Bab 6
Dari pantulan cermin pandang belakang, Haq dapat melihat riak wajah Trisya yang sugul. Jari-jemari si gadis laju menari di atas skrin telefon. Haq kembali memandang ke hadapan. Dia tidak tahu hujung pangkal salasilah hidup Trisya. Dia tidak tahu kenapa gadis itu boleh membesar di rumah orang lain sedangkan masih punya ibu bapa.
Keadaan sepi berubah bingit apabila telefon Trisya berbunyi. Panggilan daripada Nadiha diterima masuk. Dia segera menjawab panggilan tersebut.
"Maksud you, rumah kondo you tu, Cik Trisya?" Nadiha inginkan kepastian.
"Ya. Sebelah rumah saya tu kosong dan selang dua buah rumah pun kosong. Nanti uruskan pembelian kedua-dua rumah kosong tu atas nama saya."
"Baik, Cik Trisya."
Haq sangsi. Untuk apa Trisya membazirkan wang untuk membeli dua unit kediaman mewah itu sedangkan Vila Idaman sahih menjadi milik majikannya itu?
"Singgah McD. Saya lapar. Sejak malam semalam saya belum makan apa-apa." Trisya menyentuh perutnya yang kempis. Meski tiada sesiapa mempeduli keadaannya, dia perlu menjaga diri sendiri.
"Baik, Cik Trisya."
"Dah lama awak kenal tok wan?" Sengaja Trisya mahu mengajak lelaki itu berbual. Dia tidak mahu kepalanya semak memikirkan masalah yang menghempap.
"Hmmm... Dalam lima tahun lebih macam tu la kut. Masa tu saya selamatkan Almarhumah Datin Paduka sewaktu dia diragut. Kebetulan saya tengah lepak dekat mamak. Tak sangka tok wan Cik Trisya tu gajikan saya supaya jadi pengawal peribadi cucu dia."
"Klise betul cara pertemuan awak dengan tok wan. Hmmm... Apapun, terima kasih sebab jaga saya selama ni."
"Tanggungjawab saya, Cik Trisya." Haq memberhentikan kereta di kotak parkir.
Trisya dan Haq sama-sama menguak pintu kereta lalu berjalan memasuki restoran makanan segera itu.
"Cik Trisya nak makan apa?"
"Saya nak ayam goreng dan aiskrim."
"Baik, Cik Trisya. Cik Trisya duduk dulu. Nanti saya hantarkan."
"Beli untuk awak sekali."
Trisya bergerak ke arah meja paling hujung berhampiran dinding. Telefonnya dikeluarkan dari tas tangan. Dia mengakses laman web Double B Scarf. Rekod jualan secara dalam talian diperiksa sepintas lalu.
Hujan renyai-renyai mulai turun membasahi bumi. Perhatian Trisya teralih pada bunyi hujan. Dia meletakkan telefon di atas meja kemudian menopang dagu. Kepala diteleng ke luar cermin. Memori silam terbayang lagi. Ingatannya mula terlayar jauh...
Trisya menguap berkali-kali. Jam sudah pukul 9 malam. Anuar masih lagi belum pulang dari surau. Trisya mengelap tangan dengan baju yang sedang dipakainya. Dia baru sahaja selesai mencuci pinggan. Dia segera melompat turun dari kerusi lantas bergegas ke pintu rumah. Panjang lehernya mencari kelibat si ayah.
"Biasanya kalau jarum jam panjang tepat jam 12, jarum pendek tepat jam sembilan, ayah dah balik." Trisya resah.
"Kau duk termenung apa depan pintu tu? Kain yang dah angkat petang tadi tu kenapa masih tak lipat?" sergah Mahani.
"Ayah belum balik lagi ke mak?"
Mahani mencekak pinggang. "Kau ingat aku ni pengawal peribadi bapak kau?"
"Pengawal peribadi?"
"Itulah! Kecik-kecik dah bodoh! Orang bodoh macam kau ni, elok duduk rumah buat kerja rumah. Kau tu degil nak pergi tadika! Bagi pelajaran bukannya boleh jadikan kau cerdik!"
"Trisya kan kecik lagi. Trisya besar nanti, tentu Trisya cerdik macam Kak Esyah." Trisya merasakan leluconnya lucu.
"Menjawab! Menjawab! Aku libas dengan tali pinggang nanti!"
Trisya lekas-lekas mengatup mulut. Cakap wanita itu bukan sebarang gertak. Di belakang badannya penuh dengan birat kesan dibelasah. Kalaulah Anuar tahu dirinya dikasari dengan pelbagai objek, alamatnya mati Mahani dikerjakan.
Aisyah yang sedang mengulang kaji soalan UPSR, tersengih seperti kerang busuk. Anak emas sepertinya mana mungkin akan dimarahi sebegitu.
"Esyah hauslah, mak. Nak air." Aisyah merengek.
Trisya melabuhkan punggung dan duduk bersila di hadapan timbunan kain. Sehelai T-shirt miliknya yang sudah rabak dipegang. Matanya beralih pada pakaian yang sedang dipakai oleh Aisyah. Semuanya cantik dan lawa.
'Beruntungnya jadi Kak Esyah. Kenapa aku lahir kat dunia ni sebagai Trisya? Kenapa aku bukan Kak Esyah? Kenapa mak beza-bezakan aku dengan Kak Esyah? Apa lebih Kak Esyah?'
"Kau pekak ke? Kau tak dengar Kak Esyah cakap dia dahaga?" tempik Mahani.
Sebatang penyapu dilemparkan tepat ke muka Trisya. Trisya mengaduh. Terkebil-kebil matanya memandang Mahani.
"Air Nescafe, ya!" Aisyah mengenyit mata.
Mahu tidak mahu Trisya cepat-cepat bangun. Dia bimbang kalau Aisyah memberitahu emak perihal dia memperdajal Aisyah dengan meletakkan garam siang tadi.
"Mana ayah, ya?" soal Trisya pada diri sendiri.
"Kak Ani! Kak Ani! Kak Ani!" jerit satu suara garau dalam nada panik.
Mahani yang baru sahaja menekan punat alat kawalan televisyen segera menjengah ke arah pintu.
"Hah, Meon. Kenapa?"
"Abang Anuar! Abang Anuar! Dia kemalangan. Keadaannya parah, Kak Ani!" Meon menggelabah.
Trisya tergamam. "Ayah kemalangan?"
Trisya segera berlari ke muka pintu. "Ayah Trisya! Ayah Trisya kemalangan?"
Aisyah menunjal dahi Trisya supaya jangan menyibuk. Dia tidak suka adiknya berlagak pandai.
"Ayah kemalangan dekat mana, abang? Boleh tak abang bawak Trisya pergi ke sana?"
"Diamlah!" jerkah Mahani.
Kuat suara Mahani membuatkan lelaki berkopiah itu turut terkejut. Selama ini dia tidak percaya bila ada jiran-jiran yang mengatakan Mahani itu menjerit-jerit di dalam rumah. Kali ini dia melihat dan mendengar sendiri kejadian itu.
Aisyah menggoyang-goyangkan tangan emaknya dengan riak wajah cemas. "Esyah nak ikut, mak."
"Ikut saya, kak," gesa Meon.
Mahani menganggukkan kepala. "Esyah duduk rumah. Kunci pintu ni."
"Baik, mak."
Trisya yang hendak membuntuti Mahani segera dihalang oleh Aisyah. Kakaknya itu sengaja menarik rambut Trisya yang panjang.
"Trisya nak ikut, mak! Trisya nak jumpa dengan ayah! Trisya nak tengok ayah!" Trisya seperti mendapat kekuatan yang luar biasa. Dia menolak badan Aisyah dengan kuat lalu berlari keluar dari rumah tanpa memakai selipar. Gusar melihat kanak-kanak seperti Trisya berlari dalam gelap seorang diri, Meon segera mengejar.
"Esyah pun nak ikut, mak."
"Tak payah. Duk kat rumah. Kunci pintu."
Lekas-lekas Mahani menyarung selipar dan mengekori Meon dengan nafas tercungap-cungap. Lelah dek Trisya di hadapan yang berdesup laju.
Aisyah menghentakkan kaki lalu menghempas daun pintu dengan kuat.
"Ayah! Ayah!"
Trisya yang tersandung batu jatuh tertiarap. Meon menyambar tubuh Trisya lalu mendukung dan membawa si kecil itu menghampiri sekujur tubuh yang dikelilingi orang ramai.
"Ambulans belum datang lagi?" Gamat suara orang bertempik.
"Ayah!" teriak Trisya apabila dia dapat mengecam ayahnya sedang terbaring di atas jalan raya. Dia meronta-ronta mahu diturunkan ke bawah. Meon memberhentikan langkah dan menuruti kehendak Trisya.
"A... Ayah..." Air mata Trisya semakin deras.
Anuar mengangkat tangan walaupun payah sebaik sahaja menyedari kehadiran anak bongsu kesayangannya. Raungan Trisya bergema apabila tidak betah melihat Anuar berlumuran darah. Kuat Trisya memeluk tubuh ayahnya.
"Maafkan ayah, sayang. Janji dengan ayah, jadi budak baik. Trisya jangan degil. Trisya dengar cakap mak. Cakap Kak Esyah."
"Ayah janji ayah akan sentiasa ada dengan Trisya! Ayah tipu! Ayah tipu!" Trisya tidak dapat mengawal diri.
Mahani yang baru tiba terus berlutut di sebelah Anuar. Air matanya semakin laju mengalir bila memikirkan keadaan dia tiga beranak setelah ketiadaan suaminya itu nanti. Kalaulah Anuar itu orang kaya, tidaklah membuat hatinya walang. Sedangkan simpanan pun mereka tidak ada. Tahun hadapan, Aisyah tentu berjaya memasuki asrama, mana dia mahu cekau duit?
"Janji dengan abang, Ani. Janji dengan abang jaga anak kita baik-baik."
Mahani memeluk tubuh Anuar seraya mendekatkan bibirnya ke telinga suaminya itu. Masing-masing yang melihat turut merasa sedih. Mereka faham, isteri mana yang tidak bersedih melihat keadaan suami yang nyawa-nyawa ikan itu.
"Apa nombor PIN kad bank abang? Jangan tinggalkan Ani dengan Esyah tanpa duit macam ni! Apa kami ni nak makan?"
Bulat mata Anuar kerana tidak percaya dengan pertanyaan Mahani itu. Bukannya mahu mengajarnya melafazkan syahadah, tapi lain yang ditanyanya.
"Al... Allah!" sebut Anuar seraya menggenggam baju di bahagian dada.
"Mengucap, ayah. Cikgu Emi cakap kita kena mengucap!" Trisya menolak badan emaknya lalu menggenggam tangan Anuar.
Terkumat-kamit Anuar mengucap dua kalimah syahadah. Trisya membenamkan wajahnya ke dada si ayah seraya memeluk lelaki itu semahu-mahunya. Terbuntang mata Mahani melihat perlakuan Trisya yang dirasakan cukup biadab itu.
'Mampus kau aku kerjakan nanti! Budak tak guna ni dah malukan aku!' Gigi Mahani saling berlaga.
"Trisya sayang ayah! Ayah, Trisya sayang ayah! Jangan tinggalkan Trisya, ayah! Ayah!!!" raung Trisya apabila dia tidak lagi merasai degup jantung Anuar sebagaimana yang biasa didengarinya.
"Apa kau merepek ni?" Mahani kurang senang.
Siren ambulans mula kedengaran. Pasukan paramedik datang mendekat.
"Boleh ke pak cik selamatkan ayah saya?" soal Trisya sebaik sahaja mengangkat wajahnya dari dada Anuar.
Lelaki yang memakai penutup muka itu menyentuh dan mencari denyut nadi Anuar. "Maafkan pak cik."
"Ayah saya dah pergi tinggalkan saya, kan? Allah lebih sayangkan ayah... Tak apa. Cikgu Emi cakap semua orang akan mati. Cikgu Emi cakap, kita milik Allah dan kita akan balik semula kepada Allah. Jadi, Trisya tak boleh nangis banyak-banyak. Kalau Trisya tak boleh lepaskan ayah pergi, maksudnya Trisya tak reda. Reda ni macam... Hmmm... macam... Trisya kena biarkan ayah mati dulu sebelum Trisya, kan?"
Pertanyaan Trisya dibalas dengan anggukan berat oleh Meon. Terkebil-kebil Mahani memandang Trisya yang petah bercakap itu. Meon mengusap kepala Trisya lalu memaut bahu anak kecil itu penuh dengan rasa simpati.Tutur Trisya dalam sendu itu membuatkan mereka yang berada di sekeliling turut menghambur tangis.
Trisya sekali lagi memegang tangan ayahnya. "Trisya akan jadi budak baik. Trisya janji dengan ayah. Trisya akan dengar cakap mak. Trisya akan dengar cakap Kak Esyah."
"Cik Trisya?" panggil Haq sekali lagi.
Trisya tersentak. Tiada lagi kelibat si ayah yang terbaring kaku. Di hadapannya terhidang makanan yang menggugat rasa lapar.
"Cik Trisya fikir apa? Jauh betul termenung?"
"Taklah. Saya tengok hujan kat luar tu. Saya suka bunyi hujan."
"Oh!" Haq menarik kerusi lalu duduk. Burger diangkat lalu disua ke mulutnya.
Telefon Trisya bergetar diikuti bunyi mesej. Trisya capai dan membelek telefonnya. Mesej daripada Nadiha memperingatkannya tentang mesyuarat pada pagi esok.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro