Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 3

Trisya menjongket bahu. "Puan Wardah cakap nak pulang? Saya nak buat apa lagi kat sini?"

"Duduklah, bodoh!" ujar Haji Zul tidak bertapis.

Wardah berdeham. "Silakan duduk, Cik Trisya. Sebab Cik Trisya adalah kunci kepada wasiat ini."

Semua yang ada nyata terperanjat. Sehingga ada yang berdiri memaki hamun Trisya tanpa hujung pangkal.

Haq terkedu. Berada dalam situasi Trisya yang dicerca oleh ahli keluarga membuatkan dia buntu untuk membantu. Untuk menyerang balas mempertahankan majikannya, dia hanyalah orang luar. Trisya sendiri hanya membiarkan sahaja dirinya dibuli.

"Diam!" pinta Syed Amin, suami kepada Ungku Hazifah.

Semua berhenti bercakap. Tanda mereka menghormati Syed Amin yang paling tua. Wardah mengucapkan terima kasih lalu membelek kulit fail. Helaian pertama dibuka. Munirah yang gerun terus mengambil tempat duduk di sebelah ibunya.

"Ada sebab kenapa wasiat ini dibacakan setelah dua tahun lamanya pemergian Almarhumah."

"Ah, jangan nak berintro sangat boleh tak? Masa kami ni berharga. Terus-terang aje!" bentak Ungku Farouk tidak sabar.

Wardah tersenyum. Dia sudah lali dengan ragam keluarga kliennya.

"Kesemua wasiat ini akan terbatal dengan sendiri sekiranya dua syarat ini tidak dipenuhi. Pertama, sama ada Cik Trisya mahu terus tinggal di Vila Idaman atau berpindah ke tempat lain, Vila Idaman tetap akan dimiliki oleh Cik Trisya tanpa ada sebarang bantahan."

Kesemua mereka mengunci bibir dengan kemas meski menyumpah seranah dalam hati. Bagi mereka, Datin Paduka Dahlia terlalu melebih-lebihkan Trisya sehingga sanggup menyerahkan vila yang menjadi tempat mereka membesar kepada orang luar.

Wardah tidak jadi membaca wasiat seterusnya apabila mereka yang berada di situ asyik menjeling Trisya dengan pandangan membunuh. Trisya mengerakkan keningnya ke arah Wardah. Wanita itu mengangguk dan meneruskan bacaan.

"Kesemua ladang, tanah, rumah kediaman, bangunan serta tunai di dalam bank akan dibahagi secara faraid kepada anak-anak Almarhumah."

Ungku Farouk tersenyum lebar. Daripada lima beradik, hanya dia sahaja anak lelaki. Anak-anak perempuan hanya tersenyum kelat. Tidak berani menentang cara pembahagian tersebut.

"Atas ihsan Almarhumah, setiap cucu berhak mendapat 1 peratus saham Maju Desa Development Ground Berhad."

Rozalia, Puteri, Munirah dan Jessica jelas mempamerkan mimik muka tidak puas hati.

"Apa lebihnya mangkuk ni sehingga dia pun dapat 1 peratus saham? Sedangkan dia dah bolot TrisyaBeauty! Dengan rumah ni lagi! Jadi, tak payah bahagikan harta-harta ni! Longgok aje kesemuanya dekat dia!" Bengang Rozalia.

"Kami tak tuntut hak dalam TrisyaBeauty pun dah cukup baik dah! Sepatutnya TrisyaBeauty dibahagikan sama rata. Tok wan ada tujuh cucu. Apasal kau sorang aje yang dapat?" Munirah menambah.

Ungku Naimah senyum. Dia suka mendengar anak-anak saudaranya menyuarakan ketidakpuasan hati. Biar orang asing itu sedar diri.

Kepala Munirah diluku oleh Ungku Ramisa. "Bahasa tu! Jangan nak merendahkan darjat kita dengan mereka di kelas bawahan. Dia tu lagi tua daripada kamu!"

"Betul kata Munirah! Kalau Trisya yang tak ada kaitan darah pun dengan kami ni boleh dapat kompeni sendiri, mana hak kami sebagai cucu yang sah?" Puteri bersuara.

Trisya buat bodoh. Dia tidak berminat untuk memberikan apa-apa reaksi. Fokus matanya kembali memandang skrin telefon. Masih banyak laporan yang perlu dia baca dan periksa.

"Ini wasiat..." Wardah cuba menjelaskan.

"Ah, apa-apalah! Tok wan memang pilih kasih! Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan! Puan, dia ni cucu angkat! Tak ada kena-mengena pun dengan kami. Betul ke ini wasiat tok wan? Entah-entah, puan berpakat dengan dia ni tak? Siapa tahu kalau puan pun dapat peratus daripada dia?" Munirah mengherotkan bibirnya.

Wardah tidak mengendahkan Munirah. Gadis yang masih muda itu dianggap sebagai anak kecil yang hanya tahu memberontak.

"Mulut kamu ni, isy! Jangan sampai dia dakwa kamu tu memfitnah. Naya! Kecil-kecil dah turun naik mahkamah!" Ungku Ramisa berbisik.

"Apa syarat kedua?" Ungku Naimah menyoal.

"Tapi wasiat ini hanya akan diteruskan sekiranya Cik Trisya menikahi Encik Sufian."

Ungku Naimah dan Qaidir berpandangan. Sementara Pian dan Trisya tergamam. Degup jantung Trisya menari rentak luar daripada biasa. Dia tidak sangka bahawa Almarhumah betul-betul meletakkannya sebagai syarat wasiat.

"Saya tak boleh kahwin dengan dia!" Trisya gugup. Jari telunjuk tepat mengarah ke wajah Pian.

Pian terpempan. Merah wajahnya apabila Trisya semudah itu menolak lamaran tok wan mereka.

"Saya dah kahwin." Badannya dipusing ke belakang. Dia mengelilingi kerusi dan berdiri di sebelah Haq.

Pian menggeleng-geleng kepala tidak percaya. Mustahil Trisya benar-benar jatuh cinta pada lelaki yang tidak punya apa-apa seperti Haq.

"Kami dah kahwin," ucap Trisya penuh yakin.

"Kahwin?" Ungku Fiona paling terperanjat antara semua.

Laju Trisya mengangguk. "Kami dah kahwin. Dua bulan lepas."

"Ah, sudah! Habis wasiat semua ni macam mana?" Masing-masing menggelabah.

Pian bangun. "Apa bukti kau dah kahwin dengan dia?"

Trisya senyum. Dia mengeluarkan sesuatu dari tas tangannya. "Kad nikah kami."

Haq meraba dompet. Dia mencari kepingan kad yang diselitkan oleh Trisya tadi. Kepalanya ditoleh ke arah Trisya. Terbuntang matanya apabila Trisya tiba-tiba berdiri di hadapannya. Dia yang tergamam, bertambah kaku apabila Trisya menarik belakang kepalanya merapati wajah gadis itu.

Pucat umpama tidak berdarah apabila jarak bibir mereka hanya seinci cuma. Tangan Haq kejung tidak bergerak. Terbuka kedua-dua belah tangannya apabila tidak pernah terfikir gadis seperti Trisya akan bertindak sejauh itu semata-mata mahu mengaburi mata mereka di situ.

Dari pandangan belakang, posisi mereka seperti betul-betul sedang bercium. Trisya mengenyit mata lalu melepaskan leher Haq. Dia sembunyi senyum. Dia tidak sangka 'kad tersembunyi' yang sepatutnya hanya digunakan untuk menyakiti hati Pian itu, punya kegunaan lain.

Pian terhenyak. Ahli keluarga yang lain memicit dahi, resah. Dua tahun mereka menantikan kedatangan malam ini.

"Tak adil! Semua ni tak boleh jadi! Wasiat ni tak betul! Dalam masa dua tahun semuanya boleh berlaku! Saya cabar wasiat ni!" Ungku Hazifah lantang.

Wardah hanya menjongket bahu. Dia hanya menerima amanah. "Kalau Cik Trisya dan Encik Sufian tak berkahwin setengah tahun dari sekarang, kesemua harta Almarhumah akan disedekah kepada badan zakat di seluruh Malaysia."

"Sebelum mama hembuskan nafas terakir, mama memang ada pesan supaya kita akur dengan wasiat yang dia dah amanahkan pada Puan Wardah. Kita kena lunaskan wasiat mama. Kalau tidak..." Ungku Fiona berhenti di situ.

"Kalau tidak?" soal Qaidir.

"Mama takkan ampunkan dosa anak-anaknya dan kita semua akan sengsara sepanjang hayat. Itu sumpah mama." Liur Ungku Naimah payau.

Masing-masing membisu seribu kata. Ngeri mendengar sumpahan yang dibuat oleh Almarhumah.

"Walau apapun alasan, kau berdua mesti bercerai. Trisya dan Pian mesti berkahwin!" Ungku Hazifah naik hantu.

Puteri, Rozalia dan Munirah menarik wajah cemberut. Pian mencengkam rambutnya dengan muka serabut.

"Kamu bukan sesiapa dalam hidup kami, Trisya! Entah dari mana mama pungut kamu dan bawa kamu ke rumah ni. Tak ke kamu patut bersyukur? Kami tak pernah halau kamu lepas mama meninggal tapi kamu yang keluar sendiri. Tak pernah ke kamu terfikir untuk balas jasa?" ujar Ungku Naimah sambil mengalirkan air mata semata-mata mahukan simpati.

Trisya mengetap gigi. Dia tinggikan tembok sabarnya agar tidak runtuh di situ. Syed Amin bangun dan menendang meja tanpa amaran. Tersentak Wardah dengan perlakuan kasar lelaki itu.

"Anak haram! Baik kau bercerai dengan si celaka ni sebelum aku belasah dia sampai mampus! Pergi jahanam dengan cinta kau! Yang aku tahu, kau penyebab mama buat wasiat mengarut macam ni! Aku tak kesah kalau kau nak kahwin satu hari sekalipun dengan Pian! Yang pasti wasiat ni boleh diteruskan!"

"Sabar, bang! Sabar!" Ungku Ramisa risau melihat amuk abang iparnya itu.

Trisya menggenggam tangannya. 24 tahun yang lalu, Mahani pernah menyebut perkara yang serupa. Hakikat dia anak haram ibarat belati yang menoreh aortanya sehingga hampir terputus.

Haq yang mahu masuk campur segera dihalang oleh Trisya dengan meletakkan tangannya di hadapan lelaki itu. Jari-jemari Haq menggenggam penumbuk.

"Dan pewaris Maju Desa Development Group Berhad hanya akan menjadi milik cicit lelaki pertama yang lahir setelah Cik Trisya berkahwin." Wardah memancing reaksi di wajah Trisya. Surat pendua yang dibawa bersama masih terselit di celah fail. Dia tidak akan bacakan warkah tersebut selagi Trisya tidak bersungguh mendesaknya membatalkan wasiat.

"Maksudnya, hanya anak mereka berdua?" Lutut Rozalia kendur.

"Semua isi kandungan wasiat tu hanya berkuat kuasa selepas dorang berdua kahwin. Kalau Kak Lia menikah dengan Haji Hitam kat tepi surau tu, lepas tu Kak Lia lahirkan anak lelaki... tu kira cicit pada tok wan la tu. Cicit lelaki pertama yang lahir, tak kiralah anak siapapun, budak tulah yang akan jadi pewaris. Tu pun tak faham ke? Kata bijak. Tak bijak pun!" Puteri memberi penjelasan dengan secalit rasa bangga.

"Ya, betul sebagaimana yang Cik Puteri jelaskan." Wardah mengeyakan.

Anak mata masing-masing berkilauan. Ligat kepala mereka merancang mahu menjodohkan anak-anak mereka seberapa segera.

"Kalau Trisya tak kahwin dengan Pian, semua tak jadi! Trisya, uncle tahu hubungan kita ni keruh pekat. Apa salahnya kalau kita jernihkan aje? Buang yang keruh ambil aje yang jernih. Sebagai membalas jasa tok wan kau tu, tak boleh ke kau berkorban? Berpisah sekejap sahaja dengan suami kau ni dan kahwin dengan Pian," rayu Haji Zul, suami Ungku Ramisa.

'Gila! Aku cakap yang aku dah kahwin, dorang suruh aku cerai? Tak nampak ke yang aku 'cium' Haq tadi? Tak nampak yang aku sayang gila dengan Haq sampai tayang kat semua orang?'

"Ingat Trisya, siapa yang jaga kau selama ni kalau bukan mama. Bila lagi kau nak balas jasa dia kalau bukan sekarang?" Ungku Farouk mencemuh. Setakat Trisya itu, mudah sangat dia lentur-lenturkan. Selama gadis itu membesar di Vila Idaman, dia akur sahaja pada perintah dan kata-kata semua orang.

"Sudahlah tu. Jangan bertengkar lagi. Kita kena hormati perasaan suami Trisya. Dia masih hidup tapi kamu semua mahu dia lepaskan isterinya pergi kepada lelaki lain. Kalau kamu di tempat dia, sanggup ke kamu lepaskan isteri kamu demi orang lain?" Ungku Fiona hampir menangis.

Trisya tersentuh. Sejak dulu lagi, hanya Ungku Fiona dan Qaidir sahaja yang akan membela nasibnya. Kalau diharapkan pada mereka yang lain, hanya tahu mengherdiknya dengan kata nista.

"Tapi Mama Ona, takkan kita nak sedekahkan semua harta tok wan pada badan zakat? Kita? Nak merempat? Takkan Mama Ona dah lupa? Semua rumah dan harta yang kita miliki sekarang, penamanya masih lagi tok wan! Sampai mati pun tok wan tak tukar nama mak ayah kami! Rumah Mama Ona duduk tu pun bukan ke milik tok wan jugak?" Rozalia menggertak.

'Bodoh budak ni! Akal lembab! Macam siput!' maki Ungku Fiona dalam hati. Dia menjeling Qaidir supaya suaminya itu segera bertindak.

"Trisya anak abah, kami janji yang kami ni takkan usik TrisyaBeauty. Abah rayu dengan kamu, sayang... Abah rayu dengan suami kamu... Tolong bercerai untuk tempoh seketika. Sebaik sahaja urusan pembahagian harta ini selesai, abah sendiri yang akan pinangkan lelaki ini untuk kamu. Menantu abah, abah mintak maaf sebab pentingkan diri sendiri tapi terpaksa. Abah harap kamu sudi mengalah. Bercerailah... Bercerailah." Qaidir memujuk.

Trisya mengalihkan matanya daripada memandang skrin telefon. Dirinya rasa berdosa kerana mencipta penipuan sehingga Qaidir yang sudah dianggap seperti ayah sendiri itu berubah sayu.

'Air susu yang tok wan beri, mereka balas dengan tuba, Haq! Tapi... walaupun begitu, tok wan masih lagi limpahkan mereka dengan kemewahan. Tok wan tak ada sekelumit dendam pada anak-anak ke?' Trisya merenung Haq.

'Tak, Haq! Kalau tok wan berlembut, saya akan berkeras! Baik! Kita akan ikut rentak mereka, Haq! Kita tengok siapa yang menggolek dan siapa yang akan tergolek!' Trisya memandang ke wajah Haq seolah-olah dia terpaksa menuruti kehendak keluarga. Tubir matanya panas. Kolam matanya berlinangan.

Haq terpaku. Trisya berlakon dengan begitu hebat sehingga mampu membuatkan dia turut merasa sedih seolah-olah dia dan Trisya betul-betul akan berpisah. Kemudian Trisya menyembamkan wajah ke bahu Haq. Terenjut-enjut bahunya bergerak.

Pian curiga. Kalau sungguh mereka telah berkahwin dan saling mencintai, mana mungkin Haq akan akur dengan sebegitu mudah. Takkan cinta mereka hanya di bibir? Kalau dia menjadi Haq, lantaklah nasib semua orang. Apa yang dia tahu, isterinya tetap takkan ditukar dengan kemewahan dunia!

Anak menantu Almarhumah tersenyum puas. Sudah tahu bahawa kemenangan berpihak kepada mereka. Trisya dahulu dan sekarang masih lagi tidak berubah. Selama-lamanya akan dibuli oleh mereka.

Ungku Fiona berdiri. Dia merapati Trisya dan Haq. "Maafkan mama. Maafkan mama sebab biarkan semua ni terjadi."

Ungku Fiona tersenyum lebar dalam hati. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro