45.0 : Jaminan
AKHIRNYA, melalui beberapa sesi perbincangan yang panjang antara kesatuan sedunia dengan persatuan kesihatan sedunia (WHO), mereka mengambil satu keputusan drastik untuk menjatuhkan sekurang-kurangnya 5 buah bom nuklear yang terdiri daripada bahan sintetik Cobalt-60 untuk tempoh seminggu daripada sekarang. Cobalt-60 adalah isotop radioaktif sintetik kobalt dengan jangka hayat selama 5.27 tahun. Untuk melepaskan senjata berkenaan, persatuan kesihatan sedunia memberi amaran kepada kesemua negara supaya bersedia untuk mengaktifkan bunker-bunker milik kerajaan masing-masing supaya proses migrasi secara besar-besaran dapat dilakukan dalam satu tempoh yang ditetapkan. Tiada bantahan daripada negara-negara ahli kerana ini sahajalah jalan terakhir untuk menghapuskan makhluk 'Awanama Kosmos' tersebut.
Kesatuan Sedunia memberi amaran bahawa kelima-lima bom nuklear terbabit akan dilepaskan di lima buah benua yang berbeza. Walaupun Cobalt-60 mempunyai jangka hayat yang sekejap iaitu hanya 5.27 tahun, namun mengambil kira kepada tahap dos radiasi yang bakal tersebar ke serata ceruk bumi nanti, saintis menganggarkan bahawa bumi memerlukan sekurang-kurangnya 70 tahun untuk pulih sepenuhnya daripada sisa cemaran radiasi. Jangka masa itu jugalah merupakan satu tempoh dimana permukaan bumi tidak lagi boleh didiami oleh manusia akibat pencemaran radiasi yang teruk. Oleh itu, perjanjian pengawalan senjata nuklear ataupun Nuclear Non-Proliferation Treaty (NPT) yang di tandatangani oleh negara-negara terlibat akan terbatal secara automatik sejurus selepas bahan radioaktif Cobalt-60 yang akan dilepaskan kelak.
Persatuan Kesihatan Sedunia (WHO) pula memberi amaran bahawa dedahan dos yang terlampau tinggi terhadap bahan radioaktif Cobalt-60 yang bakal dilepaskan kelak dengan tujuan untuk membunuh makhluk 'Awanama Kosmos' ini juga boleh mendatangkan kesan kemudaratan kepada tubuh badan manusia. Dedahan dos ini akan memberi kesan jangka pendek mahupun kesan jangka panjang kepada manusia. Antara kesan jangka pendek terhadap tubuh badan manusia termasuklah keracunan radiasi, kulit yang terbakar, keguguran rambut dan sebagainya. Kesan jangka panjang pula termasuklah kerosakan organ dan tisu yang lembut pada tubuh badan manusia, kemunculan katarak pada bahagian mata, sel-sel kanser menjadi lebih mudah bersarang di dalam badan dan dalam kes-kes tertentu, berlakunya kematian yang tragik.
Oleh itu, satu pelan tindakan pemindahan besar-besaran perlu rangka secepat yang mungkin oleh kesemua negara bagi mengekang sebarang kemungkinan yang bakal terjadi. Namun, ada masalah-masalah berbangkit yang perlu diperhalusi oleh pemerintah-pemerintah setiap negara. Bagi negara-negara yang kaya, mempunyai sumber daya bumi yang banyak, mempunyai kapasiti bunker yang optimum untuk keseluruhan rakyatnya dan juga barisan negara yang sedang membangun kebanyakannya tidak mempunyai masalah yang besar untuk proses migrasi besar-besaran ini. Namun, bagi negara yang miskin, mempunyai kawasan yang luas serta kapasiti bunker yang tidak besar, perkara ini adalah sesuatu yang amat mustahil untuk dicapai.
***
"Assalamualaikum, ibu," Nora Yuhanis memulakan komunikasi radar Roosevelt dengan ibunya.
"Wa alaikum salam, anak ibu. Anak ibu sihat?" Aunty Anne menyapa lembut Nora Yuhanis, namun nadanya sedikit tergesa-gesa.
"Alhamdulillah. Nora sihat. Ibu sihat?" Nora Yuhanis bertanyakan kembali tentang kondisi ibunya itu.
"Alhamdulillah. Ibu sihat kat sini. Tapi...," suara ibunya terhenti seketika.
"Ada apa ibu? Semuanya okay?" Nora Yuhanis kelihatan agak gementar sedikit selepas menafsir nada suara ibunya.
"Tak. Macam ni. Tadi pagi ada beberapa orang pakai baju logo kerajaan datang kat rumah ni haa. Dia cakap ibu kena berkemas baju dengan semua peralatan peribadi masuk dalam luggage. Lepas tu depa minta sain saty surat, ibu sain la. Esok depa kata dela nak amik ibu. Katanya nak bawak pergi satu tempat, tapi hat depa tak bagi tahu pulak nak bawak ke mana. Ibu pun jadi bingung laa," terang ibunya dengan panjang lebar. Ada nada kerisauan disitu.
"Takpe macam ni. Ibu dengar cakap Nora. Ibu ikut je arahan yang orang kerajaan tu bagitahu. Kalau depa amik, ibu ikut je depa. Depa dah bagi jaminan yang ibu akan selamat. Ibu kan sayang Nora? Ibu ikut je arahan depa yer?" Nora Yuhanis memujuk ibunya.
"Tapi Nora, macam mana dengan ayam, arnab, kucing dengan kambing yang ibu bela ni? Takkan ibu nak tinggalkan depa? Nanti siapa yang nak bagi makan depa ni?" ujar Aunty Anne yang risau serta sangsi dengan keadaan haiwan-haiwan belaannya itu.
"Takpe, ibu. Ibu letak makanan secukupnya sebelum bertolak. Insya-Allah depa akan hidup, sihat walafiat. Ibu jangan risau, okay? Ibu dengar je arahan-arahan dari kerajaan, okay?" ujar menitipkan pesanan ringkas kepada ibunya.
"Okay. Baiklah. Apa-apa nanti, ibu akan maklumkan kat Nora yer? Insya-Allah, nanti kita akan jumpa yer." kata-kata ibunya itu membuatkan Nora Yuhanis sebak. Entah dapat berjumpa entahkan tidak dengan keadaan semasa ini.
"Baiklah ibu. Insya-Allah. Ibu jaga diri yer. Kalau ada apa-apa, ibu bagitahu je Nora," Nora Yuhanis tidak dapat menahan sebak. Airmatanya seakan-akan hampir berderai apabila memikirkan tentang ibunya.
"Baiklah. Ibu pergi berkemas dulu yer, Nora. Assalamualaikum." Aunty Anne meminta untuk mengundurkan diri bagi mengemas segala perkakasan yang akan dibawa nanti.
"Wa alaikum salam." Nora Yuhanis meletakkan gangang radar telekomunikasi Roosevelt sambil menekupkan tangannya ke arah muka. Dia tidak sanggup untuk menceritakan hal yang sebenarnya kepada ibunya itu.
***
Kru-kru GEMILANG-01 pada lewat hari ini menerima satu mesej rasmi daripada Agensi kerajaan. Mereka telah diberitahu dalam satu mesej yang telah disulitkan hujung ke hujung (end-to-end encryption) bahawa beberapa misi khas pelancaran kapal angkasa dari tapak pelancaran Subang, Selangor akan dilakukan dalam tempoh terdekat. Misi ini dikhabarkan akan membawa sejumlah beberapa ratus orang pemimpin utama, golongan kenamaan, golongan bangsawan, barisan jutawan-jutawan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan juga pakar-pakar dari segenap penjuru untuk dibawa ke stesen angkasa GEMILANG-01 ini. Misi sulit ini dipanggil sebagai 'Misi Cakerawala X' dan proses pengembaraan jauh ini akan terdiri daripada beberapa kali perjalanan dari tanah air menuju ke angkasaraya.
Dikhabarkan juga, sejumlah bekalan makanan seperti benih-benih pokok buah dan juga sumber makanan ruji yang berkualiti tinggi, haiwan-haiwan yang boleh membekalkan nutrisi, zat, karbohidrat dan vitamin yang secukupnya seperti ayam, kambing dan lembu yang bermutu tinggi akan dibawa bersama. Selain itu, buku-buku penting seperti Sulalatus Salatin, buku-buku bernilai tinggi, data-data lengkap pelbagai bidang yang diletakkan di dalam cakera keras dan beberapa bahan seni tradisional lain turut dibawa. Menurut cakap-cakap daripada sumber yang tidak dapat dipastikan kesahihannya, individu yang berjaya memperolehi tempat untuk ke stesen angkasa GEMILANG-01 ini membayar pada suatu harga yang cukup tinggi semata-mata untuk menyelamatkan diri ke angkasaraya.
***
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro