30 | Memori
Pintu bilik dikatup rapat. Katil Iskandar yang kosong menjadi tatapannya. Sudah seminggu katil itu tidak disentuh sesiapa. Itu pun dia yang melarang kawan-kawan lain daripada berbaring di situ. Dia tahu, Iskandar tidak suka orang menyentuh barangnya sesuka hati.
"Cepatlah balik, Nain." Omel Fahim sendirian.
Perlahan saja tapak kakinya menuju ke tingkap bilik. Tuala yang tersidai di ampaian luar diambil.
"Malasnya nak mandi. " Remaja lelaki itu menggeliat kecil sambil memandang suasana di ampaian luar. Tanah lapang itulah yang menjadi kawasan dia dan Iskandar berlatih bagi pertandingan olahraga. Tentu-tentu bukan Iskandar yang masuk, hanya dia sahaja yang ingin mencuba nasib dalam gelanggang setelah lama tidak beradu.
Peha kakinya yang patah semakin pulih setelah dua tahun berlalu.
Lalu sahaja ditepi katil, terus Fahim terduduk dan meletakkan tuala di sisi. Tali leher ditanggalnya disusuli dengan kemeja putih.
Dia mendaratkan tubuh perlahan-lahan ke katil. Memang terasa sepi tanpa Iskandar di dalam bilik itu. Kalau ada Iskandar, bolehlah disakat sampai sahabatnya itu mengamuk. Itu pun kalau Iskandar layan, kalau tak tergantung sepilah lawak Fahim.
Sedih juga tidur sendiri. Selalunya Iskandarlah yang menggerakkan dia pada waktu subuh. Lengan direhatkan pada dahinya.
Walaupun bilik itu mempunyai dua katil, kadang-kadang mereka berdua tertidur di atas lantai kerana keletihan belajar. Belajar atas lantai, terlelap pun atas lantai. Itu tak termasuk lagi berkongsi katil kerana Fahim sibuk menyempit ingin menyiapkan kerja sekolah. Akhirnya dia sendiri terlelap di katil Iskandar.
Segala memori itu membuatkan Fahim tersenyum. Katil Iskandar yang kosong masih
menjadi menungannya sehingga dia terlelap pada waktu asar.
***
“Kumpulan satu beratur dekat tepi dewan.”
Kumpulan satu? Fahim lah tu. Kumpulan telah dibahagikan dengan kiraan satu sehingga sepuluh sebentar tadi.
Fahim segera bergerak ke tepi dewan bersama-sama pelajar tingkatan empat yang lain. Kebanyakan peserta kem kepimpinan
kali ini ialah rakan yang baru dikenali memandangkan dia baru sahaja pindah ke sekolah tahun itu. Ada beberapa orang yang menyambut kehadirannya sebagai pelajar baharu sementara yang lain hanya buat tidak endah. Genaplah enam bulan dia bersekolah di sekolah berasrama penuh itu.
Anak matanya sibuk meliar bagi melihat ahli kumpulan sendiri.
Remaja lelaki yang paling hadapan bernama Syauqi. Itulah yang ramah sekali menegurnya sejak hari pertama persekolahan. Syauqi ialah seorang pengawas sekolah yang pandai main badminton.
Orang di belakang Syauqi juga dikenali Fahim. Dia cuba mengingati wajah itu dengan sekali imbas. Inilah wajah yang paling dibencinya! Iskandar, konon nampak baik.
Bayangkan, minggu lepas lelaki bernama Iskandar itu tiba-tiba sahaja memarahi Fahim. Mana tak panas hati itu. Hubungan percintaan jarak jauhnya dengan Zulaikha terputus di tengah jalan akibat campur tangan Iskandar yang mengaku sebagai abang Zulaikha.
Fahim berdecit melihat wajah Iskandar yang kelihatan tenang pada luaran.
Remaja lelaki itu berjalan ke arah Syauqi perlahan-lahan. Tiba sahaja, Fahim berpaling menghadap pelajar yang sedang berdiri di belakang Syauqi.
“Tepi sikit boleh tak?” Ujarnya sebelum menyusupkan badan ke dalam barisan.
Maka, terpaksalah Iskandar memberi ruang untuk Fahim mencelah di dalam barisan.
"Yes! Dapat duduk dengan Syauqi. Takdelah aku rasa kesunyian sangat dengan kawan-kawan baru ni." Fahim sudah gelak jahat dalam hati. Wajah toyanya dibuat-buat.
“Untuk aktiviti malam ni, setiap kumpulan akan diberikan sebatang lilin dan tiga batang mancis. Lepas tu korang kena masuk dalam hutan sana dan cari jalan keluar berdasarkan
checkpoint yang dah ditampal pada batang pokok. Selagi korang jumpa penanda tu, maksudnya korang di laluan yang betul. Faham?” Ujar Petugas disitu.
Lilin dan mancis diberikan kepada Syauqi selaku orang hadapan dalam barisan.
Cabaran yang diberikan cukup untuk membuat hati Fahim melonjak teruja. Maknanya, semua pelajar perlu keluar dari hutan sebelum sumber cahaya habis. Api akan terus memakan lilin hinggalah tiada lagi sumbu untuk dibakar. Saat api terpadam, segalanya akan jadi gelap gelita.
"Menarik-menarik." Fahim terangguk sendiri.
“Kau nak pegang lilin tak?” Syauqi mempelawanya.
“Tak nak lah. Aku jadi orang kanan kau je.” Sengih Fahim.
“Nain, kau tak nak lead ke barisan kita?” Syauqi berpaling kepada Iskandar.
Nama yang baru disebut Syauqi menarik hati Fahim Luth. Nama 'Nain' agak popular dalam kalangan pelajar tingkatan empat. Ramai memujinya jika disabitkan dengan kepimpinan, berdisiplin dan berani.
"Siapa Nain? Mana satu?" Fahim mengerutkan dahinya. Teringin pula untuk bersua dengan satu-satunya pelajar sekolah yang sudah
ke kor kadet polis peringkat kebangsaan.
“Kau je la. ” Iskandar menolak lilin itu kepada Syauqi.
"Eh? Kenapa Iskandar pula yang jawab? Mana Nain?" Bisik hati Fahim. Keningnya bertaut seketika.
Syauqi mula melangkah apabila petugas itu berjalan untuk menuju ke trek permulaan.
“Weh, Iskandar dan Nain tu orang yang sama ke?” Bisiknya pada Syauqi.
“Yela. Nama dia Iskandar Dzulkarnain. Apa lah kau ni, dah enam bulan pun tak kenal lagi batchmates.” Geleng Syauqi.
Fahim mencebik. “Dia yang sombong. Manalah aku nak tahu nama penuh dia.”
Langkahnya diteruskan sehinggalah Syauqi berhenti. Nampaknya, barisan mereka telah tiba di permulaan trek denai. Fahim terpana dengan laluan hutan di hadapan. Satu cahaya pun tidak kelihatan tatkala petugas mematikan lampu suluh.
“Selamat mencari jalan keluar.” Ujar lelaki lewat 30-an itu sebelum lenyap dalam kegelapan malam.
Fahim tersenyum kelat. Suasana seram mematikan perasaan terujanya.
Mancis pertama digunakan Syauqi untuk menyalakan lilin. Biasan api lilin sedikit sebanyak hanya menerangi kawasan
di sekitar Syauqi sahaja. Mujurlah cahaya rembulan masih menerangi. Dapatlah Fahim melihat wajah-wajah ahli kumpulannya.
“Okay, semua dengar sini.” Iskandar mengambil tempat di sebelah Syauqi lalu menghadap mereka yang lain.
“Syauqi akan ketuai kita. Kita akan gerak dalam satu barisan tanpa putus. Orang selepas Syauqi ialah Fahim dan diikuti dengan budak-budak perempuan. Aku dan budak lelaki yang lain akan sambung barisan belakang. Cuma pastikan ada kerjasama tu, aku rasa kita sekejap je boleh keluar ni. Kalau ada apa-apa
masalah boleh inform pada Syauqi. 10 orang masuk hutan ni, pastikan 10 orang juga yang keluar. Aku tak nak terkurang atau
terlebih.” Arahan Iskandar dibalas Fahim dengan anggukkan kecil.
"Patutlah orang asyik puji dia." Gumam Fahim sendirian. Sedikit kagum terhadap Iskandar.
Barisan mula dibentuk kembali seperti mana yang disuruh oleh Iskandar atau nama penuhnya Iskandar Dzulkarnain. Beruntung Fahim jadi orang yang kedua dalam barisan. Sekitarnya diterangi lilin yang dipegang oleh Syauqi.
Benar sangkaan Fahim. Hutan itu semakin gelap setelah mereka berjalan tanpa henti sejak tadi. Terkadang ada dahan kayu
yang membuatkan dia hampir tersadung.
“Jaga-jaga, bawah ni ada batang kayu. Langkah besar sikit.” Fahim menyampaikan pesanan kepada orang belakangnya.
Pesanan itu akan terus disampaikan hinggalah kepada orang terakhir dalam barisan.
Barisan itu terus menyelusuri kegelapan malam untuk beberapa ketika hinggalah langkah Fahim semakin perlahan.
“Kenapa berhenti Fahim?” Soal Syauqi.
“Aku nak duduk barisan belakang. Kau jalanlah dulu.” Tipu Fahim.
Kerana asyik tersilap langkah, pehanya terasa sakit secara tiba-tiba. Fahim memegang peha kirinya.
"Kenapa kau sakit time sekarang?" Geram hatinya. Disebalik seluar itu, ada satu jahitan yang tersemat pada kulit peha. Seakan-akan lipan yang melingkar sejak kemalangan pada tahun lepas.
Ahli kumpulannya yang lain mula melintasi. Fahim masih mencuba untuk melangkah perlahan-lahan walaupun rasa kesakitan itu menyegat. Akhirnya dia berhenti melangkah apabila dapat merasai lantai hutan semakin curam. Risiko besar andai dia berlagak berani dan terus melangkah dalam kegelapan.
“Kau okay?” Soal Iskandar.
Kalau Iskandar kat sini, maksudnya aku sedang berada di penghujung barisan. Fikir Fahim.
“Kaki kau sakit ke?” Soalnya lagi.
Fahim mengetap bibir seketika. “Kau jalan la dulu. Nanti aku ikut.”
“Jom.” Lengan kirinya tiba-tiba sahaja dibawa ke bahu Iskandar. Dia sedang dipapah Iskandar dengan baik.
Iskandar mula menapak ke hadapan dengan mengambil kira keadaan Fahim. Jauh disudut hati, remaja lelaki itu berasa segan
dan malu atas pertolongan yang diberikan.
Langkah mereka berjaya menyaingi penghujung barisan. Cukup untuk Fahim melepaskan nafas lega. Mujurlah Iskandar ada, kalau tak mesti dia sudah terputus daripada barisan.
Lengannya berpaut pada bahu Iskandar sementara tangan yang lagi satu terbebas untuk memegang dedahan pokok kecil
di sepanjang laluan yang agak curam itu.
“Iskandar.” Panggil Fahim perlahan.
“Ya.”
“Maaf susahkan kau.”
Fahim dapat melihat senyuman manis milik Iskandar meskipun kedudukan mereka
jauh daripada cahaya lilin yang dibawa Syauqi. Inilah kali pertama untuk dia melihat segaris senyuman di bibir itu. Selama ini, Fahim hanya
digembar-gemburkan dengan Iskandar yang suka menyendiri dan bersikap dingin.
ZASSS
Tiba-tiba badan Fahim tertarik ke bawah. Mujurlah tangannya sempat berpaut pada dahan pokok berdekatan di laluan bercuram
itu. Namun, sekelip mata Iskandar telah terjatuh ke bawah. Biji mata Fahim terbeliak.
Dia cuba untuk turun ke bawah tetapi hasratnya dimatikan. Ketinggian tanah yang dipijaknya tak pasti berapa tajam kecerunan.
“Iskandar?” Fahim semakin cemas.
“Aku okay.” Sahut Iskandar.
Iskandar kembali memanjat tebing agar kembali searas dengan Fahim. Sekali lagi Fahim menghembuskan nafas lega. Iskandar masih berdiri elok dihadapannya. Kalau dalam drama kebiasaannya orang yang jatuh dalam hutan dah berdarah-darah dah kepala. Untuk memastikan kepala Iskandar okay, dia segera
memeriksa.
“Apa kau buat ni?” Iskandar mula rimas dengan
perbuatan remaja itu.
Fahim mempamerkan sengihan. “Jom sambung jalan.”
Perjalanan itu diteruskan. Iskandar memapah Fahim hinggalah ke checkpoint yang terakhir.
Masing-masing menarik senyuman apabila menerima ucapan tahniah daripada petugas. Katanya, mereka perlu tunggu kumpulan lain sampai juga, barulah boleh pulang ke tapak
perkhemahan.
Malam yang tak diduga oleh Fahim sendiri. Dia melabuhkan punggung perlahan-lahan ke lantai hutan yang dilitupi dedaunan kering. Peha kirinya diusap.
Tittt
Jam tangan berbunyi menandakan telah pukul 12 malam.
Fahim mengintai pula Iskandar yang duduk disebelahnya. Senyuman nipisnya terukir melihat Iskandar sedang memeluk lutut ke dada dengan wajah yang menekur lantai. Mungkin kawan baharunya itu penat memapahnya semalaman.
Namun, senyuman Fahim semakin kendur tatkala terlihat kesan darah pada lengan Iskandar. Dia cuba menyentuh luka itu
tetapi Iskandar segera mengalihkan lengan.
“Lengan kau luka ni.” Fahim sedikit bimbang.
Iskandar mengangkat wajah. “Aku jatuh tadi kan.”
Keadaan itu membuatkan Fahim tak boleh duduk diam tanpa melakukan apa-apa. Dia bingkas berdiri lalu memanggil petugas yang berada di situ.
“Kawan saya jatuh tadi. Lengan dia berdarah.”
Akhirnya wajah Iskandar betukar ketat apabila mereka berdua tiba di khemah rawatan.
“Tsk…” Iskandar Dzulkarnain meringis apabila lukanya dicuci dengan alkohol.
Barulah Fahim sedar yang lengan Iskandar tertusuk sesuatu sehingga berdarah dengan banyak. Pandangannya berakhir ke
lantai.
"Salah aku ke? " Hati itu bertambah sayu. Dia cukup tidak suka menyusahkan orang sekeliling. Tetapi malam ini sahaja seseorang yang dia benci terluka kerana membantu dirinya.
“Janganlah sedih. Luka sikit je ni.” Sapa Iskandar setelah lukanya dirawat.
“Kalau kau tak fokus dekat aku tadi, kau takkan jatuh.”
Rasa bersalah makin menjerut Fahim. Dia malu untuk bertentangan mata dengan Iskandar. Wajahnya masih menekur lantai.
"Macam mana kalau Iskandar jatuh dan tertusuk dekat perut ke tadi? Salah aku, kan? Dah tahu kaki tu tak sembuh lagi, gatal
nak sertai kem." Gumam hati kecil Fahim.
Iskandar tidak membalas apa-apa pun. Fahim seolah-olah meletakkan kesalahan yang berat pada bahu sendiri padahal luka itu tidaklah sebesar mana sehingga terpaksa dijahit.
“Maafkan aku, Iskandar.” Sambung Fahim.
“Nain. Panggil aku Nain.” Senyumnya. Wajah sebenar Fahim dapat dilihat pada malam itu. Disangkakan romeo seperti Sarip Dol, rupanya ada taman dalam hati.
“Aku memang nak tolong kau dan aku tak kisah pasal keselamatan aku asalkan kau okay.” Ujar Iskandar lagi.
“Kenapa?” Fahim memotong.
“Itulah yang kawan akan buat, kan?” Raut wajahnya yang ikhlas menyedarkan Fahim Luth.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro