Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 18

HARI  berganti pagi, langkah Jihan terhenti sebaik sahaja dia melangkah masuk ke bengkel. Matanya tertancap pada Jina yang sudah berada di sana, lebih awal daripada kebiasaan. Di hadapan meja kerja, Jina kelihatan begitu fokus, memasukkan bunga-bunga segar yang tersusun rapi ke dalam sebuah kotak besar. Dari sudut mata Jihan, dia dapat mengecam jambangan itu, bunga pemberian Tengku Hayyan.

Dia nak buang semua bunga itu kah?

Bisik hati kecil Jihan, sedikit teruja dengan kemungkinan itu. Namun, dia berlagak tenang, menyembunyikan perasaan dalam senyuman kecil. Melihat Jina yang begitu tekun, timbul idea nakal di benaknya. 

Langkahnya dipercepatkan, mendekati Jina dengan debaran yang sukar disembunyikan. Ketika jaraknya sudah cukup dekat, dia memecahkan suasana dengan suara cerianya. 

"Jina!" serunya sambil menepuk lembut bahu wanita itu. 

"OI MAK!"Jina tersentak. Tangannya hampir terlepas bunga yang dipegang, dan dia berpaling dengan mata yang sedikit terbeliak.

"Eh, kau ni, Jihan! Terkejut aku!" ucapnya sambil menghela nafas, namun tidak dapat menahan senyuman kecil yang muncul di bibirnya. 

"Comel betul muka kau kalau terkejut," usik Jihan sambil tertawa kecil.

"Kalau boleh, tiap-tiap hari aku nak buat kau macam ni."  Sambungnya lagi.

Jina mengetap bibir, cuba menahan senyuman yang hampir mekar sepenuhnya.

"Ada-ada aje kau ni, sengajalah tu nak ambil hati aku." balas Jina sebelum kembali memfokuskan kepada kerjanya, memasukkan bunga-bunga itu ke dalam kotak. 

Seketika Jihan cuma menyengih sebelum memandang kotak besar yang hampir penuh itu dengan rasa ingin tahu.

"Kau nak buat apa dengan semua bunga Tengku Hayyan ni?" tanyanya, matanya menyelidik. Walaupun bunga-bunga itu masih segar dan cantik, Jina nampak seperti tidak peduli lagi. 

"Aku nak buang," jawab Jina, ringkas namun tegas. 

Mata Jihan membulat, sengaja menampakkan dirinya terkejut.

"Buang? Kau biar betul?" Dia menyembunyikan rasa gembira di sebalik lakonan itu. 

Jina memandang Jihan sejenak sebelum mengangkat bahu.

"Tak ada sebab aku nak simpan. Buat menyemak aje dekat bengkel ni. Lagipun aku malas nak jaga." Kata Jina, setelah selesai memasukkan ke semua bunga ke dalam kotak, lalu ditutup. Dia mengangkat kotak yang agak berat itu menuju ke tong sampah yang berada di tepi bengkelnya. Meletakkan kotak itu disitu, kemungkinan sekejap lagi lori sampah akan datang kutip.

Jihan mengerutkan dahi, cuba kelihatan prihatin walaupun dalam hatinya, dia bersorak. Jelas sekali, Jina sudah melepaskan segala kenangannya bersama Tengku Hayyan. Tidak perlulah dia risau Jina berbalik kepada lelaki itu semula.

"Baguslah kau ni, Jina," ucap Jihan, senyuman ikhlas terukir di wajahnya.

"Lelaki dah tak nak dekat kita, buat apa nak terus simpan barang-barang dia kan?" tambah Jihan, cuba menceriakan suasana.

Jina mengangguk perlahan, cuba meyakinkan dirinya sendiri. Walaupun ada rasa pedih yang masih tersisa, dia tahu keputusan itu adalah langkah pertama untuk benar-benar melangkah ke hadapan.

"Betul. Aku dah tak kesah lagi pasal dia," balasnya yakin.

Jihan tersenyum lebar mendengar jawapan itu. Sebetulnya, itu adalah jawapan yang paling bahagia dia dengar tika ini.

Setelah selesai meletakkan kotak bunga di tepi, Jina menepuk-nepuk tangannya, membersihkan debu yang melekat. Dia memusingkan tubuh, memandang Jihan yang kini sedang menjengket untuk duduk di atas meja kaunter. Ruang kaunter itu kelihatan lebih lapang, sesuai dengan postur Jihan yang santai.

"Kau pula, sibuk betul beberapa hari ni buat apa? Aku mesej, call satu pun tak angkat. Sibuk dating dengan bakal suami ke?" tegur Jina, nadanya nakal, dengan senyuman sinis di bibir. Tanpa menunggu jawapan, dia berjalan ke arah rak yang tersusun botol minyak hitam, tangannya lincah menyusun stok baru di ruang kosong yang ada. Waktu senggang tanpa pelanggan memang selalu dimanfaatkannya untuk mengemas bengkel.

Kening Jihan sedikit terangkat. Dia terkejut Jina tahu tentang berita itu.

"Mana kau tahu?" soalnya, cuba berlagak biasa walaupun sedikit resah.

Jina tersenyum senget sambil melirik ke arahnya.

"Siapa lagi yang akan sampaikan berita macam tu kalau bukan mak cik bawang kat rumah aku? Nenek akulah," jawab Jina dengan selamba.

Wajah Jihan berubah mendengar jawapan itu. Jantungnya mula berdegup kencang, dan perasaan cuak menyelinap ke seluruh dirinya. Dia tertanya-tanya, sama ada sudah tahu atau belum. Tetapi rasanya mustahil. Kalau Jina sudah tahu lelaki itu adalah bekas kekasihnya, bengkel ini mungkin sudah porak-peranda. Pasti Jina tidak akan sekadar berdiri tenang seperti sekarang.

Dengan hati yang memberat, Jihan akhirnya memberanikan diri membuka mulut.

"Kau... dah tahu ke siapa bakal suami aku?" tanyanya perlahan. Nada suaranya hampir berbisik, seolah-olah tidak mahu mendengar jawapan yang mungkin merobek ketenangannya.

Tangan Jina yang sedang memegang botol minyak hitam berhenti sejenak. Tubuhnya kaku. Dia memandang Jihan, mata wanita itu redup, seperti menyembunyikan sesuatu yang sukar diduga.

"Belum," jawabnya perlahan, namun intonasinya menggambarkan keinginan untuk tahu lebih lanjut. Senyuman sinis terukir di bibirnya.

"Kenapa? Aku tak boleh tahu ke?" soal Jina lagi, kali ini nadanya lebih mencabar.

Soalan itu menikam terus ke dada Jihan. Dia terasa nafasnya seakan tersekat. Dengan berat, dia menelan liur, cuba menenangkan perasaan yang berkecamuk dalam dirinya.

"Bukan macam itu, cuma tak surprise lah kalau kau tahu awal," balas Jihan pantas, cuba menutup kegugupannya. Dia memaksa dirinya tersenyum, senyuman kecil yang nampak dibuat-buat.

"Aku cadang nak bawa kau jumpa dia nanti. Nak kenalkan yang aku ada kawan paling baaaaaik sekali dalam dunia ni."

Kening Jina sedikit terangkat, matanya tidak lepas memerhati wajah Jihan, cuba menangkap sebarang petanda pelik.

"Serius ke kau nak bawa aku jumpa dia? Bila?" soalnya, nadanya separuh percaya.

Jihan tergagap sedikit, namun cepat-cepat menyembunyikan keresahannya. Dia buat-buat memikir sejenak, tangan menyentuh dagu seolah-olah sedang merangka rancangan.

"Errr... mungkin lusa? Keluarga aku ada buat majlis makan tertutup. Bolehlah aku bawa kau sekali," jawabnya sambil tersenyum, berharap Jina tidak menyedari ketidaktenangan di balik nada suaranya.

Jina mengangguk perlahan, matanya merenung Jihan dengan ekspresi yang sukar dijangka.

"Majlis keluarga, ya? Hmm... okay. Aku pun nak tengok sangat lelaki mana yang berjaya buat kau jatuh cinta tu." katanya dengan senyuman kecil, walaupun nada suaranya seperti menyimpan sesuatu.

Jihan tersenyum lemah, tetapi dalam hatinya, dia tahu keputusan ini mungkin seperti menjemput badai. Namun, saat bibirnya terbuka ingin mengatakan sesuatu, kata-kata itu terhenti di kerongkong apabila sebuah figura lelaki muncul di hadapan bengkel.

Langkahnya perlahan, namun cukup  untuk menarik perhatian. Mata Jihan membulat, terpaku pada lelaki tinggi yang berdiri di situ. Kot labuh hitam yang tersarung kemas pada tubuhnya, kasut kulit yang berkilat, dan gaya rambut wolf cut yang beralun membuatkan lelaki itu tampak memukau. Namun, apa yang benar-benar membuat Jihan terkedu adalah anak matanya yang berwarna merah pekat, membawa aura pelik dan misteri. Lelaki itu seperti tidak berasal dari dunia yang sama.

Jina, yang sedang fokus menyusun botol minyak hitam di rak, tidak menyedari perubahan suasana. Namun, keanehan Jihan menarik perhatiannya.

"Kau tengok siapa?" soalnya, sambil menoleh ke arah Jihan yang kaku, matanya melekat pada sesuatu di belakangnya. 

Jina berpaling ke belakang, dan ketika matanya menangkap wajah Azel, tubuhnya automatik membeku. Suasana seolah-olah berhenti seketika. Nafasnya tertahan, dan fikiran Jina langsung diserang bayangan kejadian semalam, sesuatu yang masih menghantui setiap langkahnya. 

"Azel?" suaranya hampir berbisik, penuh dengan kekeliruan dan rasa seram yang tidak dapat dilenyapkan. Tangannya yang memegang botol minyak terasa bergetar kecil.

Azel tidak menjawab. Sebaliknya, dia melangkah setapak ke hadapan, mendekati Jina dengan wajah yang tenang tetapi penuh mendalam.

"Boleh kita bercakap sekejap?" tanyanya, suaranya dalam, serak, dan membawa getar yang membuat suasana menjadi lebih tegang.

Jina tersentak. Bibirnya bergerak-gerak, tetapi kata-kata sukar keluar. Dia hanya memandang Azel, hati berbolak-balik antara ingin lari atau berdiri teguh di situ. Jihan di sisi hanya mampu memandang, bingung dengan situasi yang tiba-tiba berubah aneh. 'Siapa lelaki ini?' bisik hati kecilnya, walaupun dia tahu sesuatu yang tidak biasa sedang berlaku di depan matanya.

"Awak... siapa?" Jihan bertanya, suaranya perlahan namun jelas. Dia turun dari meja dan berdiri di tengah-tengah antara mereka, matanya tajam memandang Azel dengan penuh tanda tanya, menanti jawapan.

Namun lelaki itu tidak sedikit pun mengalihkan pandangannya. Dia hanya menatap Jina, seakan-akan Jihan langsung tidak wujud di situ.

"Aku janji sekejap aje. Tolonglah, Jina," Azel berkata, suaranya rendah dan penuh dengan perasaan merayu, tetapi pandangannya tetap utuh kepada Jina.

Jina menarik nafas panjang, matanya terus menatap Azel dengan ekspresi yang tegas dan serius. Dia tidak mengucapkan sepatah kata pun, hanya menunggu.

"Kau kenal siapa dia?" tanya Jihan, wajahnya dipenuhi rasa ingin tahu dan kekeliruan yang jelas. Pandangannya silih berganti antara Azel dan Jina, berharap mendapat penjelasan.

Namun Jina hanya membisu, meletakkan botol minyak terakhir di rak sebelum menarik tangan Azel dan melangkah keluar dari bengkel. Jihan yang masih kebingungan hanya mampu memandang mereka yang semakin menjauh, fikirannya penuh dengan persoalan yang belum terjawab.

Setelah mereka agak jauh dari bengkel, tangan Azel dilepaskan dengan kasar. Jina berhenti, memalingkan wajahnya dengan pandangan tajam yang tidak berkompromi.

"Kau nak apa sebenarnya? Kenapa datang ke sini?" Suara Jina keluar dengan nada yang dingin, penuh ketegasan yang tidak dapat disangkal.

"Jina, aku perlukan permintaan kedua kau." Azel menjawab dengan nada yang penuh harapan, seperti ada sesuatu yang sangat mendesak dalam suaranya.

"Aku dah cakap, aku belum buat keputusan," Jina menjawab keras, matanya menatap Azel dengan tegas.

Azel mengeluh, sesekali meraup rambutnya ke belakang, wajahnya menunjukkan ketegangan yang semakin meningkat.

"Cakap saja apa yang kau nak, aku akan lakukan sekarang juga. Kalau tak ada kena mengena dengan lelaki tu pun, tak apa. Aku boleh buat."

Jina menahan amarah yang semakin membara, setiap kata yang keluar dari mulut Azel menambahkan lagi rasa benci di hatinya.

"Kau faham ke tak apa yang aku cakap? Aku. Belum. Fikirkan lagi. Kalau kau nak permintaan jahat, pergi cari orang lain. Aku tak perlukan pertolongan kau dah!" Dengan gerakan tegas, dia terus melangkah ke bengkel, berusaha untuk meninggalkan lelaki itu di belakang.

Namun, dengan pantas Azel menangkap pergelangan tangannya.

Jina tersentak. Dia cuba melepaskan tangannya, tetapi genggaman Azel terlalu kuat, seperti ingin mengunci setiap pergerakannya.

"Kau buat apa ni? Lepaskan! Jihan tengok kita!" bisik Jina, matanya tajam menuding ke arah Jihan yang masih memerhatikan mereka dari jauh. Namun Azel tetap tidak peduli, matanya hanya terarah pada Jina.

Kepalanya menggeleng perlahan, dan nada suaranya kembali serius. "Tak semudah itu, Jina. Aku dah tunaikan permintaan pertama kau, jadi aku kena habiskan. Bukan ke semalam aku dah tolong kau? Kau kena balas budi aku balik."

Dengan segala tenaga yang ada, Jina menepis tangan Azel dengan keras, rasa marah dan kecewa meluap di dadanya.

"Tolong apa? Hilangkan orang? Aku tak suruh pun kau hilangkan orang!" katanya, suaranya meninggi, penuh dengan geram..

"Jina..." Azel memanggil dengan nada yang penuh dengan kesungguhan, namun Jina tidak memberi peluang untuk dia meneruskan.

"Aku tak nak terlibat dengan apa yang berlaku semalam. Aku tak tahu siapa kau sebenarnya, tapi aku tahu, aku kena jauhkan diri daripada kau. Tolonglah, pergi dari sini. Jangan ganggu aku lagi." Suaranya penuh dengan ketegasan, seakan menutup ruang untuk sebarang perbincangan lebih lanjut.

Jina berputus asa, hati sudah terlalu sakit untuk terus berhadapan dengan lelaki itu. Dia berputar dan bersiap untuk kembali ke bengkel, namun, langkahnya terhenti apabila suara Azel menggema, penuh dengan rasa terdesak.

"Aku ada sumpahan!" Jeritan Azel membuatkan Jina berhenti serta-merta, matanya terbeliak, dan dia berpaling, memandang lelaki itu dengan rasa kebingungan yang mendalam.

Dia tidak berkata apa-apa, hanya menatap Azel, menunggu penjelasan yang tidak pasti.

"Kau... orang terakhir yang boleh hilangkan sumpahan aku." Azel mengulang, suaranya penuh dengan kepayahan, seolah-olah kata-katanya itu adalah satu-satunya harapan yang ada. Kemudian, dia melangkah mendekati Jina, berdiri begitu dekat hingga mereka hanya dipisahkan oleh beberapa inci. Azel merenung tepat ke dalam anak mata Jina yang coklat, seakan mencari secebis empati di dalam pandangan itu.

Jina turut melangutkan sedikit kepala, mata mereka bertemu dalam diam. Tangan Jina terasa dingin, jantungnya berdegup lebih kencang, namun dia tetap teguh berdiri.

"Selesaikan permintaan kau, dan aku janji, aku takkan muncul depan kau lagi," ujar Azel, suaranya kini tidak lebih daripada bisikan yang penuh harapan, penuh kesungguhan.

Jina terdiam, lidahnya kelu. Hatinya bergejolak, perasaan simpati mula menggantikan kemarahan yang tadi membara. Pandangannya jatuh ke bawah, seolah-olah mencari kekuatan untuk membuat keputusan. Berat, sangat berat untuk mengatakan tidak.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro