Bab 10
Jina menunggang motorsikalnya dengan tenang, angin malam yang sejuk membelai wajahnya. Jalan raya yang dilalui kelihatan lengang, sepi tanpa sebarang kereta yang lalu. Hanya lampu jalan yang pudar menerangi perjalanan panjang yang membosankan. Di kiri dan kanan, hanya ada hutan lebat yang kelam, menambah ketenangan di malam yang sunyi ini. Jina tidak menghiraukan keadaan sekeliling. Matanya terarah pada jalan di depan, mulutnya bersenandung perlahan, seiring dengan deru enjin motorsikal yang merdu.
"Sepohon kayu daunnya rimbun, lebat bunganya serta buahnya..." Jina menyanyi kecil, mengisi kekosongan malam dengan suaranya yang merdu.
Namun, lamunannya tiba-tiba terganggu apabila matanya tertangkap pada sesuatu yang mencuri perhatiannya. Sebuah kereta BMW yang tersadai di tepi jalan. Jina memperlahankan kelajuan motorsikalnya, sambil matanya menjeling ke arah kereta itu. Kelihatan seorang lelaki tua duduk di sebelahnya, merungut seorang diri. Bonet kereta terbuka, dan dia tampak keliru, seolah-olah tidak tahu apa yang perlu dilakukan.
Jina menarik brek, berhenti di tepi kereta itu. Dia menanggalkan visor helmetnya, lalu mendekati lelaki tua itu dengan senyuman ramah.
"Kereta rosak ke, cik?" tegurnya, suaranya lembut, penuh rasa ingin membantu.
Pak cik itu mengangkat kepala, matanya penuh kekeliruan.
"Haah, entahlah kenapa kereta ni tiba-tiba buat hal. Pak cik pun tak pasti apa masalahnya," rungutnya, sambil meraba-raba kunci kereta di tangannya.
"Oh, dah hubungi bengkel ke?" Jina bertanya, cuba membantu walaupun dia bukanlah mahir mana bab kereta.
Pak cik itu menggelengkan kepala. "Dah, tapi mereka kata kena tunggu sejam juga sementara nak datang ke sini."
Jina berfikir sejenak, matanya melayang ke arah kereta yang tersadai itu. Tanpa berfikir panjang, dia memutuskan untuk menolong.
"Ya ke? Kalau macam tu tak apalah, biar saya tengok-tengok dulu. Mana tahu saya boleh baiki mana yang patut."
Pak cik itu terkejut. Seorang wanita menawarkan diri untuk membaiki keretanya? Namun, dia tidak mahu menolak bantuan yang datang.
"Kamu tahu ke nak baiki ni? Karang makin rosak kereta pak cik macam mana?"
Jina tersenyum meyakinkan.
"Ish, saya kerja bengkellah pak cik. Setakat kereta rosak tepi jalan, tak ada hal saya nak baiki." Tanpa menunggu jawapan, Jina melangkah ke depan, menunduk melihat enjin kereta yang terbuka. Tangan-tangannya cekap memeriksa setiap bahagian.
Setelah beberapa ketika, dia terhenti pada satu bahagian.
"Patutlah kereta ni tiba-tiba mati. Bateri dah longgar," katanya perlahan, sambil menunjukkan kabel negatif yang sedikit longgar pada bateri kereta itu.
"Ini yang buat masalah."
Pak cik itu mengangguk, memahami penjelasan Jina. "Habis, nak kena buat apa ni?"
"Kena ketatkan balik aje. Tunggu kejap," jawabnya sambil bergegas kembali ke motorsikal. Dia membuka bahagian bonet motorsikalnya, mengeluarkan alat socket wrench, dan kembali semula ke kereta itu. Dalam sekejap, masalah kecil itu selesai.
"Dah siap, pak cik. Boleh cuba hidupkan enjin kereta," kata Jina dengan senyum bangga.
Pak cik itu mengangguk, kemudian duduk kembali di dalam kereta, cuba menghidupkan enjin. Percubaan pertama gagal, namun pada percubaan kedua, enjin kereta itu hidup dengan lancar. Senyum lebar terukir di wajah pak cik itu. Dia keluar dari kereta dengan langkah lega.
"Terima kasihlah, dik. Tak tahulah pak cik nak buat apa kalau kamu tak lalu di kawasan ni," ujar pak cik itu penuh rasa syukur.
Jina hanya mengangkat bahu, mengekalkan senyumannya. "Takda hal, pak cik. Sikit aje ni," jawabnya ringkas, tidak menganggap apa yang dilakukannya besar.
Pak cik itu menggelengkan kepala.
"Mana ada sikit. Sekurang-kurangnya kamu dah selamatkan pak cik daripada kena potong gaji dengan bos. Dia dah berjalan jauh ke depan sana untuk minta pertolongan."
"Bos?" tanya Jina, hairan.
"Iya, ha itupun dia, panjang umur." jawab pak cik itu, tersenyum sambil menuding ke arah seorang lelaki berpakaian kot hitam yang sedang berjalan menuju ke keretanya.
Jina menoleh perlahan-lahan. Hatinya tiba-tiba berdegup kencang. Tidak salah lagi, lelaki itu Tengku Hayyan. Wajahnya tiba-tiba berubah. Ada perasaan marah yang membuak dalam dirinya. Kenapa lelaki itu ada di sini? Kenapa kereta ini miliknya?
"Tengku Hayyan?!" Jina menjerit dalam hati, wajahnya yang tadinya ceria berubah merah kerana marah. Selama ini, dia tidak pernah melupakan lelaki itu. Sekali lagi, perasaan benci yang terpendam selama ini kembali menyelubungi dirinya.
Tengku Hayyan yang baru saja mendekati keretanya, terkejut melihat Jina. Matanya tidak lepas memandang wanita itu, seakan tidak percaya. Apa yang dia lakukan di sini? Melihat alat socket wrench di tangan Jina, hatinya mula berdebar. Dia tahu, jika wanita itu marah, bahaya yang menanti tidak akan baik untuknya.
"You... you buat apa dekat sini?" Tengku Hayyan bertanya, suaranya penuh kebimbangan.
Jina menggenggam erat alat itu, hatinya berapi.
"Berani kau muncul depan mata aku lagi, huh?! Kau memang nak mati ditangan aku!" katanya dengan nada menakutkan. Wajahnya yang tegang jelas menunjukkan betapa marahnya dia pada lelaki itu.
Tengku Hayyan tidak tahu bagaimana untuk menghadapi situasi ini.
"Eh, apahal you ni?! Siapa yang muncul depan siapa?" Jeritnya, lalu berlari masuk ke dalam kereta dan mengunci pintu dengan cepat.
Jina yang semakin marah tidak mahu mengalah.
"Pak cik, cepat bawa saya pergi! Dia tu perempuan gila!" Tengku Hayyan menjerit dari dalam kereta, wajahnya jelas kelihatan takut.
Nafas Jina semakin turun naik. Dia menghentakkan kakinya, tidak sabar untuk mengejar lelaki itu. Mujur dia tidak sempat. Kalau tidak, pasti alat itu akan terbang ke arahnya.
"Siapa perempuan gila, huh?! Kalau aku tahu ni kereta kau, aku ketuk-ketuk sampai kemek!" Jerit Jina penuh amarah.
Pak cik itu yang semakin takut hanya mampu melihat, tidak tahu apa yang perlu dilakukan.
"Pak... pak cik minta maaf, pak cik pergi dulu!" Dengan cepat, dia masuk ke dalam kereta dan memecut pergi, meninggalkan Jina yang masih berdiri di tepi jalan, menggenggam erat alat di tangannya.
Jina memandang kereta itu yang semakin jauh, rasa marah dan dendamnya semakin membakar.
"Dasar tempayan tak guna! Kereta pun buruk, puih! Menyesallah aku tolong kau heh!" Dia menjerit, suaranya tenggelam dalam kesunyian malam yang kembali menyelubungi kawasan itu.
"FUH, sedap betul bau masakan aku! Hari ni kari ikan, mesti Jina pelahap sampai licin punya!" Nek Piah berseru dengan penuh kebanggaan, sambil meletakkan semangkuk kari ikan yang masih berasap di atas meja, dikelilingi oleh lauk-pauk yang lain. Nasi panas, air sejuk, dan semuanya sempurna... kecuali satu, cucu perempuannya, Jina, masih belum pulang.
Nek Piah melepaskan keluhan berat. Matanya tertumpu pada jam dinding, yang kini menunjukkan waktu 8 malam.
"Ke mana pula Jina ni pergi? Sepatutnya dah balik ni," gumamnya, hati mulai risau. Langit luar sudah berwarna gelap, dan perutnya terasa lapar menunggu cucu kesayangan yang entah kemana.
"Setiap kali aku masak sedap, pasti dia balik lewat. Ke manalah dia pergi agaknya? Aku ni dah lapar, nak tunggu dia sampai bila?" keluh Nek Piah, matanya melirik lauk di meja yang menunggu untuk dimakan. Bau kari ikan itu menggoda begitu kuat, air liur hampir tertelan.
"Ish, tak boleh jadi! Lantaklah dia, cucu ke apa, peduli apa aku!" desisnya, memutuskan untuk duduk dan mula makan tanpa menunggu lebih lama. Namun, baru sahaja sesenduk nasi diambil, tiba-tiba...
GEGEGANG!
Pintu rumah terbuka dengan kuat. Nek Piah terkejut, hampir terlepas sudip nasi yang dipegang.
"OPocot Nasi panas!" terlepas kata-kata itu tanpa sengaja. Sudip itu sempat digenggam dengan erat, jika tidak, pasti nasi panas itu akan terpelanting ke arah Jina yang baru sahaja melangkah masuk ke rumah, wajahnya terpasang masam, seperti memikul seluruh dunia di bahunya.
Jina tidak memberi salam, langsung terus menuju ke biliknya tanpa sepatah kata. Seolah-olah dunia ini tiada ruang untuk orang lain.
"Haih, dengan salam pun tak ada? Kamu ingat nenek ni tunggul ke dekat sini?" Tegur Nek Piah senada.
Jina berhenti seketika di depan pintu biliknya, menarik nafas panjang, seolah-olah sedang memikirkan sesuatu. Akhirnya, dia berpaling, memberikan senyuman yang tidak sampai ke mata.
"Assalamualaikum, Nek Piah. Maaflah, Jina penat sangat hari ni," ujarnya lemah, suara itu hampir tidak dapat didengar.
"Ha, kan elok sikit muka tu. Kalau bagi salam, taklah nenek terkejut beruk. Sudah, Nenek masak sedap-sedap malam ni, marilah makan." Nek Piah cuba memujuk dengan nada lembut, namun hati kecilnya merasakan sesuatu yang tak kena dengan cucunya.
"Tak ada selera lah, Nek. Nek Piah makanlah semua tu..." jawab Jina sambil menunduk, suaranya seolah kosong, seakan tidak bersemangat.
"Betul ke ni? Sejak bila cucu nenek tak ada selera? Makan sikit lah, nenek ni penat tau, masak sorang-sorang. Manalah tahu kalau ini masakan nenek yang terakhir untuk kamu..." Nek Piah merayu, cuba membuatkan cucunya mahu menikmati makan malam bersama.
Jina mengeluh berat.
"Ish, Nenek ni, mulalah tu..." Suaranya sedikit kasar, tetapi tetap dia mendekati meja makan, menarik kerusi dengan malas. Nek Piah tersenyum sedikit, gembira walau hati masih bertanya-tanya apa yang sedang mengganggu fikiran cucunya.
"Jangan cakap macam itu lagi!" Tegas Jina.
Nek Piah tersengih-sengih sambil mengangguk.
"Yalah, asalkan kamu makan sekali." Kata Nek Piah.
Malahan Jina cuma menjeling malas sebelum menarik pinggan kosong untuk diceduk nasi ke atasnya.
"Oh, ya! Tadi ada surat sampai. Untuk kamu," tiba-tiba Nek Piah teringat akan surat yang sampai petang tadi. Tanpa ragu, dia menyerahkan sampul putih itu kepada Jina.
Jina memandang sampul itu sekilas, seperti tidak tahu apa yang harus dilakukan.
"Zaman apa orang hantar surat lagi ni?" tanyanya dengan rasa pelik, seolah-olah itu perkara yang sudah sangat asing baginya.
"Mana tahu, mungkin ada hadiah cabutan bertuah ke? Cubalah baca dulu." jawab Nek Piah sambil tersenyum, cuba mengusik cucunya.
Jina mencebik. Dengan geram, dia membuka sampul itu, dan sebaik sahaja melihat perkataan *INVITATION* tertera di atas kad berwarna kuning keemasan, hatinya tiba-tiba terasa berat. Wajah lelaki misteri itu muncul dalam fikirannya, tanpa diminta. Lelaki yang tak henti-henti cuba memujuknya walaupun ditolak berkali-kali.
"Berapa keping kad dia ada? Aku cakap tak nak, tak naklah. Susah sangat ke nak faham?" Jina mendengus perlahan, terus meletakkan kad itu ke tepi tanpa memberi perhatian lagi.
"Surat apa tu? Kenapa kamu tak baca?" tanya Nek Piah, semakin ingin tahu.
"Biarlah, surat dari scammer je tu," jawab Jina sambil terus menyuap nasi dengan malas.
Nek Piah menggelengkan kepala.
"Zaman sekarang scammer siap hantar surat ya? Kamu kena hati-hati lah, Jina. Jangan mudah ambil surat dari orang yang kamu tak kenal." Tegur Nek Piah lembut.
Bibir Jina menyenget sedikit.
"Samalah dengan nenek. Jangan mudah ambil surat sebarangan, orang sekarang dah tak pakai surat-surat lagi," balas Jina, nada suaranya lebih tinggi sedikit.
Nek Piah tertawa kecil. "Haih, kamu pula yang nasihatkan nenek? Karang kalau nenek tak ambil surat tu, kamu yang bising nanti."
Jina hanya mendiamkan diri, terus menyuap nasi tanpa sepatah kata. Keheningan itu menambah rasa berat di udara.
"Makan lah kenyang-kenyang, lepas tu pergi mandi. Dah bau minyak badan kamu tu!" kata Nek Piah dengan nada berseloroh, cuba menceriakan suasana yang semakin suram.
Jina hanya mengangguk tanpa berkata apa, sambil terus menyuap nasi ke mulut. Meja makan itu terus sunyi, hanya diselubungi bunyi kunyahan.
"Oh ya... nenek dengar cerita, kawan kamu tu dah nak kahwin. Betul ke?" soal Nek Piah, cuba mencari topik baru untuk dicuit, agar tidak ada kekosongan yang membelenggu mereka.
"Kawan? Sejak bila ada kawan Jina yang nak kahwin?" Jina membalas dengan soalan, suaranya sedikit terkejut. Jihan, sahabat baiknya, itu sahaja yang dia tahu, namun tidak pernah terdengar cerita tentang perkahwinan Jihan.
"Iya, nenek dengar cerita dari jiran kita semalam. Katanya Jihan dah nak kahwin dengan pilihan keluarga dia." Nek Piah menjawab dengan perlahan, cuba untuk tidak terlalu mendesak.
Jina terdiam sebentar, menyuap nasi dengan lebih perlahan. "Rasanya haritu ada Jihan beritahu, ada keluarga datang merisik dia. Tapi tak sangka pula dia terima secepat tu. Selalunya Jihan fikir banyak kali soal kahwin ni," jawab Jina, matanya tidak lepas dari pinggan.
"Dia dah fikir tentang masa depan lah tu. Kamu tu ha, bila nak bawa lelaki jumpa nenek? Arwah mak ayah kamu mungkin tak sempat nak tengok bakal menantu mereka, tapi nenek nak tengok sebelum pergi." Suara Nek Piah berbaur dengan nada serius, namun ada rasa harapan yang tersembunyi di dalamnya.
Jina mengangkat wajahnya, namun tiada senyum di bibirnya.
"Takpalah, nek. Nenek pergilah dulu. Lelaki semua sama je dalam dunia ni," jawab Jina dengan pasrah, matanya kembali tertunduk. Soal perkahwinan baginya terasa begitu jauh dan asing, seakan tidak ada ruang untuknya dalam kehidupan itu.
"Eh, eh, berapi juga ya mulut kamu tu? Sampai hati kamu suruh nenek pergi dulu!" Nek Piah sedikit terkejut dengan jawapan Jina, rasa geram hendak diluku kepala wanita itu.
Malahan Jina tidak menjawab. Perlahan-lahan, dia mengangkat pinggan kotor dan menuju ke dapur, meninggalkan meja makan yang kini terasa lebih sunyi. Nek Piah hanya mampu mencebik, mulutnya terkumat-kamit.
"Bertuah punya cucu! Orang nak tengok dia bahagia, dia kata macam itu pula..."
Bebel Nek Piah sendirian.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro