Bab 3
"HAIH, mana si Jina ni tak balik-balik lagi? Inilah sebab aku selalu larang dia keluar malam-malam naik motor. Kalau dah keluar tu dah macam tak jumpa jalan balik!" Bebel Nek Piah sambil dia menggeleng kepala. Suasana di luar rumah diperhatikan. Sunyi. Bunyi motorsikal pun tak jengah ke telinga. Nampak sangat Jina belum pulang.
Ke mana agaknya wanita itu pergi? Dah pukul 10 malam pun masih belum tiba di perkarangan rumah. Betullah kata orang, jaga lembu lagi senang daripada jaga anak dara seorang. Masalahnya si Jina itu dengan lembu tak ada banyak bezanya.
Tergeleng kepala Nek Piah tika ini. Andai arwah ayahnya, Norman masih hidup, tentu sahaja balik rumah nanti punggungnya disebat dengan bulu ayam. Hanya Norman sahaja yang paling tegas dalam rumah ini. Dia dan arwah Maimunah pula jenis cepat kasihan bila Jina buat-buat muka sedih.
Namun malang sekali, arwah Norman dan Maimunah telah lama pergi. Mereka terlibat dalam kemalangan sewaktu umur Jina baru sahaja masuk 9 tahun. Kini tanggungjawab menjaga Jina beralih kepada Nek Piah. Dialah yang membesarkan Jina daripada kecil hingga ke dewasa sekarang.
Disebabkan layanan manjanya pada Jinalah penyebab perangai wanita itu makin menjadi-jadi. Lembut kewanitaan dalam dirinya cuma 30%, dan selebihnya kasar mengalahkan anak jantan. Kalau Norman masih hidup, pasti Jina akan menjadi seperti perempuan Melayu terakhir dimuka bumi ini.
"Jina... Jina... kalau arwah ayah kau masih hidup. Rasanya dah kena sebat kau kalau balik nanti." Keluh Nek Piah. Kemudian, dia melangkah masuk ke dalam rumah. Mencapai telefon bimbit yang berada diatas meja. Mungkin Jina berada di rumah Jihan. Kalau dia tahu Jina bersama rakan baiknya, tak adalah dia risau sangat. Takut si anak dara itu melencong ke lain aje! Jika terjadi apa-apa, dia sendiri juga yang susah.
"Assalamualaikum, Jihan. Ni Nek Piah nak tanya... Jina ada dekat rumah kamu ke? Dah pukul 10 ni dia masih tak balik-balik, risau pula Nek Piah dibuatnya. Ap... Apa? Dia pergi dating?!" Nek Piah agak terkejut. Tak tahu hendak teruja atau takut. 'Eh, eh... laku juga cucu aku selama ni ek?' Katanya di dalam hati. Sungguh, susah nak percaya.
Bahkan Neh Piah lebih percaya jika gajah boleh terbang berbanding cucunya ada teman lelaki. Pelik. Cita rasa lelaki itu memang suka yang kasar ke?
"Di... Dia pergi dating dengan siapa? Tengku Hayyan? Eh budak mana pula tu? Kenapa Nek Piah tak kenal? Nampak sangat si Jina ni nak buat surprise cakap dia ada boyfriend balik nanti. Haih, tak apalah Jihan. Terima kasih bagitahu Nek Piah. Maaf ganggu kamu malam-malam ni. Assalamualaikum." Talian dimatikan serta-merta. Keluhan kecil dilepaskan perlahan. Pergi temu janji rupanya. Patutlah tak balik-balik lagi. Tengah angaulah tu sampai lupa pukul berapa nak tiba di rumah.
Nek Piah geleng kepala. "Suka hati kaulah Jina, janji kau pandai jaga diri. Nak halang kau bercinta pun, engkau tu bukannya laku sangat. Kesian pulak aku. Ish... Ish... Ish... sekali sekala merasa apa itu cinta." Gumam Nek Piah bersendirian. Telefon ditaruh semula ke atas meja. Daripada fikirkan tentang Jina, baik dia layan drama Viral di televisyen. Lagi seronok!
"ARGHH!!!" Jina menjerit sekuat hatinya. Satu tendangan dilepaskan kasar pada tayar hadapan motosikal Honda Msx125 yang pancit. Apabila dia periksa, rupa-rupanya ada satu paku yang melekat pada tayar hadapan. Entah bila dia terlanggar atau mungkin ada budak-budak nakal yang sengaja memancitkan tayar motorsikalnya. Kalau aku dapat siapa yang buat, memang nahas aku kerjakan budak tu! Gertak Jina di dalam hati.
"Dahlah baru kena tinggal dengan boyfriend tak guna, sekarang kau pula buat hal! Ish!" Jina merengus geram. Tanpa menunggu lama, dia terus capai beg sandang di atas seat dan meneruskan perjalan.
Tiada cara lain selain jalan kaki. Nak telefon Jihan suruh jemput dia di sini pun tak berani kerana pakaian wanita itu sekali lagi dirosakkan. Pasti hati Jihan akan hancur kalau tahu skirt kesayangannya koyak. Katanya, skirt putih ini pemberian arwah neneknya. Matilah aku kali ni! Mungkin aku harus hubungi penggali kubur sekarang.
"Aduh... apa aku nak jawab dengan Jihan nanti? Mana aku nak cari skirt macam ni? Mahal pula tu harganya! Ini semua salah lelaki tak guna tu! Kalau dia tak hina aku, tak adanya aku buka langkah kuda!" herdik Jina seorang diri. Sakit hatinya pabila teringat apa yang berlaku di restoran tadi. Selepas ini, mesti jatuh sudah maruahnya sebagai seorang wanita yang dipandang lemah-lembut. Mesti esok mukanya terlebih dahulu muncul di media sosial dengan caption 'minah tak sedar diri'.
"Ergh, serabut!" Tin di atas jalan tar disepak kuat, melepaskan amarah yang terbuku di dada. Tanpa sengaja tin kosong itu terpelanting hingga terkena pada hujung kulit kasut seseorang yang berdiri beberapa meter daripadanya. Langkah Jina terhenti. Perlahan-lahan dia mendongak kepala memandang figura lelaki berpakaian suit tailcoat berwarna merah berseluar hitam. Wajahnya tak berapa jelas kerana cahaya lampu jalan yang agak samar-samar.
"Muka kau... nampak macam ada masalah?" Suara garau kedengaran.
Jina mengerut kening tidak faham. Masih lagi sesat dengan apa yang berlaku. Namun dia sempat menangkap senyuman sinis yang terbit di bibir lelaki itu sebelum figura lelaki itu mula melangkah mendekati cahaya. Sedikit demi sedikit wajahnya terpapar dengan jelas. Tatkala Jina masih lagi kaku memandangnya. Terpukau dengan pemakaian pelik lelaki itu. Akan tetapi wajah kacaknya lebih membuatkan Jina terdiam seribu kata.
Lama wajah lelaki itu diamati. Bibirnya merah mungil, hidungnya juga mancung dengan sempurna. Rambut lebatnya panjang paras leher berwarna hitam, Kening terukir kemas dengan anak mata geruda berwarna merah gelap menampakkan lelaki itu seperti seorang vampire yang muncul seperti cerita yang ditayangkan pada kaca televisyen.
Lelaki itu melemparkan senyuman kepada Jina. Senyuman yang terus menusuk ke anggota dalaman iaitu hati.
"Buruk. Muka buruk ark!"
Terus terbeliak biji mata Jina mendengar ejekan itu. Siapa yang berani mengutuknya buat kali kedua? Dan sekali lagi, Jina tergamam saat seekor burung gagak terbang hinggap ke bahu lelaki pelik yang berdiri dihadapannya. Tak mungkin burung itu yang mengejek dia tadi. Kalau betul, memang ada burung yang akan jadi masak cili api dekat dapur nanti!
"Don't say like that, Axel. Tak baik." kata lelaki itu sambil paruh burung gagak itu digosok manja.
Oh, Axel nama burung itu. Maknanya betullah burung itu yang ejek dia sebentar tadi. Tak guna punya burung! Jina mengetap bibir. Apa-apa sajalah, dia tiada mood sekarang. Lebih baik balik daripada tercegat di sini seperti orang gila. Nanti mesti Nek Piah bising jika tahu dia masih belum tiba di rumah sebelum pukul 11 malam. Tanpa mempedulikan lelaki itu, Jina meneruskan langkah.
"Tunggu." Sekali lagi suara garau itu mengarah. Langkah Jina berhenti buat kali kedua. Tetapi dia tidak menoleh.
"Dah pukul 10 malam. Kau takkan sempat tiba dekat rumah kalau jalan kaki."
"Tayar pancit. Tak ada pilihan." Jawab Jina acuh tak acuh. Langkah kembali diteruskan.
"Sekurang-kurangnya kalau nak balik, balik dalam keadaan yang elok. Nanti orang akan ingat kau baru sahaja kena samun sebab pakaian macam itu." Cepat sahaja lelaki itu bersuara, seakan sengaja menahan Jina daripada pergi.
Satu nafas dilepaskan agak kasar. Sudahlah dia dah lambat, selepas itu kena layan mamat banyak soal itu pula.
"Jangan sibuk boleh tak? Suka hati akulah nak balik dengan pakaian macam mana pu..." Kata-kata Jina terhenti saat dia memusing ke belakang. Kelibat lelaki itu hilang secara tiba-tiba. Jina kaget. Melilau anak matanya tercari-cari ke mana susuk tubuh itu menghilang. Takkan aku cakap dengan hantu kut tadi? Jina mula tertanya-tanya. Tatkala bulu roma mencanak naik. Rasa seram sejuk menyelubungi diri. Lorong yang tadinya dianggap biasa, kini baginya penuh misteri.
Gulp!
Air liur ditelan. Kesat.
"Betul tak?"
"Nenek kau hijau!" Jerit Jina terkejut dek melihat lelaki itu muncul di hadapannya pula. Terus Jina mengambil beberapa langkah mengundur ke belakang menjauhinya. Jantung tak henti berdegup dengan laju. Masih lagi terkejut.
"Bila masa encik berdiri dekat depan saya?" Soal Jina, takut-takut.
"Lima saat yang lalu." Jawabnya begitu selamba sambil anak mata melirik ke arah jam dipergelangan tangan kirinya yang memegang tongkat.
"Ta... Tapi..."
"Tak nak tukar skrit baru?" Dia mengeluarkan skirt berwarna biru daripada belakang tubuhnya. Entah celah mana lelaki itu menyorokkan skirt itu namun skirt yang ditayang memang serupa 100% seperti yang Jina pakai. Tatkala Jina melopong, kaku. Mata berkedip-kedip memandang skirt ditangan lelaki itu. Sekilas, Jika menunduk memandang ke bawah. Sukar untuk percaya tapi memang benar sama! Tetapi skirt yang lelaki itu pegang nampak macam baru. Mungkin ini peluangnya untuk ganti pakaian Jihan.
"Skirt tu... Encik nak jual ke? Saya nak!" soal Jina teruja, baru sahaja dia ingin mencapai skirt ditangan lelaki itu namun lelaki itu terlebih dahulu menjauh. Jina tergamam sejenak. Pergerakannya automatik mati di situ.
"This is not for sale young lady." Katanya dengan senyuman menyenget. Jina mengeluh kecil sambil kepala diurut. Kalau tak nak jual kenapa beria tunjuk kepadanya?
"Tolonglah Encik. Cakap sahaja berapa, saya boleh bayar. Saya betul-betul perlukan skirt tu. Kalau saya bagitahu dia yang kain ni rosak tentu dia mengamuk! Tolonglah..." Rayu Jina bersungguh-sungguh sambil tangan dicantumkan bersama. Bibir dicebit. Mata dibulatkan. Ini sahaja muka paling minta simpati yang dia ada.
Malahan lelaki itu sekadar tersenyum sinis sebagai jawapan.
"Well..." Dia melangkah beberapa tapak mendekati Jina. Sedikit pun wanita itu tidak bergerak. Kini, dia berdiri betul-betul di hadapan Jina. Anak mata mereka saling bertentangan. Lama. Raut wajah wanita itu diamati. Jelas reaksi. Jina nampak tak selesa apabila jarak mereka terlalu dekat. Lantas, Jina memutuskan untuk berundur setapak ke belakang. Memberi ruang untuk dia dapat bernafas. Entah mengapa hatinya rasa sesak apabila lelaki itu mendekat.
"Aku boleh bagi kau free." Tawarnya.
Mata Jina bersinar-sinar. Benarkah?
"Tapi dengan syarat, kau harus berjanji dengan aku. Kita akan jumpa lagi selepas ni."
Senyuman dibibir Jina terus mati tatkala mendengar syarat itu. Dia dah malas nak hadap lelaki selepas kejadian di restoran tadi. Apatah lagi nak yakinkan bahawa mereka boleh berjumpa lagi selepas ini. Tambah pula, dia langsung tak kenal siapa lelaki pelik ini. Untuk apa mereka nak berjumpa? Bak kata Nek Piah, jangan sesuka hati menabur janji kepada orang yang tak kenal. Nak tak nak, dia lebih rela cari skirt itu di kedai esok daripada membuat perjanjian dengan seorang lelaki misteri.
"Tak apalah. Simpan ajelah skirt encik tu. Saya nak balik. Banyak lagi skirt tu dijual di kedai." Balas Jina acuh tak acuh. Tanpa membuang masa, dia terus melangkah pergi daripada situ.
"Kau pasti?" Soalnya.
Jina angguk kepala. Dia dapat mendengar derap langkah lelaki itu seakan mengekornya dari belakang.
"Ya. Sebab bukan encik seorang aje yang ada skirt macam tu. Dekat luar sana tu banyak aje jual. Saya tak suka berjanji dengan orang yang saya tak kenal. Lebih-lebih lagi kalau orang itu adalah lelaki dan rupanya pelik." Ujar Jina tanpa menoleh ke belakang.
Lelaki itu tersenyum senget. Kepala diangguk berkali-kali tanda faham. Baiklah, kalau Jina berfikir begitu. Dia pun tiada hak untuk memaksa.
"Rugi! Cik Hodoh, rugi!" Ejek si burung gagak bernama Axel itu.
Bengang sahaja telinga Jina mendengar ejekan itu. Kedua-dua belah tangan dikepal kuat. Memang nak kena masak si burung gagak tu!
"Kau apahal huh burung?!" Jina terus pusing ke belakang. Tercengang dia tatkala figura lelaki pelik dan burung gagak itu hilang sekali lagi. Laju Jina memandang ke hadapan. Manalah tahu jika lelaki itu sekali lagi berdiri di hadapannya secara mengejut. Akan tetapi tetap kosong. Hanya dia sahaja yang berada di lorong gelap ini. Seorang diri. Tiba-tiba suasana seram sejuk menerpa sanubari . Bulu roma mencanak naik. Digosok lengan berkali-kali sambil anak mata melilau ke sekeliling.
Kedengaran suara anjing menyalak lagi menaikkan rasa seram sejuk. Entah-entah lorong gelap ni....
"HANTU!!!"
Lantas, Jina mengambil langkah seribu. Lari meninggalkan lorong gelap yang dianggap berhantu. Tetapi lariannya yang terlampau laju menyebabkan kakinya tak sengaja terselit pada batu. Terus Jina jatuh tersungkur ke tanah. Sebelah kasut tumit tinggi terpelanting entah ke mana. Ah, tiada masa dia nak cari!
"Esok pagi ajelah!"
Tanpa berlengah, cepat-cepat Jina bangun menyambung lariannya dengan terjengket-jengket.
Tanpa sedar, ada bibir yang sedang tertawa kecil melihat Jina yang berlari tak cukup tanah. Lucu sekali wanita itu.
Dia suka.
"Azel! Lain! Cari! Lain! Azel!" Kata burung gagak itu sepatah demi sepatah. Seolah menyuruh tuannya mencari mangsa yang lain. Lagipun, perempuan itu nampak lebih pelik berbanding manusia yang mereka pernah jumpa sebelum ini.
Namun kepala lelaki itu menggeleng perlahan. Tidak. Naluri hatinya kuat mengatakan wanita itu adalah pilihan yang tepat.
"No, she's the one we need, Axel."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro