27.0 : Orbit , Aku Datang!
BULAN kelapan latihan telah menyaksikan calon-calon angkasawan negara mengambil peperiksaan dalam setiap subjek yang telah dipelajari. Dengan ujian yang dijalankan, agensi ROSCOSMOS dan juga pihak MY SPACE ingin mengetahui sejauh manakah pengetahuan calon angkasawan ini terhadap apa yang dipelajari sepanjang berada di Pusat Latihan Yuri Gagarin ini. Pada bulan ini juga, mereka didedahkan kepada sistem simulasi asas bagi kapsul Soyuz dan juga aturan sistem suis pada papan panel kawalan.
Kelas menyarung sut angkasawan yang betul turut dilakukan. Mereka diajar teknik menyambungkan beberapa wayar ke set helmet yang mempunyai peranti komunikasi, teknik memakai sarung tangan tebal (glove) angkasawan yang berwarna putih, menekan punat skrin komputer, memakai kit perlindungan kaki dan kepala, memakai seat belt yang akan terus mencantumkan dengan tempat duduk dan kaedah mendengar arahan komander penerbangan. Semua ini perlu dilakukan dalam masa kurang lima minit. Mereka juga ditunjukkan cara-cara meminum air dan membuang air di dalam pesawat pengangkut Soyuz pada situasi graviti sifar.
Selain itu, teknik asas memasuki ruangan dok pesawat pengangkut Soyuz, keluar daripada ruang dok dan tips-tips semasa mengorbit juga turut ditekankan. Setiap peringkat semasa proses tujahan (liftoff) ketika pelancaran, proses pengendalian Soyuz, tahap kecondongan, kiraan pusingan orbit sebelum memasuki dok dan juga simulasi Soyuz dengan menggunakan peralatan virtual reality (VR).
Pada bulan kesembilan pula menyaksikan kelapan-lapan mereka akan mencuba pelbagai jenis makanan yang diciptakan khas untuk mereka yang berkelana di angkasaraya kelak. Makanan tersebut terdiri daripada 80 jenis makanan termasuklah ayam segera yang diisi di dalam tin kedap udara, lobak kering yang diperam, keju dalam peket, roti kering yang tahan lama, sayur yang telah dikeringbekukan, uncang teh dengan kiub gula, barli dalam tin dan juga kismis kering yang telah disalai. Mereka akan membiasakan memakan makanan angkasa ini selama seminggu bagi proses membiasakan diri. Makanan angkasa telah diperakui halal oleh JAKIM dan telah berjaya melepasi piawaian Food and Drug Administration (FDA).
Selain itu, proses simulasi kenderaan angkasa turut dilakukan. Ini termasuklah latihan kemahiran menurunkan kenderaan angkasa mulai saat apabila mereka keluar daripada bahagian dok di stesen angkasa antarabangsa sehinggalah ke kawasan dimana mereka semua mendarat kelak. Pada masa yang sama, simulasi ujian kebocoran pada pesawat pengangkut Soyuz turut dilakukan. Tanda-tanda kebocoran boleh dikesan sekiranya berlaku pengurangan kadar tekanan yang mendadak dalam ruang dok, berlaku letupan, api yang marak serta sebarang kecemasan semasa proses perjalanan kelak. Sistem bantuan hayat bagi kapal pengangkut Soyuz turut diperkenalkan.
Pada bulan kesepuluh pula, mereka akan menjalani ujian kemandirian untuk kali yang kedua. Ujian kemandirian kali ini pula lebih kepada situasi pendaratan di kawasan lautan. Mereka akan dicampakkan di selat Bering dengan memakai pakaian angkasawan. Disana, setiap peserta akan diajar bagaimana untuk mengelakkan situasi panik, kaedah menahan nafas dengan betul dan cara mengapungkan diri pada situasi pendaratan cemas di sekitar lautan. Calon-calon angkasawan negara juga diajar cara untuk menghantar mesej kecemasan melalui telefon satelit yang sememangnya sudah sedia terbina pada pesawat pengangkut Soyuz.
Pada bulan ini juga, calon-calon angkasawan didedahkan dengan situasi penerbangan parabola. Kaedah penerbangan parabola memberikan kebiasaan baru kepada bakal angkasawan dalam pelbagai situasi dan keadaan persekitaran graviti yang hampir sifar dan mereka semua akan terapung-apung. Beberapa ujian turut dilakukan seperti ujian memakai sut angkasawan ketika penerbangan parabola dilakukan, bergerak dari titik A ke titik B misalnya dalam masa yang telah ditetapkan serta kaedah mengimbangi posisi badan supaya tidak panik dan mabuk.
Berbaki tinggal dua bulan lagi, MY SPACE dan ROSCOSMOS mengadakan satu majlis ringkas berkenaan proses pemilihan akhir angkasawan yang bakal terpilih untuk meneruskan misi ke ISS. Perjalanan ini di daftarkan sebagai misi Soyuz-TMA-M 119 yang mana TMA-M bermaksud transport modified anthropometric - modern atau pesawat pengangkut antropometrik yang telah diubahsuai pada versi yang lebih moden. Proses pemilihan telah mengambil kira segala faktor termasuklah rekod perubatan yang cemerlang, prestasi ujian-ujian yang mengagumkan, komitmen serta saiz fizikal yang ideal untuk misi ini.
Majlis ringkas tetapi penuh meriah ini telah dihadiri oleh Menteri MOST SPACE sendiri, ketua pengarah MYSA, konsulat general Malaysia di Rusia, ketua komander ROSCOSMOS, calon-calon angkasawan negara, para angkasawan asing yang turut sama menjalani latihan di Star City serta para wartawan dan orang-orang kenamaan yang lain. Pada majlis ini juga, menteri MOST SPACE menyatakan kesyukurannya apabila modul stesen angkasa GEMILANG-01 sudah siap sepenuhnya dan hanya menunggu masa untuk dilancarkan ke angkasaraya.
Pada majlis ini, Nora Yuhanis dinamakan sebagai angkasawan utama merangkap angkasawan kedua negara untuk meneruskan misi Soyuz-TMA-M 119, seterusnya dinobatkan sebagai wanita pertama yang akan berada di orbit. Daeng Mustakim pula dinamakan sebagai angkasawan sandaran. Nora Yuhanis akan bergerak ke orbit bersama-sama seorang komander angkasawan merangkap jurutera aeroangkasa yang cukup berpengalaman dari Rusia, Andes Shkaplerov dan Marie Claire, seorang angkasawan yang berasal dari Houston, Amerika Syarikat. Mereka bertiga akan bertemu dengan lima lagi angkasawan yang sudah menetap di ISS selama 3 bulan terakhir.
"Orbit! Akhirnya aku datang!" bersorak riang hati Nora Yuhanis apabila namanya dipanggil sebagai kru utama penerbangan. Tidak sabar rasanya untuk memulakan misi di angkasa lepas kelak.
Sementelah itu jugalah, dia terus menghubungi ibunya dengan menggunakan telefon satelit, salah satu fasiliti yang ada di Pusat Latihan Yuri Gagarin tersebut untuk memaklumkan khabar gembira berkenaan kepada Aunty Anne, ibu kesayangannya yang berada di tanah air.
"Assalamualaikum ibu," Nora Yuhanis memberikan salam kepada ibunya seusai sahaja ganggang telefon diangkat.
"Wa alaikumsalam. Ohh Nora. Ingatkan nombor siapa tadi yang call," Ibunya nyata terkejut apabila Nora Yuhanis menelefonnya dengan menggunakan nombor yang tidak dikenali.
"Ibu sihat kat sana?" Ada nada keterujaan pada suara lembut Nora Yuhanis berkenaan.
"Alhamdulillah. Ibu sihat. Nora anak ibu pulak macam mana? Sihat? Dah makan tengah malam?" Bertalu-talu soalan diajukan kepada anak kesayangannya itu.
"Alhamdulillah. Nora sihat je kat sini. Ibu, ibu. Nora ada berita nak sampaikan kat ibu ni," nada suara Nora Yuhanis semakin teruja.
"Berita? Berita apa tu sayang?" Aunty Anne mula tertanya-tanya berita apakah yang ingin disampaikan oleh anaknya itu.
"Nora dapat pergi ke ISS, ibu. Nama Nora terpilih. Alhamdulillah, berkat doa siang malam ibu," Nora Yuhanis menyampaikan berita gembira berkenaan.
"Alhamdulillah. Ya Allah, akhirnya Engkau makbulkan doa-doaku, Ya Allah," Aunty Anne kelihatan cukup gembira dengan berita yang Nora Yuhanis sampaikan itu. Ada nada sedikit sebak pada ucapan terbabit.
"Ibu, ibu datang laa sini nanti masa hari pelancaran. Nanti Nora buat surat permohonan ke Menteri supaya ibu dapat tengok Nora berlepas nanti. Sekurang-kurangnya Nora dapat jumpa ibu, Nora rinduuuu sesangat kat ibu."
"Insya-Allah, Nora. Ibu doakan semoga perjalanan Nora ke sana kelak akan dipermudahkan. Ibu pun rindduuu sangatt kat Nora. Nasib boleh tengok update Instagram Nora, terubat sikit perasaan rindu ibu tu."
"Nanti kita jumpa yee ibu. Okay lah. Nora kena pergi taklimat ni. Apa2 nanti Nora update kat IG yer. Assalamualaikum ibu. Sayanggg ibu."
"Okay, Nora. Ibu pun Sayangggg Nora! Wa alaikum salam."
***
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro