Bab 7
Jam 8.30 pagi. Trisya bangkit dari kerusi lantas keluar dari bilik menuju ke bilik mesyuarat. Para kakitangan yang terlibat sudah memenuhi kerusi.
"Selamat pagi, Cik Trisya." Kesemuanya bangun memberikan hormat.
"Selamat pagi. Silakan duduk."
Nadiha menghulurkan sebuah fail dengan label 'Permohonan Biasiswa'. Trisya menyambut huluran itu lalu membeleknya.
"Assalamualaikum. Baiklah. Saya tak nak bercakap panjang hari ni. Saya hanya nak tengok fail Permohonan Biasiswa dan fail Permohonan Zakat berada di depan saya. Fahmi, tak ada yang mohon zakat ke untuk tahun hadapan?"
Zulfahmi terkulat-kulat mahu menjawab pertanyaan itu. Dia bukannya tidak mahu menyediakannya awal-awal tetapi hanya belum mencetaknya kerana terlupa tentang mesyuarat pada pagi ini.
"Saya lupa nak cetak, Cik Trisya."
"Lupa?" Kening Trisya bertaut.
Zulfahmi bangun mengejut. "Saya pergi cetak sekarang."
Berdesup dia keluar dari bilik mesyuarat. Mata Trisya tertancap pada nama pemohon keempat.
"Kenapa pemohon yang masih ada ibu bapa diletakkan ke dalam fail ni? Sejak bila dana TrisyaBeauty memberikan biasiswa kepada mereka yang bukan anak yatim?"
"Ibu bapanya OKU, Cik Trisya. Selama ni mereka tiga beranak hanya hidup atas ihsan jiran-jiran," jelas Nadiha.
"Daftar semula permohonannya kepada penerima zakat. Saya akan bagi kelulusan segera. Minta salinan muka depan akaun bank dia. Uruskannya seberapa segera."
"Baiklah. Saya akan uruskan secepat yang mungkin."
Trisya membelek helaian seterusnya. Pemohon merupakan anak yatim yang dibesarkan di rumah anak-anak yatim tetapi telah menerima biasiswa daripada kerajaan.
"Keluarkan pemohon ni! Saya hanya nak pemohon yang berstatus anak yatim yang masih belum menerima sebarang biasiswa daripada pihak lain. Bukankah sudah diletakkan dalam syarat permohonan?"
Nadiha membetulkan duduk. Pen yang diletakkan di atas meja dipegang. Seperti mahu menambahkan keyakinan apabila mahu bercakap.
"Pemohon memang menginap di rumah anak-anak yatim, Cik Trisya. Tapi biasiswanya itu digunakan untuk menampung kos rawatan."
"Kos rawatan?"
"Pemohon menghidap penyakit kronik, Cik Trisya. Permohonan ini sebenarnya mendapat sokongan daripada pengetua rumah anak yatim tu."
"Siasat apa penyakitnya dan maklumkan hal ni pada Doktor Ahn. Pastikan pemohon mendapat rawatan di Double B Medical Centre."
Tidak lama kemudian Zulfahmi mengetuk pintu seraya memasuki bilik mesyuarat. Dia meletakkan fail zakat di atas meja lalu kembali ke tempat duduknya.
Pian dengan wajah serius berjalan memasuki ke bangunan TrisyaBeauty setinggi 80 tingkat itu. Penyambut tetamu di kaunter tersenyum manis melihat lelaki sekacak Pian berjalan menghampiri mereka.
"Ya encik, boleh saya bantu?"
"Saya nak jumpa dengan Trisya."
Kedua-dua penyambut tetamu itu saling berpandangan sesama sendiri. Yang mereka tahu, hanya pengarah urusan mereka sahaja yang bernama Trisya.
"Cik Trisya MD kat sini? Encik ada buat janji temu terlebih dahulu tak sebelum ni?"
Pian bengang. Takkan di syarikat sepupunya sendiri dia mahu berjanji temu pula?!
"Saya sepupu dia!"
"Sekejap ya, saya hubungi pembantu peribadinya. Saya tak boleh benarkan encik berjumpa dengan Cik Trisya tanpa sebarang janji temu."
Pian membuat muka bosan. Dia memerhati sahaja gadis itu mengangkat gagang telefon lantas menekan-nekan butang bernombor pada badan telefon tersebut.
"Oh? Baiklah, Miss Lilian. Terima kasih." Telefon dikembalikan ke gagang.
Pian dapat menebak apa yang gadis itu mahu katakan. Namun dia menunggu dan mahu mendengar.
"Maafkan saya, encik. Cik Trisya sedang meeting sekarang ni. Boleh encik tinggalkan nama supaya saya boleh maklumkan pada pembantu peribadinya nanti?"
"Eh, kau ni baru bekerja ke apa? Takkan tak tahu nama satu-satunya cucu lelaki kepada Datin Paduka Dahlia? Bodoh piang apa kau ni sampai tak tahu susur-galur keluarga pengasas TrisyaBeauty ni?" Pian menepuk meja kaunter lalu berlalu ke lif.
Sekuriti yang bertugas mahu menghalang tetapi apabila mendengar nama Datin Paduka Dahlia, mereka teragak-agak untuk bertindak.
Kedua-dua gadis itu mencebik. "Sombong semacam dia ni. Manalah aku tahu siapa cucu Datin Paduka tu. Aku sempat bekerja setahun aje dengan dia sebelum Cik Trisya tu ambil alih."
"Tulah. Eksyen semacam. Macamlah dia tu selebriti sampai semua orang nak kenal dengan dia. Temu duga dulu pun mana ada tanya siapa anak cucu pengasas kompeni ni. Siapa yang bodoh piang? Kita ke dia?"
Pian menenyeh-nenyeh telinganya mendengar umpatan mereka. Tidak lama kemudian pintu lif terbuka. Dia masuk ke dalam. Skrin sebesar Tablet yang berada di tepi pintu lif itu disentuh. Jarinya memilih nombor 8 dan 0.
Pintu lif tertutup. Tidak lama kemudian, lif berdenting. Pintu terbuka. Seluruh isi penghuni di aras itu lengang. Kosong. Haq keluar dari pantri dengan muk di tangan.
"Encik Pian! Cik Trisya sedang mesyuarat. Encik boleh tunggu di ruang menunggu."
Pian memekakkan telinga. Dia bergerak ke bilik yang bertanda nama 'Pengarah Urusan'. Haq melajukan langkah dan segera menghalang.
"Kau ni siapa nak halang aku?"
Lilian yang sedang melakukan kerja, bangun apabila mendengar suara orang membuat kecoh.
"Saya berhak ke atas keselamatan Cik Trisya dan seisi TrisyaBeauty! Mohon Encik Pian tidak memaksa saya bersikap biadab!" ujar Haq garang.
Pian bergerak ke ruang menunggu. Lilian ke pantri. Secawan kopi dibancuh untuk tetamu yang baru sahaja datang itu.
"Jemput minum," pelawa Lilian lalu kembali ke tempat duduknya.
Pian membawa muk ke bibir. Dia menyisip kopi buatan pekerja Trisya itu. "Terima kasih." Segan Pian hendak memuji.
Lilian hanya mengangguk. Jam di dinding dipandang sekilas. "Cik Trisya biasanya tak bermesyuarat lama. Kejap lagi habislah tu."
Pian hanya menggumam. Dia pun berkejar masa. Sekejap lagi dia mahu ke kedai pakaian terpakai miliknya yang bakal dibuka. Jep sudah berkali-kali menggesanya supaya datang.
"Siapa yang jemput Trisya ke parti Sam tempoh hari? Macam mana Trisya kenal dengan Sam?" soal Pian kepada Haq.
"P and C."
"Ceit, balaci! Kau ni anjing ke?" Pian mengejek.
"Sekurang-kurangnya anjing setia dengan tuan dia." Haq selamba.
Pian panas. Mahu dia bertumbuk dengan Haq kalau terpaksa menunggu Trisya dalam jangka masa yang lama.
Bunyi suara orang ramai bercakap membuatkan kedua-duanya berpaling. Haq bangun apabila melihat kelibat Trisya berjalan ke arahnya.
"Ya, Cik Trisya?" soal Haq apabila Trisya seperti mahu memperkata sesuatu.
"Belikan saya sesuatu, Haq. Saya lapar la. Saya belum sarapan."
"Baik, Cik Trisya. Ni Encik Pian datang nak jumpa dengan Cik Trisya."
Pian bangun. Sedikit pun Trisya tidak melirik ke arah Pian. "Aku ada..."
"Lilian, pastikan lain kali jangan benarkan sesiapapun berjumpa dengan saya tanpa membuat sebarang janji temu terlebih dahulu! Takkan awak tak pernah tahu pasal hal ni?"
"Maafkan saya." Lilian mengakui kesilapannya.
"Nadiha!" Trisya mencerlung.
Nadiha mengangguk. Dia akan memberikan amaran kepada mereka yang bertugas di aras 0.
Trisya menonong ke biliknya. Nadiha mengekori Trisya masuk ke dalam bilik tersebut. Tidak berapa lama selepas itu, dia keluar.
"Silakan," pelawa Nadiha dalam intonasi sekadar menghormati tetamu.
Pian melabuhkan punggung di atas sofa apabila Trisya tidak mempelawanya duduk. Gadis itu hanya menjongket kening seolah-olah menanyakan atas faktor apa lelaki itu datang ke mari.
Tok-tok!
Nadiha muncul sambil membawa dua cawan kopi. Baru Nadiha meletakkan cawan tersebut di atas meja, Trisya mengangkat tangan.
"Tak perlu. Ambil kopi ni dan minum. Lilian dah berikan dia kopi."
Pian terpinga-pinga. 'Ceit, kedekut punya perempuan! Antarabangsa punya kompeni, bab kopi pun nak berkira?'
Nadiha segan. Malu pula dia dengan arahan daripada Trisya. Nak tak nak, dia hanya menurut. Diangkat semula cawan ke atas dulang. Dengan wajah berona merah, Nadiha meminta diri untuk keluar.
Pian berdeham. "Aku nak bincang soal kita!"
"Aku dalam idah!"
Trisya menyilang kaki. "Bulan keempat, kita nikah."
"Aku nak buat secara besar-besaran." Pian bangga. Dia anak tunggal. Majlis perkahwinannya wajib dibuat secara besar-besaran. Rakan-rakan dari tadika hingga ke universiti mesti dijemput hadir.
"Kejadah kau besar-besaran! Sebulan nikah, aku nak cerai."
"Weh, aku teruna! Mestilah aku nak buat secara meriah."
Trisya menjulingkan bola matanya. "Kita nikah kat pejabat agama. Kau setuju, teruskan. Tak setuju, batalkan aje."
Pian termangu-mangu. "Macam kena tangkap basah. Trisya, aku tak nak orang tahu kita nikah olok-olok macam ni. Ramai orang kenal aku."
'Aku tak paksa kau main-main dengan perkahwinan ni. Aku ikhlas nak jadi suami kau.' Pian melilau memandang ke seluruh bilik Trisya itu.
"Bagi aku RM50K tanpa dulang hantaran."
"La, tu aje ke harga diri kau?" Pian senyum kambing.
Trisya tahan sabar. Ringan betul tangannya mahu menampar mulut celopar itu. Lebih baik lelaki itu diam daripada bercakap. Mulutnya berbau longkang.
"Satu lagi syarat."
"Apa dia?"
"Aku dah sediakan rumah untuk kau. Selang dua buah rumah dengan rumah aku. Kalau kau tak suka, suka hati kau. Aku takkan keluar dari rumah aku."
"Kenapa nak asing-asing pulak? Kita dah nikah, kan? Kau duduk dalam rumah tak pakai baju ke sampai risau aku duduk sekali?"
Trisya menggenggam kedua-dua belah tangan dengan gigi saling diketap. "Haah, aku berbogel kat rumah!"
"Ah, kalau kau bogel kat rumah pun, siapa yang hadap? Kau ingat aku ada nafsu ke dengan kau? Bukannya aku tak ingat berapa kilo lemak yang terperap kat badan kau dulu tu." Pian terbahak-bahak.
Trisya menarik nafas dan menghembus nafasnya perlahan-lahan. Dia bangun. Mahu bergerak ke mejanya. Ada urusan yang dia mahu selesaikan.
"Gay memang tak ada nafsu dengan perempuan. Jangan risau. Aku faham. Spesies jambu macam kau, geng kunyit tu, aku dah biasa. Dunia akhir zaman ni memang ramai manusia macam tu. Kau jangan risau. Aku takkan bagi tahu rahsia kau dekat orang."
Pian panas. Merah telinganya mendengar pertuturan Trisya. Tangan Trisya disambar lalu dicengkam ke udara. Trisya cuba melawan. Kakinya diangkat mahu menendang Pian. Tapi dia tersilap langkah hingga badannya terjatuh ke atas sofa bersama-sama dengan Pian.
Pian terpanar. Trisya menggelupur meminta lelaki itu melepaskannya. Dia sesak tidak dapat bergerak.
"Lepaskan akulah, bodoh!" Dahinya menghantuk dahi Pian, melampiaskan bengang.
Pian yang baru tersedar gara-gara dahinya sakit, bingkas melepaskan tangan Trisya dan menuruni sofa. Tubir mata Trisya bergenang seperti ingin menangis.
'Aku benci kau, Pian! Tak habis-habis kau sakitkan hati aku!'
"Keluar kau dari sini! Jangan sampai aku tengok muka kau lagi!"
Trisya menumbuk dada Pian dengan kuat bagi melepaskan rasa marahnya. Berkerut habis muka Pian menahan sakit.
"Siapa cakap aku gay? Siapa cakap aku ni spesies kunyit? Lebih daripada tu aku mampu buat. Cabarlah kalau kau tak percaya."
Trisya memejamkan mata lalu menarik nafas. "Keluar! Aku cakap keluar sebelum aku belasah kau sampai mampus!"
Trisya memaksa dirinya supaya bertenang. Haq yang memegang tombol pintu, tersentak mendengar jeritan gadis itu. Sepanjang dia bekerja dengan Trisya, belum lagi dia mendengar gadis itu menjerit.
"Cik Trisya, kenapa ni?"
Trisya memusingkan badan. Tidak mahu Haq melihat wajahnya yang merah padam kerana malu dan marah.
"Kau jangan nak jerit-jerit macam aku yang ambil kesempatan. Kau pun tahu semuanya spontan. Kau yang..."
"Sudah! Keluar! Haq, halau dia! Pesan pada sekuriti kat bawah, jangan benarkan dia jejak ke sini lagi!"
"Ya! Ya! Aku keluar! Tak perlu halau!" Pian mengangkat kedua-dua tangan apabila Haq seperti mahu menuruti arahan. Dia tidak bersedia untuk bertumbuk dengan lelaki itu. Kalau Trisya menggajikan Haq sebagai pengawal peribadi sudah tentu ilmu mempertahankan diri lelaki itu bukan calang-calang.
Ekor mata Haq menghantar langkah Pian dengan pandangan membunuh. Plastik berisi makanan diletakkan di atas meja.
"Bawak keluar, Haq. Saya tak ada selera." Trisya bersuara lemah.
"Tapi Cik Trisya..."
"Bagi tahu Nadiha, jangan benarkan sesiapa masuk. Saya nak rehat sekejap."
"Baiklah, Cik Trisya. Saya letakkan di pantri. Kalau Cik Trisya lapar nanti, makanlah. Kalau dah sejuk, saya akan belikan yang lain."
"Terima kasih, Haq."
"Sama-sama, Cik Trisya." Haq mengambil semula bungkusan berisi makanan itu lalu dibawa ke pantri.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro