Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 8

Jep pening. Runsing dia apabila stok yang sepatutnya tiba pada seminggu yang lalu masih lagi tidak sampai. Kedai semuanya sudah siap dengan bekalan air dan elektrik. Kaunter bayaran juga hampir siap dipasang. Cuma orang yang membekalkan rak pakaian akan sampai tengah hari nanti kalau ikutkan jadual perjalanan mereka.

Bunyi enjin kereta Pian kedengaran. Jep mengibas-ngibas baju yang dipakainya meskipun beberapa buah kipas sudah dipasang.

"Apa hal Jep?" Pian menuruni kereta lalu menanggalkan kaca mata hitamnya.

"Stok sangkut, Pian. Macam mana ni? Cadang dah nak buka minggu depan ni."

"Kenapa sangkut?"

"Aku tak tahulah, Pian. Habis sekarang macam mana?"

"Nanti aku selesaikan. Itu aje ke masalahnya?"

"Tu ajelah. Yang lain aku dah uruskan. Pekerja pun aku dah dapat dalam tiga orang. Cukuplah tu."

Pian memakai kaca mata hitam. "Jom."

"Pi mana?"

"Pergi ke Taman Melah. Ada kes mesin basuh meletup. Nasib tak ada pelanggan tengah mendobi masa tu. Kalau tak parah jugak."

"Ni kedai... macam mana? Tengah set up ni!"

"Tinggal aje. Nanti aku hantar kau kat sini."

"Okey."

Kedua-duanya menguak pintu kereta hampir serentak. Kembang kempis hidung Jep menghidu bauan pewangi yang berada di dalam kenderaan temannya itu.

"Uish, kau masih tak tukar lagi bau ni?"

Pian sengih. Dia yang tadinya tidak mematikan enjin, mula bergerak. Bauan sama yang sentiasa dipakai oleh Trisya itu membuatkan dia berasa gadis itu sentiasa dekat.

"Bila lagi kau nak kenalkan aku dengan perempuan yang kau syok sangat tu? Takkan kau nak bertepuk sebelah tangan sampai bila-bila? Manalah tahu kalau-kalau dia pun syok dekat kau?"

Pian mencebik seraya menggeleng. "Dia tak suka aku."

"Itulah kau! Dengan strangers, kau bagi ayat mulut puaka kau tu. Dengan aku, elok pulak kau bercakap. Maksudnya, kau boleh aje cakap elok-elok. Kejadah kau hambur suka hati mulut kau kat orang lain? Sebab itulah dia tak suka kau!"

Pian melepaskan keluhan. "Susah, Jep. Dari kecik aku dengan dia tu memang tak ngam. Ada aje yang tak kena. Takkan tiba-tiba aku nak cakap aku suka dia? Jatuh maruah aku, Jep!"

"Hadaplah maruah kau tu. Jangan kau meraung macam orang gila kalau dia nikah dengan orang lain!"

"Apa pulak kau doa macam tu? Tak! Takkanlah! Aku takkan benarkan dia menikah dengan orang lain selain dengan aku."

Jep mengemam bibir seraya menggosok-gosok kedua-dua belah tangan. "Kalau kau takut sangat, bagi ajelah peluang tu kat aku."

"Langkah mayat aku dulu!"

"Kau mampuslah dulu. Barulah aku boleh langkah!"

Pian mengerling ke sebelah kiri. Jep tergelak besar.

"Bengong!"

"Hah!" Jep memetik-metik jari.

"Apa?"

Imej gadis berkebaya putih yang ditemui ketika pintu lif terbuka, muncul dalam benaknya.

"Kat kondo aku tinggal ada hot chick. Kenapalah aku tak pernah terserempak dengan dia selama ni?"

"Ah, kau tu semuanya hot chick! Jantan macam kau memang tak boleh tengok yang cantik."

"Lagi baik aku daripada kau! Semua perempuan kau tak suka melainkan awek yang kau duk syok tu!"

"Taklah. Adik-adik sepupu aku tu okey aje dengan aku."

"Lepas kau putus dengan Lia tu, kau dengan dia baik-baik lagi eh? Eh, Pian! Kau tak rasa kekok ke? Kau jangan macam-macam, Pian! Kalau dia syok kat kau lagi macam mana?"

"Merepeklah kau ni! Tak adanya dia ada hati kat aku lagi. Dia yang tinggalkan aku."

"Eh, Pian! Pian!" Jep menggelabah.

"Apa kau ni?"

"Eh, aku rasa nak terkencinglah! Cari tandas cepat!" gesa Jep.

"Haih, macam-macamlah!" Pian menekan minyak. Berdesup kereta yang dipandunya meluncur mencari tandas awam.

Trisya mendongak apabila Lilian memasuki biliknya. Dia yang sibuk melakukan kerja rasa terganggu.

"Ada apa, Lilian?" Trisya acuh tidak acuh.

"Maafkan saya kerana mengganggu. Saya baru sahaja menerima panggilan daripada stesen TV16i. Mereka menjemput Cik Trisya hadir ke majlis temu bual dalam segmen Ikon Wanita Berjaya."

Trisya menjongket kening. Masakan gadis itu tidak faham-faham lagi dengan prinsipnya yang tidak akan muncul di kaca televisyen?

"Saya tahu Cik Trisya takkan bersetuju tapi..."

"Awak tahu jawapan saya, Lilian. Jangan bazirkan masa saya. Keluar!"

"Tapi Cik Trisya, stesen TV16i ni merayu supaya Cik Trisya muncul secara eksklusif di stesen mereka bagi melonjakkan rating mereka. Mereka mahu membongkarkan siapa empunya dan peneraju TrisyaBeauty yang digembar-gemburkan oleh Almarhumah Datin Paduka selama ini. Saya dah berkali-kali tolak tapi ini entah jemputan kali ke berapa ratus dah."

Trisya menekan interkom. "Nadiha, latih pembantu awak baik-baik lain kali! Kita kat sini ada hierarki. Awak yang sepatutnya datang jumpa saya, jelaskan kalau ada apa-apa yang berlaku! Pembantu awak tak sepatutnya terus laporkan kepada saya! Ingat tu, Nadiha! Pastikan pembantu awak jelas dengan peraturan dekat sini!"

Trisya meletakkan pen di atas meja. Matanya menyorot pada wajah pembantu kepada Nadiha itu sehingga gadis itu meminta maaf dan pergi.

Lesap bayang Lilian dari sebalik pintu, Trisya menghela nafas panjang. Kalau bukan kerana Mahani, dia tidak akan menolak kesemua tawaran untuk muncul secara umum. Dia tidak mahu wanita itu ditujah rasa malu ekoran sering kali memandang rendah terhadapnya dan memuji melambung kejayaan Aisyah.

Trisya menongkat dagu. 'Kalau bukan kerana tok wan, aku takkan berjaya sebagaimana sekarang. Kalau bukan kerana tok wan ambil berat pasal aku dulu, agaknya manusia apa yang aku dah jadi sekarang?'

Tok-tok!

Wajah Haq terjengul di muka pintu. Di tangannya ada sebungkus nasi dan segelas jus epal.

"Nak atau tak nak, saya kena paksa Cik Trisya makan. Kesihatan Cik Trisya keutamaan saya! Sekarang dah jam 1!"

Melihat wajah Haq yang amat serius, Trisya tergelak kecil. Jari telunjuknya digerak-gerakkan menguit lelaki itu mendekatinya.

"Awak dah makan?"

"Belum."

"Jadi awak belikan nasi ni untuk saya aje?"

Haq menggeleng. "Tak. Saya punya ada di pantri. Nanti saya makan."

"Ambil nasi awak, makan dengan saya kat sini."

"Tapi Cik Trisya..."

"Nanti awak tu pukul berapa?"

"Saya tak nak orang bercakap buruk tentang Cik Trisya. Saya makan di pantri nanti."

"Siapalah yang tak sayang 'periuk nasi' tu, kan? Berani dorang mengata saya?" Trisya bangun. Memandangkan tangan kanan dan kiri Haq memegang gelas dan plastik makanan, Trisya membukakan pintu.

"Errr... Terima kasih, Cik Trisya."

Trisya tidak membalas sebaliknya hanya tersenyum manis. Haq jadi keliru. Pelik dan tidak faham dengan gadis itu. Pagi tadi emosinya seperti ribut taufan. Sekarang, siap menghadiahkannya senyuman.

"Awak belikan budu lebih untuk saya tak?"

"Beli, Cik Trisya."

"Itulah sebab saya sayang awak, Haq. Awak aje faham perasaan saya dengan budu ni. Arwah ayah saya suka budu tapi tok wan alergi dengan bau budu."

Beberapa orang kakitangan menganggukkan kepala seraya senyum apabila mereka lalu di depan Trisya dan Haq.

"Tak pergi makan ke?" soal Trisya.

"Kami nak pergilah ni, Cik Trisya."

"Okey." Trisya berpaling memandang ke arah Haq lalu kembali senyum.

Haq serba salah. Dia tidak suka mendengar gosip liar mengenai dia dan Trisya. Rata-rata mengatakan dia menggoda Trisya demi kepentingan diri.

"Helo!" Trisya memetik-metik jari apabila Haq tidak berganjak.

"Ops, maaf-maaf, Cik Trisya."

"Awak fikir apa, Haq? Meh cerita dengan saya."

Haq memusingkan kepalanya ke belakang. Wanita-wanita muda tadi sudah menghilang ke dalam perut lif.

"Cik Trisya okey ke?"

"Kenapa awak tanya saya macam tu? Saya tak faham kenapa awak ni takut sangat dengan orang mengata? Pernah ke awak tengok orang yang sama mengata tentang saya?"

Haq menggeleng. "Hmmm... Sebab cik cakap banyak sejak tadi."

Trisya menjongket bahu. "Selama ni mulut saya ada emas ke?"

Laju Haq angguk. "Budak-budak ofis gerun dengan cik. Katanya cik garang nak mati."

"Taklah. Saya belum nak mati lagi. Penat saya 'berlawan' untuk hidup. Takkan saya nak mati secepat tu."

Haq bingung. "Berlawan? Dengan siapa?"

Senyum Trisya mati. Dia dan Haq sama-sama memasuki pantri. Sementara dia melabuhkan punggung, Haq bangun mencari sudu dan garpu.

"Awak ambil aje yang saya punya, Haq. Awak tahu kan yang saya lagi suka makan pakai tangan?"

Anak mata Haq terarah pada kuku Trisya yang baru semalam berubah warna itu. Cantik coraknya. Trisya memandang ke arah yang sama.

"Ni?" Trisya mengangkat jari-jemarinya.

"Sayang kuku tu."

"It's okay la, Haq. Tak mudah dia nak tanggal. Kalau tanggal, saya boleh buat yang baru sementara datang bulan ni."

Pipi Haq berona merah. Dia perasan, Trisya kalau dengan dia memang aci cakap lepas sahaja. Kadang-kadang dia pula malu mendengar pertuturan Trisya yang sangat terbuka.

Tawa Trisya membuatkan Haq terpaku. Sungguh comel pada pandangan matanya.

"Awak malu kenapa? Awak tak ada adik-beradik perempuan ke?"

Haq geleng.

"Oh, maaf! Saya tak tahu."

"Tak apa."

Trisya senyum nipis. Dia mula menyua makanan ke dalam mulut. "Awak tahu tak, Haq? Sejak saya kenal awak, masa saya lebih banyak dihabiskan dengan awak. Sebab kerja awak ni mengekor saya aje kerjanya."

"Saya ni pengawal peribadi Cik Trisya. Sebab tu saya ikut saja ke mana Cik Trisya pergi. Itupun saya nak berkawal di luar rumah tapi Cik Trisya tak bagi."

"Saya ni bukan sesiapa sampai orang nak pergi serang saya kat rumah, Haq. Lagipun saya boleh jaga diri sendiri. Tok wan tu yang risau sangat."

"Almarhumah tu sayang sangat dengan Cik Trisya."

"Ya walaupun saya bukan cucu dia yang sebenar. Awak tahu kan antara saya dengan tok wan tak ada pertalian darah?"

Haq menggeleng. "Saya tak tahu, Cik Trisya tapi tak kesahlah kalau bukan sekalipun. Asalkan sayang dia pada Cik Trisya sama sebagaimana ahli keluarga yang lain..."

"Tok wan lebihkan saya dalam segala hal hingga famili lain fikir saya ni orang luar sampai bila-bila. Mereka takut dengan saya. Bimbang saya akan bolot semua harta yang patut jadi milik mereka. Tengoklah syarat yang tok wan letak untuk agihkan harta-harta tu... Tapi bagus jugak."

"Hah?"

"Padan sangat dengan muka mereka, Haq. Nasib mereka tu baik sebab tok wan maafkan aje dosa anak-anak. Kalau mereka tu anak saya, merangkaklah dekat akhirat nanti cari saya, belum tentu lagi saya maafkan!"

"Tapi saya tak faham. Kenapa Cik Trisya kena kahwin dengan Encik Pian?"

Trisya membawa hirisan timun ke dalam mulut. Dia kunyah hingga habis sebelum kembali bersuara. "Tok wan tahu... yang saya sukakan Pian tu. Dulu! Dululah saya pernah suka kat dia tapi sekarang tak lagi."

Trisya cuba bertegas dengan diri sendiri. Dia tidak mahu perasaannya terhadap Pian bercambah mekar. Dia harus membenci lelaki itu.

"Kenapa?" Haq memberanikan diri menyoal.

Trisya menggeleng. Keningnya digerakkan ke arah nasi. "Tok wan tak bagi makan sambil cakap."

Haq akur. Dia sudah menceroboh batasan yang dia hadkan selama ini. Nasi di atas pinggannya dipandang. Sesudu nasi disuap ke dalam mulut. Sesekali dia mencuri pandang ke arah Trisya. Masih banyak benda yang dia tidak tahu mengenai gadis itu.

"Dan saya pun tak faham kenapa saya cepat sangat bersetuju padahal kalau saya berkeras, takkan ada sesiapa yang boleh paksa saya. Tapi... bila fikirkan mama dan abah, hati saya jadi lembut. Sepatutnya saya letak dendam saya di hadapan, Haq! Saya patut ingatkan otak saya ni tentang kesengsaraan yang tok wan lalui pada waktu tu. Barulah saya takkan goyah dengan keputusan saya. Argh! Serabut kepala saya bila keadaan jadi macam ni!"

'Dendam? Dendam apa?' Haq terpinga. Haq menghalang dirinya daripada bertanya lebih lanjut walaupun jauh dalam hatinya meronta-ronta untuk tahu apa sebenarnya terjadi antara Trisya dan keluarga angkatnya.

Trisya merenung nasi. 'Apa yang perlu aku buat untuk tarik balik janji aku? Trisya, kau tak boleh kahwin dengan Pian. Kau tak boleh menjadi ahli keluarga Ungku Omar secara rasmi! Mereka pembunuh! Pembunuh, Trisya!'

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro