Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 11

Di sebuah restoran mewah yang diterangi cahaya malap, alunan violin bergema lembut, mengisi ruang dengan melodi syahdu. Meja di sudut sana dihiasi lilin yang bernyala tenang, diapit kuntuman mawar merah yang segar. Suasana romantis, namun terasa hambar bagi dua insan yang duduk berhadapan. 

Hayyan hanya tunduk, jemarinya perlahan mengacau air dalam gelas. Diamnya menebarkan aura yang tidak keruan. 

Jihan mula gelisah. Keheningan yang kian panjang membuatkan dia berdehem kecil, cuba mencuri perhatian. Mangkuk dessert yang terhidang ditolaknya perlahan sebelum senyum tipis diukir. 

"By the way, you nampak handsome sangat malam ni, Hayyan." Puji Jihan, cuba mencairkan kebekuan suasana. 

Namun, pujian itu sekadar berlalu. Hayyan hanya tersenyum hambar. Senyum yang kosong. 

"Thanks anyway," balasnya ringkas, nada yang tiada jiwa. 

Kening Jihan berkerut. Ada sesuatu yang tidak kena. 

"You macam tak excited je jumpa I? Ke you tak sihat malam ni?" Soalnya prihatin. 

Hayyan menggeleng perlahan. "Takdalah... Cuma I rasa pelik." 

Jihan semakin keliru. "Pelik? Apa maksud you?" 

Hayyan menarik nafas dalam, seolah sedang mencari keberanian untuk berbicara. 

"Yeah, pelik sangat... I baru lepas putus dengan seorang perempuan. Sekarang, I keluar dengan kawan baik dia sendiri." Suaranya terbit bersama rasa janggal yang ketara. 

Wajah Jihan berubah. Riak tenangnya tadi retak seketika, namun dia cuba menutup perasaan itu dengan memalingkan wajah ke arah lain. Seolah-olah tak mendengar. 

"You tak nak fikir balik ke tentang hubungan ni?" tanya Hayyan, nada suaranya penuh persoalan. 

Jihan menggeleng tegas. "Kenapa nak kena fikir balik pula? Apa yang family kita buat ni untuk masa depan kita." 

"Tapi... Jina kawan baik you. Ex I!" 

Jihan mencebik. Suaranya meninggi sedikit. 

"Dia dah move on. Bukannya I rampas you daripada dia! Jadi tak salah pun kalau I nak kahwin dengan you." 

Hayyan mengeluh berat. Jemarinya meraut wajah yang kelihatan makin berserabut. 

"Look, Jihan... I dah sakitkan hati dia. Takkan you sebagai kawan dia pula nak tambahkan lagi sakit tu?" 

Jihan mengangkat kening, ekspresi tidak peduli jelas tergambar. 

"I peduli apa? Kawan tu kawan ajelah. Tiada kena mengena dengan hal ni. I tak buat salah pun. Dari mula lagi I dah ingatkan Jina yang you tak sesuai untuk dia, tapi dia yang tak dengar cakap. Jadi salah I ke kalau dia terluka?" 

Hayyan terdiam. Kata-kata itu menampar keras, tapi dia tiada jawapan. 

"Kita berdua setaraf, Hayyan. Jina tu... Tak ada apa-apa. Bengkel dia tu pun, I yang hulurkan duit untuk dia bangunkan. Kalau tak, dia kosong, Hayyan." 

Hayyan menunduk. Hati lelakinya semakin memberat, tetapi bibirnya terkunci. 

Jihan menyambung, suaranya semakin lantang dengan ego yang meninggi. 

"I dah banyak tolong dia. Jadi apa salahnya kalau sekali aje dia mengalah untuk I pula? I cuma nak you, Hayyan. Itu aje. I tak minta benda lain pun." 

Hayyan mengangkat wajah, matanya merenung tajam ke arah Jihan. 

"Jina betul-betul percayakan you, you tahu tak?" 

Jihan tersenyum sinis, bahunya terangkat acuh tak acuh. 

"I tahu. Tapi itu tak penting, Hayyan. Yang penting... I bahagia dengan crush lama I. Dah lama I suka you, tahu?" 

Tangannya perlahan menjalar ke atas meja, cuba menyentuh tangan Hayyan yang kaku di situ. Namun, Hayyan segera menarik tangannya, seolah-olah tersentuh api yang membakar. 

Jihan terkaku. Suasana kembali senyap. 

"I... I nak ke toilet sekejap," ujar Hayyan, pantas mencapai napkin yang tergantung di leher dan meletakkannya di atas meja. 

Dia bangun, melangkah menjauh, meninggalkan Jihan sendirian di meja makan yang seharusnya penuh dengan rasa cinta, tetapi kini hanya bersisa kekosongan. 

Jihan mengeluh berat, dadanya terasa sesak dengan seribu rasa yang bersimpul. Tangan kirinya terangkat, ingin memicit kepala yang berdenyut sejak tadi. Namun, deringan telefon tiba-tiba bergema, memecah keheningan. 

"Siapa pula yang call waktu macam ni?"

Matanya beralih ke arah telefon yang bergetar di atas meja. Skrin menyala terang, memaparkan nama yang cukup dikenalinya. JINA.

Keluhan yang tadi berat, kini disertai jelingan tajam penuh jengkel. 

"Sibuk ajelah perempuan ni!" desisnya geram, bibir diketap menahan marah. Tanpa sebarang niat untuk menjawab, jari telunjuknya pantas menekan butang merah, menamatkan panggilan dengan kasar. 

Dengusan terlepas. Telefon itu dicampaknya ke tepi meja. Nafasnya dihela kuat, sebelum kedua tangannya menyilang tubuh, memeluk diri sendiri. 

Hatinya mendidih. Namun jauh di sudut sanubari, ada sesuatu yang lebih halus menyelinap, rasa bersalah yang cuba dia nafikan. 




Jina memandang skrin telefon yang tertera panggilan tak terjawab dengan dahi berkerut. Jarang sekali Jihan menolak panggilannya, apatah lagi tanpa sebarang mesej atau alasan. Pasti ada sesuatu yang lebih penting, fikirnya. 

"Hmm... Enjoy dinner nampak? Seronok sangat ke sampai tak jawab call? Baru ingat nak gossip pasal perkahwinan dia. Sengajalah tu nak buat suprise untuk aku..." ngomel Jina sendirian, menyimpan telefon ke meja sisi dengan cebikan kecil di bibir. 

Dia bangun perlahan dari katil, helaian rambutnya yang masih basah dikesat dengan tuala putih. Langkah diatur menuju meja solek di penjuru bilik, niatnya mahu menyikat rambut. Namun, pergerakannya terhenti apabila mata menangkap sesuatu, kad jemputan yang terbiar di sudut meja. 

Tangan Jina yang mahu mencapai sikat, beralih mengambil kad itu. Jemarinya membelai lembut permukaan kad berwarna hitam dengan tulisan emas yang tampak mewah. 

Kerusi ditarik. Dia melabuhkan tubuh, duduk sambil menatap kad jemputan itu dengan perasaan bercampur baur. Kata-kata lelaki misteri itu terngiang kembali. 

"Aku pasti kau akan datang. Aku tahu kau perlukan aku. Jadi aku akan tunggu kehadiran kau bila-bila masa sahaja."

Jina mengerut dahi. Suara lelaki itu seakan jelas di fikirannya, seolah-olah benar-benar sedang berbicara dengannya saat ini. 

"Betul ke dia boleh bantu aku, eh?" soal Jina perlahan, namun bibirnya mencebik sinis. 

"Tak mungkinlah." Jina geleng kepala.

"Tapi... yang menjadi tanda tanya sekarang, kau ni hantu ke manusia sebenarnya?" bisiknya, matanya menatap kad itu dengan penuh rasa curiga. 

Wajah lelaki misteri yang ditemuinya terbayang di benaknya. Senyumannya, tatapan mata merahnya yang tajam, suara yang penuh keyakinan. 

Namun, Jina menjuih bibir, kepalanya menggeleng perlahan. 

"Memang tidaklah aku akan datang jumpa dia. Silap-silap, dia hisap darah aku nanti!" desisnya geram, sebelum tangannya melayang mencampakkan kad itu ke dalam tong sampah kecil di sebelah meja solek. 

Selesai mengeringkan rambut, dia mencapai sikat dan menyisir rambutnya dengan gerakan perlahan. Namun, fikirannya tetap melayang pada lelaki itu. 

Usai menyikat, Jina bangkit dan terus merebahkan diri ke atas katil. Badannya diselimuti gebar tebal, tangan meraba suis lampu di tepi katil. 

Klik. 

Bilik menjadi gelap. 

"Finally. Aku boleh tidur dengan tenang." Jina memejamkan mata, cuba mengosongkan fikiran. Namun, bayangan lelaki misteri itu kembali mengusik. 

"Jadi aku akan tunggu kehadiran kau bila-bila masa sahaja." 

Matanya terbuka semula. Jina mengerutkan dahi, beralih posisi ke kanan. 

"Aish, kenapa dengan aku ni?" gumamnya, cuba memejamkan mata sekali lagi. 

Namun, wajah itu... suara itu... masih menghantui. 

"Arghhh! Aku tak boleh!" 

Jina menjerit perlahan, geram dengan dirinya sendiri. Selimut ditolak kasar sebelum dia bangkit dari pembaringan. 

"Fine! Kau nak sangatkan Jina?" 
Dengan langkah pantas, dia mencapai tudung di penyangkut, menyarungkannya ke kepala. Tangan mencapai kunci yang tergantung di dinding. kemudian, kad jemputan yang dibuang tadi langsung dikutip semula. Tanpa menoleh ke belakang, Jina membuka pintu dan melangkah keluar dari bilik. 

"Ha, dah lewat malam ni nak ke mana pula tergesa-gesa tu?" tegur Nek Piah dari belakang, suaranya lantang namun penuh kasih. Bertelekung putih membalut tubuh tuanya, jelas baru selesai menunaikan solat Isyak. 

Jina yang sedang menyarung kasut terhenti sejenak. Dia menoleh sekilas. 

"Jina nak keluar kejap, janji sekejap aje." 

Nek Piah memandang tajam. "Dah solat ke belum? Kang kena sampuk dengan setan, payah. Kamu tu dulu dahlah pernah kena rasuk masa sekolah dulu." 

Jina mendengus kecil, mencebik bibir.

"Ish, Nenek ni. Suka fikir yang bukan-bukan. Kalau ada setan pun, dia lari dulu kalau nampak Jina." Balasnya, cuba berseloroh dengan nada berani. 

Nek Piah menggeleng perlahan. "Ikut suka hati kamulah, Jina. Asalkan pandai jaga diri. Kamu tu anak dara, bukannya jantan! Jangan buat benda bukan-bukan!" 

Jina menghela nafas, cuba menahan rasa rimas. "Yalah, Nek. Jina belum lupa diri lagi. Keluar sekejap aje, nak beli coki-coki." Bohongnya sambil melirik senyum kecil, cuba menutup niat sebenar. 

Helmet di belakang pintu dicapainya. Disarung kemas ke kepala, tali dipasang rapi. 

"Balik sebelum pukul 11! Jangan nak merayau jauh-jauh pula." pesan Nek Piah, suaranya menekan penuh makna. 

"Baik, Nek Piah." Jina sekadar mengangguk sebelum menolak daun pintu. Deruan enjin motor berbunyi, mengisi keheningan malam yang kian sunyi. 

Nek Piah hanya berdiri di ambang pintu, memerhati dengan hati yang berat. 

Kelibat Jina makin lama makin hilang dalam kelam malam. 

"Pelik betullah cucu aku ni... Sibuknya mengalahkan orang bercinta pula," ngomel Nek Piah seorang diri, menggeleng kepala perlahan sebelum menutup kembali pintu rumah. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro