Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

52.0 : Rutin Harian di Cakerawala

RUTIN harian penduduk di stesen angkasa Athria-Gemilang semenjak hari pertama ini pada permulaannya kelihatan menjanjikan pengalaman baru yang penuh keseronokan, mengujakan dan suasana yang luar biasa. Bukan semua orang dapat berada di angkasa lepas. Setiap hari, ada sahaja yang akan berswafoto dengan bulan, bergambar dengan matahari dan mengemaskini status media sosial masing-masing.

Namun, lama kelamaan perasaan jemu dan bosan sudah menguasai diri. Mereka tidak lagi boleh melancong di tepian pantai sambil merasai betapa hangatnya butiran pasir yang melekat di kaki, mendaki hutan belantara sambil menikmati pemandangan indahnya paku pakis hutan, menelusuri sungai berarus deras dengan berkayak mahupun menghirup udara gunung ganang yang segar dan indah. Semua ini sudah tidak ada lagi dan hanya kekal menjadi memori yang tersemat dan terpahat di hati dan sanubari setiap penduduk stesen angkasa ini. Pemandangan mereka terhad kepada pemandangan besi keluli, pemandangan bintang-bintang yang diselubungi kegelapan vakum angkasa dan juga lintasan satelit-satelit mahupun stesen angkasa milik negara lain di sekitar kawasan stesen angkasa Athria-Gemilang ini. Mereka semua sudah mula menjadi semakin bosan kerana asyik melakukan aktiviti yang sama sahaja berulang-ulang kali. Sudah menjadi kelaziman dan kebiasaan bagi mereka, seawal pukul enam pagi lagi,mereka akan bingkas bangun kerana bunyi siren akan membingitkan satu stesen angkasa ini.

Mereka hanya akan mengelap badan dengan menggunakan tuala basah. Ini merupakan satu rutin yang baru dan terpaksa diikuti oleh kesemua mereka. Disini, teramatlah sukar untuk mendapatkan bekalan air. Jurutera akan menggunapakai sistem penyulingan dan juga pembalikan oksigen dengan karbon dioksida selain prosesan semula bahan kumuhan yang dibuang oleh penduduk di Athria-Gemilang ini. Stesen ini menggunapakai sistem masa di ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur.

Sarapan mereka setiap hari adalah sama sahaja, roti dengan ubi kayu dan juga teh tarik. Makanan sarapan, makan tengah hari dengan makan malam biasanya akan dicatu untuk langkah-langkah penjimatan. Itupun bekalan makanan dibantu oleh teknik penanaman hidroponik dengan menggunapakai komposisi jumlah penggunaan bahan organik tanah yang amat sedikit. Bahan tanah organik di stesen angkasa ni teramatlah berharga.

Tepat pukul lapan pagi, anak-anak yang bersekolah semuanya akan berada dalam kelas manakala orang dewasa akan ditugaskan untuk melakukan sesuatu perkara yang berfaedah. Kebiasaannya, mereka akan belajar mengenai perkara-perkara yang tidak pernah mereka lihat dengan mata kepala sendiri seperti buruj Capricorn, Kyklos Galaktikos, Galaksi Elips, 'Omuamua. Ilmu-ilmu astronomi ini akan dicerap dengan menggunakan teleskop Hubble yang berteknologi tinggi.

Menu makanan merarau pula adalah Nasi putih dengan ayam rendang, kadangkala ayam masak kicap, dan kadang-kadang, kambing masak kurma. Pukul dua petang pula, mereka akan menghadiri kelas belajar agama. Pelbagai ilmu agama akan diajarkan termasuklah kelas tajwid dan Al-Quran, kelas Muamalat dan Munakahat, kelas Bahasa Arab, Jenayat, Faraid dan juga Tasawwur selain pembelajaran Al-Hadis. Walaupun mereka sudah berada di angkasaraya yang diperkirakan moden dan pada kasta tertinggi, namun tatasusila mereka masih dikekalkan mengikut syariat agama Islam Ahli Sunnah Wal Jama'ah (ASWJ) dan juga hukum-hakamnya.

Mereka tetap di payungi oleh syariat Islam dan nilai-nilai murni yang tertinggi. Aktiviti pernikahan, perkahwinan dan juga aktiviti keagamaan masih boleh dilakukan di atas angkasa ini. Apabila tibanya bulan Ramadan, mereka akan bersahur beramai-ramai, berbuka dan menunaikan solat wajib mahupun solat sunat terawikh di kompartmen keagamaan ataupun disebut Masjid Athria-Gemilang. Di sinilah aktiviti keagamaan berfungsi dan berjalan. Seperti juga di permukaan suatu masa dahulu, mereka yang beragama lain juga turut bebas untuk melaksanakan ritual keagamaan masing-masing, dengan syarat tidak mengganggu masyarakat agama lain.

Waktu makan malam pula ditetapkan pada pukul 6 sehingga pukul 8.30 malam. Makan malam pula akan dihidangkan pelbagai juadah seperti nasi campur dengan sayur sayuran, ayam goreng dan pelbagai jenis lauk-pauk yang tersedia. Segala makanan yang disediakan ini bukanlah percuma kerana makanan ini dijadikan sebagai satu bentuk 'gaji' atau 'upah' kepada ibu bapa mereka yang telah berkhidmat di stesen angkasa ini. Tidak ada wang ataupun duit yang diperlukan disini, hanya kerahan tenaga, kemahiran mahupun kreativiti yang diperlukan.

Setiap penduduk di stesen angkasa ini akan diwajibkan untuk tidur tepat pukul 10 sehingga 10.30 malam kecuali bagi mereka yang bertugas pada waktu malam untuk pengoperasian stesen angkasa dengan lebih lancar. Apabila tiba waktu tidur, lampu yang menerangi laluan susur utama di stesen angkasa terbabit akan di malapkan dan digelapkan selama tempoh lapan jam bagi memberi laluan untuk koloni Cakerawala berehat dan tidur. Rehat yang cukup akan membuatkan aktiviti pada keesokan harinya lebih produktif.

Terdapat beberapa peraturan baharu yang lebih kejam telah ditetapkan di dalam stesen angkasa ini. Antaranya adalah pesalah berat akan dihukum dengan hukuman mati dengan pesalah terbabit akan di apungan ke luar stesen angkasa ini. Maka, menerawanglah jasad tidak bernyawa terbabit yang semakin lama semakin menghilang dalam kegelapan cakerawala orbit tanpa udara dan tanpa bernisan pun. Mengikut kajian pakar, badan manusia hanya mampu bertahan selama kurang tiga minit tanpa udara. Kesalahan berat seperti mencuri, melakukan sabotaj, membunuh penduduk stesen lain, memiliki lebih daripada seorang anak dan sebagainya. Ya, untuk mengawal populasi di stesen angkasa ini, setiap keluarga dihadkan untuk mempunyai terhad kepada hanya seorang anak sahaja.

Jika pihak Komander stesen angkasa ini menangkap ibu bapa yang memiliki lebih daripada seorang anak, mereka akan dihukum dengan hukuman mati dengan kaedah mengapung individu terbabit ke luar stesen angkasa ini. Sebab itulah mereka yang berkelana di stesen angkasa Athria-Gemilang ini tidak mempunyai adik yang lebih kecil. Ada juga kes beberapa keluarga yang mereka pernah terkantoi memiliki lebih satu anak. Keluarga ini telah menerima hukuman diapungkan ke luar stesen angkasa ini bagi mengelakkan kejadian yang sama daripada berulang dan menjadi pengajaran kepada penduduk di stesen angkasa ini yang lain.

***

Kini, Kapten Daeng Mustakim mendapat perkhabaran gembira daripada pihak pengurusan Athria-Gemilang. Selepas beberapa bulan mengendalikan stesen angkasa Athria-Gemilang ini, dia dinaikkan pangkat sebagai Komander. Jawatan Komander mempunyai kuasa mutlak untuk membuat keputusan, menguruskan hal ehwal kewangan, mengambil berat terhadap soal keselamatan penduduk di Athria-Gemilang ini selain tugas-tugas khas yang lain.

Antara tugas-tugas khas yang dilakukan oleh Komander termasuklah berkomunikasi dengan Komander stesen angkasa milik negara lain sebagai mungeratkan hubungan sesama koloni, menentukan hukuman-hukuman yang dijatuhkan terhadap pesalah, mendapatkan bekalan oksigen daripada kilang-kilang milik negara lain yang beroperasi di angkasaraya ini serta menjadi orang tengah dalam apa jua perbalahan yang berlaku semasa berada di Stesen angkasa Athria-Gemilang ini.

Hubungan cinta antara Komander Daeng Mustakim dengan Nora Yuhanis pula semakin hari semakin mekar. Hubungan cinta yang terjalin ini memasuki satu fasa baharu apabila mereka berdua akhirnya mengikat tali pertunangan. Satu majlis ringkas telah diadakan bagi meraikan pasangan merpati sejoli ini. Ikatan pertunangan yang terjalin adalah sebagai simbolik kepada berputiknya rasa cinta antara kedua-dua insan ini sejak sedari awal lagi. Cinta dua merpati sejoli ini mula berputik ketika latihan intensif dijalankan di Rusia beberapa tahun yang lalu dan perasaan cinta itu semakin berkembangan ketika mereka digandingkan bersama mengemudi stesen angkasa Athria-Gemilang ini.

***

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro