8.0 : Larian
SINARAN fajar subuh belum menyingsing lagi. Namun, Dr. Nora Yuhanis telah bangun seawal pukul 4 pagi untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi cabaran yang pertama. Walaupun terbit perasaan sedikit kerisauan dan bimbang, namun ianya masih mampu dikawal dengan baik. Di keheningan itu, tidak seperti kebiasaan pagi yang lain, dia memulakan harinya dengan bersolat hajat bagi memohon ke hadrat Allah SWT supaya segala urusannya dipermudahkan.
Selesai sahaja menunaikan solat sunat dan solat fardhu subuh, Nora Yuhanis memulakan sesi memanaskan badan yang ringkas tetapi berkesan, teknik-teknik yang telah diajarkan oleh jurulatih peribadinya. Sementara itu di dapur, Aunty Anne sedang sibuk menyiapkan hidangan makan pagi yang berkhasiat buat Nora Yuhanis, seperti roti bakar dan quaker oat. Aunty Anne juga akan menemani Nora Yuhanis ke Stadium Nasional Bukit Jalil pagi itu untuk memberi sokongan moral kepada satu-satunya anak kesayangan yang ada.
Selesai sahaja mengambil sarapan, mereka berdua terus bergegas ke Stadium Nasional Bukit Jalil yang perjalanannya daripada rumah kediaman mereka mengambil masa selama 20 minit. Sementelah ketika melalui kawasan Puduraya dan sekitar Sungai Klang, Aunty Anne kelihatan sebak dan hampir menitiskan airmatanya. Dia seakan-akan teringat kembali zaman kesusahan kedua beranak ini yang pernah melalui episod kedukaan dan kesedihan, terpaksa tidur beralaskan kotak-kotak yang dikutip disekitar pasaraya dan terkadang berbumbungkan konkrit jambatan apabila musim tengkujuh, terkadang pula akan hanya berbumbungkan langit biru dan hamparan bintang-bintang, hidup sebagai golongan gelandangan amatlah memeritkan.
"Ibu ingat lagi dahulu, Nora. Kita pernah berteduh di bawah jambatan ini," ujar Aunty Anne sambil menunjukkan ke arah tebing Sungai Klang terbabit. Ada nada kesedihan bercampur tangisan yang terpendam daripada lantunan suara tersebut.
Nora Yuhanis hanya terdiam kaku dan membisu. Tidak pernah sekalipun terpadam momen-momen itu daripada kotak ingatannya itu. Namun, dia sedar, dia harus kekal fokus dengan misi besar ini. Dia harus jadikan sejarah lepas sebagai ejen pembakar semangat untuk dia berjaya dalam menggapai cita-cita kelak. Ini bukanlah masa untuk meratap merayu dan diselubungi kesedihan, malah ini seharusnya menjadikan dirinya sebagai salah seorang yang layak untuk bergelar angkasawan. Perasaannya ketika itu bergelodak dan bercampur baur antara sedih, sayu, cemas, bimbang dan teruja. Fikirannya menerawang sehingga ke imaginasi andai sekiranya dia berjaya melakukan larian 5.0 km dibawah masa 25 minit.
20 minit berlalu, akhirnya kedua beranak terbabit sampai diperkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ). Kehadiran mereka disambut dengan sebuah banner besar 'Larian ke Orbit 2' dan 'Selamat Datang Calon-Calon Angkasawan Kedua Negara'. Lantas, dia dan ibunya pergi ke pondok pendaftaran sambil membawa surat daripada Agensi Angkasa. Pada waktu itu, sudah kelihatan para pelari berbaris panjang untuk mendaftarkan diri serta mengambil kit larian masing-masing. Turut kelihatan mereka yang berimej seperti anggota askar dan polis, jika melihatkan kepada penampilan fizikal mereka seperti imej berambut pendek, kemas dan tuck-in.
Aunty Anne mendapat tiket untuk duduk dikerusi penonton didalam stadium terbabit. Untuk rekod, SNBJ boleh memuatkan kira-kira 80,000 orang penonton pada satu-satu masa dan antara stadium yang terbesar di Asia Tenggara. Kali terakhir stadium ini diselenggara secara besar-besaran adalah ketika negara menjadi Tuan Rumah Sukan SEA ke-29. Sedikit fakta, SNBJ pernah memperlihatkan kemashuran negara dalam menganjurkan sukan bertaraf antarabangsa seperti Sukan Komanwel ke-16, Sukan SEA dan sukan-sukan lain yang bertaraf antarabangsa.
Nora Yuhanis pula ditempatkan dikawasan tengah stadium yang mana terdapat sebuah pentas besar dan pembahagi yang memisahkan antara peserta lelaki dan wanita. Di baju kit-nya tertera nombor '657' dan turut diberikan adalah beg galas, sebotol minuman isotonik sumbangan penaja, sebungkus roti sumbangan syarikat roti terkenal dan kit gel tenaga. Difahamkan, seramai 2,567 peserta yang mengambil bahagian dalam acara 'Larian ke Orbit 2' ini. Daripada jumlah tersebut, seramai 944 orang peserta wanita mengambil bahagian manakala selebihnya adalah peserta lelaki.
Acara dimulakan pada pukul 8.30 pagi dengan aktiviti senaman dan regangan badan. Setiap peserta perlu memanaskan badan masing-masing kerana mereka perlu mengerahkan sepenuh tenaga untuk melepasi cut-off time yang telah ditetapkan oleh penganjur. Turut sama hadir bagi menjayakan pencarian angkasawan kedua negara adalah Menteri Belia, Sukan dan Rekreasi (KBSR) dan juga Menteri Sains, Teknologi dan Hal Ehwal Angkasa (MOSTSPACE MY). Selain itu, ketua pengarah agensi yang bernaung dibawah kementerian MOSTSPACE adalah Agensi Angkasa Negara (MYSA) yang bertanggungjawab dalam misi pencarian angkasawan kedua ini.
Akhirnya, tepat pukul 9.00 pagi, kesemua peserta dilepaskan secara serentak dan mikro-cip yang terpasang didalam kit nombor masing-masing akan mengaktifkan kiraan undur masa atau countdown bermula minit ke-25. Mana-mana peserta yang tidak melepasi masa yang ditetapkan ini adalah dikira tidak layak. Laluan perjalanan larian ini akan keluar dari stadium SNBJ dan melalui Bandar Sukan Bukit Jalil (BSBJ) sepanjang 5.0 km sebelum masuk semula ke stadium untuk proses pengiraan masa. Tiada hadiah mahupun pingat yang akan diberikan kepada para peserta yang layak, hanya e-sijil sahaja yang akan diberikan kepada para peserta.
***
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro