bab 16
Setelah sekian lama berada di rumah agam milik Tengku Hayyan, bunyi deruan kereta akhirnya kedengaran. Sebuah BMW hitam memasuki halaman rumah, mengundang perhatian Jihan yang sedang menunggu di anjung. Dia segera bangun dari kerusi rotan, wajahnya dipenuhi rasa resah.
Pintu kereta terbuka, dan figura Hayyan melangkah keluar. Lelaki itu kelihatan letih, sebelah tangannya menyentuh pipi yang merah menyala.
"Hayyan? Are you okay?" Melihat itu, hati Jihan semakin tidak tenang. Dia terus melangkah menghampiri Hayyan.
“Hayyan, apa dah jadi dengan you? Kenapa pipi you merah?” Jihan menghulurkan tangan, cuba memegang wajah lelaki itu.
Namun, Hayyan segera menepis tangan wanita itu.
“Jangan sentuh I. I okay je.” Nadanya tegas, matanya enggan bertemu pandangan Jihan.
Jihan ternganga sesaat.
“Okay? Okay apa macam ni? Pipi merah menyala macam tu. Siapa yang tampar you?” Jihan mendesak, suaranya naik sedikit kerana rasa risau bercampur marah.
Hayyan diam. Dia hanya melangkah ke arah pintu rumah, langsung tidak berniat untuk menjawab.
“I nak rehat. You baliklah.” Suaranya dingin, seolah-olah menghalau Jihan pergi. Dia membuka kasut di hadapan pintu dan bersiap untuk masuk ke dalam rumah.
Jihan terpaku, wajahnya menunjukkan rasa tidak percaya. “Begini you layan I? Lepas sejam I tunggu, ini je balasan you?!”
Langkah Hayyan terhenti di situ. Ada keluhan berat keluar daripada bibirnya.
"Cukuplah Jihan. I tak nak gaduh dengan you..."
Jihan berdiri tegak, memeluk tubuh, sebelum akhirnya bersuara lagi. “Ni mesti sebab Jina, kan?” Jihan menoleh, matanya merenung Hayyan yang masih membelakanginya.
Hayyan tetap diam, tetapi bahunya sedikit tegang mendengar nama itu.
“I tahu, mesti dia yang buat bekas merah dekat pipi tu kan? Dia memang tak boleh move on dari you, sebab tu dia tampar you! Betul tak?” tuduh Jihan, nadanya semakin sinis.
Hayyan akhirnya menoleh sedikit, sekadar menjeling. “Jangan nak merepeklah.”
Jihan ketawa kecil, tetapi penuh sindiran. “I? Merepek? Eh, I kenal sangat perangai Jina tu. Kalau tak puas hati, memang dia akan buat benda macam ni. Lagipun, dia pernah cakap pada I yang dia nak musnahkan hidup you. Jadi, I tahu dia yang tampar you, kan? You tak payah bela dia depan I lah! I lagi kenal dia dari you!”
Bibir Jihan kemudian melengkung sinis.
“Selama ni, I berbaik dengan dia sebab kawan je. Tapi kalau melibatkan you, I sanggup jatuhkan dia baliklah.”
“Enough, Jihan!” Hayyan membentak, suaranya penuh amarah.
“Bukan dia yang tampar I. Boleh tak berhenti burukkan kawan you sendiri?” soal Hayyan, langsung memusing ke belakang. Riak wajahnya jelas tegang.
Jihan tersentak, tidak menyangka lelaki itu akan menjerkahnya sebegitu.
“You dah dapat I, apalagi yang you nak dari Jina? Tak cukup ke apa yang you dah buat setakat ni?” soal Hayyan, nadanya semakin berat.
Jihan mengangkat kening, senyumannya melebar sinis. “You marah I? Tak sangka, ya. Dalam keadaan macam ni pun, you masih nak bela bekas girlfriend you. Langsung tak sokong I. Padahal I cuma ambil berat pasal you aje."
Sesaat Hayyan meraut wajah penuh sabar. Rasa hendak marah, tetapi dia cuba untuk mengawal emosi.
“Sokong? Bila masa I sokong dia? I cuma tak nak you hancurkan hati Jina kerana I. Cukuplah! You dengan dia dah berkawan lama. Dan Jina anggap you tak ubah macam adik dia sendiri. Tergamak ke you nak musnahkan persahabatan hanya sebabkan I?” soal Hayyan penuh emosi, turun naik dadanya saat ini.
Malahan Jihan memalingkan wajah, memeluk tubuh dengan gaya angkuh tanpa rasa bersalah.
“Peduli apa I tentang dia. I berkawan dengan dia pun sebab nak dekat dengan you, bukan sebab ikhlas pun,” katanya selamba, seolah-olah tidak peduli dengan perasaan lelaki itu.
"I nak kawan dengan dia ke, atau putus ke, itu pilihan I. Siapa suruh dia letak harapan tinggi dekat I selama ni? I tak suruh pun."
Hayyan menghela nafas panjang. Dia menunduk seketika, sebelum bersuara dengan nada lembut tetapi tegas.
“Tapi Jina masih perlukan you, tolonglah jangan buat macam ni. You tak boleh sakitkan hati dia lagi." Ujar Hayyan, separuh merayu.
Sedangkan Jihan memandang Hayyan dengan senyum sinis. “fine, kalau itu yang you nak. I boleh kawan dengan dia macam biasa. Tapi you kena buktikan pada I satu benda.”
Hayyan memandang Jihan dengan penuh tanda tanya.
“Apa?”
“Buktikan yang you dah tak ada perasaan dekat dia. Tunjukkan pada I yang you dah move on dari Jina.”
Hayyan terdiam, matanya memandang kosong ke arah Jihan. Permintaan itu terasa seperti beban berat yang sukar dipikul. Namun, dia tiada pilihan lain. Terpaksa mengangguk walau hatinya seakan dirobek kasar.
“Baik. Anything for you. I akan buktikan pada you nanti.”
Jihan tersenyum puas. Dia kemudiannya melangkah mendekati Hayyan, tangannya membetulkan lipatan kemeja lelaki itu.
“I percayakan you, Hayyan. I tahu, you takkan kecewakan I.” bisik Jihan penuh maksud tersirat. Sebelum berlalu pergi, dia menepuk lembut pipi merah Hayyan beberapa kali sehagai peringatan. Dia pasti, Hayyan mengerti maksudnya.
“I pergi dulu. Rehatlah puas-puas,” katanya, sambil melemparkan senyuman penuh makna.
Lantas Jihan melangkah masuk ke kereta Tesla putihnya, meninggalkan Hayyan yang masih berdiri di situ. Mata Hayyan tidak lepas memandang sehingga kereta itu hilang dari pandangan. Angin senja mula bertiup perlahan, membawa rasa dingin yang tidak dapat meredakan kekusutan di hatinya.
Motor itu berhenti di hadapan fun fair yang telah lama ditinggalkan, sunyi dan sepi. Lampu-lampu lama yang usang berdiri senget, bayangnya melakar garisan samar di atas tanah yang berdebu. Jina menanggalkan helmet dari kepalanya. Dia mengusap pelipis dengan jari, menghela nafas panjang seolah-olah cuba melepaskan keletihan.
Azel kemudian turun dari motor tanpa sepatah kata, beg pakaian di tangannya bergoyang perlahan. Dia berdiri di sisi motor, memerhatikan Jina yang masih di situ, sibuk membetulkan tudungnya di cermin sisi. Mata Azel tajam, namun ada sesuatu yang lembut dalam tatapannya.
“Kau nak ke mana lepas ni?” suara Azel akhirnya memecah keheningan, nadanya rendah, tapi cukup untuk didengar di malam yang lengang. Matanya melirik ke jalan yang membelah kegelapan.
Jina mendengus kecil, bibirnya melengkung ke senyuman sinis. “Ke mana lagi? Baliklah. Kalau lambat, confirm nenek aku naik angin. Telinga aku pun tak larat nak dengar leteran dia,” kata Jina dengan gelak tawa kecil.
Azel tersenyum tipis, mengangguk tanpa berkata apa-apa. Namun, sebelum mereka sempat bergerak, suara yang aneh dan nyaring memanggil dari kejauhan.
“AZEL! AZEL!”
Kedua-duanya berpaling, tubuh mereka kaku. Dari arah tiang lampu yang tua, seekor gagak hitam terbang rendah, sayapnya berkilau di bawah cahaya samar. Burung itu melayang perlahan sebelum hinggap di bahu Azel, seakan sudah biasa dengan kehadiran lelaki itu.
Azel mengangkat tangannya, menyentuh kepala gagak itu dengan lembut. “Axel, apa kau buat dekat luar malam-malam macam ni?” tanyanya, nadanya seperti berbicara dengan sahabat lama.
"Azel. Lambat. Balik," ujar gagak itu lagi, suaranya serak dengan sebutan pelat, namun cukup jelas untuk mencuri perhatian.
Azel ketawa kecil, mengalihkan pandangan ke arah Jina yang berdiri tidak jauh daripadanya. Wanita itu tersenyum tipis, tetapi jelas ada garis-garis kehairanan di wajahnya. Gagak yang bercakap, sesuatu yang pelik, tetapi tidak dinafikan, menarik.
“Aku keluar sekejap tadi. Kau tunggu aku ke?” Azel bertanya, nada suaranya bersahaja sambil menoleh ke gagak yang masih setia berdiri di bahunya. Jarinya sekali lagi menyentuh lembut kepala burung itu.
Gagak itu menyengetkan kepalanya, matanya yang hitam berkilau meneliti wajah Jina.
“Azel. Keluar. Dengan. Zombi? Ark!” ujar gagak itu, kali ini dengan nada yang lebih tajam, hampir kedengaran seperti mengejek.
Wajah Jina serta-merta berubah. Senyuman yang tadi menghiasi bibirnya hilang, digantikan dengan kerutan di dahi. 'Kurang ajar punya burung! Kalau masak kicap, sedap ni,' bisik hati kecilnya. Namun, dia cuba menahan dirinya daripada meletuskan kemarahan, sedar Azel sedang memandangnya dengan raut terkejut.
Azel yang baru saja mencerna kata-kata gagaknya, terkejut. Dia memandang Jina dengan mata membulat.
“Kau terasa ke?" tanya Azel, cuba memahami perubahan ekspresi wanita itu.
"Eh, takdalah. Burung je kut?" balas Jina dengan nada tenang, walaupun jelas ada sindiran dalam kata-katanya.
Gagak itu sekali lagi mengeluarkan bunyi pelik seperti ketawa kecil. “Ark! Zombi... marah!” ujarnya sebelum memandang ke arah Azel seolah-olah menantikan reaksi tuannya.
Azel menggaru paruh burung itu sambil ketawa perlahan. "Sudahlah, Axel. Pergi dari sini. Jangan ganggu dia." Arah Azel. Menghalau burung itu pergi.
Namun, Jina hanya memandang gagak itu dengan senyuman penuh makna. Dalam hatinya, dia sudah mula merancang balasan untuk burung hitam itu. 'Tunggulah, aku akan jadi pemburu haram nanti dan tangkap kau!' Bisik Jina di dalam hati.
Ark!
Setelah puas mengejek, burung gagak itu akhirnya terbang masuk ke dalam kawasan taman tema, meninggalkan Azel dan Jina berdua di situ, hanya berhadapan dengan angin malam yang bertiup perlahan.
"So? Apa permintaan kedua kau?" Azel akhirnya bertanya, cuba mengubah arah perbualan yang terasa canggung. Matanya tertumpu pada Jina, yang kini kelihatan kaku, seolah-olah baru teringat sesuatu yang penting.
Jina mengangkat bahu dengan gaya santai, meskipun fikirannya jelas sedang berputar mencari jawapan. "Entah. Aku tak fikir lagi. Tinggal dua aje kan? Jadi aku kena manfaatkan permintaan tu betul-betul."
Azel mengangguk tanda memahami, matanya masih tidak lepas memerhatikan Jina. “Boleh. Aku akan tunggu.”
Tanpa amaran, Azel tiba-tiba menundukkan badan, sebelah tangannya diletakkan ke dada seperti seorang ahli silap mata yang sedang mengakhiri pertunjukan.
Jina tergamam sejenak. Bibirnya ditahan daripada melepaskan tawa.
“Sememangnya, seorang Azel akan bersedia setiap saat untuk menunaikan hajat Cik…” Dia berhenti seketika, menunggu sambungan dari Jina. Dalam sehari yang mereka habiskan bersama, Azel masih belum mengetahui nama wanita itu.
Jina menepuk dahinya dengan lembut, kelihatan sedikit kelam-kabut. "Ya Tuhan. Aku lupa kenalkan diri," gumamnya, hampir tak percaya dirinya boleh terlupa perkara sebegitu.
"Jina. Jina Johari," jawab Jina akhirnya, memberitahu nama dirinya dengan sedikit rasa janggal.
Azel tersenyum dengan keikhlasan yang jelas tergambar di wajahnya.
“Nama yang cantik, Cik Jina,” pujinya dengan nada yang tulus, membuatkan Jina ketawa kecil. Pipinya tiba-tiba bersemu merah, pertama kali ada orang memuji namanya, dan walaupun terasa agak aneh, ia tetap memberi rasa yang menyenangkan.
Perlahan-lahan Azel menegakkan tubuhnya setelah puas menunduk, masih dengan gaya ahli silap mata yang tidak pernah dilupakan.
“Jumpa lagi nanti untuk permintaan kedua. Aku balik dulu,” kata Jina, suara ringan namun penuh makna, sambil mengenakan helmet dan menekan butang untuk menghidupkan enjin motorsikal.
Azel hanya mengangguk, memerhatikan dengan tenang setiap pergerakan Jina. Tidak ada kata-kata lagi yang terucap, hanya keheningan yang menggantung di antara mereka. Dia menyaksikan Jina yang bersiap-siap untuk meninggalkannya, rasa sedikit berat di dada tanpa dia fahami.
Namun, baru sahaja Jina hendak mengundurkan motorsikal, sebuah suara garau memanggil nama Azel dengan tegas.
"AZEL!"
Jeritan itu begitu kuat dan mendalam, sehingga membuatkan Jina terhenti serta-merta. Dia berpaling, memandang Azel dengan wajah bingung, tidak faham dengan perubahan mendadak yang berlaku.
Wajah Azel, yang sebelum ini penuh senyuman dan gurauan, kini berubah seratus peratus. Tiada lagi nada santai di bibirnya, sebaliknya wajahnya tegang, matanya tajam seperti singa yang sedang mengintai mangsa.
Jina merasa sesuatu yang berat mengalir dalam udara, seakan-akan ada ancaman yang tiba-tiba datang tanpa diduga.
Azel berdiri tegak, tubuhnya membeku dalam keheningan seketika. Dia menatap Jina dengan pandangan yang penuh amaran
"Kau tunggu apa lagi? Balik sekarang," suara Azel lebih keras, penuh ketegasan yang tidak biasa, seakan-akan itu bukan lagi permintaan, tetapi suatu perintah yang harus dipatuhi. Matanya yang tajam memandang Jina, menghalangnya untuk terus berada di situ.
Jina teragak-agak, masih berdiri di tempatnya. Perasaan ingin tahu semakin kuat, dia tidak dapat menahan diri untuk memerhatikan situasi yang semakin tegang ini. Perlahan, dia berpaling dan melihat lelaki bengis bersama dua orang kuncunya yang berjalan mendekati Azel dengan langkah yang penuh lagak samseng.
"Puas aku cari kau, Azel. Baru sekarang kau muncul. Siap ada awek lagi. Dah pandai ya kau sekarang?" Tegur lelaki itu dengan nada ejekan yang jelas, suaranya kasar dan penuh dengan sindiran. Dia dengan sengaja menyapa bahu Azel, namun Azel mengelak dengan kasar.
"Wow!" Lelaki itu buat-buat terkejut, namun ketika anak matanya melirik pemakaian Azel, dia tiba-tiba tersedar. Baju yang dipakai Azel, baru, bersih, dan kelihatan mewah.
"Oh, patutlah tak bagi sentuh. Baju baru rupanya," katanya dengan nada sinis yang tajam.
Azel menjeling dengan penuh kebencian. Wajahnya masih lagi sama, tegang.
"Baju baru boleh beli, tapi tapak tempat ni bila nak bayar, huh?" Soal lelaki itu, nada suaranya semakin penuh provokasi.
"Ini tempat aku. Sampai bila-bila pun aku takkan bayar," jawab Azel dengan berani, tidak sedikit pun menunjukkan rasa gentar.
Lelaki itu ketawa sinis sekejap, ketawanya berakhir dengan cepat. Pandangannya kini beralih ke arah dua kuncunya yang berdiri di belakang, memberi arahan tanpa sepatah kata pun dengan hanya isyarat matanya.
Lantas dua lelaki itu terus bergerak ke arah Azel, masing-masing mencengkam lengan kiri dan kanannya dengan kuat, mengunci pergerakannya. Namun, Azel tetap tenang, tidak menunjukkan sebarang reaksi takut. Matanya tetap tajam, menatap lelaki yang kini berjalan ke arahnya, seolah-olah mahu menguji keberaniannya.
"Orang gila macam kau ni pun nak cabar aku ke?" Soal lelaki itu dengan nada yang semakin tercabar, seolah-olah mahu menakut-nakutkan Azel. Tangan lelaki itu terus naik dan mencengkam lehernya, membuatkan kepalanya sedikit terdongak.
Jina yang menyaksikan itu tidak dapat lagi menahan diri.
“Hei, kau jangan sentuh dialah!” bentak Jina dengan penuh keberanian. Tanpa berlengah, dia menanggalkan helmet dari kepalanya dan melangkah dengan pantas turun dari motor. Dengan ketegasan yang luar biasa, dia bergerak menghampiri lelaki itu, lalu menolak dadanya dengan kuat sehingga lelaki itu terundur ke belakang.
"Siapa pulak perempuan ni, tiba-tiba datang menyibuk?" Soal lelaki itu dengan nada yang penuh ketidakpuasan. Riak wajahnya berubah menjadi marah, seakan tidak suka dengan campur tangan wanita itu.
"Pergi dari sini sebelum aku telefon polis," ugut Jina dengan tegas, sambil menunjukkan telefon di tangan.
Lelaki itu memandang Jina dengan penuh kebencian. Amarahnya tercabar oleh ancaman itu, dan dengan langkah perlahan, dia mendekati Jina dengan penuh niat jahat.
"Kau cakap apa? Telefon polis?" Tanpa memberikan Jina peluang untuk bersuara lebih lanjut, lelaki itu merampas telefon dari tangannya dan mencampakkannya ke tanah dengan kasar.
Jina terkejut, wajahnya berubah cemas saat melihat telefon yang tercampak jauh darinya.
"Berani perempuan macam kau ugut aku, huh?!" Jerit lelaki itu dengan penuh kemarahan. Tangan kanannya mencengkam kasar baju Jina, menariknya lebih dekat, sebelum dia dengan kasar menolak wanita itu hingga terjatuh ke tanah.
"Argh!" Jina terjerit kecil, tubuhnya terhempas dengan kuat di atas tanah. Sakit di siku dan kepala menyentap tubuhnya. Seketika kepalanya menunduk, dia dapat merasakan darah menitis dari luka kecil di sikunya.
Mata Azel membelalak penuh terkejut dan amarah. Melihat tindakan lelaki itu yang begitu kejam terhadap wanita, darahnya mendidih. Tanpa disedari, kedua-dua belah tangannya menggenggam erat, penuh dengan rasa dendam yang membuak. Tawa dua lelaki di sisi lelaki itu semakin menambah api dalam dirinya.
"Aku pantang sungguh kalau ada yang berani ugut aku, inikan pula seorang perempuan. Kau fikir kau siapa, huh?!" Jerit lelaki itu lagi, tangannya terangkat tinggi, siap untuk menampar Jina dengan kasar.
Jina segera menundukkan muka, merasa takut yang amat sangat. Dia tahu tamparan itu akan datang, dan dia tidak tahu apakah dia mampu menghindarinya. Namun, saat itu, sesuatu yang tidak dijangka berlaku.
Tiba-tiba, terdengar erangan suara menahan sakit. Lelaki yang tadinya hendak menampar berhenti seketika, lalu berpaling ke belakang, keningnya berkerut kehairanan. Dua orang kuncunya, yang sebelum ini memegang lengan Azel, kini terkulai lemah. Mereka seakan tidak dapat bergerak, kedua-duanya memegang bahu masing-masing seolah-olah ada kuasa yang menahan mereka, menggigil akibat cengkaman yang tak kelihatan namun amat kuat.
"Hoi, apa dah jadi dengan korang?!" lelaki itu menyoal dengan suara yang keras, namun ada rasa kekhuatiran di dalam hati yang tidak mampu disembunyikan.
"Ka... kami tak tahu bos, badan kami rasa sakit tiba-tiba! Arghh!" Dua orang lelaki itu mengerang kesakitan, masing-masing memegang lengan mereka yang terasa seperti hendak patah, wajah mereka dipenuhi dengan ekspresi kesakitan yang luar biasa.
Lelaki itu terbeliak, matanya meliar dengan gelisah, kemudian berpaling memandang Azel yang berdiri dengan penuh ketenangan dan aura yang penuh misteri. Air liurnya tertelan sekali gus, terasa seperti ada sesuatu yang tidak kena.
"Kau buat apa dekat dorang? Kau pakai sihir ke huh?!" Lelaki itu menjerit, suaranya penuh kebimbangan, jelas sekali dia sudah mulai cuak dengan situasi yang semakin tidak terkawal.
Bibir Azel melengkung sedikit, senyumannya menyenget penuh sinis.
"Sihir?" Azel mengulang perkataan itu seolah-olah tergelak kecil. Gelakannya terdengar tajam, seolah-olah ada kepuasan yang tersembunyi di sebalik suara itu. Beg kot yang terjatuh di atas tanah tadi dikutipnya kembali, dia mengeluarkan jaket panjang yang baru dibelinya dan terus berjalan mendekati lelaki itu dengan langkah yang tenang, penuh keyakinan.
"Aku tak perlukan sihir..." Azel berkata dengan nada yang sangat yakin, langkah kakinya semakin dekat, meninggalkan jejak ketegangan di udara. Lelaki itu semakin gelisah, mahu berundur tetapi kaki seolah-olah dipaku ke tanah. Tiada ruang untuk bergerak, walaupun dia cuba untuk menggerakkan tubuhnya. Ketakutan menjalar di setiap inci tubuhnya.
Jina yang berada tidak jauh dari situ, menyaksikan kejadian itu dengan penuh debaran. Hatinya berdebar-debar, berfikir tentang apa yang mungkin berlaku dalam sekelip mata ini.
Azel akhirnya berhenti betul-betul di hadapan lelaki itu. Senyuman jahat yang penuh dengan misteri mengukir di bibirnya. Wajahnya tidak lagi menunjukkan belas kasihan, hanya ada keangkuhan yang menusuk.
"Sihir yang perlukan aku, bodoh!" Azel menyeringai, suaranya tegas dan penuh dengan kebencian. Dengan gerakan pantas, dia menghayunkan jaket panjangnya ke arah lelaki itu, seolah-olah ada kekuatan tersembunyi di dalam setiap serat kain yang terlepas. Dalam sekelip mata, lelaki itu hilang dari pandangan, tenggelam disebalik kain hitam yang meluncur dengan laju. Seakan-akan Azel baru saja menggunakan kekuatan magis yang tidak mungkin diterima oleh akal manusia.
Jina terdiam, terkesima dengan apa yang baru sahaja berlaku. Hatinya berdebar-debar, fikiran berkecamuk, dan tubuhnya tiba-tiba terasa seperti dipenuhi ketegangan. Perlahan-lahan, bulu romanya meremang, perasaan takut mula menyelinap masuk. Dia mengangkat pandangannya perlahan-lahan, mata bertemu dengan mata Azel yang masih menyala dengan kemarahan dan dendam.
"Bos? Bos dah hilang?" Dua orang lelaki itu berteriak dengan panik, suara mereka bergetar ketakutan. Mereka cuba bangkit dari tanah, kelam-kabut berlari meninggalkan tempat itu. Dalam keadaan tergesa-gesa, salah seorang daripada mereka tersandung batu, terjatuh, namun segera bangkit dan terus berlari dengan lebih laju.
Setelah lelaki-lelaki itu menghilang dari pandangan, Azel menghembuskan nafas perlahan, seolah-olah baru sahaja mengeluarkan beban besar dari dadanya. Dia memejamkan mata buat seketika, cuba menenangkan dirinya. Jaket yang masih tergenggam di tangannya dilepaskan begitu sahaja, jatuh ke tanah. Perlahan, dia berpaling memandang Jina yang masih duduk di atas tanah, memegang siku yang berdarah.
"Maaf, sebab libatkan kau dalam hal ni..." Azel berkata dengan nada yang lebih lembut, melangkah mendekati Jina, niatnya ingin membantu wanita itu bangun dari tempatnya.
Namun, Jina dengan cepat berdiri, mengangkat tangan, memberi isyarat agar Azel berhenti. Wajahnya masih menunjukkan ketakutan yang jelas.
"Tak... takpa, aku okay," katanya, suaranya teragak-agak. Walaupun dia cuba meyakinkan dirinya, matanya masih jelas menunjukkan kebimbangan yang mendalam.
"Aku balik dulu," ujar Jina, tanpa memberi peluang kepada Azel untuk berkata apa-apa. Dengan cepat, dia naik ke atas motor, menghidupkan enjin, dan terus meninggalkan tempat itu dengan kelajuan, meninggalkan Azel yang hanya mampu melihatnya pergi.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro