Bab 10
HADIAH TRISYABEAUTY BUAT RAKYAT MALAYSIA!
Sekali lagi TrisyaBeauty menjadi tajuk utama akhbar-akhbar tempatan. Kebaikan yang ditabur oleh pihak pengurusan syarikat bertaraf antarabangsa itu sememangnya sentiasa menjadi bualan umum.
"Esyah! Tengok ni! TrisyaBeauty buka pasar raya untuk orang miskin!" teriak Mahani sambil menepuk-nepuk helaian akhbar tersebut.
"Dorang memang ada dana khas, mak. Sebab tulah boleh bagi itu ini kat orang ramai. Lagipun semua tu teknik pemasaran aje. Lagi banyak dorang tabur kebaikan, lagi ramai orang sokong dia." Aisyah yang tidak bekerja pada hari tersebut bermalas-malasan di atas sofa. Dia menggeliat sambil menguap seluas-luasnya.
"Isy, buruk betul perangai! Bangun! Dah pukul 6.30 petang dah ni. Ayah kamu tu dah nak balik dari kerja kamu masih lagi nak membuta?" Mahani membeliakkan mata.
Aisyah menenyeh mata. Dia sudah membaca keratan akhbar tersebut secara dalam talian sebelum tertidur tadi.
"Ya, mak. Esyah dah baca. Dia buat dua blok bangunan. Satu blok untuk orang membeli-belah. Dalam tu semua barangan berharga 70 peratus lebih murah daripada harga pasaran. Satu blok lagi untuk orang fakir miskin yang tak mampu. Dorang just pergi aje dan ambik barang keperluan yang mereka nak. Tapi ambik hanya mengikut keperluan bukannya ikut nafsu nak borong semua." Aisyah menguap lagi.
Mahani tertarik mendengar penjelasan daripada anak gadisnya itu. "Wah, bagus betul TrisyaBeauty ni, ya? Kaya betul syarikat tu! Besar ke syarikatnya?"
"Mana tak kaya, mak? Cerita Korea yang mak selalu tengok tu... Apa nama? Oh Kyun Jae? Tu pelakon paling kaya kat Korea tu, mak. Dia tu jugak yang jadi duta untuk produk kecantikan TrisyaBeauty tu. Dengar-dengar, pemiliknya Melayu. Perempuan. "
Mahani terlopong. "Esyah! Belikanlah mak salah satu produk dia. Mak pun nak cantik macam artis-artis Korea tu jugak."
Aisyah meloncat bangun. "Esyah belum solat lagi ni, mak."
"Kau dengar tak apa yang mak mintak ni?"
"Mahal, mak. Taraf-taraf kita ni, tak berapa nak layak. Lagipun mak dah tua. Tak payahlah, mak. Krim mak dah berlonggok-longgok dalam bilik mak tu."
"Ah, kau kan doktor! Apa gunanya aku hantar kau belajar sampai jadi doktor kalau satu produk kecantikan macam tu pun kau tak boleh nak beli untuk mak?"
"Yalah, mak. Nanti Esyah beli. Tapi kena tunggu duit hantaran Abang Akmal bagi, ya?"
Mahani tersenyum simpul. Dia mula terbayangkan wajahnya yang putih mulus dan cantik tidak lama lagi.
"Oh, ya mak! Mana Trisya? Dah berhari-hari tak nampak muka dia. Dah mati ke?"
Mahani menjuihkan bibir. "Mak halau dia. Boleh dia tolak kahwin dengan Abang Akmal kau tu?"
"Kesianlah pulak dengan dia tu. Manalah dia bermalam kan, mak? Tapikan mak... Biarlah dia tolak Abang Akmal. Esyah kan ada. Esyah boleh jadi isteri Abang Akmal. Kalau bukan kerana Trisya tolak dia, Esyah nak kahwin dengan siapa? Esyah ni dah la sibuk, dah berumur pulak tu. Walaupun Esyah ni ada kerjaya tapi siapa yang nakkan Esyah? Esyah ni tak cantik macam Trisya tu. Takkan Esyah nak cop perkataan doktor atas dahi Esyah ni kalau keluar ke mana-mana?"
"Hah, sebab tulah kau kena beli produk TrisyaBeauty tu, Esyah! Biar cantik! Barulah Abang Akmal kau tu tak pandang orang lain. Kalau bukan kerana nak jaga air muka mak, tak adanya mak Si Akmal tu nak bagi kau nikah dengan anak dia."
Aisyah terpukul. "Mak! Ayah kandung Trisya tu handsome ke orangnya? Esyah syak mesti handsome gila, kan? Tengoklah Trisya tu. Anak mata dia warna hijau."
Aisyah mengetap gigi kemudian berlalu ke bilik tidurnya. Geram. Terasa seperti dirinya anak dara tua yang tidak laku apabila mendengar buah pukulan ibu kandungnya sendiri.
Trisya menyarung sepasang baju kurung moden berwarna merah jambu. Secalit gincu dilorekkan di bibirnya yang mungil. Puas hati dengan penampilan, dia mula bertolak ke rumah Haq.
Dalam setengah jam perjalanan, barulah dia tiba di lokasi yang dituju. Haq yang berbaju Melayu, berkain pelekat dan kopiah menantinya di luar rumah.
Trisya melangkah keluar dari kereta dengan senyuman manis terlakar di bibirnya. "Haq!"
Jari-jemarinya melambai. Haq membalas dengan lambaian segan. "Jemput masuk, Cik Trisya."
"Hah, Trisya dah sampai?" Acik Rozita menyoal.
"Bos Haq dah sampai, umi." Jantung Haq mula menyanyikan lagu tidak sekata. Trisya yang biasanya elegan, tampak ayu dan manis.
Trisya menanggalkan sandal lalu berjalan masuk. Wajahnya tersenyum mesra jauh berbeza dengan karakternya sewaktu bekerja. Kalaulah mereka di TrisyaBeauty tahu Trisya versi comel sebegini, tentu mereka tidak percaya.
"Apa khabar, umi? Babah?" sapa Trisya. Dirinya dipeluk dan pipinya dikucup oleh Acik Rozita.
"Khabar baik, Trisya. Hah, duduk-duduk! Umi ada masak ketam telur masin kesukaan Trisya," ujar Haji Shamsudin kemudian duduk.
Haq mempelawa Trisya duduk bersebelahan dengannya. "Jemput makan, Cik Trisya."
Trisya menepuk dahi. Buah tangan yang dibawanya tertinggal di dalam kereta. Lekas-lekas dia bangun dan keluar semula. Haji Shamsudin, Acik Rozita dan Haq berpandangan sesama sendiri.
Haq bangun dan mengekori Trisya ke luar rumah. Trisya kembali semula dengan membimbit dua beg kertas.
"Ini! Lupa nak keluarkan." Trisya senyum lagi.
"Ini untuk umi dan ini untuk babah," hulur Trisya kepada ibu bapa Haq.
"Ala, susah-susah aje! Lain kali tak payah bawak untuk umi dan babah. Kita bukannya orang lain. Umi dan babah anggap Trisya ni macam anak umi sendiri."
Trisya senyum seraya tertawa kecil. Aksi Trisya yang comel malu-malu itu membuatkan mata Haq terpaku. Haq berdeham serentak melabuhkan punggung. Dia meneguk air sirap dan membaca doa makan.
"Kalau umi tanya, Trisya jangan kecik hati, ya?"
"Tanya apa, umi?"
"Trisya dah ada buah hati? Dah ada kekasih? Calon suami?"
Haq tersedak. Lekas-lekas dia meneguk segelas air sirap dengan rakus. "Umi!"
Trisya senyum dan menggeleng. "Tak ada, umi. Tapi tak lama lagi Trisya kena kahwin."
Riak Haq berubah. Sekilas dia memandang ke wajah hampa ibu bapanya. Selamba sahaja Trisya menutur seolah-olah bangga mahu mengahwini Pian.
"Tapi... paling lama sebulan aje kami nikah. Lepas tu, cerai."
"Hah?" Kedua-dua ibu bapa Haq terperanjat.
Trisya menjongket bahu. "Perkahwinan ni macam satu urusan. Lebih kurang macam balas budi pun ada jugak."
"Umi tak faham." Acik Rozita berminat ingin tahu.
Haq melempar jelingan kepada ibu dan ayahnya namun kedua-duanya buat-buat tidak faham.
"Trisya ni cucu angkat aje. Sebab nak balas jasa dan wasiat, Trisya kena akur dengan perkahwinan tu."
"Allah!"
Haq menambah lauk-pauk ke atas pinggan Trisya. "Makan, Cik Trisya."
Suaranya dikeraskan. Dia tidak mahu Trisya bercerita panjang lebar. Itu hak peribadi majikannya. Baginya, ibu bapanya tidak berhak bertanya.
"Tak ada cara lain selain kahwin?" Haji Shamsudin tumpah simpati.
Trisya menggeleng. Dia tersenyum tawar.
"Dengan siapa? Sepupu?"
Trisya angguk.
"Keluarga Trisya sendiri tahu perkara ni?"
Trisya sekali lagi menggeleng. Dia bukannya tidak mahu khabarkan perkara tersebut kepada ibunya, tetapi entah wanita itu mahu mendengar atau tidak apa yang mahu dia perkatakan.
"Cik Trisya, umi... babah, sudahlah tu. Sejuk makanan nanti tak sedap."
"Yalah-yalah! Jemput makan, Trisya. Banyak pulak umi dan babah tanya."
Acik Rozita dan Haji Shamsudin saling bertukar pandangan dengan senyum meleret di bibir. Pandangan mereka bersilih ganti ke arah Trisya dan Haq. Pada pandangan mata tua mereka, Trisya dan Haq sama cantik sama padan. Lagipun mereka berkenan amat bermenantukan gadis itu.
Sesekali Trisya mencelah dengan bertanya tentang kehidupan ibu dan ayah Haq di Terengganu. Katanya, dia teringin mahu bercuti dalam Malaysia. Apa lagi, terus Acik Rozita mengajak Trisya bercuti di Terengganu. Janji Trisya, nanti dia akan mencari masa. Makin lebar senyum kedua-dua ibu bapa Haq.
Melewati angka 10 malam, Trisya beransur meminta diri. Setelah bersalaman, Haq mengiringi Trisya menuju ke kereta.
"Terima kasih Cik Trisya sebab sudi layan umi dan babah saya."
"Terima kasih apa pulak, Haq? Saya ni yang patut berterima kasih. Dahlah makan percuma kat sini, menumpang pulak kasih sayang umi dan babah awak."
Haq senyum nipis. Dia menghulurkan tangan meminta kunci kereta. Trisya menjongketkan kening.
"Nak hantarkan Cik Trisya. Dah malam ni."
Trisya senyum. Dia menekan penggera kereta dan menghidupkan enjin. "Kalau saya tak sampai kat rumah, awak boleh cari kat mana saya berada, kan?"
Haq dengan wajah risau tidak memberi sebarang balasan. Dia hanya melihat Trisya mengundurkan kereta dan berlalu pergi. Telefon di dalam poket baju Melayu dikeluarkan. Tidak berkelip dia mengamati pergerakan Trisya melalui gadgetnya itu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro