Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5

MOTORSIKAL diparkir di hadapan sebuah warung roti canai. Kemudian, mereka melangkah masuk dan mengambil tempat duduk di bahagian hujung. Tidak ramai sangat pelanggan diwarung ini tetapi makanannya semua sedap-sedap belaka. Jina suka makan roti telur, manakala Jihan pula suka dengan roti bom. Itulah menu yang dipesan setiap kali datang ke sini.

"Pak cik! Macam biasa ek!" Jerit Jihan, penjual itu mengangguk kepala seolah-olah sudah mengerti dengan maksudnya.

"Jina, kau ada bawa duit lebih tak? Dalam poket aku ada dua ringgit aje ni." Rungut Jihan sambil meraba-raba poket seluarnya yang baru disedari kosong. Terlupa pula dompetnya tertinggal di atas meja kaunter semasa dia singgah ke tandas sekejap tadi. Almaklumlah, umur semakin meningkat memang akan jadi cepat pelupa.

"Takpalah, aku belanja kau hari ni." Kata Jina begitu tenang.

Terangkat kening Jihan mendengarnya. Wah, wah... sejak putus cinta ni lain macam betul watak rakannya yang seorang ini. Suci murni terus hati.

"Seriuslah kau nak belanja?" Ulang Jihan seakan tidak percaya. Dia tersenyum menyeringai. Kalau dia tahu Jina hendak belanja, mahunya dia pesan semua menu yang ada di warung ini. Sesekali ambil kesempatan dalam kesempitan apa salahnya, kan?

Sedangkan Jina hanya menggumam sebagai jawapan. Suka hatilah mahu percaya atau tidak. Dia mahu belanja bukan kerana saja-saja, tapi ada kena mengena dengan insiden kain terkoyak semalam juga. Rasa bersalah tetap ada walaupun sudah diganti dengan yang baharu.

Cumanya Jina masih pelik, bagaimana kain itu boleh sampai ke rumahnya. Puas sudah dia menggunakan logik akal yang dikurniakan oleh Allah S.WT, tetapi tetap tidak faham juga. Terlalu mustahil untuk lelaki yang baru dikenali selama 10 saat boleh tahu alamat rumahnya.

Jina mengeluh kecil. Tiba-tiba badannya merasa panas pula. Dia tunduk ke bawah, patutlah.  Jaket motorsikal masih melekap di badannya.

"Panaslah. Kau tak panas ke?" Lantas Jina menanggalkan jaket kulit itu daripada tubuhnya. Cuma meninggalkan T shirt hitam berlengan panjang, ada gambar harimau di belakang. Baju pasar malam yang dibeli bulan lepas, rm10 sepasang. Dia suka harimau, sebab harimau comel walaupun tampak garang. Macam diri sendiri.

Acewah!

Sesekali baju dikibas-kibas menghasilkan dingin. Jina mengerling sekilas memandang sekeliling, boleh lihat dengan jelas betapa panasnya cuaca hari ini sehingga ramai manusia terpaksa menggunakan payung melindungi diri mereka daripada berjemur ditengah panas.

Tatkala anak mata Jina laju menangkap kelibat Tengku Hayyan yang baru sahaja melangkah keluar daripada sebuah perut kereta BMW bersama seorang wanita muda berpakaian seksi mengalahkan model luar negara.  Spontan Jina terbangun daripada tempat duduk.

"Kau dah kenapa Jina?" Tegur Jihan di sisi, agak terkejut apabila Jina tiba-tiba berdiri daripada tempat duduknya.

Bahkan riak wajah Jiba berubah tidak puas hati. Matanya mengecil serupa burung helang yang sedang menikam-nikam mangsanya daripada jauh. Haish, entah kenapa tubuhnya makin terasa panas membara. Jina mengibas-ngibas tangan ke muka sendiri, cuba untuk meredakan gunung berapi yang terasa ingin meletup sekali lagi.

Akan tetapi api di dadanya seakan makin marak tatkala menyedari tiada lagi jambang di bawah dagu Tengku Hayyan. Mukanya automatik nampak jambu daripada jauh. Oh, semasa bercinta dengannya tidak pula terfikir mahu jadi sekacak  itu! Tiba-tiba dengan perempuan lain yang lebih cantik dan bergaya, boleh pula dia jadi serupa jejaka terhangat di pasaran.

Ish, memang ada yang kena carik muka orang tu!

Panas! Begitu panas sekali!

"Jemput minum dulu ya, dik." Pelawa pekerja wanita yang membawa dulang berisi dua air teh o ais yang dipesan. Namun belum sempat dia ingin meletakkan cawan ke atas meja, Jina terlebih dahulu merampas salah satu cawan di atas dulang. Terus meneguknya dengan rakus tanpa mempedulikan pandangan orang lain terhadapnya.

Tergeleng-geleng kepala pekerja wanita itu. 'Gelojoh betul anak dara zaman sekarang' getusnya di dalam hati. Dia melemparkan jelingan sinis sebelum berlalu pergi.

Tanpa semena-mena Jihan pula yang harus menebalkan muka, meminta maaf kepada pelayan tadi. Bibirnya tersengih-sengih, kekok. Sekadar menyembunyikan rasa malu atas perbuatan jina sebentar tadi.

"Babe, kau ni tak reti malu sedikit ke? Apahal tiba-tiba gelojoh tak tentu pasal?" Tegur Jihan, nada suaranya perlahan seakan berbisik. Cukup untuk Jina sahaja yang dengar.

Namun, bisikannya seolah-olah tidak masuk ke telinga wanita itu. Sepasang anak mata Jina masih melekat tajam ke arah Tengku Hayyan yang sedang membukakan pintu masuk restoran buat teman wanita barunya.

Bibir diketap geram. Kedua-dua belah tangan di kiri dan kanan sudah mencengkam seluar sendiri. Terselit rasa cemburu saat terkenangkan layanan Tengku Hayyan tidak pernah sebaik itu dengannya sebelum-sebelum ini. Jangan katakan buka pintu, dia terkunci dalam perut kereta pun mamat itu boleh tidak sedar! Atau mungkin tangan perempuan itu yang kudung sehingga tak boleh nak tolak pintu sendiri.

"Baru putus cinta dah ada perempuan baru? Kau main kayu tiga ke belakang aku sebelum ni?" Terkacip-kacip gigi Jina menahan amarah di dada. Sedangkan Jihan di sisi sudah menayang kerutan di dahi. Anak mata turut melilau, tercari-cari perempuan yang dimaksudkan oleh rakannya.

"Huh? Perempuan? Perempuan mana?" Soal Jihan tidak faham. Terjenguk-jenguk kepalanya memandang ke arah yang dilihat Jina. Banyak perempuan di situ. Ada tua, muda, bahkan budak kecil juga ada. Jadi yang mana satu?

Seraya Jina tunding jari ke arah wanita yang baru sahaja melepasi pintu masuk restoran.

"Tu! Perempuan seksi yang Hayyan baru tolong bukakan pintu macam anak raja. Dasar buaya darat kena buang daripada kaum sendiri!" Ejek Jina.

"Seriuslah? Perempuan tu ke?" Terus Jihan ikut sama bangun. Jatuh rahangnya apabila melihat Tengku Hayyan dan seorang wanita muda itu berlalu masuk ke dalam restoran, lalu mengambil tempat duduk berhampiran dengan cermin kaca lutsinar.

Daripada sini, mereka boleh melihat hubungan sepasang sejoli itu tampak begitu rapat sekali. Siap boleh bertepuk-tampar bahu dan gelak sama-sama. Entah topik apa yang mereka sedang bualkan, tetapi ia-nya seperti terlalu lucu sehingga si Tengku Hayyan ketawa serupa nak terkeluar anak tekak. Kalau hendak kata setiausaha sekali pun rasanya tak adalah sampai ke tahap itu!

"Betullah. Seksinya perempuan tu. Tapi cantik juga." Jihan terpukau seketika melihat kecantikan wanita muda yang terpapar jelas disebalik kaca restoran itu. Sinar mentari juga seakan terpancar jelas pada kulit putihnya yang bersih dan halus-mulus. Dengan dress merah paras paha menyerlahkan lagi si pemakai. Seksi menggoda.

ZRAAPP!

Laju anak mata Jina memanah tajam kepada Jihan di sebelah. Tidak puas hati.

Sedangkan Jihan tayang muka pelik. Apa? Nak cakap yang perempuan itu buruk? Begitu? Apa gunanya kalau dia tipu semata-mata mahu menjaga hati Jina akan tetapi kebenaran jelas terpancar.

Kemudian Jina merengus menunjukkan geram. Pandangannya kembali beralih ke arah pasangan sejoli di restoran sana.

Tatkala Jihan pula  menyengih.

"Relaxlah. Aku tak kata pun kau buruk. Cuma perempuan tu cantik sikit aje. Janganlah terasa." Pujuk Jihan, namun Jina menghembuskan nafas seakan tidak setuju.

"Ah! Kalau ya pun nak jadikan alasan cantik sebagai nak putus. Kenapa daripada awal lagi dia tak bercinta dengan minah tu? Entah-entah betul cakap budak bagi bunga semalam. Aku ni cuma perempuan simpanan Tengku Hayyan untuk isi masa bosan dia aje! Dasar kaki betina!" Jina mula naik geram. Dia tidak boleh duduk diam. Rasa seperti nak terjah temu janji mereka di dalam restoran itu dan buat kacau seperti semalam. Biar lelaki itu harus tanggung malu selama tiga bulan!

"Alaaa... biar ajelah. Banyak lagi lelaki dekat luar sana yang kau boleh cari. Lebih handsome pun ada! Mungkin Hayyan bukan jodoh kau tetapi orang lain. Dah, jom duduk. Makanan dah nak siap tu." Sekali lagi Jihan memujuk dengan lembut, lalu kembali melabuh punggung di atas kerusi. Makanan yang dipesan mereka sudah pun hampir siap. 

Manakala Jina geleng kepala berkali-kali tanda tidak setuju. Mungkin kata-kata Jihan tadi ada benarnya iaitu lelaki itu bukan jodoh yang telah ditetapkan buatnya, tetapi... itu tak bermakna Tengku Hayyan boleh sesuka hati permainkan hati suci luhur yang mencintai dia sebelum ini.

Bahkan Jina sanggup bazirkan masa bertahun-tahun menyelami perasaan cinta yang dianggap cuma perasaan bodoh sebelum mengenali Tengku Hayyan. Dan kini, lelaki itu sendiri yang buatkan dia benar-benar memikirkan yang cinta itu adalah perkara yang membutakan manusia.

"Tak boleh. Dia dah bazirkan masa aku. Dia tipu aku, dia permainkan perempuan macam aku dan itu tak boleh dimaafkan! Aku juga ada maruah seperti perempuan lain! Tunggu kau, tempayan!"

"Eh, Jina!" Tak sempat Jihan ingin menghalang, Jina lebih pantas berlari mendapatkan motorsikalnya. Usai memakai helmet, pacuan dua roda itu terus bergerak ke arah restoran yang berada tidak jauh mana daripada jarak mereka. Sedangkan Jihan sudah picit kepala yang mula berdenyut.

"Aduh, suka buat hal betullah si Jina ni..." Omel Jihan, pasrah. Dalam masa yang sama, pesanan mereka sudah siap diletakkan di atas meja. Sekarang siapa yang mahu makan semua ni? Nampak gaya dia harus menunggu Jina selesaikan misi dahulu sebelum menjamahnya.





MOTORSIKAL yang dibonceng Jina diperlahankan lalu menyusur ke lorong belakang. Tidak mahu Tengku Hayyan mengesyaki ada seseorang yang sedang mengintai pergerakannya. Kemudian, helmet ditanggalkan. Jina terus berlari anak menyorok di sebalik dinding, memerhati daripada sebalik cermin kanan, melihat Tengku Hayyan yang sedang menerima suapan kek daripada wanita seksi jtu.

Jina ketap bibir. Buku lima yang sudah lama digenggam dilepaskan ke dinding.

"Tak guna! Bukan main sweet lagi dia dengan perempuan tu! Kau ingat kau boleh buat aku cemburu huh? Aku tak cemburu pun! Jangan nak perasan!" Bebel Jina sendirian. Dilepaskan tumbukan serta tendangan ke dinding restoran itu dengan rasa tidak puas hati yang terpendam jauh ke dalam lubuk hatinya sebelum ini. Tidak kuat mana pun. Sekadar melepaskan amarah.

Kalau pecah dinding ni, dia juga yang kena ganti rugi nanti. Duit pun cukup-cukup makan sahaja untuk lepas beli 10 keping roti canai.

Jina melepaskan dengusan nafas, kasar.

"Dahlah kau malukan aku dekat restoran tu semalam! Hari ni, kau bawa perempuan lain pula? Memang muka tak tau malu! Ingat dah cukur jambang, nampak elok ke? Nampak macam jambu busuk adalah!" Ejek Jina. Kecil besar kecil besar sahaja dia meneliti perubahan gaya dan personaliti lelaki itu. Berbeza 190 darjah dalam masa satu hari. Sesekali dia melihat Tengku Hayyan membetulkan rambut blonde wanita itu yang sedikit serabai ditiup angin. Makin berasap hidung Jina bagai naga hendak mengeluarkan api.

"Eeiiii! Geramnya, geramnya, geramnya! Kau tunggulah Tengku Hayyan! Aku akan pastikan hubungan kau dengan perempuan tu akan putus! kau fikir orang macam aku tak reti nak balas dendam huh?! Bukan kau yang akan tinggalkan perempuan tu, tapi perempuan tu! Dia yang akan tinggalkan kau, tempayan!  Biar kau rasa apa yang aku rasa. Jantan tak guna!" Luah Jina sepenuh hati. Naik turun nafasnya dengan dendam kesumat nenek moyang.

Tunggu. Ada ubi ada batas, ada hari dia balas! Mungkin semalam dan hari ini, kemenangan itu menjadi milik Tengku Hayyan. Namun, Jina akan pastikan selepas hari esok, lusa, minggu hadapan, bulan hadapan, Isnin, Selasa, rabu, Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad, serta tahun yang mendatang akan menjadi miliknya. Complete!

Dan waktu itu, Tengku Hayyan akan kembali melutut di hadapannya dengan penuh rasa bersalah kerana membuangnya seperti sampah yang tiada nilainya. Selepas itu, Jina akan ketawa sepuas-puasnya di hadapan mula kerek lelaki itu.

"Kau tunggu. Hari ni aku akan lepaskan kau, tapi suatu hari nanti kau akan terima pembalasannya semula. Sampai jatuh terduduk aku kerjakan kau! Tak dapat tengok kau jatuh terduduk sekalipun, merana pun jadilah!"

"Oh, ya ke? Nak buat macam mana tu?" Sampuk suara garau itu tiba-tiba daripada belakang. Sedangkan Jina jongket bahu. Entah. Matanya masih fokus menonton babak manis diantara Tengku Hayyan dan wanita tak dikenali itu.

"Manalah aku tahu. Aku baru rancang aje. Tak planning lagi." Balas Jina.

"Tapi plan takkan berjaya kalau buat sorang-sorang." Bisik suara itu lagi.

Jina mengeluh kecil. Kepalanya menunduk ke bawah.

"Ya tak ya juga. Aku pun tak pernah buat kerja-kerja jahat macam ni. Macam mana nak buat dia sampai jatuh terduduk? Takkan nak langgar kereta mahal dia aje?" Gumam Jina. Kepala menggeleng sendiri tidak setuju. Setakat hendak rosakkan kereta lelaki itu, sepuluh Tengku Hayyan boleh gantikan yang baharu.

"Apa kata kita buat perempuan tu rasa malu dengan dia? Sama malu seperti mana yang dia buat kepada kau semalam. Selepas itu, kita buat Tengku Hayyan cari kau semula dan cakap dia menyesal kerana tak hargai kau sebelum ni. Dan kemudian, kau buat seperti mana dia buat. Iaitu sindir dia di hadapan orang ramai. Macam mana?"

Terangguk-angguk kepala Jina mendengar cadangan suara itu. Bijak. Kenapa dia tak terfikir untuk buat seperti itu ya? Mungkin kerana bunyinya terlalu kejam. Ah, peduli apa? Tengku Hayyan pun tidak fikirkan perasaan dia semalam.

"Bijak juga idea kau ek? Pandai." Puji Jina. Dia menoleh sekilas ke sisi, memandang lelaki yang turut menganggukkan kepala sambil menayang senyuman lebar.

"Kan?" Balasnya.

Jina angguk lagi. Dia kembali memandang ke arah restoran, namun disaat Jina mula tersedar sesuatu. Dia tersentak, laju kepala menoleh ke sebelah kiri. Hendak terjojol keluar anak matanya tatkala melihat lelaki dengan gaya rambut Wolf cut, bermata merah gelap, bersama Tuxedo sama warna dengan anak matanya itu sekali lagi muncul entah daripada celah mana. Siap menayang barisan gigi putihnya bersahaja seolah tiada apa-apa berlaku.

"Should I say... hi first?" Soalnya. Dia menjongketkan sebelah kening.

"Hantu raya!!!" Tanpa sebarang isyarat dengan pantas Jina mengeluarkan penyembur lada hitam daripada poket seluarnya lalu disembur tepat ke mata merah gelap lelaki itu.

Spritttttt!!!!

"Auzubillah minashaitan ni rajeem, bismillahi rahman nirrahim, Allahumma barrik lana fiima rozaktana, waqina azabannar, Amin! Nyah kau syaitan yang dilaktnati bumi!" Laung Jina penuh bersungguh-sungguh, sebat sahaja mana-mana surah yang muncul dikepalanya saat ini sambil memicit air lada hitam itu tanpa henti.

"ARGHH!!!" Mengerang suara itu dalam kesakitan. Bahkan tubuhnya meronta-ronta seperti menahan seksaan.

Dalam hati Jina berasa puas. Panaslah tu bila kena ayat suci Al-Quran! Rasakan! Padan muka, siapa suruh ganggu manusia lagi? Kan dah buku bertemu ruas.

"Tahu pun kau panas, kan? Aku dulu sekolah agama tau!"

Lantas, Jina mengambil kesempatan itu untuk berlari semula ke motorsikal. Tanpa berlengah, Jina terus beredar pergi daripada situ tanpa mempedulikan hantu raya yang sedang menggelupur kepanasan. Tetapi dalam masa yang sama dia tertanya-tanya juga, bagaimana hantu boleh keluar pada waktu tengah hari begini?

Ah, lantaklah.

Lebih baik dia selamatkan diri sebelum dirasuk!

"Mata aku pedih! Hei, perempuan kau mahu lari ke mana huh?! Datang sini balik!" Jerkah suara garau itu. Matanya yang merah menyala tajam menikam Jina yang berada di atas motosikal. 

Namun Jina hanya pekakkan telinga dan terus pecut. Jangan sesekali toleh ke belakang! Jiwanya diserbu rasa takut. Entah-entah hantu tu mahu memakan dia. Padahal dia pun belum makan lagi!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro