. Dia sudah menjangka perkara ini lambat-laun akan terjadi. Emak sendiri pun sanggup dibunuh. Apatah lagi dengan syarikatnya yang tersenarai dalam The World's Top 50 Biggest Companies.

"Uncle berbesar hati kalau Trisya izinkan Puteri dan Munirah bertapak kat sini dan belajar perlahan-lahan. Jangan berkira sangat, Trisya. Kompeni ni bukan pakai duit kamu pun. Duit tok wan mereka!" Ungku Farouk tidak berperasaan.

"Darah kami dengan darah tok wan, darah yang sama. Kau orang luar. Jadi, kau jaga amanah aje. TrisyaBeauty ni amanah tok wan bagi kat kau. Jadi bila sampai masanya TrisyaBeauty akan jatuh ke tangan pewaris yang sah. Macam aku dan cucu-cucu tok wan yang lain. Bukannya kau!" Munirah mencongak. Ini semester akhir pengajiannya dalam ijazah sarjana muda. Tamat pengajian nanti, dia mahu mengetuai TrisyaBeauty dan menghalau Trisya supaya pergi dari situ.

"Cukup-cukuplah tok wan lebihkan kau masa dia hidup. Bila tok wan dah tak ada ni, janganlah nak mengharapkan ihsan harta orang pulak. Jangan jadi manusia tak tahu malu. Dah serupa orang tak bermaruah. Atau kau suka kalau orang tuduh kau ni berkehendakkan harta orang?" Ungku Farouk menambah.

Trisya mengawal tangannya yang menggeletar. 'Ya! Memang aku menumpang! Memang aku menumpang kesenangan! Tapi kalau bukan kerana aku, tentu TrisyaBeauty ni dah lama melingkup. Dah berapa ratus orang staf yang aku pecat gara-gara tidak berkelayakan untuk berada di sini. Dengan kes pecah amanah! Sabotaj! Dan macam-macam kes sampai aku kena buat rombakan besar-besaran.'

Trisya masih ingat. Sewaktu dia mula-mula mengambil alih urusan pentadbiran dan pengurusan TrisyaBeauty, ibarat kapal mewah yang menunggu masa untuk karam.

"Uncle boleh cakap apa sahaja yang uncle nak. Saya cuma nak cadangkan uncle pertikaikan perkara ni di mahkamah. Secara legal, saya pemilik kompeni ini yang sah. Kalau uncle tak puas hati, usulkan aje hal ni pada Puan Wardah atau... uncle nak saya batalkan perkahwinan saya dengan Pian? Yalah, saya ni siapa nak tersenarai menjadi ahli keluarga Ungku Omar yang gah, kan? Hmmm... Lagipun saya dah kahwin dengan Haq. Kenapa nak bercerai kalau saya bahagia, kan?" Trisya tersenyum puas.

Ungku Farouk menghentak meja. "Kau jangan nak ugut aku, Trisya!"

Trisya menggeleng-geleng. "Tak. Mana ada! Uncle yang datang sini dengan gaya berperang. Datang nak pacak tiang penanda kat sini dan berniat jahat untuk halau tuan rumah. Pilihan terletak pada tangan uncle. Jangan cabar saya buat sesuatu yang boleh merugikan seluruh keluarga uncle."

Pian dan Haq masing-masing tidak mahu mengalah. Parkir kosong hanya ada satu. Pian berkeras dan laju masuk ke petak parkir. Dia menjerit kemenangan. Dengan perasaan sebal, terpaksalah Haq mencari kotak parkir yang lain. Kebetulan satu petak kosong betul-betul berhampiran pintu masuk hospital sementelah empunya kereta di petak parkir itu mengundur dan keluar.

Haq memasuki bangunan hospital dan mara mendekati kaunter. "Maafkan saya. Boleh saya tahu di mana pesakit bernama Ungku Ramisa binti Dato Ungku Omar ditempatkan?"

"Sekejap ya, encik." Gadis bertanda nama Jane itu memulakan carian di dada papan kekunci.

"Tingkat 3 bilik J36. Encik boleh naik melalui lif di sebelah sini ataupun dengan menaiki travelator kat situ."

"Terima kasih ya, cik," ucap Haq lalu menuju ke arah daun pintu lif yang terganga luas dan kosong.

Dia segera memanjangkan langkah dan masuk ke dalam lif. Simbol butang tutup ditekan. Kelopak matanya diangkat. Pian sedang berlari ke arah lif dan memberikan isyarat supaya jangan menutup pintu terlebih dahulu. Haq memandang Pian dengan pandangan kosong. Daun pintu tertutup. Telinga Haq sempat mendengar suara Pian memaki hamun. Sebaik sahaja keluar dari lif, Haq melangkah ke bilik bertanda J36 dengan jambangan bunga ros di tangan kirinya.

Tok-tok!

Dia menolak pintu gelongsor. Ungku Ramisa ditemani oleh suaminya. Haq menghulurkan jambangan bunga kepada 'ibu saudara' dan menyalami tangan si 'bapa saudara'.

"Isteri kau mana? Tak datang?" Haji Zul melilau ke arah pintu.

"Tak, uncle. Trisya sibuk kebelakangan ni."

"Sibuk-sibuk jugak. Segerakan penceraian kau berdua. Jangan menyusahkan orang lain pulak!" Ungku Ramisa sempat lagi mengata.

Haq menayang wajah tidak berperasaan. Kalau sungguh dia cintakan dan telah mengahwini Trisya sekalipun, mustahil mereka akan bercerai gara-gara kepentingan orang luar.

"Aku tak kesah Trisya dengan Pian tu nak bercerai sehari selepas nikah sekalipun. Yang pasti, mereka wajib kahwin."

Haq yang baru sahaja hendak duduk, membatalkan niat. "Saya takkan semudahnya melepaskan isteri saya pergi. Apa jaminan Pian akan ceraikan Trisya?"

Haji Zul ketawa lepas. "Apalah yang Trisya tu ada sehinggakan Pian tak nak ceraikan dia?"

Ungku Ramisa mengangguk mengeyakan. "Jangan risau. Pian dan Trisya tu tak sebulu. Tak sehaluan. Mereka tu macam anjing dan kucing. Dari kecik bertengkar."

Haq terdiam. Dia pun tahu Trisya dan Pian memang tidak pernah mempunyai hubungan yang baik tapi tidak ada seorang pun yang tahu bahawa diam-diam Trisya meminati Pian. Tidak timbul soal dia cemburu dalam hal ini tetapi dia tidak suka ahli keluarga Ungku Omar merendah-rendahkan maruah Trisya dengan hal sebegini. Gelaran janda bukanlah suatu gelaran yang boleh dibanggakan. Bahkan dipandang hina oleh sesetengah orang.

"Assalamualaikum." Pian menghulurkan salam.

"Waalaikumussalam."

Pian terus duduk di atas kerusi. Bakul berisi buah yang dibawanya diletakkan di atas meja di hadapan set kerusi itu.

"Macam mana auntie tiba-tiba boleh masuk hospital? Mama dan abah kejap lagi sampailah kut. Pian terus datang dari kafe ni." Ramah Pian sambil menjeling Haq. Dia tidak suka orang luar seperti Haq berada di situ bersama-sama.

"Tekanan darah auntie mengejut betul naik. Tu yang uncle cepat-cepat bawak ke hospital." Haji Zul membalas dalam nada mesra.

"Macam mana dengan persediaan kahwin kamu dengan Trisya? Elok disegerakan persiapan. Habis idah terus langsungkan akad nikah," ujar Ungku Ramisa langsung tidak menghiraukan perasaan Haq.

Senyum Pian melebar seakan-akan mengejek Haq selaku suami palsu. Haq yang malas hendak bertekak pantas meminta diri dan pergi.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro