20.0 : Cabaran Keranda Mayat
"LETIHNYA! Badan rasa macam nak mati!" ujar Daeng Mustakim seusia sahaja selesai misi meranduk di dalam paya tersebut sambil duduk bersimpuh. Kakinya yang penuh dengan lumpur itu dilunjurkan ke hadapan.
"Kita semua dah tak rupa orang dah. Masing-masing comot," kata seorang lagi calon, Asyraf Mujahideen yang merupakan seorang pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta.
Hampir kesemua calon dalam kumpulan ini terpalit dengan calitan lumpur-lumpur paya bakau terbabit. Hampir separuh badan sudah penuh dengan kotoran. Bau hamis paya bakau turut menusuk ke segenap penjuru kawasan terbabit, dengan keadaan hujan masih lagi turun tanpa henti. Masing-masing juga menggigil kesejukan dengan jam sudah menunjukkan pukul 2.50 pagi.
"Dr. Nora okay?" Daeng Mustakim menyapa Nora Yuhanis yang hanya diam membisu seribu bahasa sambil termenung.
Nora Yuhanis kemudiannya hanya menunjukkan isyarat bagus sambil tersenyum kelat. Jelas terpancar perasaan kepenatannya sudah tidak tertanggung lagi. Tidak ada patah perkataan yang dapat dilontarkan, hanya satu menungan jauh dilemparkan ke dalam hutan belantara yang maha gelap itu. Kakinya dijulurkan ke hadapan dan beberapa rumpai paya dicabut di sekitar kasutnya.
"Kim, tengok ni haa collection aku. Power tak?" Azfar Faiq menunjukkan kakinya yang dipenuhi dengan pacat dan lintah yang sedang menghisap darah kepada Daeng Mustakim. Gebu-gebu dan montok-montok keadaan pacat dan lintah terbabit.
"Fuhh power... Power... Penuh satu kaki tuu. Aku pun ada ni ha," Daeng Mustakim juga menunjukkan beberapa ekor pacat yang terlekat dibahagian kakinya.
Masing-masing mula melihat-lihat jikalau kaki mereka sedang dijamah haiwan kecil yang maha comel berkenaan. Hampir kesemuanya daripada mereka mempunyai pacat dibahagian kaki kecuali Dr. Nora Yuhanis. Mereka tidak boleh terus menarik pacat berkenaan kerana dibimbangi darah tidak akan henti-henti selain gigit pacat yang tertinggal itu bakal menyebabkan kegatalan yang berpanjangan selama berbulan-bulan.
Namun, semasa mereka sedang berbual-bual, kedengaran satu suara asing dibahagian belakang mereka. Suara yang cukup garau namun agak dikenali.
"Kamu ingat kamu sudah habiskan misi?" ujar suara terbabit. Kelihatan seorang anggota PASKAL yang memakai baju hujan muncul secara tiba-tiba daripada bahagian belakang. Cukup terkejut calon-calon yang sedang berehat-rehat disekitar tepi paya bakau berkenaan.
"Ada lagi satu misi sebelum kamu balik ke khemah," pegawai berkenaan mengumumkan satu lagi misi sambil tersengih-sengih. Kesemua calon tertanya-tanya misi apakah yang dimaksudkan oleh pegawai berkenaan.
"Mari aku tunjukkan misi kamu yang terakhir," anggota PASKAL berkenaan memanggil mereka ke suatu kawasan yang lapang. Dalam kesamaran cuaca hujan, dapat dilihat terdapat 10 buah keranda.
"Kamu ada tinggal 8 orang untuk satu kumpulan. Oleh itu, setiap seorang pilih satu keranda. Baki 2 keranda adalah bermakna 2 orang rakan kamu telah terkubur perjuangan mereka. Saya mahu kamu buka keranda tersebut, tulis nama kamu dengan menggunakan marker pen ni kat atas mayat yang dah di kafankan. Kemudian, angkat mayat yang kamu dah tulis nama kamu tu ke dalam trak di nun jauh kat tepi jalan sana..." Komaner PASKAL dengan tag nama 'Azman' berteriak ke arah peserta.
"Mmmaa... Maayaat? gulpp!" Serentak kesemua calon berpandangan antara satu sama lain. Ada yang menelan air liur, ada yang mimik muka berubah seusai sahaja Komander Azman memberikan arahan, dan ada juga yang pasrah sahaja dengan ketentuan takdir, pasrah dalam kepenatan.
"Ya! Mayat! Mayat ini adalah bukti pengorbanan kamu untuk ke angkasa kelak, jika terjadi apa-apa semasa dalam tempoh penerbangan kamu nanti ataupun semasa menjalankan eksperimen di ISS kelak, kamu semua bakal jadi mayat juga!" Nada suara Komander Azman semakin tinggi sambil berjalan ke hulu ke hilir di kawasan hutan terbabit. Calon-calon angkasawan kumpulan Daeng Mustakim hanya memerhatikan sahaja gelagat Komander Azman sambil menundukkan wajah masing-masing.
"Sebagai calon angkasawan, kamu seharusnya mempunyai semangat juang yang tinggi, tidak takut akan cabaran tak terjangka dan sentiasa bersedia! Sebab itulah kamu dilatih sebegini rupa, kerana kami mahu mencari calon angkasawan yang terbaik di antara yang terbaik! Kalau setakat cabaran macam ni pun kamu semua dah lemau dan putus asa, macam mana nak hadapi latihan-latihan yang sepuluh kali ganda lebih mencabar kat Rusia nanti?" Komander Azman membentak kuat apabila ada calon seakan-akan sudah putus asa.
"Saya nak tanya kamu la, kamu sanggup tak angkat mayat kawan kamu jikalau ditakdirkan perjalanan kamu ke angkasa nanti gagal dan kapal pengangkut soyuz meletup di tengah-tengah perjalanan? Kamu sanggup apungkan rakan-rakan kamu ke luas ISS sekiranya ditakdirkan ISS mengalami kegagalan dan bekalan oksigen semakin sedikit? Cuba fikirkan."
"Sekarang sudah pukul 3.10 pagi. Saya nak task ni disiapkan dalam masa setengah jam, dan lepas habis task ni, korang semua boleh balik ke khemah masing-masing. " Komander Azman memberikan arahan terakhir sambil berlalu pergi.
Lalu, mereka dengan pantasnya memulakan aktiviti cabaran terakhir ini walaupun badan sudah terasa hampir-hampir sahaja mahu merebahkan ke permukaan bumi. Demi sisa-sisa semangat perjuangan, mayat-mayat yang ada di di dalam keranda itu tadi telah dituliskan nama mereka, lalu atas nama semangat kerjasama sepasukan, mereka mengusung satu persatu jasad tidak bernyawa berkenaan ke kenderaan trak PASKAL sehingga selesai.
***
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro