Bab 15
Slurrpppp!
Jina menyedut air Vanilla Latte dengan penuh kepuasan, bunyi sedutannya bergema dalam ruang itu. Habis semuanya, tiada yang tertinggal kecuali ketulan ais yang masih utuh. Dengan senyuman puas, dia terus membuka penutup bekasnya dan mula mengunyah ais batu itu, langsung tidak peduli dengan pandangan pelik Azel yang duduk di hadapannya.
Suasana di kafe itu hanya jelas terdengar bunyi ais batu yang sedang dikunyah.
Azel hanya dapat menggelengkan kepala, matanya tetap terarah pada Jina yang sibuk mengorek ais batu dalam bekas minumannya.
"Haih, kenapalah dalam banyak-banyak manusia dalam dunia ni, dia juga yang aku pilih?" keluh Azel di dalam hati, rasa keletihan mencengkamnya.
"Betul kata Axel, aku sepatutnya cari yang lain sahaja untuk buat permintaan. Perempuan ni makin lama makin menakutkan aku."Walaupun kata-kata itu meluncur laju di dalam fikirannya, matanya tidak pernah lepas memerhatikan Jina.
Biarpun tingkah laku wanita itu agak pelik, ada sesuatu yang membuatkan Azel tak dapat menahan diri daripada terus memandang. Mungkin ia hanya satu perasaan yang tidak dapat dijelaskan, atau mungkin kerana di sebalik semua keanehan itu, ada kecomelan yang hanya Jina yang punya.
Azel melepaskan nafas pendek, dia berpaling ke arah beg kertas yang berisi pakaian yang diletakkan di kerusi sebelahnya. Dia mencapai, banyak juga baju yang wanita itu belikan untuknya. Termasuk pakaian yang dipakainya sekarang, sejujurnya agak panas apabila mengenakan jaket kulit hitam ini. Tetapi dia tahan sahaja kerana mengikut permintaan Jina.
"Berapa aku kena bayar kau?" soal Azel, suaranya penuh kehairanan.
Jina yang sedang menikmati kunyahan ais, mengangkat wajahnya dan memandang Azel dengan ekspresi bingung.
"Hmm?"
"Baju-baju ni. Berapa harganya?" Azel menyoal dengan nada yang lebih jelas, memandang Jina dengan serius.
Jina menoleh ke arah beg kertas yang dipegang oleh Azel, dan barulah dia faham apa yang dimaksudkan. Jina berdecik kecil.
"Tak apa. Kan aku kata aku belanja kau. Lagipun..." Jina mendekat sedikit, seakan ingin berbisik perlahan pada lelaki itu. Siap memandang ke kiri dsn ke kanan, seolah-olah hendak memberitahu ratu rahsia tergempar. Azel turut mendekat, ingin mendengar dengan penuh perhatian. Senyuman nakal terukir di bibir Jina dengan jelas.
"Kau kan kekasih aku," sambung Jina, kemudian tergelak kecil, masih teringat kejadian tadi.
Azel ternganga. Pada masa yang sama, dia rasa geram. Bayangkan, Jina sanggup menipu staf kedai baju semata-mata untuk mendapatkan diskaun. Gila!
"Aku tak sangka kau sanggup cakap macam tu hanya untuk dapatkan diskaun. Tak pernah seumur hidup aku jadi kekasih paksa rela macam tadi!" Azel berkata dengan nada tidak puas hati, sambil merampas air americano yang tinggal separuh di atas meja dan disedut dengan rakus, cuba menyejukkan hatinya yang panas akibat perbuatan Jina.
Jina ketawa lagi tanpa rasa bersalah.
"Aku guna kau sekejap aje. Takkan itu pun tak boleh?"
Azel menjeling menyampah, kelihatan tidak senang. "Tak kisah sekejap atau lama. Jangan pernah sebut aku kekasih kau lagi. Ingat, tugas kau cuma bagitahu aku apa permintaan kau." Azel memberi peringatan tegas kepada Jina tentang hubungan mereka yang sebenar.
Jina mengangguk tanda mengalah.
"Yalah, aku takkan cakap macam tu lagi. Aku tahulah, siapa aje yang bangga dapat perempuan macam aku? Kasar, tak cantik pulak tu. Tengku Hayyan pun malu nak akui aku girlfriend dia," kata Jina sambil mengacau ais dalam cawannya. Kata-katanya terdengar tenang, namun Azel dapat melihat kesedihan yang cuba disembunyikan di laman wajah wanita itu.
Azel mengetap bibirnya. Dia tidak suka apabila Jina berkata begitu. Malah dia merasa serba salah. Tidak ada niat dalam hatinya untuk melukai perasaan Jina.
"Kau merepek apa ni? Aku cuma tak suka kau gunakan aku aje. Bukannya sebab..."
"Aku tahulah. Kan aku dah cakap, aku perempuan yang kuat. Setakat benda macam itu, aku tak terasa hati pun. Tiada benda dalam dunia ni yang boleh buat aku sedih selain kehilangan arwah mak ayah aku," ujar Jina dengan senyuman lebar. Namun jauh di sudut hatinya, rindu pada ibu dan ayahnya jelas terpancar.
Azel terdiam, dia sedikit tersentak dengan cerita Jina. Dengan perlahan dia menyandarkan tubuh ke belakang.
"Kau hilang mereka masa bila?" Soal Azel, suaranya sedikit tergelam perlahan.
Jina menyengetkan bibirnya, cuba berlagak tenang meskipun hatinya menahan kerinduan tak terubat.
"Dah lama. Masa tu aku baru umur sepuluh tahun. Hari raya, sepatutnya kami balik kampung satu keluarga. Tapi yang selamat cuma aku seorang. Arwah mak dan ayah aku terperangkap dalam kereta yang terbabas di jalan raya. Mereka tak sempat keluar sebelum kereta tu terbakar."
Azel terdiam mendengar cerita Jina, hati berasa simpati. Dia mengeluh perlahan.
"Maaf, aku tak patut tanya soalan tu."
Jina menggelengkan kepala. "Tak perlu minta maaf pun. Relaxlah. Perpisahan tu adalah takdir yang kita kena paksa untuk terima walaupun sakit. Semua yang jadi, pasti ada sebabnya. Kita cuma perlu bersedia sahaja," ujar Jina sambil tersenyum, menenangkan Azel.
Namun Azel tetap tunduk termenung, merenung sesuatu yang dalam. Lama dia membisu kali ini. Seolah-olah ada sesuatu yang bermain difikirannya.
"Kau tanya pasal aku, kau pulak? Mana keluarga kau? Diorang masih ada ke?" tanya Jina, cuba mengalihkan perbualan.
Azel tergamam, wajahnya berubah menjadi serius. Dia cuba berlagak biasa dengan berpaling ke arah lain. Namun mukanya yang tegang jelas tidak mampu disembunyikan.
"Entah," jawab Azel acuh tak acuh.
Jina menayang muka pelik. "Jangan cakap yang hubungan kau tak berapa baik dengan keluarga..."
"Aku tak ada keluarga," Azel berkata dengan cepat, memotong ayat Jina yang belum selesai. Tanpa melengah, dia meletakkan cawan americano yang tinggal sedikit di atas meja dan berdiri. Jaketnya diselar dengan sedikit gerakan.
"Aku nak ke tandas sekejap," katanya dengan suara yang datar, lalu terus berjalan ke arah tandas tanpa sekali pun berpaling ke arah Jina.
Jina terdiam, rasa menyesal mula mengusik hati. Dia tak sepatutnya bertanya soalan itu tadi, terutamanya setelah melihat reaksi Azel yang tiba-tiba berubah. Mungkin dia sedang menahan perasaan, atau lebih teruk, marah.
"Kenapalah aku tanya soalan tu dekat dia tadi? Haish," Jina mengomel perlahan, keluhan kecil keluar dari bibirnya sambil matanya menyelusuri keadaan sekeliling. Namun, pandangannya tiba-tiba terhenti pada seseorang yang dikenali, Hayyan. Lelaki itu sedang berjalan bersama seorang wanita seksi, penuh dengan beg belanja, jelas mereka baru selesai membeli-belah.
"Hayyan?!" Jina terkejut, matanya terbeliak sebaik sahaja melihat figura lelaki itu. Tanpa berfikir panjang, dia bangkit dari tempat duduknya dan berlari keluar dari kafe, tidak menunggu Azel yang masih berada di tandas. Dengan langkah pantas, Jina mencari tempat untuk bersembunyi. Akhirnya, dia menyelinap ke sebalik pasu besar yang terletak tidak jauh dari situ.
Dari balik pasu, dia mengintai Hayyan yang sedang berdiri bersama seorang wanita seksi, berhenti di hadapan kedai pakaian.
"Tak guna! Dalam banyak-banyak tempat, kau pilih nak bermesra kat sini jugak!" desis Jina geram, matanya tajam memerhatikan mereka. Hatinya berasa pedih, tak mampu menahan perasaan marah yang semakin membara. Melihatkan cara Hayyan melayan wanita itu dengan penuh perhatian, Jina merasakan dirinya dihina, seolah-olah dia tak pernah wujud dalam hidup lelaki itu sebelum ini.
"Kau boleh terus bahagia dengan dia lepas tinggalkan aku macam ni? Memang tak guna!" Jina ejek dalam hati, perasaan kecewa semakin menyesakkan dada. Dia hampir-hampir melemparkan batu ke arah mereka, ingin meluahkan rasa marahnya, tapi kemudian teringat tentang keadaan sekeliling.
"Alamak!"
Tiba-tiba, Hayyan menoleh ke arah tempat dia bersembunyi. Jina tergamam, terkejut dan cepat-cepat menundukkan tubuhnya, cuba mengelak daripada dilihat. Hatinya berdegup kencang, dan dia menahan nafas, berharap agar lelaki itu tidak menyedari kehadirannya.
"Aduh, dia nampak ke aku tadi?"
Hampir terkantoi. Jina rasa seolah-olah masa berhenti seketika. Setelah beberapa saat berlalu, Hayyan dan wanita itu kembali meneruskan langkah mereka, terus berjalan tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Jina menarik nafas lega, matanya masih mengikuti mereka dari jauh, merasa sedikit tenang kerana Hayyan tidak menyedari kehadirannya.
Jina melepaskan satu nafas.
"Bahagia betul kau dengan perempuan tu ek? Kecil besar kecil besar aje aku pandang kau sekarang ni tempayan." Kata Jina dengan gigi terketap-ketap menahan geram.
Semakin panas hatinya melihat Hayyan yang berkepit terlalu dekat dengan wanita di sisinya serupa magnet. Kalau boleh, disepanjang laluan itu mereka melekat sahaja.
Jina mendengus penuh geram.
“Kan bagus kalau tengah kau bahagia macam tu, tiba-tiba ada orang sepak muka kau kuat-kuat,” gumam Jina perlahan, matanya mengecil, memandang Hayyan dengan pandangan penuh dendam. Lelaki itu sedang bergelak tawa mesra dengan wanita seksi di sisinya. Jina mengetap bibir. Amarahnya memuncak.
Namun tiba-tiba...
PAP!
Jina terkejut. Tangannya spontan menutup mulut yang ternganga. Matanya membulat melihat apa yang baru sahaja berlaku di hadapannya, iaitu Hayyan ditampar kuat oleh wanita yang bersamanya! Bunyi tamparan itu bergema di lorong pusat beli-belah, cukup kuat untuk menarik perhatian sesiapa yang berada di situ.
Jina terkaku, hampir tidak percaya.
“Mulut aku... masin sangat ke?” bisiknya, tangan menyentuh bibir sendiri, seolah-olah dia baru sahaja menjampi situasi itu.
Dia terus memerhatikan adegan itu dari jauh. Wanita di sisi Hayyan kini kelihatan panik. Raut wajahnya jelas menunjukkan dia tidak percaya pada apa yang baru saja dilakukannya.
“Oh my God, I’m so sorry, Hayyan! I tak tahu kenapa tangan I tiba-tiba tampar muka you,” ujar wanita itu dengan nada gelisah.
Hayyan, yang masih memegang pipinya yang kini merah terang, hanya mampu mengerang kesakitan tanpa berkata apa-apa. Dia kelihatan bingung, seperti cuba memahami apa yang baru sahaja berlaku.
"Kenapa you tampar I ni?!"
"No, Sumpah tangan I bergerak sendiri!"
Jina terlalu fokus menyaksikan drama mereka dengan keliru. Tanpa disedari, Azel yang telah lama memerhatikan dia dari jauh, melangkah perlahan dengan senyuman sinis menghiasi wajahnya. Dia berdiri di sisi Jina, memandang perbalahan sepasang kekasih itu dengan tenang.
Tatkala Jina yang baru menyedari kehadiran Azel agak tersentak.
"Azel?"
“Aku dah tunaikan permintaan pertama kau,” ujarnya selamba, tangan dimasukkan ke dalam kocek seluar, lagaknya penuh gaya.Dia tunduk memandang Jina di sisi.
Mata wanita itu membulat besar. Serupa tak percaya.
“Kau... kau yang buat?” soalnya, suara bercampur terkejut dan tidak percaya.
Azel hanya mengangkat sedikit kening sambil memberikan senyuman misteri. Senyuman itu cukup untuk memberi jawapan kepada Jina.
“Ta.. Tapi... macam mana?” soal Jina, otaknya tidak mampu memproses apa-apa data.
Azel mendekat sedikit, Jina juga terundur sedikit apabila sedar lelaki itu terlalu rapat dengannya. Entah mengapa, jantung tiba-tiba berdebar hebat.
"Aku magician. Jadi tiada apa yang mustahil bila kau ada aku,” kata Azel, mata merah gelapnya merenung Jina dengan begitu dalam.
Jina menelan liur, pandangannya terpaku pada lelaki itu. Di satu sisi, dia masih keliru. Tetapi di sisi lain, dia tidak dapat menafikan rasa kagum yang mula timbul dalam dirinya. Terlalu banyak benda yang dia tidak tahu tentang lelaki misteri ini.
Siapa Azel sebenarnya?
“Apa-apa pun, ini baru permulaan..." sambung Azel, bersahaja. Dia kembali tegakkan badan, menyaksikan sepasang kekasih di hadapan sana yang masih bertikam lidah.
“Kau nak tengok sesuatu yang lawak tak?" Soal Azel, ada senyuman nakal dibibirnya.
Sekejap Jina memandang Hayyan yang masih kebingungan di seberang sana, lalu kembali memandang Azel. Hatinya bertolak balik memikirkan rancangan nakal Azel. Namun, rasa ingin tahunya lebih membuak-buak. Dia masih ingin lihat sehebat mana kelebihan lelaki itu.
Lantas kepala diangguk laju. Senyuman kecil terbentuk di bibir Jina.
"Nak!"
Azel tersenyum jahat. “As you want,” jawabnya, suaranya tenang namun ada sesuatu yang sinis. Dia memandang Hayyan dari jauh, mata merah gelapnya bersinar seakan sedang menyusun langkah seterusnya. Jina turut memandang ke arah yang sama, matanya penuh keingintahuan dan sedikit keseronokan.
"Sorry, Hayyan. I janji I takkan buat macam tu lagi. Sakit sangat ke?" soal wanita itu penuh risau, dengan tangan masih di atas pipi Hayyan yang kemerahan akibat tamparan pertama.
"Oh God, teruknya! Kesiannya you..." wanita itu menyuarakan rasa simpati, namun dalam hati tidak tahu apa yang sedang berlaku.
"Erghh..." Hayyan mengerang menahan sakit.
Tiba-tiba, tanpa diduga, tangan wanita itu kembali bergerak menampar pipi Hayyan buat kali kedua. Kali ini lebih kuat, dan kepala Hayyan terteleng ke kiri dengan kuat. Suasana itu tiba-tiba menjadi kacau. Wanita itu tergamam, memandang tangannya dengan mulut ternganga.
"What the..." keluhnya, keliru dengan tindakannya sendiri. Dia tidak tahu mengapa tangannya bergerak seperti itu, tapi yang pasti, dia tidak berniat untuk melakukannya.
"Look, I... I tak tampar muka you, okay! Dia gerak sendiri! Sumpah!" wanita itu bersungguh-sungguh cuba menjelaskan, tetapi Hayyan hanya menatapnya dengan tajam, semakin marah.
"You ni dah gila ke apa? Sakit tahu tak?!" jerit Hayyan, dan tanpa menunggu apa-apa lagi, dia berlari meninggalkan wanita itu yang terpinga-pinga.
"Hayyan, tunggu! Ini semua salah faham je!" jerit Rina, wanita itu langsung mengejar Hayyan semula, kelihatan panik dan berusaha untuk memperbaiki keadaan.
Jina, yang sedang memerhatikan dari jauh, tak dapat menahan tawa. Ketawa terkekek-kekek keluar dari mulutnya, matanya hampir berkaca akibat ketawa terlalu banyak. Dia puas melihat Hayyan yang ditampar dua kali, dan situasi yang nampaknya mengelirukan wanita itu hanya semakin membuatnya terhibur.
Azel menoleh, matanya terpaku pada Jina yang masih ketawa terbahak-bahak. Untuk sesaat, ada sesuatu dalam hatinya yang bergerak. Entah kenapa, dia rasa tersentuh melihat senyuman yang terpancar di wajah Jina. Senyumannya itu seperti magnet yang menarik perhatian Azel, membuatkan dia sedikit lalai menatap wajah Jina yang sedang terhibur.
"Dah puas?" soal Azel, suaranya lembut tapi masih ada senyuman jahat terukir di bibirnya.
Jina pantas mengangguk, senyumannya masih lebar. "Puas. Puas sangat-sangat. Terima kasih sebab tamparkan dia dari jauh untuk aku." Ucap Jina, masih tak berhenti ketawa.
Azel tersenyum melebar, namun dalam hatinya ada perasaan yang dia sendiri tidak faham. Sementara itu, Jina terus ketawa, mengingatkan kejadian lucu tadi. Hingga terkeluar air mata akibat ketawa yang terlalu banyak. Tanpa disedari, tawa Jina itu menjadi perhatian Azel, dan sesuatu yang tak terucap bergerak perlahan dalam dirinya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro