Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 19

Bunyi enjin yang sedang dibaiki memenuhi ruang bengkel kecil itu, bercampur dengan bau minyak hitam yang pekat. Azel duduk di atas meja kaunter, kedua-dua tangannya bersilang sambil menayangkan sengihan nakalnya. Matanya tidak lepas memerhati Jina yang sibuk bergerak ke sana sini, mengambil minyak hitam dari rak sebelum kembali ke arah motorsikal pelanggan yang sedang diservis. 

"Dah fikir?" soal Azel, masih dengan nada santainya. 

"Belum." Jina menjawab pendek tanpa menoleh, fokusnya hanya pada kerja di hadapan. Dia menuang minyak hitam ke dalam enjin dengan berhati-hati. Dalam hatinya, dia cuba untuk tidak melayan lelaki itu, tetapi Azel tetap setia menunggu, seakan tidak akan berganjak selagi dia tidak mendapat jawapan. 

Jihan pula entah hilang ke mana. Meninggalkan mereka berdua sahaja di bengkel ini. Jina merungut dalam hati. Kenapalah wanita itu tidak ada? Kalau tidak, pasti dia tidak perlu menghadapi Azel seorang diri. 

Seminit berlalu, dan Azel bersuara lagi.

"Dah ada jawapan?"

"Aku dah cakap belum seminit yang lepas." Ulang Jina, kali ini lebih panjang.

"Okay." Jawabnya. Dia diam lagi.

Namun apabila bengkel itu mulai sunyi, masa juga terasa begitu lama. Bibirnya kembali terbuka ingin bertanya, namun Jina terlebih dahulu bersuara tegas.

"Aku belum fikir."

Azel mengangguk perlahan, menerima jawapan Jina tanpa banyak soal. Dia membisu seketika, hanya duduk di situ sambil memerhati Jina bekerja. Sesekali, bibirnya hampir tergelak melihat Jina menyapu wajahnya dengan belakang tangan, dan tanpa disedari, ada kesan minyak hitam yang melekat di pipinya. Comot, seperti budak kecil yang baru selesai bermain tanah. 

"Sudah! Aku tak boleh fokus." Jina tiba-tiba mendengus, meletakkan botol minyak hitam di atas seat motorsikal dengan sedikit kasar. Sebelum berpaling ke arah Azel, wajahnya jelas menunjukkan rasa tidak puas hati. 

"Kau pergi balik boleh tak?" soalnya dengan nada menghalau. 

Azel menggeleng, sengihannya masih tidak luntur. "Aku akan tunggu sampai kau dah fikir permintaan kedua." 

Jina mendengus kuat, matanya menjuling ke atas tanda sebal. Lelaki ini memang tidak akan berputus asa, kah? Menyesal pula bila dia memilih untuk berkata akan fikirkan dahulu permintaan lelaki itu. Dan sekarang, lihatlah. Dia menuntut!

"Aku akan pergi ke tempat kau bila aku dah fikirkan nanti. Tapi sekarang bukan masanya. Aku ada kerja yang perlu disiapkan. Dan kalau kau terus ada dekat sini, kerja aku makin lambat." 

Nada suara Jina jelas bernada tegang. Dia mendengus kasar, cuba mengawal kemarahan yang mula membuak. Azel benar-benar menguji kesabarannya. 

"Betul ke?" 

Tanpa sebarang amaran, Azel melompat turun dari meja kaunter dan melangkah menghampiri Jina. Kini jarak mereka begitu dekat. Mata mereka bertaut dalam satu pandangan yang sukar untuk ditafsirkan. 

"Kalau kau rasa aku mengganggu, buatlah permintaan sekarang supaya aku boleh terus pergi," ujar Azel, masih dengan nada santainya. Namun kali ini, ada ketegasan di sebalik kata-katanya. 

Jina memejamkan mata sesaat, menarik nafas panjang. Kesabarannya benar-benar teruji. Lelaki ini memang tidak tahu erti putus asa. 

"Ergh!"

Tanpa menjawab, dia berpaling dan melangkah ke arah rak peralatan. Tangannya menyentuh beberapa kotak kecil, seolah-olah sedang mencari sesuatu. Hakikatnya, dia hanya mahu melarikan diri daripada terus berbual dengan Azel. 

Namun, Azel bukanlah seseorang yang mudah berputus asa. Dia mengekor setiap langkah Jina, seolah-olah bayang yang enggan berpisah. 

"Apa yang susah sangat untuk kau buat permintaan?" suaranya kembali kedengaran, kali ini lebih perlahan tetapi masih penuh dengan provokasi.

"Kau ada banyak pilihan, tahu? Kau boleh suruh aku tolak Hayyan masuk gaung, kau boleh buat dia kena lempang selama seminggu, atau kalau kau nak dia kena ganggu pun boleh. Banyak lagi benda yang aku boleh buat untuk kau. Tiada apa yang mustahil."  katanya.

Namun Jina tersenyum sinis.

"Kalau begitu, pergilah buat semua tu sendiri. Tak perlu tanya aku!" balasnya acuh tak acuh, sambil berjalan semula ke arah motorsikal yang sedang dibaiki. Tangannya lincah membetulkan bahagian yang longgar, cuba mengalihkan fokus daripada lelaki yang terus mengganggunya. 

Namun, Azel masih tidak berganjak.

"Aku tak boleh buat semua tu tanpa hajat kau," rungutnya, kali ini nadanya sedikit merajuk. 

Jina mengetap bibir, menahan rasa geram yang semakin menebal. Dia tahu satu perkara, Azel tidak akan pergi selagi dia tidak mengutarakan satu permintaan. Masalahnya sekarang, dia sendiri masih belum pasti apa yang dia mahukan. 

"Fine!"

Jina hampir menyerah kalah. Setiap detik yang berlalu, semakin berat rasanya dengan kehadiran Azel yang masih setia berdiri di situ. Semakin lama lelaki itu berada di sini, semakin menambah tekanan yang menghimpit kepalanya. Dia berpaling, memandang lelaki itu yang masih teguh berdiri di tepi motorsikal, menunggu dengan penuh sabar, seolah-olah menunggu sesuatu yang tidak pasti.

"Betul kau nak aku buat permintaan?" Soalnya dengan nada yang mulai malas, suaranya seakan tidak berminat lagi untuk melayan perbualan ini.

Azel mengangguk dengan pantas, senyuman lebar terukir di wajahnya, seakan tidak sabar menunggu jawapan Jina.

"Ya! Cakap sahaja apa yang kau nak. Sekarang jugak aku buat."

Jina menghela nafas berat, kemudian memandang keluar melalui tingkap bengkel. Matanya melilau, mencari sesuatu untuk dijadikan alasan untuk mengalihkan perhatian lelaki itu buat sementara waktu.

Matanya melintas ke kiri dan kanan jalanan di luar, memerhatikan sekeliling, sehinggalah pandangannya tertarik kepada seorang wanita tua yang sedang berjalan perlahan di tepi jalan.

Tubuhnya sudah bongkok, mungkin sudah mencecah usia 70-an, namun dia masih setia mengutip botol plastik kosong yang dibuang orang ramai, untuk dijual semula kepada kilang kitar semula. Tangannya yang agak tua namun cekap itu, dengan sabar memasukkan setiap botol plastik kosong yang dijumpai ke dalam beg besar yang sudah hampir penuh.

Jina tidak dapat menahan senyuman sinis yang terukir di bibirnya. Sebuah idea yang cukup mencabar muncul di kepalanya, dan dia tahu inilah masanya untuk mengenakan Azel dengan sesuatu yang mustahil.

"Kau nampak nenek tu?" Soalnya sambil menuding jarinya ke arah wanita tua itu yang sedang berjalan perlahan-lahan, tanpa menyedari bahawa dirinya sedang dijadikan sasaran untuk permintaan Jina.

Azel yang sedang memerhati dengan penuh perhatian, menoleh ke arah yang ditunjukkan oleh Jina, memerhatikan wanita tua itu seketika sebelum kembali menatap Jina. Dengan perlahan, dia mengangguk.

"Nampak, kenapa dengan nenek tu? Kau nak aku buat apa?"

Jina tersenyum lebih lebar, dan tanpa ragu-ragu lagi, dia terus menjelaskan permintaannya.

"Bagus. Aku nak kau pergi cari seratus botol kosong untuk nenek tu. Tapi bukan sebarang botol. Aku nak yang ada penutup biru. Kalau ada penutup warna lain, aku tak terima. Lagi bagus kalau botol tu tak kemek langsung. Boleh?"

Azel terkejut dan terkebil-kebil, matanya membulat.

"Hah? Kenapa tiba-tiba aku kena kutip botol kosong?"

Jina bersandar dengan selesa pada motorsikal pelanggan itu, menyilangkan tangan di dada dengan penuh ketenangan.

"Tadi kau yang tak habis-habis soal aku untuk buat permintaan, kan? Nah, ini permintaan aku. Kalau kau tak boleh buat, tak apa. Kau boleh cari orang lain untuk buat hajat. Tapi kalau kau nak permintaan tu dari mulug aku, kau kena tunaikan permintaan ni."

Azel mengerutkan dahi, kemudian menggelengkan kepala, tidak percaya dengan apa yang baru didengarnya.

"Aku tak boleh tunaikan permintaan tu."

Jina mengangkat kening sebelah, tidak percaya.

"Kenapa? Tadi kau yang bersungguh-sungguh sangat suruh aku buat permintaan. Sekarang, kau kata tak boleh? Atau... sebenarnya kau tak mampu?"

"Bukan macam tu," Azel menjawab dengan sedikit gelisah.

"Aku sebenarnya tak boleh tunaikan permintaan yang baik. Adalah sebabnya kenapa."

Jina berpura-pura terkejut dan memandang Azel dengan wajah yang sangat terkejut.

"Oh? Kau tak boleh buat kebaikan? Jadi, selama ni kau tak pernah buat benda baik dengan orang?"

Azel mengangguk perlahan, kelihatan lebih tidak selesa dengan situasi itu. "Benda tu akan... tak apalah, kau tak perlu tahu."

Jina menjulingkan mata ke atas, seolah-olah tidak percaya dengan penjelasan Azel. "Jadi, apa maksudnya? Kau tak boleh tolong orang langsung?"

Azel mengangguk lagi, tampak semakin tidak selesa. "Nampaknya macam ya."

Jina mengeluh kecil, mempamerkan senyuman sinis yang semakin lebar.

"Kalau begitu, kau buatlah dengan cara jahat. Kau mesti boleh kutip botol dengan cara yang jahat, kan?"

Azel memandangnya dengan wajah bingung, tercengang. "Macam mana aku nak kutip botol dengan cara jahat? Pernah ke manusia buat macam itu?"

"Pandai-pandailah kau fikir sendiri," balas Jina sambil mengangkat bahu, acuh tak acuh.

"Dah selesai semua tu, baru kau boleh datang jumpa aku. Jangan ganggu aku selagi kau tak bawa seratus botol sebagai bukti. Ada faham?"

Nada suara Jina semakin tegas, cukup untuk membuat Azel terdiam, seakan tidak tahu apa yang harus dilakukan. Tanpa menunggu jawapan, Jina berpaling dan terus menuju ke kaunter, tidak mempedulikan lelaki itu lagi.

Azel masih berdiri kaku, terkejut dengan permintaan yang tidak masuk akal itu. Namun, seketika kemudian, senyuman jahat perlahan-lahan terukir di bibirnya. Satu idea genius muncul di kepalanya.

Dia... sudah tahu apa yang harus dilakukan.

"Oh, satu lagi! Kalau boleh..."

Jina yang baru sahaja berpaling untuk memberi tambahan permintaan, terkejut apabila melihat Azel sudah tidak ada di situ. Lelaki itu lenyap begitu sahaja, seperti pelesit yang menghilang dalam sekelip mata. Tiada langsung jejaknya.

Jina mengerutkan kening, tidak percaya.

"Lajunya dia pergi." Desis Jina, sambil tangannya menggaru kepala yang tidak gatal.

"Lantaklah. Janji dia dah pergi." Gumam Jina dengan nada yang agak kasar, hatinya sedikit lega kerana Azel akhirnya meninggalkannya. Walaupun perasaan itu belum hilang sepenuhnya, dia berniat untuk menyelesaikan kerja yang tertangguh sejak tadi. Namun, baru sahaja dia ingin menyambung tugasnya, satu bunyi deruman enjin kereta memecah ketenangan.

Jina segera mengecilkan matanya, tertarik dengan bunyi tersebut. Kereta BMW putih yang berhenti di hadapan bengkel itu menarik perhatian, dan seakan-akan ada sesuatu yang familiar dengan kereta tersebut. Perlahan, keretanya diparkir dan pintu terbuka. Dan tatkala figura lelaki berpakaian seperti seorang ahli korporat keluar dari kereta itu, bibir Jina mengetap.

Hayyan.

Muka itu lagi! Jina menggigit bibir, rasa menyampah bertambah setiap kali memandang wajah Hayyan. Apa pula lelaki itu buat di bengkelnya? Adakah dia mahu menguji kesabaran Jina sekali lagi?

"Ehem!" Hayyan berdehem, dengan gaya yang cukup bergaya, tetapi ketara jelas kerisauannya. Kaca mata hitam yang melindungi matanya ditarik perlahan ke bawah. Riak wajahnya agak pucat, seperti orang yang takut untuk datang ke sini. Rasa risau bahawa wanita itu mungkin akan membelasahnya cukup-cukup.

Namun, dia tidak ada pilihan lain.

Jina mendengus kasar, seakan sudah mengerti apa yang akan berlaku.

"Kau nak apa datang sini? Aku dah cakap, jangan tunjuk muka kau. Atau kau nak makan spanar sebagai makan petang ni HUH?" Soalnya dengan suara yang tegas dan mengugut, sambil tangannya mencapai spanar yang terletak tidak jauh darinya, dihala ke arah Hayyan yang berani berdiri di hadapan wajahnya.

GULP!

Hayyan menelan air liur, teragak-agak dengan situasi yang semakin tidak menyenangkannya. Dengan tangan yang sedikit menggigil, dia menolak spanar itu menjauh dari wajahnya, cuba menenangkan diri.

"I... I bukan datang nak jumpa you. I datang sebagai pelanggan. Profesional sikit boleh tak? Kereta tu. Dia buat hal lagi."

Jina menjuih bibir, mengangkat satu kening dengan nada sinis. "Kereta rosak? Kau tak nampak ke bengkel aku ni untuk kenderaan apa? Ke kau nak aku korek biji mata kau untuk nampak lebih jelas?" Jina bertanya tanpa rasa belas kasihan.

Hayyan terpinga-pinga, tak tahu mahu berkata apa. "I tahulah. Tapi tak ada bengkel yang buka waktu sekarang. Mana tau you boleh check mana yang rosak buat sementara waktu. I bayar bukannya tak bayar," katanya dengan harapan Jina akan sedikit berlembut.

Jina diam seketika, merenung lelaki itu dengan pandangan penuh rasa tidak puas hati. Kalau mengikutkan perasaannya yang masih marah, sudah lama dia menghalau Hayyan keluar dari bengkelnya. Namun, dia tidak dapat menahan rasa kasihan melihat lelaki itu yang terkial-kial hendak menguruskan keretanya yang bermasalah.

"ERGH, cepatlah!"

Setelah beberapa saat berdiam, Jina akhirnya melepaskan nafas kasar, tanpa berfikir panjang, dia melangkah mendekati kereta milik Hayyan. Kali ini, dia cuba untuk lebih profesional.

Bonet hadapan kereta dibuka perlahan, dan Jina mula memeriksa enjin tersebut.

"Apahal dengan kereta kau ni?" Soalnya, tetap dengan nada dingin, tanpa menunjukkan sedikit pun tanda mesra. Dia memandang Hayyan yang kini berdiri tercongok di tepi kanannya, seperti menunggu dengan sedikit gentar.

"Entah. Ta... tadi semasa bergerak, dia ada bunyi pelik," jawab Hayyan, tergagap-gagap.

Jina mengerutkan dahi, namun matanya tetap fokus pada kerja yang dilakukan.

"Harap kereta aje mahal, tapi banyak masalah!" Sindir Jina, sambil memeriksa lebih teliti, seakan-akan tidak peduli dengan lelaki itu di sebelahnya.

Hayyan yang mula merasakan suasana di bengkel itu semakin janggal. Dia cuba untuk menenangkan dirinya dengan berpura-pura bersiul sambil memandang sekeliling. Setiap sudut bengkel kelihatan teratur, setiap peralatan dan barang-barang motor tersusun dengan rapi. Jina, yang sedang tekun memeriksa keretanya, tidak memperhatikan Hayyan yang sedang berjalan perlahan-lahan menuju rak yang dipenuhi dengan barangan motor.

"Banyak juga stock baru masuk." Komen Hayyan, perlahan. 

Namun, ketika matanya tidak sengaja tertumpu ke arah tong sampah yang terletak di sudut bengkel, langkahnya terhenti. Pandangannya terarah pada sekotak bunga segar yang kelihatan sengaja dibiarkan begitu sahaja, seolah-olah memang ingin dibuang. Tanpa dia sedari, hati Hayyan berdegup kencang, dan perlahan-lahan dia menyedari, bunga-bunga itu adalah pemberiannya dulu, untuk Jina.

Dia menelan air liur dan melirik ke arah Jina, yang masih fokus memperbaiki bahagian kereta. Hayyan cuba untuk mengawal perasaan yang mula bergejolak.

"Siapa yang buang bunga-bunga ni? Jihan ke?" Hayyan bertanya dengan suara agak tenang, cuba untuk menyembunyikan perasaan sebenarnya.

Jina hanya melirik bunga-bunga itu sejenak, kemudian bibirnya menyengetkan senyuman sinis.

"Akulah yang buang. Kenapa Jihan pula?" Jawapannya meluncur begitu selamba, seolah-olah tiada apa yang pelik dengan tindakannya.

Kata-kata Jina itu seperti jarum yang mencucuk hati Hayyan. Sebuah kesakitan yang menyentuh kedalaman dirinya. Dengan cepat, dia berpaling, cuba untuk menyembunyikan reaksi wajah yang mulai tidak terkawal. Tanpa sedar, tangannya mengepal erat, menahan perasaan yang semakin mendalam.

"Tergamaknya you, Jina..." desis Hayyan perlahan, cukup untuk dirinya sendiri mendengar, namun tidak cukup untuk menahan rasa sesak di dadanya.

Jina, yang masih leka dengan keretanya, tidak begitu jelas mendengar kata-kata itu. Dia melontarkan pandangan sekilas kepada Hayyan, kelihatan agak bingung.

"Kau cakap apa?" soalnya, tidak menangkap sepenuhnya maksud di sebalik suara itu.

Hayyan segera menggelengkan kepala, berusaha untuk menyembunyikan segala yang terbuku di hati. Dia berdehem sedikit, cuba untuk memperbaiki suasana.

"Tak ada apa. I cuma kata, baguslah. Finally you dah move on daripada I. Tak adalah I rasa serba-salah sebab tinggalkan you lagi," jawabnya dengan nada yang datar, cuba memalsukan perasaannya. Namun, dalam hatinya, kata-katanya bertentangan dengan apa yang sebenarnya dia rasa.

Kepala Jina terangguk-angguk tanda faham. Tak sangka, akhirnya dia berjaya melepaskan semua kenangan tentang lelaki itu. Kenangan yang selama ini sentiasa menghantui dirinya. Dia tidak tahu bagaimana dia boleh bertahan sepanjang waktu itu, tetapi kini, dia rasa lega.

"Sejujurnya, tak adalah susah mana untuk lupakan kau," kata Jina dengan nada selamba, tanpa sebarang riak wajah yang menunjukkan dia berbohong.

"HAH! HAHAHA!" Hayyan tiba-tiba tergelak, buat-buat gembira. Sebelah tangannya menepuk-nepuk dada, seolah-olah tidak percaya dengan kata-kata Jina. Sakit hatinya mendengar setiap kata yang keluar dari bibir wanita itu.

Tahulah dia sudah move on, tetapi kenapa perlu terlalu jujur? Kenapa kata-katanya bagaikan pedang yang menghiris perasaan?

"Samalah. I pun senang sangat nak lupakan you," balas Hayyan, cuba untuk menutup rasa cemburu dan sakit hati yang menyelinap dalam dirinya. Dia cuba berlagak tenang, namun sebenarnya perasaannya masih berperang untuk melepaskan wanita itu sepenuhnya.

Namun, dalam hatinya, dia tahu, walaupun dia cuba berkata dengan yakin, sebenarnya dia masih belum boleh melepaskan Jina secepat itu.

"Kalau betul dah move on, boleh tak bagi balik barang yang aku pernah beri kepada kau dahulu?" soal Jina, matanya tepat memandang Hayyan yang kini kelihatan kaku dengan permintaannya.

Hayyan terdiam sebentar, terkejut dengan pertanyaan itu.

"Kenapa... you nak balik?" tanya Hayyan, suaranya sedikit berubah, seolah-olah enggan memulangkan hadiah-hadiah yang pernah diberikan kepadanya.

Jina menyilangkan tangan, wajahnya serius. "Sebab aku nak tolong bakarkan."

Hayyan menelan air liur, gelisah. Tanpa sengaja, tangannya bergerak untuk menggaru kening, cuba mencari alasan yang boleh diterima akal untuk mengelakkan dirinya daripada memberi semula barang-barang itu.

"Oh, sebenarnya... I dah buang barang you. I tak tahu pula you nak balik. Kalau tak, dah lama I pulangkan. Maaflah kalau you terasa, tapi..." Hayyan cuba memberi penjelasan, namun kata-katanya terasa hambar.

"Baguslah kalau dah buang jugak," potong Jina tanpa ragu.

Hayyan terdiam. Dia sangkakan wanita itu akan marah, atau sekurang-kurangnya sedikit terasa dengan ayatnya, namun ternyata dia silap. Jina tidak terkesan langsung, malah suaranya tidak menunjukkan sebarang emosi. Bagaikan tidak ada sebarang hubungan yang pernah wujud antara mereka. Itu yang paling membuatkan Hayyan rasa terkejut dan sedikit terluka.

Pap!

Bonet hadapan kereta itu ditutup dengan perlahan setelah Jina selesai membetulkan apa yang perlu. Dia menyeka tangan yang sedikit berminyak di seluar, sebelum menoleh kepada Hayyan yang masih berdiri di sisi kereta.

"Dah siap. Kau kena tukar wayar dekat dalam tu nanti. Dah longgar. Itu aje," pesan Jina dengan suara yang malas, sambil menepuk-nepuk sedikit tangan yang sudah tercalit minyak.

Hayyan hanya mengangguk, mengiyakan dengan tanda faham. Tanpa berlengah, dia mengeluarkan dompet dari poket kotnya yang mahal, seperti biasa.

"Berapa I nak kena bayar?" soalnya, dengan nada formal.

Jina hanya melirik sekilas, sambil menggelengkan kepala. "Tak apalah. Sikit aje ni, tak payah bayar. Pergilah, aku ada banyak kerja," balasnya dengan acuh tak acuh, jelas ingin mengelak dari melayan lelaki itu lebih lama.

Hayyan tersenyum kelat, sedikit kecewa dengan sikap Jina yang kelihatan tidak peduli langsung. Dia menyimpan semula dompet ke dalam poket, melepaskan keluhan perlahan, memandang Jina yang kini fokus semula kepada kerja-kerja di bengkel. Wanita itu kelihatan langsung tidak terkesan dengan kehadirannya, seolah-olah dia bukan lagi bahagian dalam dunia Jina.

"Okay, I... pergi sekarang," ucap Hayyan, suara itu dipenuhi dengan sedikit rasa kecewa.

Namun, Jina tidak membalas apa-apa. Wanita itu hanya terus bekerja, tidak mengalihkan pandangan darinya. Hayyan menghela nafas panjang, sebelum akhirnya berpaling dan berjalan menuju ke keretanya. Tanpa berkata apa-apa lagi, dia masuk ke dalam kereta, menghidupkan enjin, dan membawa kenderaan itu pergi meninggalkan bengkel dengan perlahan.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro