Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

bab 13

Di bawah langit tengahari yang terik, Jihan masih berkurung dalam biliknya, berselimut meskipun cuaca di luar menyengat. Dia duduk memeluk lutut di sudut katil, matanya tidak lepas dari telefon yang baru sahaja mengakhiri panggilan dengan Tengku Hayyan.

Sepatutnya hari ini mereka ke butik pengantin bersama. Namun, seperti biasa, alasan lelaki itu panjang berjela, menyuruh Jihan pergi seorang diri. Hatinya terasa berat, seperti dia yang beria-ia sendiri dalam hubungan ini.

Tok! Tok! Tok!

Ketukan pintu mengejutkan lamunannya. Tanpa menunggu jawapan, pintu terbuka, menampakkan Datin Huda yang melangkah masuk dengan wajah separuh keliru.

"Boleh mama masuk?" soalnya, meskipun sudah pun berada di dalam bilik. Matanya melingas melihat keadaan bilik Jihan yang berselerak.

"Kenapa tak siap lagi? Bukan ke fitting baju pengantin hari ni? Kejap lagi Hayyan datang, barulah kelam-kabut kamu nak bersiap," tegur Datin Huda, duduk di birai katil sambil meluruskan selimut yang berselerak.

Jihan menghela nafas panjang. "Dia tak datang pun. Siap suruh Jihan pergi seorang diri kalau nak," balasnya pendek, wajah masam.

"Dia suruh pergi sendiri? Betul ke dia cakap macam itu?" ulang Datin Huda, keningnya berkerut.

Jihan mengangguk lemah. Matanya memandang kosong lantai bilik. Datin Huda menarik nafas perlahan, mencari kata-kata yang tepat untuk meredakan suasana.

"Mungkin dia ada hal penting kut? Diakan CEO, banyak benda dia kena uruskan. Jihan pun janganlan cepat sangat merajuk dengan Hayyan tu. Kalau Hayyan rimas, nanti tak pasal-pasal dia batalkan majlis. Kamu juga yang sedih."

"Habis, mama nak Jihan buat tak tahu aje ke? Dia buat macam Jihan tak penting, mama tahu tak?!" Suara Jihan mula meninggi, namun tidak cukup untuk memadamkan nada lembut ibunya.

"Bukan macam tu, sayang. Kamu kena faham, lelaki ni kadang-kadang sibuk. Sekarang ni banyak benda yang perlu difikirkan. Kalau kamu buat perangai, siapa yang nak bincang pasal majlis nanti?" Datin Huda memujuk lembut, tangannya mengusap lengan Jihan.

Jihan mendiamkan diri, namun matanya masih memberontak. "Macam mana Jihan tak buat hal kalau perangai Hayyan macam itu? Sudahlah semalam asyik tanya pasal Jina, selepas itu hari ni suruh keluar seorang diri pula. Nampak sangat dia belum move on!"

"Jina?" Datin Huda tersenyum nipis.

"Alahai, dia tu perempuan biasa saja. Anak mama jauh lagi cantik. Hayyan cuma perlukan masa. Lepas ini, dia akan lupa semua pasal Jina. Percayalah."

Jihan mendongak, sedikit terhibur dengan kata-kata ibunya. "Yalah tu cantik.  Macam tak aje..."

"Ish, mestilah cantik! Anak mama ni paling cantik tahu tak? Dahlah, jangan fikir bukan-bukan. Pergi siap cepat. Kalau Hayyan tak datang, mama teman Jihan ke butik. Selepas itu, kamu pergilah cari Hayyan di ofis, ajak dia keluar makan. Jangan biarkan hati kamu terus sakit macam ini."

Jihan tersenyum kecil. "Yalah, Jihan ikut cakap mama aje." Dia akhirnya bangkit dan menuju ke bilik air untuk bersiap.

"Kan bagus kalau begini. "

Datin Huda hanya menggeleng perlahan, bibirnya melukis senyum halus. "Haih, dah nak kahwin pun fikir lebih-lebih, Jihan... Jihan..." gumamnya sendiri sambil mula mengemaskan bilik anaknya.













Matahari memancar lembut di ufuk timur, mencurahkan sinarnya ke atas kawasan fun fair terbengkalai yang sudah lama ditinggalkan. Namun, sinar pagi itu tidak mampu menyapu bersih suramnya tempat itu. Suasana di situ tetap penuh dengan keheningan aneh yang merayap perlahan, seolah-olah menyimpan rahsia yang tak pernah terungkap. 

Jina berdiri di luar pintu masuk dengan dada yang berombak kecil, menarik dan menghembuskan nafas untuk menenangkan debarannya. Dia menoleh ke cermin sisi motor, membetulkan tudung yang sedikit senget. T-shirt yang sudah lusuh tetapi masih selesa ditarik-tarik, cuba memastikan penampilannya tampak rapi walaupun dia tahu, tiada sesiapa yang akan memerhati. 

"Ini pertama kali aku buat kerja gila."  bisiknya perlahan. 

Dengan langkah yang agak ragu-ragu, dia melangkah masuk. Pandangannya melilau, mencari sosok lelaki yang memintanya datang ke situ. Janjinya, mereka akan bertemu di hadapan kuda pusing. Angin pagi meniup lembut, menggerakkan daun-daun kering di sepanjang jalan berdebu. 

“Azel?” panggil Jina, suaranya bergema di kawasan itu. 

Tiada sahutan. 

"Waktu orang panggil tak nak pulak muncul. Mana pula mamat ni?"

Dia melangkah ke arah kuda pusing itu, yang catnya sudah pudar dan sebahagiannya mengelupas. Tangannya menyentuh salah satu kuda besi itu, merasakan dingin permukaannya. Walaupun kelihatan usang, struktur permainan itu masih kukuh berdiri, seolah-olah dijaga dengan rapi.

“Pelik betul,” gumam Jina, lebih kepada dirinya sendiri.

“Buruk macam ni pun tapi masih boleh bergerak. Agaknya macam mana benda ni boleh berfungsi ya? Tak nampak pun suis atau apa-apa...” 

“Aku sahaja yang boleh hidupkan permainan dekat sini.” 

Suara garau yang tiba-tiba muncul dari belakang mengejutkannya. Cepat-cepat Jina berpaling, dan pandangannya bertembung dengan sepasang maga merah milik Azel. Lelaki itu berdiri tidak jauh darinya, memakai kot merah gelap yang tampak serasi dengan auranya yang misteri. 

Azel berjalan perlahan ke arahnya, senyuman nipis menghiasi bibirnya. Langkahnya tenang, tetapi ada sesuatu yang membuatkan Jina berasa gelisah.

“Semua di sini milik aku. Jadi kalau nak guna, kau kena minta izin aku dulu,” ujarnya sambil mengetuk kuda besi itu dengan jari. Suaranya tegas, tetapi tidak bernada ancaman. 

Jina mendengus kecil, wajahnya jelas menunjukkan rasa bosan.

“Siapa kata aku nak naik? Aku bukan budak-budak. Aku dah cukup dewasa untuk benda macam ni.” ujar Jina. Dia melangkah turun dari platform kuda pusing itu, tidak mahu berlama-lama di situ. 

Azel tertawa kecil. “Kadang-kadang, orang dewasa lebih perlukan saat gembira seperti budak-budak. Tak begitu huh?"

Jina memandangnya dengan sinis. “Aku tak perlukan semua tu. Aku ni perempuan yang kebal. Putus cinta? Celah gigi aje aku hadap. Hidup aku tetap jalan macam biasa.” 

Azel tidak membalas, hanya memandangnya dengan pandangan yang sukar diartikan. Mungkin wanita itu belum diuji lebih berat, kerana itulah dia yakin dengan kata-kata sendiri.

Setelah beberapa saat mendiamkan diri, Azel akhirnya memecahkan keheningan.

“Jadi... apa sebenarnya yang kau nak aku buat? Apa jenis pembalasan yang kau harapkan untuk lelaki itu?” soalnya perlahan tetapi penuh maksud. 

Jina memandangnya dengan dahi yang berkerut. “Nak balas dendam pun ada jenis ke?"

Azel tersenyum tipis, senyuman yang membuatkan jantung Jina sedikit berdebar, bukan kerana terpesona, tetapi kerana rasa tidak sedap hati.

“Tentulah ada. Tahap pertama...” katanya, melangkah mengelilingi kuda pusing itu dengan langkah yang disengajakan perlahan.

“kau mahu dia rasa menyesal. Cukup untuk dia sedar kesilapannya.”  Azel berhenti seketika, kemudian melangkah turun dari platform, berjalan ke arah Jina.

“Tahap kedua, kau nak dia rasa kesakitan. Kesakitan yang cukup untuk buat dia merana seumur hidup dia."

Langkah Azel semakin mendekat. Mata tajamnya tertancap pada Jina, membuatkan gadis itu tanpa sedar melangkah ke belakang. 

“Dan tahap ketiga...” Azel mengeluarkan sehelai tisu dari poket kotnya. Dengan satu gerakan, dia membakarnya. Abu hitam berterbangan perlahan di udara, lenyap bersama angin pagi.

“Kau mahu dia hilang. Lenyap dari dunia ini.”

Jina tergamam. Dia tidak tahu apa yang harus dikatakan. Lelaki di hadapannya ini nyata bukan orang biasa. Tangannya mengepal erat, cuba menenangkan diri.

“Tak... aku tak sekejam itu. Aku cuma nak dia rasa bersalah dengan apa yang dia dah buat pada aku. Itu saja.” 

Azel menarik nafas panjang, wajahnya mempamerkan kekecewaan yang jelas.

“Hmm... agak membosankan, aku ingatkan kau nak tahap yang ketiga. Tetapi tak apa. Aku akan tunaikan permintaan kau.”  Dia berpaling, melangkah meninggalkan kawasan itu. 

“Eh, kau nak pergi mana?” Jina memanggil, tergesa-gesa mengejar Azel yang sudah pun menjauh. 

“Cari Hayyan lah. Siapa lagi?” jawab Azel tanpa menoleh. 

Langkah Jina terhenti, dan dia memandang Azel dari kepala ke kaki.

“Dengan pakaian macam ni? Orang akan fikir kau gila.” 

Azel memandang dirinya sendiri, kemudian mengangkat bahu. “Apa salahnya? Aku rasa aku nampak hebat.” 

“Hebat di sini, ya. Tapi kalau kau nak ke bandar, tak! Orang akan ingat kau baru lepas buat persembahan silap mata. Kau nak kantoi dengan Hayyan ke?” 

Azel hanya memandangnya, tidak tahu harus menjawab apa. 

“Okay, ikut aku. Kita pergi mall. Tukar penampilan kau dulu,” arah Jina. 

“Ini permintaan baru ke?”  soal Azel, tidak mengerti.

“Bukan! Ini dipanggil belanja. Aku nak belanja kau. Anggap saja aku buat semua ni untuk rancangan kita tak gagal.” 
 
Azel memandang Jina dengan raut wajah bingung. Walaupun dia mendengar arahan Jina dengan jelas, sebenarnya dia masih tidak benar-benar memahami apa yang sedang berlaku. Namun, untuk mengelak perdebatan yang tidak perlu, dia mengangguk perlahan, seolah-olah memberi persetujuan.

"Apa-apa ajelah."

"Bagus! Jom, ikut aku!" Ajak Jina. Mereka sama-sama melangkah menuju ke arah motorsikal yang terparkir di luar kawasan.

Azel terpaku sejenak sebaik sahaja tiba di hadapan motorsikal itu. Dia memandang kenderaan dua roda itu dengan kening berkerut, seakan-akan sedang menilai sama ada ia mampu menampung berat mereka berdua.

“Naik benda ni?” soalnya perlahan, suaranya dipenuhi nada ragu.

Jina yang sedang membetulkan helmet memandang Azel sekilas. “Ya. Kau ingat aku ada kereta ke? Cepatlah, kita tak ada masa ni,” balasnya tegas sambil memulas throttle, membuatkan enjin motor itu mengaum. 

Azel menarik nafas panjang, seakan-akan sedang menyediakan dirinya untuk suatu pengalaman yang tidak diingini. Dengan langkah perlahan, dia akhirnya duduk di belakang Jina, tetapi jelas kelihatan dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Tangannya terawang-awang, tidak pasti di mana hendak berpaut. 

“Pegang pemegang belakang. Dan jangan sekali-kali sentuh aku!” Jina memberi amaran, suaranya tajam seperti pisau. 

Azel menjeling. Dia hampir ingin berkata sesuatu, tetapi mengalah. 'Dia yang suruh naik motor, selepas itu bagi macam-macam arahan pula! Bisik hatinya.  Dengan perlahan, tangannya menggenggam pemegang belakang motor, cengkaman yang kelihatan lebih kepada menahan ketakutan daripada keyakinan. 

“Kalau aku jatuh, aku akan hilangkan kau dari muka bumi ni dulu.” gumam Azel perlahan. 

Jina hanya tersenyum sinis. “Kau takkan jatuh kalau ikut arahan aku."

Sebelum Azel sempat membalas, motor itu meluncur laju, meninggalkan kawasan fun fair terbengkalai. Angin pagi menyerbu wajah mereka, menambahkan lagi kesejukan yang menggigit. Azel hampir terloncat, tetapi dia berjaya mengimbangkan dirinya pada saat akhir. 

“Ini gila! Rasanya kalau aku jalan kaki lebih baik!” jerit Azel, suaranya tenggelam dalam deruman enjin dan hembusan angin. 

Jina hanya tersenyum.

Azel mencengkam pemegang lebih kuat, berjuang untuk kekal stabil di atas motor yang terus memecut. Jina, di hadapan, nampak tenang mengendalikan motor seperti seorang profesional. Tetapi bagi Azel, ini adalah saat paling mencabar dalam hidupnya. 

“Kau sengaja nak bunuh aku ke?” jerit Azel lagi, kini suaranya bercampur panik. 

Jina tertawa kecil, seolah-olah menikmati reaksi lelaki itu. “Relaxlah. Aku dah bawa motor ni bertahun-tahun. Percayalah, aku tahu apa yang aku buat.” 

Namun, bagi Azel, setiap selekoh dan kelajuan yang meningkat hanya menambah debaran di dadanya. Dia tidak pernah membayangkan dirinya dalam situasi seperti ini, di atas sebuah motor, di belakang seorang wanita yang lebih berani daripada kebanyakan orang yang pernah dia temui. 

“Aku rasa aku patut fikir dua kali sebelum setuju dengan kau tadi,” desis Azel, lebih kepada dirinya sendiri. 

Jina tersenyum puas. Sebaiknya begitu, tetapi dah terlambat.


          

               
            
                  

                  

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro