BAB 1
Langit pagi kelihatan cerah, seakan menyambut permulaan baru dalam hidup Qalish dan Nadrah. Dua pelajar yang duduk di meja yang sama di sekolah menengah kini menghadapi cabaran STPM bersama. Di sebuah sekolah menengah harian yang terletak di pinggir bandar, persahabatan mereka berkembang melalui kebersamaan menghadapi tugasan, perbincangan topik Geografi, dan berkongsi mimpi tentang masa depan.
"Qalish, kau yakin nak ambil STPM?" soal Nadrah pada suatu petang, saat mereka sedang menyusun nota-nota kecil yang bersepah di meja perpustakaan.
"Aku yakin. Kalau kita fokus, STPM boleh jadi peluang terbaik. Lagipun, aku tak mahu bergantung pada jalan pintas. Aku mahu berusaha," balas Qalish sambil tersenyum yakin.
Nadrah mengangguk kecil. Dia tahu Qalish bukan sekadar berkata-kata. Rakan baiknya itu sentiasa bersungguh-sungguh, terutama dalam perkara yang melibatkan masa depan. Nadrah sendiri tidak pernah berfikir untuk menyerah. Di sebalik tekanan dan cerita-cerita seram tentang STPM, dia memilih untuk mencabar dirinya.
Mereka memilih aliran sains sosial, gabungan subjek yang bukan sahaja mencabar tetapi juga membuka pintu ke pelbagai bidang di masa depan. Qalish cenderung kepada Ekonomi, mencari logik dalam angka-angka dan teori tentang perdagangan. Nadrah pula meminati Geografi, menikmati topik tentang peta dunia, perubahan iklim, dan hubungannya dengan masyarakat.
"Nadrah, cuba tengok ni. Kalau kau gabungkan Geografi dengan pelancongan, kau boleh jadi pemandu pelancong antarabangsa," gurau Qalish suatu hari.
"Bukan sekadar pemandu pelancong, Qalish. Aku nak jadi seseorang yang boleh bawa perubahan dalam industri. Aku mahu pelancongan jadi alat untuk menyatukan dunia," jawab Nadrah, serius.
Mereka berdua ketawa kecil, tetapi jauh di sudut hati masing-masing, mereka tahu visi itu bukan gurauan. Impian untuk meneroka dunia, memahami budaya yang pelbagai, dan menyumbang sesuatu yang bermakna telah lama berakar.
Namun, STPM bukanlah perjalanan yang mudah. Hari-hari mereka dipenuhi dengan jadual belajar yang padat, perbincangan kumpulan, dan kelas tambahan. Ada masanya mereka berdua hampir rebah di bawah tekanan.
"Nadrah, aku rasa otak aku dah tepu. Tugasan Ekonomi ni betul-betul buat aku rasa nak berhenti," keluh Qalish pada suatu malam.
"Jangan berhenti, Qalish. Kita dah sampai sejauh ini. Kau tahu kan, apa yang kita nak capai?" Nadrah cuba menyuntik semangat. Dia sendiri letih, tetapi dia tahu mereka perlu terus bertahan.
Malam-malam panjang di perpustakaan sekolah menjadi kebiasaan. Mereka saling menyokong, saling mengingatkan tentang matlamat yang ingin dicapai.
Di tengah-tengah persiapan mereka untuk peperiksaan akhir, sebuah cerita aneh tiba-tiba menjadi bahan perbualan di kalangan pelajar. Cerita itu mengenai Universiti S, lebih tepat lagi tentang sebuah asrama yang dikenali sebagai Asrama K.
"Kau pernah dengar pasal Asrama K kat Universiti S?" tanya Nabil, salah seorang rakan sekelas mereka, semasa sesi belajar kumpulan. Nada suaranya penuh misteri, seakan ingin menakut-nakutkan mereka.
"Asrama K? Tak pernah. Apa cerita?" balas Nadrah, sedikit tertarik.
Nabil tersenyum lebar. "Orang kata, asrama tu berhantu. Ramai pelajar yang pernah tinggal di sana cerita benda-benda pelik. Ada yang dengar bunyi tapak kaki waktu tengah malam, ada yang nampak bayang-bayang di cermin, dan ada juga yang kena kacau sampai demam berhari-hari."
Qalish mengerutkan dahi. "Mungkin cerita tu sengaja direka untuk takutkan pelajar baru. Universiti kan memang selalu ada cerita-cerita seram macam ni."
"Betul, tapi kawan abang aku pernah duduk sana. Dia kata, benda tu bukan cerita kosong," tambah Nabil, suaranya semakin perlahan, seakan berbisik. "Dia sendiri pernah dengar bunyi kerusi bergerak di bilik kosong sebelah."
Mereka semua terdiam seketika. Nadrah cuba ketawa kecil untuk meredakan suasana. "Hantu pun nak belajar kot, sebab tu tinggal dekat universiti."
Namun, jauh di sudut hati, rasa ingin tahu mula menyelinap. Malam itu, Nadrah dan Qalish berbual panjang tentang cerita tersebut.
"Kalau betul Asrama K tu berhantu, kau rasa kita akan kena duduk sana tak?" soal Nadrah dengan nada bergurau, tetapi matanya memandang Qalish dengan serius.
"Aku tak tahu. Kalau kena pun, kita berdua je ada. Mungkin boleh buat jadikan pengalaman," jawab Qalish sambil ketawa kecil, cuba menyembunyikan keresahan.
Usaha gigih mereka akhirnya berbalas. Hari keputusan STPM tiba, dan kegembiraan mengisi hati mereka apabila kedua-duanya mendapat keputusan yang cemerlang.
"Kau percaya tak, kita berjaya?" tanya Nadrah dengan mata yang berkaca, memegang erat slip keputusan di tangannya.
"Ini bukan mimpi, Nadrah. Kita betul-betul berjaya," balas Qalish sambil tersenyum lebar.
Hari itu menjadi kenangan yang paling manis buat mereka. Ia bukan sekadar tentang angka-angka di atas kertas, tetapi tentang perjalanan yang telah mereka lalui bersama. Keputusan itu membuka pintu ke Universiti S, tempat di mana mereka akan meneruskan perjuangan.
Namun, di sebalik kegembiraan itu, cerita tentang Asrama K terus terngiang-ngiang di fikiran mereka.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro