Bab 9
HAYYAN menutup fail di atas meja dengan perlahan, seakan-akan berat untuk menerima hakikat yang sedang menghambat fikirannya. Sambil mengeluh, dia memusingkan kerusi ke belakang dan menghadap cermin kaca besar yang memantulkan pemandangan kota dari kejauhan.
Deretan bangunan tinggi dan kesibukan jalan raya di bawah sana tidak mampu menenangkan gelora yang bersarang di dada. Dalam keheningan, fikirannya melayang jauh, merenung perancangan Puan Sri Haila yang begitu gigih untuk menyatukan dia dengan pilihan keluarga. Hayyan memejamkan mata seketika, berusaha mencari ketenangan dalam keresahan yang semakin menghimpit.
"Kenapa harus dia?" bisik Hayyan dalam hati, merenung kosong pada langit yang kelihatan buram oleh kabus.
Tiba-tiba, suara lembut Puan Sri Haila memecah kesunyian, membuatkan Hayyan terkejut.
"Jauh anak mama termenung."
Hayyan berpaling dan menatap ibunya yang berdiri di ambang pintu. "Ma? Mama buat apa dekat sini?" Soalnya, sedikit terperanjat.
Puan Sri Haila tersenyum sinis. "Haih, mama tak boleh ada dekat syarikat anak sendiri ke?"
Hayyan menarik nafas panjang, merasai perasaan tidak senang yang semakin menyelubungi dirinya. "Bukannya macam itu. Mama selalu datang kalau ada nak minta sesuatu aje."
"Tepat sekali! Mama memang datang dengan hajat pun. Jadi macam mana dengan perempuan semalam? Berkenan tak?" tanya Puan Sri Haila, wajahnya penuh harapan.
"Mama tak rasa terlalu cepat ke untuk minta jawapan?" Hayyan cuba mengelak, bimbang dengan apa yang akan terjadi.
"Kenapa pula? Perempuan yang mama cadangkan tu lagi elok daripada perempuan tomboy yang kamu bercinta dulu. Cantik pun cantik. Ada kerjaya, ada masa depan. Setaraf dengan Hayyan! Apa lagi nak difikir?" jawab Puan Sri Haila, seolah memberi hujah yang kukuh.
"Bukan masalah tu ma. Tapi tak boleh ke cari yang lain? Perempuan tu..." suara Hayyan terhenti, seolah malas untuk terus berbicara.
"Mama kenal keluarga dia dan mama pasti dia sahaja yang sesuai dengan Hayyan. Kenapa nak kena cari yang lain pula? Atau kamu sengaja nak lambatkan supaya boleh jumpa dengan Jina?" Puan Sri Haila menyoal dengan nada mendalam.
"Enough lah ma, Jina dah tak ada kena mengena dengan hidup Hayyan. Jangan kaitkan dia lagi." Jawapan Hayyan keluar dengan sedikit kemarahan.
"Mama ungkit sebab Hayyan masih fikirkan tentang dia. Kalau Hayyan lupakan dia, mama pun tak ingin sebut nama perempuan tu lagi. Susah sangat ke nak cari pengganti? Mama dah tolong pun kamu masih lagi beri banyak alasan."
Hayyan menundukkan wajahnya, menggigit bibir menahan perasaan. "Hayyan janji Hayyan akan berkahwin dengan sesiapa sahaja pilihan mama, tapi bukan yang semalam. Tolonglah... cakap yang Hayyan tak sudi jadi suami dia. Please..."
"No! Mama suka dengan perempuan tu!" Puan Sri Haila memberi jawapan tegas.
"Ya Tuhan, kenapa mama susah sangat nak dengar cakap Hayyan? Hayyan pun ada hak tentukan siapa bakal isteri Hayyan!" Hayyan menahan emosi, wajahnya penuh keletihan.
"Perempuan tu dah cukup sempurna. Apa lagi yang tak kena dengan kamu?"
"Dia kawan baik Jina. Itu masalahnya sekarang!" Hayyan menjawab dengan nada yang sedikit lebih keras.
Puan Sri Haila terdiam, seolah mempertimbangkan kata-kata anaknya itu.
"Jihan tu satu-satunya kawan yang Jina ada. Kalau dia tahu Jihan bakal kahwin dengan Hayyan, dia akan lagi kecewa..." Hayyan menyambung dengan nada perlahan, suaranya penuh dengan perasaan yang tidak dapat ditahan.
"That's not my problem. Penting ke kawan atau tak? Jihan pun tak fikirkan tentang Jina, dia setuju aje nak kahwin dengan kamu. Tapi kamu pula yang sibuk fikirkan pasal perempuan tu." Puan Sri Haila menyanggah, seakan-akan tidak mengerti.
"Sebab dia tu dah lama sukakan Hayyan..." jawab Hayyan perlahan, cuba menjelaskan.
"Baguslah kalau macam itu. Dah jelas jodoh kamu memang Jihan, bukannya Jina. Jadi cukup sampai sini sahaja jawapan kamu. Iaitu kamu akan kahwin dengan dia bulan depan. Dan mama datang sini untuk ingatkan Hayyan yang baju pengantin dah tempah. Hari cuti nanti pergi fiting baju. Faham?!" Puan Sri Haila bersuara tegas, seakan-akan tidak mahu mendengar sebarang bantahan lagi.
Hayyan terdiam. Suara ibunya yang keras dan tidak memberi ruang untuk berfikir terasa memaksa. Dalam hatinya, gelora semakin membuak, namun dia tahu, kali ini dia terpaksa mengalah.
Puan Sri Haila melangkah perlahan menghampiri anak lelakinya yang sedang duduk termenung di belakang meja pejabat. Dia menyedari kegelisahan yang terbias pada wajah Hayyan, dan dengan penuh lembut, dia mengurut bahu anaknya.
"Oh, Hayyan... kamu janganlah risau," suaranya tenang, cuba meredakan keresahan yang semakin jelas di wajah anaknya.
Namun, Hayyan hanya diam, matanya tidak berganjak dari pemandangan luar jendela, seolah-olah mencari jawapan pada dunia yang luas di hadapannya.
"Jihan tu baik. Mama kenal keluarga dia, semuanya bekerjaya. Kamu akan bahagia dengan dia, percayalah," tambah Puan Sri Haila, cuba meyakinkan anaknya dengan kata-kata penuh harapan.
Namun, suara Hayyan yang lembut namun penuh dengan rasa kecewa memecah kesunyian.
"Tak ada apa yang Hayyan boleh cakap. Semua keputusan mama yang buat. Jadi nak atau tak, Hayyan terpaksa percayakan mama. Hayyan tak ada pilihan." Dia menepis lembut tangan ibunya yang masih berada di bahunya sebelum bangun dari kerusinya. Dengan perlahan, dia memperbetulkan kot yang sedikit kedut sebelum melangkah menuju pintu.
Puan Sri Haila berdiri sejenak, terasa seperti ada duri yang menikam hatinya mendengar kata-kata anaknya itu. Dia mengetap bibir, menahan geram dan kecewa apabila Hayyan melayannya dengan sikap acuh tak acuh.
"Apalah yang perempuan tomboy tu buat dekat kamu sampai susah nak dengar cakap mama?" bisiknya dalam hati, sambil memerhatikan langkah anaknya yang semakin menjauh.
Hari semakin senja, langit yang mula berubah menjadi jingga menandakan bahawa waktu sudah hampir tiba untuk mengakhiri hari. Jina menarik grill pintu dengan perlahan, menutup kedai bengkelnya yang sudah hampir sepi. Suara gemersik besi menyusuri udara, seiring dengan bunyi enjin motorsikal yang terparkir di sebelah. Ketika dia sedang sibuk mengunci pintu, dia terasa ada sepasang mata yang menatapnya dari belakang. Tiba-tiba, Jihan muncul dari bayang-bayang, berdiri di sana dengan wajah yang tampak sedikit gelisah.
Jina memandangnya sejenak, merasakan sesuatu yang aneh dengan sikap Jihan yang tidak bergerak dari tempatnya. Dia merasa sedikit canggung apabila mendapati wanita itu masih berdiri di sana tanpa mengatakan apa-apa.
“Kau apahal pandang aku macam tu?” soal Jina, dengan nada sedikit bingung sambil melangkah menuju ke arah motorsikalnya. Dia mencapai helmet yang tergantung di pegangan motorsikal, namun tidak memakainya serta-merta.
Jihan menarik nafas panjang, seolah-olah mencari kata-kata yang tepat sebelum mengajukan soalan.
“Kalau aku tanya kau satu soalan sebelum balik, boleh?” tanyanya, nada suaranya sedikit bergetar, seakan masih ragu untuk melontarkan pertanyaan yang telah lama mengganggunya.
Jina berhenti sejenak, memandang Jihan dengan wajah yang tenang, sedikit bingung dengan nada penuh keraguan itu.
"Nak tanya apa?" tanyanya kembali, menunggu jawapan dengan penuh kesabaran.
Setelah menelan air liur, Jihan akhirnya bertanya,"Kau masih ada perasaan ke dekat Tengku Hayyan?"
Soalan itu membuatkan Jina tergelak kecil, namun gelakannya terdengar sedikit sinis dan penuh amarah.
"Memang tidaklah! Hidup mati pun aku akan benci dia sampai bila-bila. Disebabkan jantan macam dia, aku dah banyak bazirkan masa aku," jawab Jina dengan penuh kekesalan, suaranya dipenuhi rasa benci yang mendalam. Wajahnya kelihatan serius, dan dia seolah-olah sedang berjuang untuk mengawal amarah yang membakar dalam hatinya.
Jihan seakan mahu tersenyum mendengar jawapan Jina yang begitu tegas, namun dia cuba menahan perasaan itu. Dia faham betapa besar pengaruh lelaki itu dalam hidup Jina.
"So, kau akan lupakan dia?" tanya Jihan lagi, ingin mendapatkan kepastian dan melihat bagaimana Jina benar-benar merasakan tentang itu.
Namun, Jina hanya menjuihkan bibirnya dan memandang ke arah motorsikalnya, kelihatan seperti sedang memikirkan sesuatu.
"Lupakan? Aku akan balas dendam pada dia sampai hati aku puas. Baru aku akan lupakan dia!" jawabnya dengan penuh tekad, namun ada sedikit kelam kabut dalam suaranya, seolah-olah dia sedang berjuang dengan dirinya sendiri. Dia tidak tahu bagaimana caranya untuk melupakan, tetapi dia pasti mahu membuat lelaki itu merasai apa yang telah dia rasakan.
Jihan terdiam mendengar jawapan itu. Sepertinya ada sedikit kekaguman dalam dirinya terhadap semangat Jina, namun dia tidak rada rancangan wanita itu bakal berjaya.
“Boleh ke perempuan macam kau balas dendam dekat lelaki kaya macam Hayyan?” soal Jihan dengan nada yang agak mengejek, meragui sejauh mana Jina dapat membawa usahanya itu. Dia sedar, Hayyan bukanlah lelaki biasa. Dia mempunyai segala-galanya: kuasa, kekayaan, dan pengaruh yang luas.
Jina terdiam seketika, memikirkan kata-kata Jihan. Seperti disedarkan dari lamunan, dia menyedari sesuatu yang cukup menyakitkan hatinya. Dia tidak mempunyai apa-apa yang dapat menjatuhkan lelaki itu. Apa yang dimilikinya hanyalah kemarahan yang membara dan rasa tidak puas hati yang tidak terluahkan.
Namun, dalam keheningan itu, sesuatu muncul dalam fikirannya. Sebuah tawaran yang datang dari seorang lelaki misteri yang ditemuinya beberapa jam lalu. Kad jemputannya masih berada dalam beg tangan Jina, seolah-olah menunggu untuk dipertimbangkan.
Patutkah dia bertemu dengan lelaki itu? Mungkinkah lelaki itu mempunyai cara untuk membantunya, atau mungkin dapat memberi jalan keluar dari kekeliruannya? Atau... dia cuma manusia pelik?
"Jina?" Jihan menegur sekali lagi apabila melihat Jina yang terlalu lama terdiam, seolah-olah melayang jauh dalam fikirannya.
Dengan pantas, Jina menggoyangkan kepalanya, cuba untuk kembali ke dalam realiti.
"Kau fikir apa?"
"Tak ada apa-apa," jawabnya dengan cepat, namun ada sesuatu dalam suaranya yang terdengar tidak meyakinkan. Dia memalingkan wajahnya, menyembunyikan segala kekeliruan yang kini mulai bercampur di dalam hatinya.
"Kau free tak malam ni? Aku cadang nak ajak kau lepak kat dataranlah alang-alang esok cuti. Bosanlah duduk rumah, nenek aku tu bukannya boleh tengok aku duduk saja-saja," soal Jina, dengan mata yang memandang Jihan penuh harapan, menunggu jawapan yang pasti.
Namun, Jihan kelihatan agak teragak-agak. Wajahnya tidak menunjukkan minat, malah ada sedikit kekeliruan di raut wajahnya.
"Mungkin lain kali kut? Aku ada dinnerlah malam ni," jawab Jihan, suaranya agak tersekat-sekat, penuh dengan rasa serba-salah.
Mendengar jawapan itu, kening Jina sedikit terangkat, terkejut. Jihan ada dinner? Jarang sekali dia mendengar tentang Jihan yang terlibat dengan acara sosial sebegitu.
"Kau ada dinner? Dengan siapa?" Soalnya, nada suara agak teruja, ingin mengetahui lebih lanjut.
Jihan sedikit terdiam, seolah berfikir sejenak, dan akhirnya menjawab dengan suara yang kurang yakin,
"Err... dengan keluarga aje." Jawapannya terdengar agak tergesa-gesa, seolah-olah ingin menutup perbualan dengan cepat.
Jina mengangguk perlahan, memahami jawapan itu meskipun rasa ingin tahunya masih belum terpadam sepenuhnya.
"Takpalah kalau macam tu. Lain kali aje kita keluar sama-sama. Aku balik dulu ek? Nanti bising pula Nek Piah aku tu," kata Jina sambil menghidupkan enjin motorsikalnya. Helmet yang tergantung di sisi segera dipakai, dan dia bersiap untuk meninggalkan tempat itu.
Jihan hanya mengangguk kepala, memberikan sedikit ruang agar motorsikal Jina dapat melaluinya.
"Hati-hati bawak motor tu," pesan Jihan dengan nada penuh perhatian, sambil matanya mengikuti gerak-gerik Jina.
Jina hanya memberi isyarat 'okay' dengan jari telunjuknya sebelum bergerak pergi, menghidupkan motorsikal dan meluncur pergi meninggalkan bengkel itu.
Setelah kelibat Jina semakin jauh dan hilang dari pandangan, Jihan menghela nafas panjang, mengeluh berat. Wajahnya tampak muram, dan suara hatinya berbisik perlahan.
"Aku minta maaf, Jina," ucapnya perlahan, seolah-olah suara itu hanya untuk dirinya sendiri, penuh dengan penyesalan yang tak terungkapkan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro