Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 6

         "KAU pergi mana tadi? Dah sejuk roti canai ni, kau tahu tak?" Herdik Jihan sebaik sahaja melihat Jina kembali ke warung semula dan terus melabuh punggung di kerusi bersebelahan dengannya. Helmet diletakkan ke atas meja. Wajah Jina jelas kelihatan pucat bercampur resah. Seolah-olah baru terserempak dengan jembalang lorong sebentar tadi.

Tatkala Jihan pula sudah mengerut kening. Dia menjenguk sedikit kepala meneliti seraut wajah pucat yang sedang berpeluh-peluh itu.

"Kau kenapa ni? Muka macam baru lepas nampak hantu aje?"

"Syhhh!!" Laju Jina meletakkan jari telunjuk ke bibir rakannya. Jangan disebut perkataan hantu di hadapannya buat masa sekarang. Wajah hantu raya tadi masih terbayang jelas di ingatan. Tak sangka hantu akan muncul dipetang hari juga! Nampak gayanya selepas ini dia harus usung air yassin ke mana-mana sahaja.

Barangkali hantu raya tadi telah memilih dia untuk diganggu. Bak kata orang tua-tua, Jina sudah terkena badi. Iaitu kesan buruk yang dialami oleh seseorang seperti sakit kerana mendekati bangkai binatang atau orang yang mati terbunuh mengikut kepercayaan masyarakat Melayu.

Akan tetapi semenjak bila pula dia terjumpa mayat?

Jihan menepis tangan Jina yang melekap di bibirnya. Satu nafas dilepaskan, geram.

"Kenapa dengan kau ni?" Soal Jihan, nada suaranya kedengaran tidak puas hati. Makin lama semakin pelik pula perangai si Jina selepas putus hubungan dengan Tengku Hayyan. Dia pula yang harus menahan sakit kepala melayan tingkah laku Jina yang berubah sejak kebelakangan ini. Takkan baru sehari kena tinggal dah meroyan kut?

Sedangkan Jina menelan air liur buat entah ke sekian kalinya. Kedua belah tangannya menggigil. Tubuh terasa seram sejuk biarpun matahari jelas terpacak tinggi di atas langit sana.

"Aku baru terserempak dengan dia tadi." Bergetar suara Jina menceritakannya. Sempat lagi anak mata menjeling ke sekeliling, takut-takut jika si hantu raya tadi terbang mengekornya sampai ke sini.

Berlapis dahi Jihan saat ini. Tidak pasti sama ada otaknya yang lambat proses atau Jina yang bercakap dalam nada kurang jelas.

"Dia? Siapa dia? Tengku Hayyan?" Soal Jihan, sekadar menebak nama. Siapa lagi yang Jina jumpa selain lelaki itu, kan? Namun, dengan pantas Jina menggeleng kepala menafikan tekaan itu.

Salah lagi dipersalahkan!

Kalau Tengku Hayyan yang Jina berjumpa sebentar tadi, dia takkan lari selaju pelari pecut negara. Bahkan dia akan meluru terus ke arah lelaki itu dan menghadiahkan tendangan sepak penalti secara percuma. Akan tetapi malang sekali, dia yang dimaksudkan sekarang ini lebih menakutkan.

Jika Jihan dengar, pasti dia pun akan sama ketar-ketir sepertinya.

"Bukan Tengku Hayyan tapi..." baru Jina hendak membuka cerita, tiba-tiba deringan telefon milik Jihan mencelah. Jihan lantas tunduk memandang ke poket seluarnya, telefon bimbit yang masih lagi bergetar dikeluarkan. Nama yang tertera diperhatikan terlebih dahulu sebelum dia bangun.

"Sekejap ek. Ayah aku call." Pamit Jihan, seraya bangun melangkah keluar daripada warung. Inginkan privasi diantara dia dan pemanggil itu.

Manakala Jina hanya mengangguk kepala dan membiarkan sahaja wanita itu mengambil ruangnya seketika. Haih, waktu-waktu genting begini jugalah mahu mencelah pun!

"Haih kacau daun betul yang telefon dia tu! Takpalah... minum air dulu. Kering tekak aku disebabkan menjerit tadi!" Cawan air teh o ais langsung dicapai lalu diminum. Lega sedikit tekaknya yang terasa kering tadi. Penat menjerit pun satu hal juga. Mujurlah dia pantas dalam bab melarikan diri. Kalau tidak, tentu-tentu dah kena hisap darah dengan hantu raya tadi.

Jina geleng kepala perlahan. Macam tak percaya apa yang terjadi hari ini. Satu demi satu kejadian pelik datang ke dalam hidupnya.

"Kau belum minta maaf dengan aku lagi." Suara garau itu mencelah. Tanpa sebarang pelawaan, kerusi disebelah Jina ditarik lalu dia melabuh punggung disitu dengan selamba.

Perlahan-lahan Jina menoleh ke sebelah. Membuntang matanya tatkala melihat hantu raya tadi muncul semula. Tapi kali ini dengan mata yang pekat merah menyala bersama dengan riak wajah tegang tanpa sekulum senyuman. Membuatkan lelaki misteri itu kelihatan lebih menakutkan daripada yang sebelum ini.

PURGHHH!!

Tersembur anak tekak Jina. Terkejut. Sehinggakan wajah lelaki itu menjadi mangsa semburan. Sesaat lelaki itu memejam mata menahan sabar. Sudahlah tadi kena spray dengan air lada, kali ni kena sembur pula dengan air berperisa. 'Perempuan ni... betul-betul mencabar kesabaran aku!' Getusnya di dalam hati.

Tanpa sedar kedua belah tangannya di bawah meja sudah mengepal, menahan geram. Hendak sahaja dia tukarkan Jina menjadi kambing jika mengikut amarahnya tika ini.

"Macam mana kau boleh ikut aku sampai sini? Kau terbang ek? Mana kawan aku?" Kelam-kabut Jina mencari kelibat rakannya. Ingin menunjuk kepada Jihan yang hantu tadi telah pun mengekorinya sampai ke warung sebagai bukti. Jelaslah, dia tak gila.  Hantu raya memang wujud waktu petang.

Sebaik sahaja melihat figura Jihan berdiri bersebelahan parkir motorsikal, lekas Jina bangun daripada tempat duduk berlari mendapatkan rakannya. Tak pedulikan lelaki misteri yang masih duduk di meja mereka.

Buat sejenak lelaki itu melepaskan keluhan berat.

"Haih, macam mana aku boleh terfikir untuk pilih dia?" Gumamnya perlahan. Sehelai tisu dicapai lalu mengelap mukanya yang basah. Bahkan kot bergayanya juga telah melekit dek kerana terkena air gula. Semua ini salah perempuan itu! Sudahlah bukan senang hendak mencuci pakaian kesayangannya ini. Dia akan pastikan Jina bertanggungjawab atas kesalahan yang telah dilakukan.

Setelah selesai, tisu itu dicampak sahaja ke atas meja. Kemudian lelaki itu bangun mengekor Jina dari belakang. Memerhatikan sahaja reaksi Jina yang jelas ketakutan.

"Jihan, kau nampak tak apa yang aku nampak? Hantu raya tu ikut aku lagi! Dia nak makan aku!" Adu Jina, lengan Jihan dipegang ingin ditarik memusing kepadanya akan tetapi...

Pap!

Bunyi jari dipetik kasar. Serentak segala pergerakan objek dan manusia menjadi terhenti seperti patung tak bernyawa. Suasana yang tadinya riuh dengan suara manusia dan kenderaan kini menjadi sunyi dan sepi seperti bandar lama yang terbiar.

Jina tercengang. Apa yang sudah berlaku?

Jina tunduk memandang jari-jemarinya sendiri. Dicuba genggam dan buka, masih boleh bergerak seperti biasa. Tetapi kenapa....

Wajah diangkat kembali. Memandang Jihan yang tiba-tiba tidak berkutik walau seinci. Malahan matanya yang terbuka langsung tak berkelip. Apa yang telah terjadi sebenarnya? Jina semakin bingung.

"Jihan! Jihan kau kenapa ni?" Soal Jina, resah sekali. Digoncang tubuh Jihan berkali-kali namun wanita itu tetap tidak bergerak. Kemudian, Jina melemparkan pandangannya ke sekeliling. Pekerja warung yang sedang menebar roti canai juga berhenti dengan gaya melambung roti. Pelanggan yang sedang bergelak tawa juga turut mengeras seperti patung. Semuanya seakan-akan masa yang berhenti berputar buat sementara waktu.

Tanpa sedar lelaki misteri itu tersenyum berlagak tatkala menatap muka Jina yang penuh tanda tanya.

"Hebatkan?" Dia bersuara.

Terus Jina pusing ke belakang.

"Kau yang buat? Ta... Tapi macam mana?" Soal Jina, masih sukar untuk percaya biarpun dia menyaksikan sendiri dengan sepasang mata yang masih berfungsi dengan jelas.

Sekali lagi lelaki itu tersenyum. Dia tertarik melihat keraguan Jina yang penuh persoalan yang inginkan jawapan.

Dan kemudian Jina geleng kepala dengan laju. "Aku tak percaya. Mesti kau guna sihir, kan? Sebab kau hantu! Lebih baik kau pulihkan semua orang sebelum aku..."

"Sebelum kau apa?" Dia terlebih dahulu mencelah. Setapak demi setapak dia mengatur langkah mendekati Jina. Sedangkan Jina pula sudah tidak keruan. Nak lari ke mana lagi jika semua benda tak boleh bergerak? Jangan haraplah akan ada orang datang tolong.

"Jangan dekat!" halang Jina. Seraya berdiri membelakangi Jihan. Takut.

Semerta lelaki itu berhenti melangkah.

"Minta maaf sekarang." Arahnya senada. Riak muka masih lagi tegang. Merenung Jina dengan bebola matanya yang merah menyala serupa pontianak dahagakan darah.

Sedangkan Jina sudah terpinga-pinga. Aduh, apa pula salah yang dia buat kepada hantu itu? Kalau dia tak nak minta maaf, hantu itu mahu mengambil darah mudanya sekarang kah?

"Un... Untuk apa pula?"

Hendak terbelahak dia mendengar soalan Jina. Boleh pula perempuan itu lupa kesalahan yang dilakukan tak sampai lima minit tadi!

"Kau tanya untuk apa? Untuk air lada yang kau dah semburkan dekat mata akulah! Kau ingat tak sakit ke huh? Kalau buta mata aku, kau nak ganti dengan mata kau? Ini pun mujur mata aku cuma merah sahaja!" Herdiknya, turun naik nafas mengikut dada yang berombak amarah. Tersentak Jina dibuatnya.

"Oh, mata kau merah sebab air lada tadi ke? Bukan sebab kau nak makan aku?" Soal Jina, sempat lagi bibir tersengih-sengih menahan malu. Namun, apabila lelaki itu menjegilkan biji mata merahnya tanda amaran langsung Jina menekur kepala ke bawah. Melarikan pandangan ke lain.

'Okay, kali ini kalau aku mengejek dia lagi kemungkinan akan kena makan betul-betul.' Omel Jina di dalam hati.

Namun tak sampai sesaat, riak wajah Jina berubah. Kenapa dia pula yang perlu rasa bersalah? Sedangkan, tadi cuma tindakan refleks yang bertindak akibat deria terkejut. Lagipun lelaki itu yang muncul secara tiba-tiba dan mengekornya sampai ke sini. Jadi salah siapa yang buatkan dia jadi takut?

"Tapi kau yang salah!" Jina kembali mengangkat muka memandang lelaki itu. Perasaan takut hilang seketika. Kini dia membalas renungan tajam lelaki itu dengan bibir yang terketap-ketap, geram.

"Ak... aku?" Dia menunding jari ke muka sendiri. Tak percaya yang dia pula yang dipersalahkan.

"Yalah! Kau yang muncul tiba-tiba dalam hidup aku. Dengan pakaian kau, dengan perangai kau dan burung masak kicap kau tu, yang buatkan aku rasa kau pelik! Lepastu... Skirt biru Jihan tu, kau yang hantarkan? Kau fikir aku tak tahu huh?! Macam mana kau tahu alamat rumah aku sedangkan aku langsung tak kenal kau!"

Lelaki itu menjuih bibir dengan muka berlagak. Kalau dia beritahu Jina perkara yang sebenar pun, macamlah perempuan itu akan percaya.

"Habis kau tak nak berterima kasih dekat aku sebab aku dah tolong kau? Kalau bukan kerana aku yang tolong, dah tentu hari ini kau takkan dapat makan tengah hari dengan Jihan." Ujarnya.

Mata Jina terbeliak sesaat.

"Wait, macam mana kau tahu nama kawan aku Jihan?!" Soal Jina, semakin pelik. Timbul kecurigaan dalam hatinya. Entah-entah mamat ni...

"Kau baru sahaja sebut nama dia depan aku tadi." Celah lelaki itu dengan menayang muka sebal. Sendiri sebut, sendiri lupa. Haih, perempuan ni makan semut banyak sangatkah waktu kecil dahulu sehingga jadi pelupa pada usia muda?

Jina terdiam sejenak. Ya tak ya juga. Baru beberapa minit tadi dia menyebut nama Jihan, Sudah tentulah lelaki itu tahu. Haih, kau ni Jina... time macam ini juga nak jadi lembab! Dahi sendiri diketuknya perlahan.

"So!" Lelaki itu menepuk tangan sendiri sekali. Menarik perhatian wanita itu semula. Ada senyuman penuh makna yang terbit di bibir lelaki itu, membuatkan dahi Jina berlapis semula.

"Oleh sebab aku dah tolong kau. Nak tak nak, kita kena berjumpa lagilah selepas ni, kan?" Sambung lelaki itu sambil dia menapak langkah mendekati Jina. 

"Kenapa pula? Setahu aku... aku tak minta tolong kau pun malam tu. Aku kata, aku boleh cari sendirikan?"  Kata Jina tidak puas hati.

Sekonyong-konyong bibir lelaki itu menyenget.

"Dekat mulut memang kau kata kau boleh cari sendiri. Tapi daripada situ..." Dia menunding jari tepat ke dada Jina. Dengan pantas kedua-dua belah tangan Jina naik menutup dada. Muka mula memerah menahan malu. Kecil sahaja pandangan Jina merenung lelaki itu.

Pervert punya hantu!

"Aku boleh dengar yang kau memang perlukan skirt tu sangat-sangat." Sambungnya. Kemudian dia kembali menjatuhkan tangan ke bawah.

"Kalau ya pun aku ni ada terhutang budi dengan kau, apa yang aku boleh buat? Kau nak aku gali kubur kau huh? Kononnya kau tu hantu yang tak tenteram? Tempat tu dah bersimen, macam mana aku nak gali? Lagipun itu semua khurafat!"

"Berhenti cakap yang aku ni hantu sebelum aku betul-betul jadi hantu yang kau maksudkan." Dia memberi amaran.

Sejenak air liur jina tertelan, kesat.
Habis kalau dah anak mata warna merah pekat macam itu bukan hantu lagi ke namanya? Tapi ada pula hantu kacak dalam dunia ni ek. Omel Jina di dalam hati. Eh, jauh pula otak merengnya fikir yang bukan-bukan! Pantas Jina geleng kepala.

"Habis kalau kau bukan hantu... kau siapa?" Soal Jina, ingin tahu. Ada getaran pada nada suaranya. Masih lagi takut.

Malahan lelaki itu hanya tersenyum sebagai jawapan. Senyuman penuh tersirat disebaliknya yang buatkan Jina rasa ingin korek semua rahsia itu. Kemudian, saat jaraknya benar-benar rapat dengan wanita itu. Langsung jari dipetik kasar pada telinga sebelah kanan Jina.

Buatkan Bahu Jina sedikit terhinjut akibat terkejut. Spontan dengan itu Jina menjauhkan jarak.

Secara tiba-tiba muncul business card  bengkel milik Jina yang terselit diantara dua celahan jari lelaki itu ketika dia menarik tangannya semula. 

Jatuh rahang Jina melihat persembahan yang terlalu pantas itu. Cepat-cepat Jina tunduk memandang ke bawah, sebelah tangan diseluk ke dalam poket, tercari-cari kad bengkel yang selalunya ada tersimpan di situ. Kebiasaannya dia memang akan membawa kad itu ke mana-mana supaya mudah untuk diberi kepada pelanggan yang terserempak dengannya.

Akan tetapi, kad itu hilang. Sejak bila pula lelaki itu ambil? Atau kad itu keluar daripada celahan telinganya tadi?  Perlahan-lahan Jina mendongak kepala memandang lelaki itu dengan reaksi tak percaya.

"Jina Johari. Nama yang simple. Bagus. Mudah untuk aku ingat." Katanya sambil anak mata melekat pada kad yang dipegang. Bibir tersenyum-senyum. 

"I will call you later. Dan pastikan kau angkat panggilan daripada aku. Oh lagi satu, Tengku Hayyan dekat belakang kau."

"Huh? Mana?!" Laju Jina berpaling ke belakang, tercari-cari kelibat Tengku Hayyan yang dikatakan muncul dibelakangnya sebentar tadi. Namun kosong. Tiada sesiapa. Mudah benar tertipu dengan lelaki misteri itu. Jina mendengus kecil. Kenapalah hidup aku ni asyik kena tipu sahaja. Malang betul!

"Jina?" Sapa Jihan sambil menyentuh lembut bahu Jina daripada belakang.

"Oi mak!" Jina terkejut. Lantas berpaling ke belakang memandang Jihan yang merenungnya dengan tanda tanya.

Tatkala Jina terkesima sejenak. Mereka dah boleh bergerak semula? Dia pandang sekeliling. Kenderaan yang tadinya terhenti kembali bergerak seperti biasa, Susana sunyi bertukar riuh, manusia-manusia yang mengeras seperti patung juga sudah berjalan seperti biasa, seolah-olah masa kembali berputar.

Dan disaat Jina memusing ke sebelah, kelibat lelaki misteri tadi pun sudah hilang tanpa jejak. Sekelip mata sahaja lelaki itu menghilang.

Siapa dia yang sebenarnya?

"Kau kenapa berdiri sebelah aku ni? Kan aku kata, nak angkat call sekejap." Kata Jihan.

"Tak, tadi..."

"Dahlah, jom kita makan. Family aku suruh balik cepat, katanya ada orang nak datang merisik." Jihan memotong. Tanpa menunggu lama, dia terus berjalan masuk ke warung semula. Sedangkan Jina masih lagi kaku berdiri di situ.

Sepasang keningnya automatik terangkat ke atas. Terkejut mendengar bicara Jihan sebentar tadi. Seriuslah? Mengapa dia tidak pernah tahu Jihan ada teman lelaki sebelum-sebelum ini. Ish, dengan rakam rapat sendiri pun hendak berahsia. Bukannya dia mahu hebohkan satu Malaysia pun.

"Merisik? Kawan aku dah nak kahwin? Kau tak bagitau aku pun kau dah ada boyfriend!" Jina buat-buat muncungkan bibir. Merajuk kononnya.

"Nanti aku ceritalah dekat kau. Cepat makan!"

"Janji ek?" Jina menarik kerusi di sisi Jihan lalu melabuh punggung. Manakala Jihan tidak menjawab. Sekadar mengangguk kepala sambil menyuap secubit roti canai ke dalam mulut. Bak kata orang, kalau diam itu tanda 'ya'. Jina tahan bibir daripada tersenyum. Terlupa seketika tentang lelaki pelik tadi, kini dia lebih teruja mendengar khabar Jihan bakal dirisik oleh seorang. 

Untunglah. Ada lelaki yang benar-benar ikhlas dan jujur mahukan Jihan. Tidak sepertinya, hujung hujung cuma dipermainkan hati oleh lelaki tak guna.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro