Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 12

Jina dengan rasa was-was memarkir motorsikalnya di kawasan lorong gelap itu. Helmet dibuka, kemudian Jina mengeluarkan sekeping kad. Jika diikutkan alamat yang tertera, inilah tempatnya.

Perlahan-lahan, Jina turun daripada motorsikal, anak matanya melilau memandang kawasan lorong yang gelap dan sunyi, tiada kelibat manusia. Malah bunyi anjing menyalak dari kejauhan membuatkan bulu roma Jina menegak.

"Betul ke apa yang aku buat ni?" desis Jina dengan suara yang seram, sesekali belakang kepala yang tidak gatal digaru.

"Sunyi aje tempat ni. Kedai makan pun tak ada." Bebel Jina sendirian sambil memandang sekelilingnya yang sunyi sepi, seolah-olah di dunia ini cuma dia seorang sahaja yang tinggal.

"Aish, balik ajelah! Aku tak sedap hatilah pula." Jina ingin kembali menghidupkan enjin motorsikalnya. Namun, tiba-tiba, kelihatan sebuah cahaya berkelip-kelip, seperti lampu sarkas yang bergerak perlahan-lahan di atas awan. Seakan-akan ada pesta atau perayaan yang tidak jauh dari situ.

"Bukan ke tu lampu fun fair? Baru dibuka ke? Tadi tak ada pun." Soal Jina sendirian, pelik. Tak tahu pula di kawasan yang penuh sunyi ini ada teman tema dibuka. Namun, melihat lampu warna-warni yang melayang-layang di atas awan gelap itu seolah-olah ada kemeriahan di sana.

Mungkin di situ ada ramai orang?

Jina berhenti sejenak, memikirkan semula. Dia mengubah fikiran dan memutuskan untuk mengikuti arah cahaya itu. Kakinya melangkah perlahan, semakin jauh meninggalkan motorsikal, dan berjalan menuju cahaya yang semakin jelas di hadapan matanya.

Setibanya di hadapan kawasan fun fair terbengkalai itu, Jina terhenti. Nafasnya seakan tersekat. Matanya membulat, tergamam apabila apa yang terhampar di hadapannya kini berbeza dengan bayangan yang muncul di fikirannya sebelum ini. Cahaya berkelip yang dilihat dari kejauhan tampak meriah, namun realiti di depan mata begitu suram dan sepi. 

Roda ferris yang berkarat berdiri kaku, buaiannya tergantung lesu, berayun perlahan ditiup angin malam. Papan-papan iklan lusuh dengan huruf yang hampir pudar seolah-olah pernah menyaksikan kegembiraan suatu ketika dahulu. Malah, lampu warna-warni yang masih menyala itu kelihatan redup dan berkelip-kelip tanpa semangat, seperti nyawa yang hampir padam. 

Tiada tawa, tiada suara manusia, hanya keheningan yang mendakap. Debu-debu halus menari di udara, menambahkan rasa sunyi yang mengerikan. Segalanya terasa asing, seolah-olah ruang ini telah lama dilupakan dunia. 

Gulp!

Air liur ditelan kesat. Jina memberanikan langkah kaki terus ke hadapan sambil anak mata menebar ke sekeliling dengan rasa takut.

"Hel... Hello? Ada orang ke dekat sini?" Jina menyoal. 

Namun sepi.

"Assalamualaikum?"

Tiada yang menyahut salamnya. 

Keheningan yang merayap di kawasan fun fair terbengkalai itu terasa semakin menghimpit. Degupan jantung Jina kian pantas, bergetar hebat di dadanya. Rasa takut yang merayap perlahan bercampur dengan perasaan aneh yang sukar dijelaskan, seolah-olah dia sedang diperhatikan, namun entah oleh siapa. 

"Huh?!"

Jina menoleh pantas, matanya liar memerhati sekeliling. Roda ferris berkarat yang kaku, buaian yang bergoyang perlahan, papan iklan pudar yang hampir hilang tulisan. Hanya kesunyian yang menemani. 

Kosong. Tiada sesiapa. 

Dia menggeleng, cuba menenangkan debar yang semakin menggila.

“Aku tak patut datang ke sini...”bisiknya, separuh geram dengan diri sendiri. 

Dengan tekad, dia memusingkan badan, ingin segera meninggalkan kawasan itu. Namun, belum sempat melangkah tiba-tiba...

Kreekkkk...

Bunyi nyaring besi bergesel menjengah ke telinga Jina. Langkahnya terhenti. Seluruh tubuh terasa kaku. Perlahan, Jina menoleh semula. 

Di tengah-tengah kawasan itu, kuda pusing yang tadi kelihatan usang dan berkarat, kini bergerak perlahan. Roda di dasarnya berpusing, merenjitkan bunyi nyaring yang menyakitkan telinga. Lampu-lampu di sekelilingnya yang malap mula berkelip-kelip, berdenyut perlahan seperti cuba bernyawa kembali. 

Jina terpaku. Nafasnya sesak. Kakinya seolah-olah terpaku ke tanah, tidak mampu bergerak walaupun hatinya menjerit ingin melarikan diri. 

Dan ketika itulah...

"Well... Well... tengoklah siapa tetamu kita hari ni." Suara garau namun tenang itu bergema, memecah kesunyian. 

Jina memalingkan wajah ke arah salah satu kuda putih yang sedang berpusing. 

Di atasnya, seorang lelaki duduk dengan gaya yang penuh misteri. Berkot hitam panjang, dengan topi tinggi yang menutupi sebahagian rambutnya bergaya wolf cut. Kakinya bersilang santai, dengan sebelah tangan menepuk perlahan kepala kuda itu.

"Aku dah agak kau akan datang."  Ucapnya dengan senyuman penuhh mesra, namun aneh. Mata tajamnya menikam pandangan Jina, seolah-olah telah lama menantinya. 

Lelaki itu menghela nafas perlahan sebelum melompat turun dari kuda pusing. Langkahnya tenang, senyuman tidak lekang dari bibir ketika dia mendekati Jina yang masih kaku. 

"Kau dah lewat lima belas minit. Tapi tak mengapa, aku tetap sambut kehadiran kau dengan hati yang terbuka." Suaranya tenang namun penuh teka-teki. Dia menanggalkan topi hitam tinggi yang dipakainya, kemudian menundukkan badan dengan anggun, seolah-olah sedang menyambut tetamu kehormat di pentasnya sendiri.

"Jadi, perkenalkan. Nama aku Azel... dan selamat datang ke Magic Island yang gah ini."

Jina masih berdiri kaku. Nafasnya terasa tersekat, sukar mempercayai apa yang sedang berlaku. 

Azel kembali menegakkan tubuh, mengenakan semula topinya dengan gerakan dramatik.

"Aku masih belum tahu nama kau lagi. Siapa nama kau?"

Jina tersentak dari lamunannya, menggeleng pantas. Wajahnya bertukar tegang. 

"Ak... aku nak balik!"ujar Jina tegas, memusingkan badan untuk melangkah pergi. Namun suara Azel yang perlahan, namun tajam, menghentikan langkahnya. 

"Tak nak tengok free show dulu ke?"

Jina terhenti. Dia berpaling, memandang Azel dengan wajah yang masih serius dan curiga. 

"Kau cakap apa ni? Kau siapa huh? Apa yang kau nak dari aku?"soalnya dengan nada mencabar. 

Azel menyengetkan senyumannya. Matanya sedikit mengecil, ada sinar nakal bermain di dalamnya. 

"Siapa aku?"Azel mengulang soalan itu sambil melangkah mendekati Jina. Jina, walaupun terpinga-pinga, tidak mampu bergerak. Kakinya terasa kaku, seolah-olah ada kuasa yang mengikatnya di situ. 

"Hmmm... kau rasa... siapa aku?"

"HUH?!" Jina terkejut apabila tiba-tiba Azel mengangkat tangannya ke telinga kirinya. Entah dari mana, sehelai kain merah ditarik keluar dengan gaya santai, seolah-olah muncul dari dalam telinganya sendiri. 

MAGIC!

Jina terpaku. Matanya membulat. Bagaimana dia lakukan itu? Tangan Jina spontan menyentuh telinganya sendiri, cuba mencari logik di sebalik ilusi tersebut. 

"Tentulah aku ni..."Azel memusing-musing kain merah itu di tangannya, kemudian menutup sebelah genggaman tangannya. Dengan satu tarikan pantas...

POP!

Segugus bunga ros merah muncul di tangannya. Kelopaknya segar, seakan-akan baru dipetik. 

Azel ketawa kecil.

"Seorang magician." Sambungnya.
Kemudian dia menghulurkan bunga itu kepada Jina.

"Nah, ambillah. Anggap sahaja cenderahati untuk tetamu istimewa." Kata Azel.

Namun, Jina hanya memandang bunga itu dengan wajah keras. Perlahan, dia menepis huluran tersebut. 

"Jangan main-main boleh tak?" suaranya dingin. 

Kening Azel terangkat sedikit, kelihatan bingung. "Siapa kata aku main-main?"

Jina menjeling tajam. Nafasnya dihela panjang, cuba mengawal perasaan.

"Kau suruh aku datang sini, buat aku tunggu, lepas tu tunjuk silap mata budak-budak? Kau ingat aku ada masa nak layan permainan kau ni huh?"

Azel memandangnya dengan pandangan penuh minat, seolah-olah semakin tertarik dengan ketegasan Jina. 

"Uuu... garangnya. Mungkin kau tak suka bunga sebab ada sejarah hitam di sebaliknya, kan? Tak mengapa... bunga ni tak penting." Dengan satu hembusan perlahan, Azel mencampakkan bunga itu ke tepi, membiarkannya jatuh ke tanah tanpa sebarang reaksi. Kemudian dia menepuk tangannya sekali, bunyinya bergema di udara sunyi itu. 

"Mungkin... aku kena tunjuk sesuatu yang lebih besar. Apa ya?" Dia memicit dagu, pura-pura berfikir. 

Jina hanya menjeling, kelihatan jengkel sekali lelaki ini.

"Sudahlah. Buang masa saja." Jina  berpaling untuk melangkah pergi dari kawasan itu.  Namun, sebelum sempat dia melangkah lebih jauh— 

Flap...

Seekor rama-rama berwarna biru hinggap di bahunya. Sayapnya berkilau, bercahaya dalam gelap malam. 

"Huh? Sejak bila..." Jina menepis perlahan rama-rama itu kerana terkejut. 
Tetapi apabila dia mendongak... mulutnya terbuka sedikit. 

Langit di atas kawasan fun fair itu kini dipenuhi dengan beratus-ratus ekor rama-rama biru yang bercahaya, berterbangan dengan anggun di sekelilingnya. Cahaya kebiruan berkilauan, memantul di permukaan roda ferris yang berkarat, mengubah suasana kelam kepada pemandangan yang penuh magis. 

Untuk seketika, Jina hanya mampu terpaku, terpesona dengan keindahan yang terbentang di hadapannya. 

"Aku dah cakap ada free show, kan? Rugi kalau kau terus balik macam itu sahaja."
Suara Azel kembali kedengaran, namun kali ini dari arah yang berbeza. 

Jina mendongak. Terkejut. 

Azel kini berada di atas batu tinggi, bersilang kaki dengan gaya santai. Matanya merenung Jina dengan penuh teka-teki, bibirnya masih tersenyum. 

Dia menghulurkan tangan. Seekor rama-rama biru jinak hinggap di hujung jarinya. Azel memain-mainkan serangga bercahaya itu sebelum memandang Jina semula. 

"Kau rasa... manusia biasa boleh ke buat semua ni?" soal Azel dengan nada penuh misteri. Dia meniup perlahan rama-rama di hujung jarinya, membiarkan serangga bercahaya itu terbang pergi, membentuk lingkaran kecil sebelum hilang di antara ribuan yang lain. 

Azel melompat turun dari batu itu dengan gerakan yang begitu ringan, dan kini berdiri betul-betul di hadapan Jina yang masih terdiam. Pandangan matanya menusuk, seolah-olah sedang membaca isi hati wanita itu. 

"Aku tahu apa yang kau rasa sekarang lepas ditinggalkan lelaki tu," ucap Azel, tenang namun tegas.

"Jadi biar aku tolong kau kali ini. Aku janji, kau takkan menyesal percayakan aku." Sambungnya.

Jina mendengus kecil, wajahnya berkerut tidak percaya.

"Habis, apa yang aku kena buat sebagai balasan? Aku tahu, semua ni bukan percuma. Apa yang kau nak? Darah aku huh?"

Azel tergelak besar mendengar karutan itu, gelak tawanya menggema di antara permainan usang di kawasan itu. 

"Darah?"Dia menggeleng kepala sambil menahan tawa, matanya bersinar penuh keanehan.

"Jauh betul khabar angin tu tersebar rupanya. Kau pun terfikir aku akan hisap darah kau ke?"

Jina menjongket bahu. Manalah dia tahu. Namun, lihat mata Azel yang merah pekat itu tidak menafikan yang dia kelihatan seperti hantu vampire yang akan menuntut darahnya suatu hari nanti.

"Kau... takkan hisap darah aku?" Soal Jina, takut-takut. 

"Tentulah tak. Darah kau bukannya rasa sirap pun."

Sambil berkata, Azel melangkah santai ke arah sebuah tiang karat di kawasan itu. Dia memegangnya, berpusing di situ sejenak seperti kanak-kanak bermain-main, namun tetap dengan aura misterinya. 

"Aku cuma nak tiga permintaan kau aje." Suaranya berubah lembut, hampir berbisik.

"Aku tak nak benda lain. Selesai sahaja semua permintaan yang kau buat, aku takkan ganggu kau lagi."

Kening Jina terangkat, menatap Azel dengan pandangan penuh curiga.

"Takkan itu aje? Habis apa motif kau tolong aku?"

Azel menghentikan pusingannya, memandang Jina dengan senyuman aneh yang hampir tidak dapat ditafsirkan.

"Itu urusan aku sendiri. Kau tak perlu tahu. Yang penting, kau cuma perlu buat permintaan."

Diam mengisi ruang di antara mereka. Jina memandang Azel dengan serba salah, fikirannya penuh persoalan. Bolehkan dia percaya lelaki ini? Perwatakannya terlalu pelik, tawarannya terlalu mudah. Bagaimana jika ada sesuatu yang tersembunyi di sebalik niatnya? 

Jina menunduk, membiarkan fikirannya berputar mencari jawapan. 

Pap!

Bunyi jari Azel yang dipetik membuatkan Jina tersentak. Dia segera memandang Azel semula, yang kini tersenyum seperti seseorang yang baru sahaja memenangi pertaruhan besar. 

"Muka tu! Aku dah agak. Kau mesti akan tertarik dengan tawaran aku!"ucap Azel, penuh keyakinan. 

Jina menatapnya dengan wajah kosong, namun dalam diam, dia terfikir, terlalu jelaskah wajahnya menunjukkan keraguan yang bercampur dengan rasa ingin tahu? Dia menyentuh pipinya perlahan, seolah-olah ingin menyembunyikan perasaan yang terbaca. 

"Kalau macam itu," Azel menyambung, matanya bersinar-sinar.

"Ini dikira jadilah kan? Kau dengan aku, sama-sama jatuhkan dia."Dia menjenguk sedikit ke arah Jina, cuba mencari jawapan di matanya. Dengan perlahan, Jina menganggukkan kepala. 

"Yes!" Azel bersorak kecil, tangannya dikepal, tanda puas hati. 

"Tapi!"suara Jina tiba-tiba mencelah, memotong kegembiraan Azel. 

Azel memandangnya semula, matanya kembali serius. 

"Betul kau takkan minta apa-apa balasan?" tanya Jina tegas, mahukan kepastian sekali lagi. 

Azel pantas mengangkat sebelah tangannya, seakan-akan bersumpah di hadapan mahkamah.

"Kau boleh percayakan aku. Seorang Azel tak pernah permainkan janjinya."
Dia mengakhiri ucapannya dengan senyuman lebar, penuh keyakinan. Malam itu, keputusan telah dibuat. Perjanjian tidak rasmi antara Jina dan Azel dimeterai. Mereka kini bersatu untuk satu tujuan: menjatuhkan Tengku Hayyan. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro