26.0 : Latihan Intensif
LATIHAN intensif pada bulan keempat di Pusat Latihan Yuri Gagarin, Star City, Moscow memerlukan calon-calon angkasawan untuk mengetahui teori-teori asas berkenaan bidang astrofizik angkasa lepas, teori asas penerbangan pesawat pengangkut Soyuz, kawalan misi di dalam kapal pengangkut Soyuz, sub-bidang perubatan di luar orbit bumi dan pengenalan asas kepada eksperimen-eksperimen saintifik mengenai bidang fizik bumi. Modul-modul latihan ini akan diajarkan selama tiga bulan.
Ini kerana salah satu objektif utama dalam misi penghantaran angkasawan kedua negara adalah untuk meneruskan agenda saintifik. Proses mengemaskini pengkalan data bagi database keputusan eksperimen-eksperimen yang pernah dilakukan oleh Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor pada tahun 2007 juga turut dilakukan apabila aktiviti eksperimen dimulai di luar angkasaraya kelak. Kemaskini ini adalah sebagai langkah memastikan keabsahan maklumat dan juga keputusan eksperimen yang telah dicatatkan di dalam database sebelum ini pada dimensi yang berbeza dan disokong oleh penaiktarafan teknologi pintar NASA yang terbaharu dan terkini.
Pada bulan kelima, kesemua calon angkasawan menjalani ujian psikologi. Mereka diberikan beberapa soalan psikologi berkenaan peribadi, kelakuan, warna kegemaran dan pelbagai lagi soalan yang mencabar oleh barisan penilai. Antara perkara yang diperhatikan dan dinilai yakni kaedah mereka berfikir, mengolah idea, mencerna pendapat serta psikologi gerak tubuh setiap calon. Selain itu, ujian kepintaran, ujian sela masa dan ujian fizikal turut juga dijalankan. Setiap kelakuan mereka akan dianalisis dan di programkan di dalam satu aplikasi pintar untuk mengetahui tahap psikologi calon-calon yang terlibat.
Pada bulan ini juga, mereka semua dihantar ke kawasan modul pendaratan pesawat pengangkut Soyuz. Setiap daripada mereka merasai pengalaman awal duduk di 'skafander' pesawat berkenaan dalam keadaan terbalik dan pintu pesawat ditutup rapat. Ruang di dalam pesawat pengangkut itu teramatlah sempit dan muka mereka seakan-akan terhimpit antara satu sama lain tanpa penjarakan sosial.
Di dalam pesawat pengangkut Soyuz itu, mereka diajar untuk menukar pakaian angkasawan dalam situasi gelap gelita dan ruangan yang amat sempit, hanya berbekalkan sumber cahaya yang amat sedikit dari tetingkap kecil yang membias cahaya daripada bahagian luar. Kelebihan berpihak kepada Dr. Nora Yuhanis yang memiliki susuk tubuh yang genit dan kecil kerana beliau berjaya menghabiskan misi menukar pakaian angkasawan dengan sela masa paling pantas iaitu 57 minit, berbanding mereka yang lain yang mengambil masa lebih sejam.
Pada bulan keenam pula, setiap calon menjalani ujian perubatan berkala. Pelbagai bacaan yang diambil oleh doktor yang bertugas iaitu bacaan electrocardiogram atau ECG, pemeriksaan gigi dan ujian berbasikal. Selain itu, mereka dibawa ke suatu bandar di pinggir bandaraya Moscow untuk membina kerusi khas bagi pesawat pengangkut Soyuz. Setiap kerusi akan mengikut ukuran ketinggian bagi setiap calon angkasawan kerana mereka akan berada di dalam pesawat pengangkut Soyuz itu selama 48 jam sebelum belabuh di stesen angkasa kelak.
Pada penghujung bulan keenam ini, beberapa kelas akhirnya tamat seperti kelas bahasa Rusia, kelas asas astronomi, kelas eksperimen geofizik, kelas asas biologi angkasa dan juga kelas mengenai bioteknologi cakerawala. Pada peringkat ini, calon-calon angkasawan khususnya bagi mereka yang bukan warganegara Rusia sudah boleh berkomunikasi dengan lancar dalam bahasa Rusia. Calon-calon juga sudah pandai untuk menafsir keberadaan bintang-bintang di langit malam selain perkara asas mengenai buruj dan arah.
Masuk bulan ketujuh sahaja, mereka memulakan latihan asas pengetahuan mengenai modul pesawat pengangkut Soyuz melalui simulator kapsul Soyuz. Pada peringkat permulaan, mereka akan diajar mengenai teori-teori asas, reka bentuk dan tata rias susun atur bahagian luar dan dalam kapsul Soyuz, papan panel kawalan dan peralatan-peralatan berkenaan komunikasi radar dan juga peranti antena radio.
Calon-calon angkasawan juga telah ditunjukkan bagaimana cara yang betul untuk berhubung dengan pusat kawalan angkasa di bumi dan bagaimanakah kaedah untuk berhubung sesama kru ketika di angkasaraya kelak. Mereka juga ditunjukkan sistem rangkaian radio Rossvett dan juga GPS yang terbina, yang terdapat pada setiap elemen badan kapal pengangkut Soyuz sekiranya mereka mendarat di kawasan yang sukar memperolehi rangkaian stesen pemancar.
***
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro