Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

51.0 : Letupan Besar Di Permukaan

HARI yang dinanti-nantikan telahpun tiba. Sebanyak lima buah peluru berpandu yang terisi di dalamnya senjata nuklear berupa Cobalt-60 akan dilepaskan tepat pukul lapan pagi di lima buah benua yang berbeza. Kelima-lima senjata ini akan dilepaskan dari stesen angkasa milik Amerika Syarikat, Rusia, Korea Selatan, China dan Jepun. Sinaran radiasi yang bakal terhasil kelak sudah cukup kuat untuk sampai disekitar kawasan bandar, ceruk mahupun hutan belantara yang terlindung oleh gunung ganang mahupun tumbuhan yang tebal, tidak ada yang terkecuali.

Dianggarkan sebanyak lapan puluh peratus daripada keseluruhan penduduk bumi telahpun berlindung menyelamatkan diri samada ke dalam bunker yang tertanam jauh dibawah perut bumi ataupun melarikan diri ke angkasaraya. Baki populasi yang tinggal hanyalah menunggu masa untuk samada bertahan di kediaman masing-masing ataupun cuba bersembunyi di kawasan hutan yang tebal. Namun, perbuatan ini semua nampaknya sia-sia belaka.

Tepat pukul 8 pagi, senjata nuklear yang pertama dan diberi nama 'Atlantic -01' telah dilepaskan dan beberapa minit selepas mencecah ke bahagian permukaan, sinaran radiasi berupa gelombang panas terus menerjah ke segenap benua Amerika Utara mahupun Amerika Selatan termasuklah kepulauan Caribbean, Alaska dan juga kawasan Antartika. Sinaran radiasi berkenaan berupa gelombang haba yang panas dan mampu mereputkan tubuh manusia dalam jangka masa beberapa saat sahaja.

Senjata nuklear yang kedua yang diberi nama 'Europa-02' telah dilepaskan dan beberapa minit kemudian gelombang haba yang cukup panas dan kering itu pantas menerjah ke sekitar pelusuk benua Eropah termasuklah kawasan Iceland, Eropah Timur sehinggalah sejauh sempadan Eropah-Afrika dan juga Turki. Sinaran radiasi ini telah menghancurkan binaan-binaan zaman kegemilangan Renaissance yang menjadi lambang kemasyhuran penduduk benua Eropah selama beberapa abad lamanya.

Senjata nuklear ketiga yang diberi nama 'Africa-03' pula dilepaskan dan beberapa minit kemudian, bahang sinaran radiasi yang terhasil daripada proses pembelahan nuklear telah menerjah ke seluruh benua Afrika. Sinaran radiasi lantas menerjah daripada pelusuk Algeria di bahagian utara sehinggalah ke Tanjung Harapan di bahagian selatan. Negara-negara Afrika yang tidak dapat memindahkan rakyatnya sudah tidak boleh diselamatkan lagi.

Senjata nuklear keempat diberi nama 'Middle East - 04'. 'Middle East -04' ini merangkumi seluruh kawasan Terusan Suez, negara-negara Arab, Pakistan sehinggalah sejauh Tanah Tinggi Tibet. Pelakuran nuklear yang terhasil daripada ledakan nuklear ini telah menyebabkan sinaran radiasi tersebar luas ke serata pelusuk timur tengah sehingga tiada negara yang berjaya menyelamatkan diri kecuali bagi mereka yang berlindung di dalam bunker yang tertanam jauh dibawah perut bumi. Pelantar-pelantar minyak, binaan-binaan piramid semasa kegemilangan Mesir Purba dan juga Burj Khalifa, kesemuanya hancur dek terhapus oleh sinaran radiasi.

Senjata nuklear Cobalt-60 yang terakhir yang dilepaskan dari angkasa adalah diberi nama 'Asia -05'. Ledakan 'Asia - 05' ini merangkumi kawasan di seluruh benua Asia dan juga Australia sehingga sejauh Rusia di utara dan New Zealand di bahagian selatan. Seusai mencecah sahaja senjata nuklear di permukaan bumi, proses pelakuran nuklear yang terhasil daripada Cobalt-60 ini melepaskan sinaran radiasi lalu menyebar ke seluruh pelusuk bumi. Tembok Besar China, Menara Berkembar Petronas dan binaan Borubodur kesemuanya telah musnah dek kerana ledakan bahan nuklear yang cukup kuat itu.

Dari bahagian angkasa pula, peristiwa besar ini dapat diperlihatkan dan dirakam dengan menggunakan kamera digital berteknologi tinggi. Kelima-lima bom nuklear terbabit seakan-akan membentuk satu kebakaran besar di bumi yang semakin lama semakin membengkak dan membesar. Cahaya seakan-akan menjulang-julang itu menghasilkan ledakan berwarna kemerah-merahan itu membentuk seakan-akan lekukan berdiameter bulatannya di tengah-tengah kawasan ledakan lalu mengubah secara total rupa bentuk asal muka bumi yang pernah mereka kenali sebelum ini.

Mereka yang berada di Stesen Angkasa Athria-Gemilang nyata tergamam, terkejut dan ada yang bersedih apabila melihatkan keadaan planet bumi yang terubah bentuknya menjadi seakan-akan planet yang marak berapi. Mereka menggelarkan hari itu sebagai 'Hari Letupan Besar' dan dicatatkan di dalam kalendar dan juga lipatan sejarah peradaban manusia.

Di bahagian dalam bunker bawah tanah pula, satu gegaran yang cukup kuat dapat dirasakan oleh seluruh koloni disusuli dengan beberapa gelombang besar yang menggoncangkan bahagian rusuk utama binaan bunker. Lampu yang pada awalnya terang benderang dirasakan berkelip-kelip seketika dan tiba-tiba terpadam beberapa minit sebelum kembali menyala kembali. Paparan CCTV yang pada tadinya memaparkan situasi di kawasan luar bunker kini sudah rosak sepenuhnya. Hanya sinaran radiasi sahaja yang tidak boleh menembusi kawasan bunker berkenaan kerana binaan dinding bunker berkenaan yang terdiri daripada bahan plumbum yang kalis sinaran radiasi.

***

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro