Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 17

          Berat kaki Azel melangkah masuk ke dalam taman tema rumah hantu yang kini telah menjadi tempat tinggalnya. Tempat yang dulunya penuh dengan teriakan dan ketakutan, kini sunyi, dihiasi dengan kenangan yang semakin pudar. Langkahnya terasa semakin perlahan, seakan-akan setiap jejak yang ditinggalkan membawa beban yang lebih berat daripada sebelumnya.

Azel menghampiri kerusi kayu yang terletak berdekatan almari buku usang, yang dipenuhi debu dan kenangan. Dengan lemah, dia melabuhkan punggungnya, dan sejenak tubuhnya terasa lelah, seperti tak mampu menanggung segala yang berlaku. Beg kotak yang digenggamnya diletakkan ke bawah dengan hati yang kosong.

Pandangan matanya tertunduk, tubuhnya kaku. Fikirannya seolah terperangkap dalam kejadian yang baru sahaja berlalu, kejadian yang membawa ketidakselesaan dalam dirinya.

"Apa aku dah buat ni?" Desis Azel perlahan, suaranya hilang ditelan kesunyian. Kepalanya terasa kusut, penuh dengan pertanyaan yang tak ada jawab. Perbuatannya tadi menghantui setiap sudut fikirannya. Dia bangun dengan cepat, tubuhnya terasa tertekan. Jaket kulit yang membalut tubuhnya dilucutkan dengan kasar. Ia hanya menambah rasa panas yang membara di dalam hati, membuatkan dirinya semakin rimas.

Kini, hanya T-shirt turtle neck putih yang masih melitupi tubuhnya, membuatkan dia rasa sedikit bebas. Azel memandang cahaya biru yang keluar dari bajunya, dengan cepat dia mengeluar seutas loket yang terselindung dibalik kain itu. Matanya terpaku sejenak.

"Tak... Tak mungkin..."

Tanpa sedar, tangannya memegang loket itu, menggenggamnya erat. Cahaya yang memancar dari loket itu perlahan-lahan semakin pudar. Azel tergamam sejenak, merasakan jantungnya berdegup kencang, terasa seperti ada sesuatu yang tidak kena. Dia tahu sebabnya, hanya dia yang tahu, namun tidak ada kata-kata yang mampu melepaskan beban yang terpendam dalam dirinya.

"Azel!"

Panggilan itu memecah keheningan, dan burung gagak hitam itu tiba-tiba hinggap di bahu Azel, kepala sedikit menyenget, memandang loket yang digenggam erat oleh tuannya. Axel, si burung gagak, kemudian beralih memandang Azel dengan tatapan yang penuh pengertian, seakan mengetahui sesuatu yang tidak kena.

"Azel tak apa?" soal Axel, suaranya lembut dan penuh empati, seakan-akan tahu bahawa Azel sedang berperang dengan perasaannya sendiri.

"Aku tak sengaja, Axel. Aku tak patut buat macam itu..." jawab Azel, suaranya tersekat-sekat, penuh kesal. Dia merasakan tubuhnya lemah, dan tanpa sedar, Azel kembali duduk di atas kerusi kayu, seolah-olah tidak mampu lagi berdiri.

"Jangan buat lagi, Azel. Saya tak nak hilang awak," kata burung itu, nada suaranya hampir seperti merayu. Kata-kata itu mengalir lembut, namun membawa berat yang mendalam ke dalam hati Azel. Sebuah perasaan yang menyentuh sanubari. Perlahan, air mata mula jatuh, mengalir tanpa henti di bawah mata Azel.

Dengan hati yang berat, Azel menghulurkan tangannya. Axel terbang naik dan duduk di atas tangan Azel, sebelum dibawa dengan lembut ke dalam pangkuannya. Azel mengusap kepala burung gagak itu dengan penuh kelembutan, seolah-olah cuba menenangkan diri sendiri daripada kegelisahan yang melanda.

"Axel sayang Azel, Ark!" ucap burung gagak itu sekali lagi, suaranya penuh kasih sayang. Axel mendekatkan dirinya, seolah-olah ingin memberikan pelukan, sebuah penghiburan untuk lelaki itu.

Azel tersenyum, namun senyumannya sedikit dipaksakan. Perlahan-lahan, dia menarik burung gagak itu ke dalam pelukannya, merasakan kehangatan dalam dakapan yang tulus itu.

"Jangan risau. Aku takkan ulanginya lagi. Aku janji," bisik Azel, berusaha meyakinkan dirinya sendiri. Kemudian, matanya tertumpu pada loket biru yang masih tergantung di lehernya, sinarnya yang semakin pudar mengingatkan dia akan sesuatu yang lebih besar.

"Aku akan lebih berhati-hati lepas ni," tambah Azel dengan penuh tekad, seakan janji itu mengikatnya, walaupun perasaan yang masih bergelora di dalam hatinya belum sepenuhnya hilang.









Sebaik sahaja memberhentikan motorsikal di hadapan rumah, Jina menanggalkan helmet dengan tangan yang agak gemetar. Tiba-tiba, rasa takut menyelubungi dirinya. Waktu sudah lewat, lebih dari masa yang ditetapkan oleh nenek, dan itu membuatkan hatinya berdebar-debar. Memandangkan rumah yang senyap dan gelap, Jina menarik nafas panjang, cuba mengumpul keberanian. Perlahan-lahan, dia melangkah ke pintu dan menolaknya.

"Assalamualaikum..." Jina memberi salam, suaranya meleret sedikit, cuba menahan keresahan. Matanya melilau mencari-cari, namun rumah itu sudah terlalu sunyi. Lampu semuanya sudah dimatikan. Mungkin Nek Piah sudah tidur di biliknya.

"Cantik!" Jina tersenyum lega sedikit. Tiba-tiba, suasana yang gelap itu terasa lebih menyenangkan. Lantas, dia terus masuk ke dalam rumah dan menuju ke suis yang berada di tepi pintu. Jari-jemarinya menekan suis itu, dan secara automatik, ruang tamu yang tadinya gelap itu terang-benderang.

Namun, sebaik sahaja cahaya menyinari ruang tamu, Jina terkejut besar.

"NENEK KEBAYAN!" Jeritnya, terkejut melihat figura Nek Piah yang berdiri tegak di tepi suis yang baru sahaja ditekan. Terperanjat dengan kehadiran nenek yang begitu tiba-tiba, helmet yang dipegang Jina terjatuh ke lantai. Jantungnya berdegup begitu kuat, hampir terasa sakit di dada. Tanpa sedar, tubuhnya bersandar lemah di dinding pintu, hampir tidak percaya dengan apa yang baru berlaku.

"Nenek kebayan? Ni nenek kebayan kamu! Ha ambik!" Nek Piah yang berdiri dengan bertelekung putih itu langsung tidak berganjak. Dengan rasa geram, dia menampar lengan cucunya bertubi-tubi, satu tamparan demi tamparan seakan melepaskan semua ketegangan yang ditanggungnya. Risau hati dibuatnya menunggu Jina yang tidak pulang-pulang sejak tadi. Fikirkan cucunya itu sudah terlibat dalam kemalangan, mujurlah dia selamat.

"Sakitlah Nek Piah! Bagilah Jina explain dulu kot ya pun..." Jina mengadu sambil menggosok lengannya yang semakin pedih akibat tamparan tadi.

"Apa yang kamu nak explain huh? Keluar tengahari balik malam. Kamu pergi mana?!" Suara Nek Piah lantang, penuh amarah. Dia mahu sahaja memberi tamparan lagi, namun baru sahaja tangannya mahu bergerak, matanya tertangkap pada siku kanan Jina yang kelihatan terluka dan berdarah. Tindakannya terhenti dengan segera.

Nek Piah terkejut, pandangannya beralih ke siku Jina yang berdarah itu.

"Eh, kenapa dengan siku kamu ni, Jina?" Tanya Nek Piah dengan penuh rasa risau, tangan tua itu cuba menarik lengan Jina untuk melihat dengan lebih dekat.

Namun, Jina dengan cepat menarik tangannya, cuba untuk menyembunyikan luka itu. Sayangnya, Nek Piah sudah pun melihatnya.

"Alah, sikit aje ni..." Jina cuba meremehkan keadaan, tetapi ia jelas tidak meyakinkan.

"Sikit apanya sampai berdarah macam itu? Kamu jatuh motor ya?!" Soal Nek Piah, suaranya semakin mendesak, tidak memberi ruang untuk Jina mengelak.

Jina terkelu, tidak tahu bagaimana mahu menjawab. Jika dia menceritakan yang dia ditolak oleh samseng jalanan, pasti Nek Piah akan mengheretnya ke balai polis. Dan yang lebih membimbangkan, jika Azel terlibat dalam cerita itu, pasti keadaan akan menjadi lebih buruk.

Jina akhirnya memilih untuk mengiyakan sahaja tekaan Nek Piah. Terpaksa berbohong demi mengelakkan perkara yang lebih rumit.

"Haah. Jina jatuh motor tadi masa nak lalu selekoh. Ada jalan berlubang dekat situ. Jina tak perasan, itu yang tak sengaja langgar." Jina berkata dengan penuh keyakinan, cuba untuk meyakinkan neneknya.

Pap!

"Aw!" Jina mengaduh kesakitan apabila lengannya ditampar sekali lagi oleh Nek Piah. Dia mengira neneknya akan kasihan, tetapi lain pula reaksinya. Neneknya semakin geram, bukan simpati yang didapat.

"Dah tu? Kamu tak reti hubungi nenek masa insiden tu huh? Kamu ni memang suka buat nenek risau, kan? Itulah nenek dah pesan. Jangan naik motor! Beli kereta. Tapi kamu degil. Nak juga bawak motor setiap hari." Nek Piah berleter dengan nada yang tinggi, membuatkan Jina merasa telinganya berdesing mendengar bebelan yang sudah biasa itu.

Jina mengeluh kecil, dia sudah penat mendengar bebelan yang tidak berkesudahan. Kalau boleh, dia mahu segera ke bilik, bersihkan diri dan tidur tanpa memikirkan apa-apa lagi.

"Malas lah nak beli kereta. Nanti jalan sesak susah nak lepas tahu? Lagipun bukannya selalu Jina terjatuh dari motor." Jina berkata dengan nada bosan, siap mencebik bibir, kononnya hendak meraih simpati.

Nek Piah mendengus geram, geram dengan alasan demi alasan yang diberikan cucunya itu. Tetapi apabila dia melihat keadaan Jina yang sedang menahan sakit akibat luka, hatinya yang keras seketika itu menjadi sedikit lembut. Tidak sampai hati rasanya untuk terus memarahinya.

"Ish kamu ni, Jina. Nasib baik kau tu satu-satunya cucu yang paling sayangkan aku tau! Kalau tidak, memang dah eyy..." Nek Piah cuba menahan sabar, dari menarik telinga cucunya yang semakin menguji kesabarannya.

Dalam diam, Jina menahan bibirnya daripada tersenyum. Dia tahu, Nek Piah takkan sanggup terus memarahinya kerana dia adalah cucu satu-satunya yang ada di sini, yang selalu mengisi hari-hari tua neneknya.

"Sayang juga ya Nek Piah dekat Jina?" Jina tersengih-sengih, sengaja menggoda.

"Mestilah aku sayang! Kalau tak sayang, tak ada maknanya Nek Piah tunggu kamu balik. Sudahlah kamu tu perempuan, keluar pula sampai lewat malam. Kalau jadi apa-apa, aku juga yang susah hati tahu tak?!" Suara Nek Piah makin keras, menandakan dia masih risau dan marah.

Jina terdiam, rasa bersalah mula menjalar di hatinya. Memang dia akui, dia telah membuatkan Nek Piah risau dengan kelakuannya.

"Yalah, Jina minta maaf. Janji takkan buat lagi dah. Sumpah!" Kata Jina, sambil mengangkat tangan seolah-olah sedang bersumpah, ingin menenangkan hati neneknya.

"Ha, main sumpah! Termakan sumpah sendiri baru tahu!" Nek Piah memberi teguran dengan nada yang sedikit sinis, tetapi masih ada gurauan dalam suaranya.

Jina hanya mencebik bibir, namun dalam hatinya dia tahu bahawa dia harus mengalah kali ini.

"Iya, janji aje. Selepas ni Jina takkan balik lewat dah." Ucap Jina dengan nada yang lebih lembut, tanda dia mengalah.

Nek Piah mencekak pinggang sambil menghela nafas panjang, puas sedikit hatinya dapat melepaskan segala yang terbuku. Melihat jam yang semakin lewat malam, hati Nek Piah pun semakin melembut. Dia tak mahu memarahi cucunya lebih lama lagi.

"Yalah, Nek Piah percayakan kamu. Pergi mandi. Jangan lupa cuci luka tu sebelum tidur." Ujar Nek Piah dengan penuh kasih sayang, memberi arahan dengan nada yang lembut dan prihatin.

Jina tersenyum lebar, lega kerana perbincangan ini akhirnya berakhir dengan baik.

"Terima kasih, Nek Piah. Sayang Nek Piah. Mwahh!" Ucap Jina dengan penuh rasa kasih, lalu dia terus memeluk neneknya dengan erat, diiringi dengan kucupan di pipi Nek Piah sebelum berlari masuk ke dalam bilik.

Nek Piah hanya menggeleng kepala, melihat kerenah cucunya yang semakin menggembirakan hati tuanya. Dalam tidak sedar, bibirnya turut tersenyum bahagia, walaupun dalam hatinya masih ada sedikit kekesalan. Namun, kebahagiaan melihat Jina di sisi menghapuskan semua itu.

"Haish, suka betullah buat aku risau cucu yang sorang ni..." keluh Nek Piah sendirian.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro