Bab 4
KRINGG!!!
Jam loceng berdering dengan kuat. Sedangkan Jina masih lagi tidur terkangkang di atas katil. Penat sungguh wajahnya sampaikan pakaian semalam pun tak ditukar. Penat berlari agaknya. Mujur juga dia tak kena bebel dengan Nek Piah semalam.
"Astaghfirullah hal Azim budak ni..." mengucap Nek Piah saat dia melangkah masuk ke dalam bilik cucu si daranya. Bilik dah serupa tongkang pecah. Apa dah jadi? Loceng dah macam siren keretapi pun masih belum terjaga lagi. Telinga badak ke apa cucu aku ni? Soal Nek Piah di dalam hati.
"Haih..." Nek Piah mengeluh dengan kepala menggeleng. Lantas, dia terus melangkah ke katil. Jam loceng dimatikan. Bingit telinga mendengarnya. Macam manalah si Jina boleh tidur dengan aman? Entah-entah kalau berlaku gempa bumi pun belum tentu cucunya akan sedar.
"Hoi, Jina! Engkau bangun sekarang! Bangun!" Kejut Nek Piah sambil bahu wanita itu ditamparnya berkali-kali ingin menyedarkan Jina daripada lena. Malangnya, tak berjaya. Wanita itu hanya mengerang sahaja sebelum mencapai bantal peluk disisi dan kembali tidur.
Nek Piah mengetap bibir. "Ooo... kau tak nak bangun ek? Tunggu kejap!" Terus Nek Piah melangkah ke arah suis bilik. Kemudian, suis kipas dimatikan. Salah satu punca tidur serupa tak ingat dunia adalah apabila tidur dalam keadaan sejuk. Bila rasa panas, baru seseorang itu akan terjaga. Tak perlu kena jerit seperti orang gila.
"Ish kenapa panas ni?" Jina merungut sambil menggaru leher yang terasa gatal. Badannya berpeluh.
"Ha, bangun pun. Ingatkan kalau tutup kipas tak menjadi, Nek Piah nak ambilkan air panas pula untuk jirus kepala kau!"
"Kenapa pula... Nek Piah tahu tak Jina penat? Semalam pukul 11 malam baru sampai. Jalan kaki pulak tu!"
"Baguslah. Sekurang-kurangnya engkau tu exercise sikit. Kalau tak mengangkang aje kat rumah, kan? Berat kau tu makin menaik bukan makin menurun! Sudah! Baik kau bangun pergi mandi sekarang, cuci makeup serupa Zombie kau tu!" Herdik Nek Piah. Tengah hari buta lagi sudah kena membebel. Air liurnya cuma habis untuk Jina seorang. Sakit tekak dibuatnya!
Jina merengus tidak puas hati. Tengah sedap-sedap tidur boleh pula Nek Piah kacau. Haih, baru nak mimpi jumpa putera kacak tadi. Dah tak pasal-pasal putera tu bertukar jadi katak sampai buat dia terbangun. Tidak mahu tidak, Jina paksa untuk buka mata. Dengan rasa malas dia turun dari katil mencapai kain tuala. Lantas, dia berjalan keluar dari bilik menuju ke bilik air.
Nek Piah geleng kepala. Apa nak jadilah dengan cucunya yang seorang itu...
Kemudian, Nek Piah mengemas sedikit lantai bilik yang agak bersepah dengan majalah artis. Mungkin Jina gunakan majalah ini sebagai contoh makeup seperti zombi itu. Setelah mengemas barangan bersepah di lantai, Nek Piah menyelak pula langsir bilik. Mengikat di kiri dan kanan tingkap, biar cahaya luar menerobos masuk ke bilik yang agak redup.
"NEK PIAH!!" Jerit Jina sekuat hati. Bergegar lantai rumah apabila Jina berlari tergesa-gesa ke arah bilik. Tersentak orang tua itu dibuatnya. Terus Nek Piah berpaling ke belakang sambil tangan menyentuh dada.
Apahal cucu aku ni?
"Dah kenapa kau ni jerit-jerit huh?!" Soal Nek Piah, tidak puas hati. Hampir luruh jantungnya sekejap tadi mendengar jeritan Jina yang kuat mengalahnya ngauma singa jantan.
Jina mula gelabah. Nak bersuara tapi rasa macam ada sesuatu yang tersekat di kerongkong.
"Apahal kau ni?" Soal Nek Piah. Kepala terdongak sedikit serupa bertanya kenapa.
Jina menunding jari ke arah pintu utama. Terketar-ketar tangannya.
"Ad... Ada orang datang rumah." Kata Jina. Gugup.
"Lah? Ada orang datang rumah pun kau lari macam ada kerbau masuk rumah dah kenapa?! Buka ajelah pintu tu!" Kata Nek Piah.
Malahan Jina geleng kepala dengan laju. Gila! Kalau yang datang itu adalah Jihan bagaimana? Sudahlah skirt birunya yang terkoyak semalam masih belum dicari. Entah-entah, Jihan datang ke rumah pun untuk mengambil pakaian yang telah dipinjam semalam. Matilah! Matilah aku!
"Takut kalau Jihan yang datang nek. Nek Piah tolonglah bukakan pintu. Kalau betul orang tu adalah Jihan, Nek Piah cakaplah Jina tak ada. Kain dia, Jina tak beli lagi." Adu Jina.
Nek Piah mengeluh dengan kepala tergeleng-geleng. Lama kelamaan masak kepala otaknya melayankan perangai cucu sendiri.
"Ha itulah kau... nak pinjam barang orang tapi tak reti jaga elok-elok. Tak boleh ke kalau pakai baju orang sopan sikit?" Tegur Neneknya.
Sedangkan Jina mencebik bibir. Bukan salah dia. Dia dah sedaya-upaya mengeluarkan segala kesopanan yang berbaki dalam diri malam semalam, akan tetapi si lelaki tak guna itu yang sengaja memprovokasi dia sehingga hilang kawalan.
"Tolonglah Nek Piah. Kali ni aje..."
"Ish, yalah! yalah!" Nek Piah mengalah. Kemudian, dia keluar dari bilik menuju ke arah pintu utama. Sementara itu, Jina mengambil peluang berlari menyorok di belakang langsir. Takut betul jika Jihan yang datang mencarinya.
Perlahan-lahan tombol pintu dipulas lalu dikuak dari dalam. Nek Piah tercengang seketika tatkala melihat figura lelaki memakai baju posmen berdiri di hadapannya dengan memegang bungkusan kotak saiz kasut. Keluhan kecil dilepaskan. Posmen rupanya... bukan Jihan.
Kacak juga si penghantar barang ini.
"Ya, ada apa encik?" Soalnya.
"Cucu Puan ada order barang." Kata si penghantar barang itu sambil dia menghulurkan kotak bersaiz kasut kepada Nek Piah.
"Barang apa lagilah yang si Jina ni beli? Tak reti nak berjimat betul! Apa-apa pun terima kasih ya." Ucap Nek Piah sambil mencapai kotak yang diberi itu. Pintu ditutup sebaik sahaja lelaki tak dikenali itu berlalu pergi. Lantas, Nek Piah kembali melangkah ke bilik cucunya.
"Barang kau yang sampai, bukan Jihan." Kata Nek Piah sambil membelek kotak yang dipegang. Adakala digoncang-goncang, entah apalah isi di dalam kotak ini. Yang pasti tiada bunyi kaca atau objek keras.
"Barang?" Jina menjenguk sedikit kepala keluar dari langsir. Melihat kotak ditangan Nek Piah, terus dia berlari ke arah neneknya. Kening berkerut. Barang apa pula yang dia pesan beberapa hari yang lepas? Setahunya, dia tak beli apa-apa pun barang online selama sebulan ni disebabkan gaji belum masuk. Atau mungkin dia sendiri yang terlupa? Jina jongket bahu.
Lantas, kotak itu dicapai. Jina melabuhkan punggung di atas birai katil sambil tangan membuka kotak. Manakala Nek Piah pula kembali menuju ke jendela bilik, mengikat tali langsir agar terlihat kemas.
"Rugi kau tak ambil barang tu sendiri tadi. Si penghantar tu boleh tahan kacak. Tinggi orangnya. Posmen zaman sekarang ni dah macam Pilot! Bergaya. Nasiblah nenek kau ni dah tua, Jina... kalau tidak, mahunya nenek minta nombor telefon dia. Mata dia unik. Warna..."
"Carmine..." sambung Jina saat dia mengeluarkan skirt biru daripada kotak misteri itu serta sebelah kasut tumit tingginya yang tertinggal semalam. Tiba-tiba sahaja seluruh bulu romanya menegak. Dalam kotak fikiran kini dihantui dengan bermacam-macam soalan. Tetapi cuma satu sahaja yang menjadi tanda tanya yang buatkan muka baru bangun tidurnya berkerut kebingungan.
Bagaimana?
Bagaimana lelaki itu boleh tahu alamat rumahnya? Entah-entah semasa dia melarikan diri semalam, lelaki pelik itu senyap-senyap mengekori dia daripada belakang.
Ya Tuhan, seramnya!
"Haah, betul. Warna merah gelap. Cantik! Macam mana kau tahu?" Balas Nek Piah lagi meyakinkan Jina bahawa si penghantar barang itu adalah lelaki yang sedang menakluk fikirannya sekarang.
"Seriuslah, Nek?!!" Jina terkejut. Spontan dia bangkit dari birai katil, memusing memandang Nek Piah dengan riak tak percaya.
"Iyalah. Buat apa aku nak tipu kau? Ish, sudahlah. Pergi mandi. Busuk bau peluh! Kau ada kerjakan hari ni? Karang lambat pula. Kesian Jihan dekat bengkel seorang diri."
Ya tak ya juga. Dia dah lambat. Tapi skirt ni... ah, biarlah! Nanti-nanti sahaja fikir. Sekurang-kurangnya dapat pulangkan kepada Jihan semula pagi ni. Tak adalah kelam-kabut nak pergi cari skirt yang sama dekat kedai.
"NAH, baju dengan skirt kau." Jina menghulurkan kotak berisi pakaian yang dipinjam semalam. Jihan yang sedang membetulkan skru terus mengalihkan perhatian kepada Jina. Bibir mencorek senyuman ceria. Laju kotak itu dicapai dan dibuka. Dibelek dari baju hingga ke skirt birunya seakan mencari tanda-tanda kotor atau rosak, tetapi semuanya dalam keadaan baik.
"Bersih! Macam beli baru punya pun ada juga." Puji Jihan, gembira. Nasib kali ini Jina betul-betul pegang pada janji. Lantas, pakaian itu dipeluk erat oleh Jihan. Sayang sungguh dia pada pakaian yang diberi oleh orang tersayang.
Jina hanya tersengih sambil kepala belakang digosok perlahan. "Memang baru pun..." gumamnya seorang diri. Cukup untuk dia sahaja yang dengar.
"Nasib baik kau pegang pada janji." Jihan kembali menyimpan pakaian itu ke dalam kotak. Setelah itu, dia kembali memandang ke arah Jina yang melabuh punggung di hadapannya dengan riak wajah berubah mencuka.
"Kenapa dengan kau ni? Semalam macam mana, best ke dapat pergi dating?" Soal Jihan, siap mengangkat keningnya berkali-kali ingin mengusik rakannya. Pasti mereka main suap-suap semasa makan malam semalam, kan?
Malahan Jina tayang muka menyampah. Dia baru sahaja nak lupakan tentang hal itu. Namun apabila Jihan buka topik, terus angin monsunnya melanda balik. Geram tatkala muka mamat berjambang itu berlegar-legar dalam ingatannya. Rasa nak cabut sahaja bulu di dagu lelaki itu satu persatu biar terseksa!
"Best apanya... aku kena ejek dengan lelaki tak guna tu adalah! Dasar buaya!" Maki Jina sambil menongkat dagu. Bibir mengetap penuh geram.
"What?" Jihan sedikit terkejut.
"Dia ejek kau?" Soalnya serupa tidak percaya.
Jina mengangguk kepala mengiyakannya.
"Ya, dia cakap makeup aku macam zombi. Yalah, salah aku juga sebab tak jadi macam perempuan yang dia nak. Kau pun tahu, aku tak pandai nak bergaya. Setakat pakai lipbam aku tahulah." Omel Jina. Sedih juga sebenarnya apabila diejek oleh seseorang yang dia pernah jatuh cinta.
"Habis kau tadah aje telinga dengar dia ejek kau?" Soal Jihan lagi, kali ini berbaur tidak puas hati. Ish, kalau mamat tu ada di hadapan matanya memang dia akan sumbat skru banyak-banyak dalam mulut busuk itu!
Jina geleng kepala dengan senyuman menyenget.
"Tak. Aku tendang dia! Aku hentak kepala dia dengan beg tangan aku selepas itu aku curah air kosong dekat muka dia. Puas hati aku! Kalau nak diikutkan hampir sahaja aku nak naik kaki ke muka mamat tu sampai terkoyak kau punya ka..." tersedar dia hampir terlajak kata pantas Jina menutup mulut. Sedangkan Jihan sudah mengerut kening. Kenapa tiba-tiba sahaja berhenti di sekerat jalan?
"Ka, apa?"
"Ka... Ka... Kau nak tahu tak semalam motosikal aku tayarnya pancit." Pantas Jina menukar topik perbualan mereka. Harap-harap sangat Jihan pun tertarik untuk dengar.
"Ya ke? Habis kau balik naik apa?" Soal Jihan.
Fuh! Jina menghembus nafas lega. Senang hati apabila topik mereka dilanjut ke kisah seterusnya.
"Aku jalan kaki." Jawabnya ringkas.
"Kenapa kau tak call aku?"
"Aku tak nak kacau kau semalam. Tapi aku guna jalan shortcut. Jalan lorong lama tu."ujar Jina.
Membuntang mata Jihan mendengarnya. Jalan lorong lama? Biar betul? Lantas, Jihan terus bangun mengubah tempat duduk di sebelah Jina. Gaya seperti teruja ingin mendengar dengan lebih lanjut.
"Kau guna jalan lama? Tak silap jalan tu dekat dengan funfair terbengkalai itukan?" Soal Jihan sekadar ingin memastikan tekaannya benar atau salah.
Tatkala Jina mengangguk kepala tanda benar.
"Yalah. Dah itu aje jalan yang dekat. Habis aku nak guna jalan apa? Lagipun lampu-lampu dekat situ masih bernyala. Tak gelap sangat."
"Hei, kau tak tau ke jalan tu berhantu? Entah-entah lampu cuma khayalan mata kau sahaja!" Kata Jihan. Cuak.
"Berhantu?" Jina tergamam. Tiba-tiba sahaja wajah lelaki pelik semalam muncul di kepala. Apabila teringat balik kejadian itu terus bulu romanya mencanak naik. Lagi-lagi apabila teringatkan kotak baju yang dihantar pagi tadi. Tak pasti sama ada si penghantar barang itu adalah lelaki semalam atau orang lain. Ia tetap menjadi satu misteri.
"Aku pernah dengar cerita, jalan tu ada penunggu. Dulu, ada budak remaja lalu kawasan tu pada waktu malam masa diaorang balik dari tusyen. Tiba-tiba, muncul seorang lelaki pakai macam tuxedo." Ujar Jihan, mula membuka kisah misteri yang pernah menjadi khabar angin suatu ketika dahulu.
"Tu... Tuxedo?" Jina menjadi gagap. Lelaki semalam pun pakai baju tuxedo juga.
"Rambut dia panjang. Mata dia pula warna merah pucat. Gigi dia tu pula kata orang panjang sampai ke dagu! Ish, seramnya! Macam manalah kau boleh terfikir nak lalu kawasan tu?"
Rambut panjang? Merah pucat? Gigi tajam? Jina cuba untuk teringat semula tentang lelaki itu. Seingatnya, dia tidak nampak pula lelaki pelik itu mempunyai taring di gigi. Hendak kata muka macam hantu pun, dia kacak. Takkanlah zaman sekarang hantu pun pandai pergi spa kecantikan? Bahkan, rambutnya juga kemas dan rapi dengan gaya wolf cut. Tidak tahu pula jika ada kedai barber di alam mistik untuk hantu membuat potongan rambut.
Atau dia sendiri yang terlepas pandang?
"Kau pernah nampak dia ke?" Soal Jina sekadar ingin tahu. Daripada gaya penceritaan macam pernah bersemuka dengan hantu itu. Malah Jihan menggeleng tanda tidak pernah.
"Tak. Tapi berdasarkan cerita orang, mereka kata dia vampire! Bahkan ada yang kata dia hantu raya sebab tak dapat main dekat funfair masa hidup dulu. Tapi yang pasti, kalau seseorang tu tak nak jadi mangsa dia. Si mangsa tu kena minta tiga benda jahat." Ujar Jihan.
Kening Jina semakin berkerut tebal.
"Tiga benda jahat?"
Jihan angguk kepala laju.
"Ya. Apa-apa benda jahat yang kejam. Biasalah, hantukan suka benda jahat." Katanya.
"Pelik. Habis kalau orang tu tak sanggup nak buat jahat macam mana?" Soal Jina penuh tanda tanya.
Kemudian Jihan jongket bahu. Manalah dia tahu. Dia bukannya pernah terserempak dengan hantu di lorong itu. Sebelum ini, dia cuma dengar dari buah mulut orang sahaja.
"Entah. Aku tak dengar cerita mereka sampai habis. Mungkin kena makan? Darah mereka kena sedut?"
Jina terdiam. Menyeramkan! Air liur ditelan. Kesat. Mujur semalam aku sempat melarikan diri daripada lelaki pelik itu, bisik Jina di dalam hati. Harap-harap selepas ini mereka takkan berjumpa lagi.
"Dahlah, jom sambung kerja. Lepastu kita pergi makan dekat warung roti canai." ajak Jihan lantas dia bangun melangkah ke arah motorsikal yang hendak dibaiki tadi.
Jina mengangguk kepala. Dia pun banyak lagi kerja yang belum selesaikan. Daripada fikir tentang lelaki misteri itu, lebih baik dia siapkan kerja.
Tapi...
Betul ke lelaki itu sebenarnya hantu raya?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro