32.0 : Pertama Kali di Stesen Angkasa
AKHIRNYA, kapsul Soyuz berjaya berlabuh di ISS melalui sistem kawalan automatik yang dipandu secara terus daripada Baikonur Cosmodrome. Momen-momen saat tercantumnya kapsul Soyuz bagi Misi Soyuz-TMA-M 119 dengan stesen angkasa antarabangsa menjadi titik mula kepada lakaran kejayaan berterusan dalam bidang sains angkasa negara. Ianya menjadi penanda aras baharu kepada kejayaan negara untuk duduk sebaris dengan negara-negara moden lain di dunia.
Seusai sahaja kapsul Soyuz berlabuh, komander Andes Shkaplerov menyelaraskan kadar tekanan udara antara stesen angkasa dengan kapsul Soyuz. Di dalam ISS, Kapten Viktor Yuskov, Olivia Anastasia, Alexander Sergei, Akito Nakamura dan Park Han-gyeol sedang menunggu di kabin utama ISS. Selesai sahaja kadar tekanan antara bahagian kabin utama ISS dengan kapsul Soyuz diselaraskan. Pintu hac yang menghubungkan keduanya dibuka secara perlahan-lahan oleh Komander Andes Shkaplerov.
Flight attendant Marie Claire keluar dahulu daripada bahagian kapsul Soyuz diikuti oleh Dr. Nora Yuhanis dan terakhir sekali, Komander Andes Shkaplerov menyusul daripada bahagian belakang. Kelima-lima kru ISS yang sudah berada di dalam stesen angkasa tersebut hanya menunggu daripada bahagian pintu hac dan tersenyum sambil menyambut ketibaan kru kapsul Soyuz daripada bumi. Mereka semua bertemu dan berpeluk-pelukan antara satu sama lain tanda ucapan perkenalan dan sebagai simbolik ucapan tahniah kerana selamat sampai ke stesen angkasa antarabangsa.
Nora Yuhanis dibawa melihat-lihat kawasan sekeliling ISS oleh Kapten Viktor Yuskov. Terdapat banyak modul-modul yang tersedia terutamanya modul bagi Amerika Syarikat, modul Rusia, modul Brazil, modul Jepun, modul China dan modul Korea Selatan yang setiap satunya akan terhubung secara terus dengan kabin utama ISS. Nora Yuhanis juga di pertunjukan pula kedudukan makmal-makmal utama seperti makmal Columbus dan juga makmal Destiny yang akan menjadi ruang kerjanya untuk tempoh 3 bulan ke hadapan. Selain itu, ruangan peribadi untuk Nora Yuhanis juga turut disediakan. Ruangan ini terletak berhampiran dengan kapsul Soyuz ini akan menjadi bilik utama bagi Nora Yuhanis untuk bersolat dan tidur.
ISS mempunyai kepanjangan sejauh 250 meter dan lebar lebih kurang 100 meter. Stesen ini adalah daripada jenis modul dan hampir setiap tahun, akan berlaku proses penambahan modul dan beberapa siri makmal daripada negara-negara ahli. Stesen ISS mempunyai nilai jisim seberat 670 tan dan berfungsi sebagai pusat kajian, menampung habitat manusia di angkasa lepas dan juga sebagai pelan kontigensi permulaan generasi baharu negara-negara utama di dunia sekiranya perang nuklear meletus kelak.
Satu pertemuan ringkas turut diadakan antara angkasawan di ISS bagi proses taklimat umum dan juga tele-sidang dengan stesen pencerapan Baikonur Cosmodrome dan juga Houston di bumi. ROSCOSMOS dan juga pihak NASA akan memeriksa secara maya keadaan kesihatan dan juga mendapatkan maklum balas tentang pengalaman setiap kru-kru yang berada di stesen ISS. Mereka juga akan dibekalkan dengan satu jadual waktu harian mengenai perkara-perkara yang perlu dilakukan untuk tempoh seminggu. Setiap angkasawan mempunyai peranan dan tugasan yang berbeza di stesen angkasa terbabit. Ini bagi memastikan kelancaran proses operasi stesen angkasa supaya dapat berjalan dengan lancar tanpa mengalami sebarang masalah teknikal mahupun masalah selenggaraan.
Seusai sahaja selesai kesemuanya, Nora Yuhanis memunggah barang-barang peribadinya termasuklah bahan-bahan eksperimen dari tanah air, makanan tradisional masyarakat Melayu yang telah di sejukbekukan seperti Daging Harimau Menangis, Kambing Perap Pak Mat dan Roti Gardenia, kitab suci Al-Quran, kelengkapan harian termasuklah telekung Siti Khadijah yang telah dicipta khas untuk angkasawan wanita negara tersebut dan juga beberapa buah bahan bacaan berkenaan bahan eksperimen di angkasaraya. Dia terus melekatkan Jalur Gemilang dan gambar ibunya disisi dinding ruangan modul biliknya dengan menggunakan pelekat velkro. Sehingga kini, dia belum dapat berkomunikasi lagi dengan ibunya untuk memberitahu akan keberadaan dia di stesen ISS. Daripada bahagian tingkap kecilnya, dia dapat menyaksikan keindahan lengkungan bumi yang sedang berputar dengan pancaran cahaya matahari yang bersilih ganti.
"Subhanallah. Maha Suci Allah SWT yang menciptakan alam ini dengan sebaik-baik penciptaan," getus hatinya.
Telekung Siti Khadijah yang telah dicipta khas itu mampu memberi keselesaan kepada si pemakaiannya untuk menunaikan solat walaupun dalam keadaan mikrograviti dan individu tersebut sedang terapung-apung. Telekung berkenaan tidak akan terkibas-kibas dengan sendirinya sehingga boleh menampakkan aurat si pemakaiannya oleh kerana bahagian telekung dicipta dengan fabrik yang khas untuk aktiviti di angkasa dan telah terlekat secara automatik dengan bahagian kainnya secara fleksibel.
Seperkara yang menarik ketika berada di ISS adalah sinaran matahari akan menyirna pada setiap sela masa lebih kurang 45 minit dan dalam tempoh 45 minit seterusnya, matahari akan terbenam. Stesen ISS akan bergerak mengorbit bumi pada kelajuan 7.66 kilometer per saat. Ini bermakna, pada setiap 93 minit, stesen ISS akan melengkapkan satu pusingan mengorbit bumi, dengan purata 15.5 kali pusingan dalam tempoh masa 24 jam. Kelajuan stesen ISS ini dijana oleh proses tujahan daripada kapsul Soyuz mahupun pesawat Columbia yang hadir semasa berlabuh di ISS. Dengan menggunakan bahan api yang minima, ISS akan terapung-apung mengorbit bumi pada ketinggian yang hampir sekata namun tidak akan melalui kawasan yang sama.
Oleh itu, proses penentuan waktu solat adalah serupa dengan penentuan waktu solat ketika berada di kapsul Soyuz tempoh hari. Nora Yuhanis akan menunaikan solat fardu dengan mengikuti waktu di Khazakstan iaitu lokasi ketika kapsul Soyuz dilancarkan dan menghadap ke arah bumi. Garis panduan ini telah dirangka ketika misi angkasawan pertama negara iaitu ketika Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor berada di ISS pada tahun 2007. Garis panduan tersebut disokong oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam hal ehwal umat Islam setelah melalui berbagai-bagai fasa perbincangan dengan Majlis Fatwa Kebangsaan.
Namun, satu hal yang cukup tidak digemari oleh Nora Yuhanis adalah ketika bersiap samada ketika mahu memakai sut angkasawan, bersolat, memakai sut eksperimen mahupun melakukan aktiviti kasual, beliau terpaksa mengambil masa sehingga tiga kali ganda. Ini kerana dia perlu berpaut dalam keadaan terapung-apung pada badan ISS sebelum satu per satu bahagian pakaian dibuka atau disarungkan ke jasad badannya. Sama juga situasi yang berlaku ketika dia mahu membuang air. Satu jangka masa yang panjang diperlukan untuk satu proses perkumuhan manusia di angkasa.
Walaupun dia bukanlah wanita pertama di angkasa lepas seperti Valentina Vladimirovna Tereshkova, namun, dia tetap dapat berbangga sebagai antara wanita Malaysia pertama yang berjaya terbang ke angkasa. Untuk rekod, ISS bukanlah salah satu stesen angkasa pertama di dunia. Stesen angkasa lepas buatan manusia pertama di dunia adalah Salyut 1 yang dilancarkan pada tanggal 19 April 1971. Salyut 1 kemudiannya telah digantikan dengan Mir pada tahun 1986 sebelum akses antarabangsa diberikan dan kini digantikan dengan ISS.
***
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro