23.0 : Wawancara
SERAMAI lapan orang calon yang terdiri daripada enam orang calon lelaki dan baki dua orang calon wanita layak untuk menjalani proses latihan di Rusia. Berita ini mendapat liputan yang meluas tidak kira daripada pihak media cetak, media elektronik mahupun mesia sosial. Program siaran langsung di YouTube Live, Facebook Live, Twitter Live, Instagram Live, Snapchat mahupun aplikasi Tiktok Live dipenuhi dengan berita 'The Greatest 8' ini. Nampaknya pada kali ini, orang ramai telah menunjukkan komitmen dan minat yang begitu mendalam terutamanya dalam agenda pelancaran kapal angkasa 'GEMILANG-01' yang akan membawa bendera Malaysia menerawang di angkasaraya. Kapal angkasa ini dijangka akan dilancarkan pada ulang tahun kemerdekaan negara ke-80 kelak. Pelbagai hebahan dan risalah telah diedarkan kepada setiap rakyat Malaysia mengenai program Angkasawan dan kapal angkasa milik negara yang pertama seumpamanya.
Pada lewat malam itu, banyak wawancara antara barisan wartawan dengan kelapan-lapan orang bakal angkasawan negara yang akan menjalani latihan di Rusia. Antaranya Daeng Mustakim yang menyatakan peluang ini akan beliau gunakan sebaik-baiknya untuk membuktikan bahawa dia juga mampu berkhidmat untuk negara walau di angkasaraya sekalipun. Thivaran Nagaradjah pula berpendapat bahawa mereka adalah lapan orang yang terpilih dan kesemua calon-calon adalah pemenang kepada sebuah peraduan hidup yang bakal mencorakkan masa depan negara kelak.
Bagi Lim Wei Jin, peluang ini merupakan salah satu batu loncatan untuknya dalam memberikan khidmat bakti kepada negara dan menjadi antara yang terbaik daripada yang terbaik. Samoi anak Rasal pula menyatakan perasaan bangga dan terharu dengan pemilihan ini kerana secara tidak langsung dia dapat mewakili kaum asli yang merupakan salah satu populasi penduduk di Malaysia. Dia juga berharap agar dapat membawa budaya, makanan dan kraftangan kaum orang asli negara khususnya ke angkasaraya kelak untuk diperkenalkan ke mata dunia.
Joseph Mading anak Stanley pula berharap agar program latihan selama setahun di Rusia ini nanti akan memberikan impak yang besar kepada dirinya dan juga kepada rancangan negara untuk melancarkan stesen angkasa sendiri. Katanya lagi, jikalau tidak terpilih sekalipun sebagai angkasawan kedua, dia sanggup untuk menjadi salah seorang kru dalam stesen angkasa 'GEMILANG-01' kelak yang diberitakan telah sembilan puluh peratus siap dibina.
Azfar Faiq pula nyata terkejut dan mengigil apabila namanya dipanggil oleh Menteri MOST SPACE kerana dia langsung tidak menyangka pihak jawatankuasa akan memilihnya. Katanya lagi, ada ramai calon yang lebih layak berbanding dirinya namun kemungkinan pihak jawatankuasa pemilihan melihat daripada sudut yang berbeza terutama daripada aspek kesihatan, latar belakang dan sebagainya. Baginya, ini merupakan satu cabaran besar dalam hidupnya setelah melalui pelbagai proses pemilihan yang amat sukar. Dia berjanji akan memberikan 100 peratus usaha ketika latihan di Rusia kelak demi merealisasikan impian orang tuanya itu.
Bagi dua calon wanita pula, peluang ini merupakan satu perkara yang baharu dalam negara ini oleh kerana menjengah kepada program pemilihan angkasawan yang pertama dahulu, hanya seorang sahaja wakil tunggal wanita sahaja yang layak. Namun, pada peringkat pemilihan kali ini pula, angka itu meningkat kepada dua orang wakil wanita dan kedua-duanya berjaya meloloskan diri ke peringkat lapan terbaik. Lebih manis, kelapan-lapan calon berkenaan berpeluang untuk mendapatkan tempat di angkasaraya kelak samada melalui program Angkasawan kedua negara mahupun melalui program stesen angkasa 'GEMILANG-01'. Sebab itulah kesemua lapan orang calon berjaya mengikuti latihan ke Rusia berbanding hanya dua orang calon sahaja pada tahun 2007 yang lalu.
Josephine Imulok Yondina menjelaskan yang dirinya telah bersedia untuk menerima latihan di Rusia. Katanya lagi, dia yakin akan dapat menyesuaikan dirinya dengan baik dan untuk jangka masa yang suntuk terutamanya dari segi makanan, cuaca, bahasa mahupun adat-adat yang kebiasaannya dilakukan oleh orang disana. Tambahnya lagi, beliau optimis untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik buat negara demi menabur bakti dan sumpah setianya kepada anak bangsa.
Bagi Nora Yuhanis pula ketika sidang akhbar yang terakhir, sungguhpun tidak menyangka mampu mencapai ke tahap ini, beliau bersyukur dan berterima kasih kerana masih diberi kepercayaan oleh jawatankuasa pemilihan untuk membawa cabaran yang sudah di cita-citakan sejak sedari kecil lagi. Dia amat berharap agar ada peluang untuk impian bakal angkasawan wanita pertama negara ini menjadi kenyataan dan merasa teruja untuk melakukan eksperimen di angkasaraya kelak. Ujarnya lagi, ini merupakan satu peluang yang tidak mungkin dapat dilepaskan oleh mana-mana individu sekalipun. Dia amat berharap agar peluang ini dapat menginspirasikan kebanyakan wanita yang lain di luar sana untuk lebih kuat, optimis dan tabah dan menghadapi apa jua keadaan yang mendatang.
***
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro