BAB 8
“MASUK! cepatlah masuk!!" Jina menolak tubuh lelaki itu dengan cemas, memaksanya masuk ke dalam almari sebelum pintu diketuk lagi. Hatinya berdebar-debar mendengar ketukan pintu dan panggilan Nek Piah yang memanggil namanya berulang kali. Namun, lelaki itu tetap berkeras tidak mahu bersembunyi dalam almari. Waktu semakin suntuk!
"Aku tak nak masuk!" Jerit Azel.
"Habis tu nak menyorok dekat mana? Ini sahaja tempat yang muat! Itulah, siapa suruh muncul dalam bilik sesuka hati? Sekarang, tanggung sendiri! Masuk!" Jina menolak lagi tubuh Azel sehingga lelaki itu terpaksa masuk ke dalam almari. Pintu almari ditutup rapat. Sesak! Rasanya seperti cuba memuatkan gajah ke dalam almari.
"Jina!" Kedengaran suara Nek Piah dari luar.
"Ya, Nek Piah. Kejap! Kejap!" Jina berlari ke pintu, memulas tombol dan membuka pintu perlahan-lahan. Senyum terukir di bibirnya sebaik melihat wajah Nek Piah di luar.
"Ya, Nek Piah. Kenapa?"
"Kenapa lambat betul kamu buka pintu?" tanya Nek Piah.
"Err..." Jina memandang sekeliling, mencari alasan. Manalah tahu ada terselit di mana-mana.
"Ada tikus tadi, Nek Piah. Jina sibuk tangkap tadi, itu yang lambat sikit buka pintu."
"Ya ke tangkap tikus? Tadi Nek Piah ada dengar kamu macam bercakap aje?"
Jina mengerutkan kening, berpura-pura keliru.
"Bercakap? Oh... bukan bercakaplah Nek Piah tapi membebel. Tikus tadi tu degil betul nak keluar! Ish, Ish Ish... Geram!" ucapnya konon tidak puas hati tentang tikus yang berkeliaran di dalam bilik. Harap-harap lakonannya menjadilah. Kalau tak jadi, masak nanti!
Nek Piah menggelengkan kepala sambil mengeluh.
"Macam-macamlah kamu ni..."
Tanpa sebarang isyarat, Nek Piah terus masuk ke dalam bilik cucunya. Jina tersentak. Pantas berlari menghalang jalan neneknya daripada menuju ke arah almari. Langkah Nek Piah automatik berhenti saat dihalang. Kepala mendongak memandang Jina dengan muka pelik.
"Kamu ni dah kenapa halang jalan nenek?"
"Kenapa Nek Piah nak pergi ke almari Jina?" Soalan dibalas soalan. Berpeluh-peluh sudah dahi Jina ketika ini. Dah boleh bayangkan bagaimana reaksi Nek Piah jika buka pintu almari dan tiba-tiba muncul lelaki entah daripada mana tercongok di dalam. Pasti pengsan terus orang tua ni!
"Nek Piah nak cari kain batik yang baru beli minggu lepas. Tadi cari dekat dalam almari bilik Nek Piah tak ada,mungkin masa lipat kain haritu Nek Piah termasukkan dekat almari kamu kut? Itulah nak check. Dah tepi." jawab Nek Piah tanpa curiga, terus melangkah menuju almari.
"Eh, kejap! Kejap!"
Sekali lagi Jina menghalang. Kali ini siap depakan tangan lagi. Seolah-olah sedang bermain galah panjang pula.
"Esok aje cari tak boleh ke Nek Piah? Dah lewat ni..."
"Eh, suka hati akulah nak cari sekarang pun apa salahnya? Aku nak pakai kain tu untuk tidur. Yang kamu jadi pelik macam ni dah kenapa? Haih, pergilah tidur sana. Selalunya kamu tu kalau bab membuta nombor satu!" Herdik Nek Piah. Terus lengan Jina yang menghalang jalannya ditepis sehingga Jina berganjak ke tepi. Lantas, Nek Piah meneruskan langkahnya ke arah almari.
Jina semakin gelisah. Jantungnya berdegup kencang. Alamak! Nek Piah semakin hampir dengan almari. Pintu almari kini sudah tergenggam di tangan neneknya.
Jina menutup matanya dengan kedua belah tangan, tak sanggup melihat apa yang bakal terjadi. Kedengaran pintu almari ditarik, membuatkan bulu roma Jina meremang.
Ampunkan Jina, nek!
"Tak ada pun dekat sini. Dekat mana aku letak ya kain batik tu?" bebel Nek Piah sambil tangannya menyelongkar almari pakaian cucunya. Tiada pun terselit kain batik di celahan baju-baju Jina. Mungkin dia tersilap letak di mana-mana. Haih, dah tua-tua ni kuat betul pelupa aku... omel Nek Piah di dalam hati.
Pintu almari kembali ditutup. Nek Piah berpaling dengan kening berkerut.
"Kenapa kamu tutup mata?" soal Nek Piah, bingung.
Jina membuka mata perlahan-lahan, lega apabila pintu almari sudah ditutup rapat.
"Hu... Huh?"
"Kamu tutup mata tu kenapa?" Soalan diulang.
"Tadi... dalam almari tu ada apa-apa tak?"
"Ada apa?" Nek Piah tidak faham.
"Apa-apa yang menakutkan?"
"Haih, kamu merepek apa ni Jina? Tak ada apa pun dalam almari kamu tu! Jangan nak berangan yang bukan-bukan boleh tak? Kamu tu dah besar. Bukan budak kecil lagi. Sudahlah! Nek Piah nak masuk tidur. Kamu pun pergi tidur. Mungkin sebab kamu tidur lewat Kut jadi pelik macam ni?" Herdik Nek Piah. Pelik dengan sikap cucunya malam ini. Tak sangka dah dewasa pun masih lagi kuat berangan cerita hantu yang bakal keluar daripada dalam almari. Itulah padahnya kalau tidur lewat! Suka fikir yang bukan-bukan.
Jina tersengih sambil kepala digosok-gosok.
"Kain batik yang Nek Piah cari tu?"tanya Jina, berusaha menahan gelisah.
"Tak jumpa. Esok ajelah cari!" Kata Nek Piah, langsung melangkah keluar daripada bilik cucunya. Pintu bilik ditutup rapat.
Sebaik sahaja kelibat Nek Piah menghilang, Jina terus berlari menuju ke almari. Ingin melihat sendiri sama ada lelaki misteri itu benar-benar menghilang atau tidak. Dan ya! Saat pintu almari terbuka, almarinya hanya dipenuhi dengan pakaian.
"Celah mana dia keluar ek? Sah! Lelaki tu memang Jin." Jina berbisik, kagum dengan kejadian yang baru berlaku.
Pap! Pap!
Sengaja Jina menampar pipi sendiri dua kali. Terasa pedih kulitnya. Buatkan kepalanya terangguk-angguk mengiyakan segala yang terjadi tadi bukanlah mimpi namun realiti.
"Aku tak mimpi, dia betul-betul masuk bilik aku." Ngomel Jina sendirian.
Tiba-tiba, bunyi anjing jiran yang menyalak kuat memecah kesunyian malam, membuatkan Jina terkejut. Tanpa berfikir panjang, dia terus berlari ke katil dan menyelubungi dirinya dengan selimut. Hatinya berdegup kencang, takutkan sesuatu yang lebih mengerikan dari apa yang baru sahaja dialaminya. Bunyi salakan anjing itu semakin kuat, seakan-akan menambah ketegangan dalam biliknya yang semakin suram.
"Ni semua sebab tidur tak basuh kaki!"
SEPERTI biasa, Jina tiba di bengkel tepat pada waktunya. Jam menunjukkan pukul 12 tengah hari dan semakin ramai penunggang motosikal mula singgah di bengkelnya untuk menukar tayar atau membetulkan rantai motor. Suasana bengkel penuh dengan bunyi mesin dan alat-alat yang berkeriut.
Jina duduk mencangkung dengan pantas, tangannya lincah memegang alat-alat mekanik, membetulkan tayar motosikal pelanggan. Bajunya sudah comot dengan minyak dan gris. Sebagai seorang mekanik, dia sudah biasa dengan keadaan ini. Tidak ada istilah bersih atau rapi, apatah lagi dengan wajah yang sentiasa kotor. Ini adalah dunia yang tidak ramai wanita pilih, tetapi Jina tidak peduli. Bagi mereka yang berfikiran sempit, wanita tidak arif dalam membaiki barang, tetapi dia tahu kemampuannya. Lagipun, bukan semua wanita mementingkan kecantikan atau kebersihan apabila bekerja.
"Dah siap, Encik." kata Jina, akhirnya berdiri selepas selesai membetulkan tayar motosikal pelanggan.
Pelanggan berbaju Food Panda itu tersenyum, bangun dan melihat motosikalnya sudah siap.
"Terima kasih ya."
Jina mengangguk kepala. Setelah membayar, pelanggan itu terus membonceng motorsikalnya pergi. Kemudian, Jina mengatur langkah ingin menuju ke bilik tukar pakaian. Tak perasan ada minyak tumpah diatas lantai sehingga dia terpijak lalu tergelincir.
"Argh!!" Jina terjerit kecil, cuba mengimbangi tubuhnya yang hampir jatuh. Namun, sebelum dia sempat terhumban ke lantai, ada tangan yang pantas menyambar pinggangnya dari belakang. Jina, yang masih terkejut, terus memaut batang leher yang menyambutnya dengan kuat.
"Jihan! Tolong jangan lepaskan aku Jihan! Bawa aku ke tepi. Lincin dekat sini." rayu Jina tanpa membuka mata, masih menggenggam erat leher itu.
"Okay." ringkas sahaja suara garau itu membalas.
Jina terkejut. Dia membuka mata dan melihat sepasang mata yang sangat dikenali. Dengan cepat, mata mereka bertemu, dan Jina tergamam. Hantu raya! Kenapa dia ada di sini? Dari mana lelaki ini tahu dia bekerja di bengkel ini? Dan lebih mengejutkan, senyum manis yang terukir di wajah Azel membuatkan Jina semakin keliru.
Tanpa memberi peluang untuk Jina berkata apa-apa lagi, tubuh kecilnya tiba-tiba diangkat. Jina panik.
"Eh, nak buat apa ni? Turun! Turunkan aku balik!" Jina melawan, berusaha untuk melepaskan diri.
"Tadi kau yang suruh aku alihkan kau ke tempat lainkan?" balas Azel tenang, seolah-olah situasi ini tidak asing baginya.
"Aku suruh Jihan, bukan kau! Turunkan aku semula!" Jina menegaskan, takut-takut ada yang salah faham jika Jihan melihat mereka begitu.
Azel hanya mengangguk dan menurunkan Jina beberapa langkah dari tempat tumpahan minyak. Jina mendengus, cuba menyembunyikan rasa canggung dengan membetulkan baju mekaniknya. Dia kemudian memusingkan tubuhnya, menghadap Azel dengan wajah yang sedikit bengis.
"Kau buat apa dekat sini?" tanya Jina, suaranya sedikit meninggi. Semalam dia muncul di rumah, dan sekarang dia muncul lagi di bengkel. Bagaimana lelaki ini boleh tahu dia bekerja di sini?
"Aku cuma nak tuntut perjanjian semalam. Takut-takut kalau kau terlupa."
"Sejak bila aku setuju nak buat benda jahat tu dengan kau? Aku tak bagi apa-apa jawapan pun." Tegas Jina. Mereka tidak pernah kenal. Apatah lagi hendak berjanji sesuatu yang mustahil. Lagipun, dia tidak pernah bersekongkol dengan orang jahat. Ini adalah kali pertama.
Bagaimana jika lelaki pelik yang ada di hadapan matanya sekarang adalah seorang pembunuh bersiri yang dikehendaki? Gila! Dia tidak mahu bersubahat.
"Apa yang susah sangat kau nak percayakan aku? Ramai orang nak sangat jumpa dengan aku untuk puaskan nafsu dendam mereka. Aku boleh buat apa-apa sahaja yang tak terlintas dekat kepala kau."
"Aku tetap tak berminat dan aku tak kenal kau siapa!" Tekan Jina.
Sekonyong-konyong bibir lelaki itu menyenget sinis. Benarkah wanita itu tidak tahu dia siapa?
"Aku Azel! AZEL THE BAD MAGICIAN!" ucap lelaki itu dengan penuh bangga, mendepakan dadanya seakan-akan mahu dunia ini tahu siapa dirinya. Wajahnya dipenuhi keyakinan, matanya yang merah bersinar dengan semangat yang membara, seolah-olah dia baru sahaja memperkenalkan diri sebagai seorang pahlawan agung.
Namun, Jina hanya merenungnya dengan ekspresi bosan, seakan-akan tidak terkesan langsung dengan pengumuman yang begitu megah itu.
"So?" Soal Jina acuh tak acuh, sambil menyilangkan tangan di dada. Dia benar-benar tidak terkesan dengan drama yang sedang dipertontonkan di hadapannya.
Azel berhenti sebentar, wajahnya berkerut, seperti cuba menilai reaksi wanita itu. Namun, melihatkan ketenangan Jina yang langsung tidak teruja, dia menghela nafas panjang.
"Seriously? Kau tak teruja jumpa aku?' tanyanya, sedikit kecewa.
Jina hanya mengangkat bahu.
"Aku nampak kau cuma orang biasa yang pakai baju magician tengah hari buta." jawabnya sambil tersenyum sinis, tidak mempedulikan betapa pentingnya pengakuan Azel yang kononnya penuh kehebatan itu.
Lelaki itu mengeluh panjang, seolah-olah kecewa kerana wanita itu masih tidak mempercayainya. Dia memandang sekeliling bengkel dengan teliti, mencari sesuatu yang dapat digunakan untuk meyakinkan wanita itu. Matanya tertumpu pada kain buruk yang tergantung di poket baju Jina tersebut. Dengan pantas, dia merampas kain itu dan menyumbatnya ke dalam genggamannya.
"Apa yang kau cuba nak buat?" tanya Jina, agak terkejut dengan tindakan lelaki itu.
Azel hanya tersenyum nakal.
"Show her my magic. Fuh!" Dengan satu tiupan kuat, kain buruk itu hilang begitu saja dari genggamannya, seolah-olah lenyap ditelan udara.
Jina terdiam, mulutnya terkunci seketika. Dia hanya mampu memandang lelaki itu dengan mata terbeliak, seakan-akan tidak percaya dengan apa yang baru berlaku di hadapannya. Kain buruk yang tadi ada di tangannya, kini entah ke mana hilangnya. Jantungnya berdegup kencang, namun tidak dapat disembunyikan perasaan kagum yang tiba-tiba muncul di dalam diri. Apa yang baru saja dia lihat? Apakah lelaki ini... seorang ahli sihir?
"Fuyoo, kau hilangkan kain tadi ke?!" Soal Jina begitu teruja. Dia terus melangkah mendekati Azel, ingin melihat dengan lebih jelas bahawa kain buruk tadi tiada pada tangan lelaki itu.
Azel tayang muka bosan.
"Really? Benda tu yang buatkan kau tertarik? Itu trick budak-budak aje kut?"
Semerta riak wajah Jina berubah serius kembali. Dia berdehem.
"Ehem! Aku tanya aje. Setakat hilangkan kain, apa yang kau boleh bantu aku? Hilangkan kain pelikat Tengku Hayyan? Baik tak payahlah..." Jina berkata dengan nada bosan, siap mengangkat kaki untuk melangkah pergi. Dia rasa seperti malas melayan lelaki yang satu ini.
Namun, sebelum sempat dia melangkah jauh, Azel terlebih dahulu menghalang langkahnya.
"Eh, sekejap! Banyak benda yang aku boleh buat. Bukan setakat hilangkan kain. Aku boleh tunjuk kalau kau nak," kata Azel dengan senyum nakal, seperti ingin menunjukkan sesuatu yang lebih menarik.
Jina menatapnya dengan muka malas, tidak terkesan dengan tawaran Azel.
"Apa lagi yang kau nak tunjuk?"
"Adalah. Tapi bukan di sini, aku tunggu kau dekat tempat aku. Kita akan berkenalan dekat sana," Azel bersuara lagi, seolah-olah tidak mahu melepaskan peluang.
Manakala Jina mengeluh panjang. Mamat ni memang tak faham bahasa daripada mula.
"Aku takkan datang tempat kau. Aku tak kenal kau siapa," jawab Jina tegas, cuba untuk tidak terjebak lebih dalam, dalam permainan lelaki itu.
"Aku pasti kau akan datang. Aku tahu kau perlukan aku. Jadi aku akan tunggu kehadiran kau bila-bila masa sahaja." Ujarnya.
Jina hanya menjeling menyampah. Lantaklah. Dia takkan datang ke tempat lelaki tak dikenali itu.
"Apa-apa pun, kain tadi ada dalam kotak tu," kata Azel sambil memuncungkan bibirnya ke arah kotak peralatan yang terletak di atas lantai bengkel.
Laju mata Jina melirik ke arah kotak itu, kemudian kembali memandang ke depan, cuba untuk mengabaikan lelaki itu. Tetapi, sebelum sempat dia bergerak, Jina terkejut.
"Hilang lagi?!"
Kelibat Azel hilang begitu sahaja, tanpa sebarang jejak. Jina terpinga-pinga, matanya meliar mencari ke sekeliling, namun lelaki itu sudah tiada. Dengan hati yang berdebar, dia cepat-cepat mendekati kotak tersebut dan membukanya.
Jantungnya berdegup lebih kencang ketika melihat kain yang hilang tadi, kini berada di dalam kotak itu. Bukan hanya kain, ada juga sehelai kad jemputan di sebelahnya. Tanpa berfikir panjang, Jina memandang kad itu dan membaca tulisan di belakangnya, sebuah alamat yang tertulis rapi.
"Mesti dia nak suruh aku ke sini..." desis Jina, dalam hati merasa keliru namun turut merasa ada sesuatu yang tidak biasa dengan situasi ini.
"Tengok kad apa tu?"
"Huh?!" Jina terkejut. Spontan menyorokkan kad itu ke belakang badannya tatkala menyedari Jihan yang tiba-tiba muncul di tepinya dengan membawa sebungkus makanan.
"Kad apa kau pegang tu?" Soal Jihan. Matanya terlebih dahulu menangkap kad itu sebelum disorokkan. Jadi Jina tiada peluang untuk melarikan diri darinya.
Perlahan-lahan Jina menyengih nampak gigi.
"Errr... kad kenduri kahwin. Anak Mak cik aku nak kahwin minggu depan." Bohong Jina. Entah membantu atau tidak alasan itu. Namun tetap sahaja kepala Jihan terangguk-angguk seakan percaya.
"Ya ke? Takpalah, ini aku ada belikan nasi goreng ayam dekat kau. Makanlah. Tadi aku bau macam sedap aje." Ujar Jihan, langsung menyerahkan bungkusan nasi goreng ayam itu kepada Jina.
"Terima kasihlah, busah susah kau aje. aku pergi basuh tangan sekejap." Ucap Jina, dia meletakkan bungkusan plastik itu ke meja sementara pergi membasuh tangan di tepi bengkel.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro