Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 9

Malam. Leon datang. Mukanya masam. Matanya sembab.

"Kau bagi tahu Tajul, buat masa ni aku tak mahu tengok muka dia. Suruh dia tunggu sampai aku boleh maafkan dia," ujar Leon.

"Aku dah beritahu," jawabku.

Leon tidak tidur di rumahku. Sebelum dia pulang, kami berbual-bual sekejap di pangkin luar. Malam panas. Angin mati. Ada bulan pucat di balik awan gelap, sekejap muncul, sekejap lenyap.

"Aku dah kemas rumah. Nanti mak aku balik, dia marah tengok rumah bersepah. Dia paling tak suka tengok rumah bersepah." Leon terdengar ceria sedikit bercerita tentang ibunya.

"Bila kau nak pergi jumpa mak aku lagi?" tanya Leon. Nampaknya dia sudah dapat berdamai dengan keadaan.

"Tak tahu bila. Aku tak boleh jumpa selalu. Aku takut Narong track aku."

"Kalau kau jumpa mak aku, cakap dengan dia, aku sayang dia sangat-sangat. Cakap dengan dia, aku janji, aku tak mahu lawan cakap dia lagi. Aku takkan susahkan dia lagi. Aku akan basuh baju aku sendiri, kemas rumah, kemas katil. Tolong bagi tahu mak aku, aku tak menyesal sikit pun jadi anak dia. Sehina mana pun dia, dia tetap mulia sebagai mak aku." Kata-kata Leon membuat dadaku sebu.

Aku sedang termenung lama di pangkin selepas Leon pulang. Aku membuat pangkin itu bersama Leon dan Pitak. Buatannya kasar dan tidak kemas.

Di pangkin itu, kami suka berborak kosong, bertengkar dan mengumpat. Kadang-kadang, ayahku tidur di situ jika cuaca panas di malam hari. Pangkin itu merangkap katil ayahku juga.

Malam sedang belayar menuju siang. Aku masih di luar. Termenung panjang. Seluruh Kampung Kilat ditenggelami sepi. Pokok-pokok berdiri kaku dalam kehitaman malam. Fikiranku berkecamuk. Perasaanku berpusar-pusar. Berpusing dalam lingkaran yang tiada jalan keluar.

Kecelakaan yang menimpa Mak Cik Sutiah benar-benar menyentakku. Aku tak percaya wujud orang psiko yang berada tidak jauh dari sini. Aku bayangkan bagaimana pada hari-hari biasa, dia mungkin hidup normal dalam lingkungan masyarakat. Ada keluarga, ada jiran-jiran, ada kawan-kawan. Dia mungkin orang dihormati dan disegani atau seorang aktivis atau siapa-siapa sahaja yang berada dalam lingkungan kita. Dia mungkin kelihatan seperti orang baik-baik, suka membantu, suka memancing, peminat Manchester United atau seorang suami yang romantik dan suka memasak.

Aku terfikir apakah dia mempunyai ciri-ciri yang sama dengan pembunuh berdarah dingin seperti psikopat lain? Apakah setan sepertinya hidup terasing dan bersembunyi dalam kegelapan? Apakah dia seperti Ted Bundy seorang peguam yang secara suka-suka membunuh gadis-gadis muda atau seperti Hadj Mohammed Mesfewi, seorang tukang kasut dan penulis surat awam di Morocco yang membunuh sekurang-kurangnya 36 orang wanita.

Banyak pertanyaan datang mengetuk akalku. Banyak gambaran yang terawang bergentayangan. Hanya ada satu jalan untuk aku mencari Giri. Jalan itu ialah melalui Narong. Itu yang sedang kufikirkan sekarang.

Ayahku pulang. Seperti biasa, kami tidak bertegur sapa. Aku dapat menghidu bau turpentin pada pakaiannya. Turpentin digunakan untuk mencuci kotoran cat. Aku sukakan bau turpentin. Baunya sedap bagiku.

Aku mengagak barangkali ayahku mengambil upah mengecat bangunan atau rumah. Dia masuk dan menutup pintu sambil menggumam. Aku tidak dengar apa yang dirungutkan.

Aku terus mengelamun di luar sehingga aku nampak gerak seseorang sedang menuju ke rumahku. Aku kenal orang itu walaupun dalam gelap.

Ria datang. Dia tak pernah datang ke rumahku malam-malam buta begitu. Dia tak pernah meninggalkan ibunya sendirian. Aku walang. Tentu ada sesuatu yang berlaku.

"Ada apa?" tanyaku tak sabar sebaik sahaja dia sampai.

Ria tidak menjawab. Dia duduk di hujung pangkin. Kami tak pernah duduk berdekat-dekatan. Ria selalu menjarakkan dirinya.

"Ada apa?" tanyaku lagi bila dia tidak memberikan jawapan. Kegelapan memisahkan kami.

"Aku takut. " Ria bersuara bimbang. Dia memang selalu berasa tidak selamat di mana-mana. Dia kurang keyakinan diri. Dia takut pada segala hal. Sesekali aku terfikir barangkali dia bipolar.

"Takut apa?"

Ria diam.

"Kau takut apa?" ulangku.

"Narong," sahut Ria. Hatiku bergetar bila nama Narong disebut.

"Kenapa dengan Narong?"

"Aku dengar kau dengan Leon pergi jumpa dia."

Aku terkejut.

"Siapa cakap kami pergi jumpa Narong?"

"Tajul."

Kurang ajar. Berani Tajul bocorkan rahsia. Aku panas.

"Ada apa kau dengan Leon pergi jumpa Narong?" Ria datang malam-malam buta kerana mahu menyiasat rupa-rupanya. Dan aku benci disoal siasat begitu. Dia tak perlu tahu urusanku. Siapa dia mahu tanya-tanya aku?

"Tak ada apa," jawabku sedikit meradang.

"Orang cakap, siapa yang pergi jumpa Narong akan ikut dia. Siapa yang pergi jumpa Narong akan jadi dia." Ria menakut-nakutkanku.

"Siapa cakap?" tekanku.

"Orang cakap."

"Orang cakap... Orang cakap. Jangan percaya orang cakap. Tak semua cakap cakap tu betul," marahku. Ria memang bengap. Selalu percaya apa yang orang cakap.

"Orang cakap siapa yang pergi jumpa Narong, takkan jadi manusia lagi." Ria masih beria-ia.

"Podah!"

"Aku takut kau jadi macam dia."

"Kenapa pula aku nak jadi macam dia? Diri aku sendiri pun aku belum jadi, pasal apa aku nak jadi orang lain?"

"Dia boleh buat kau jadi macam dia."

"Gila. Tak ada siapa pun boleh paksa aku jadi sesiapa."

Ria tak bersuara. Aku berpaling padanya. Aku tak dapat melihat matanya. Narong kembali memenuhi benakku. Aku nampak kelibatnya. Aku nampak matanya seperti kilatan belati. Aku dapat menghidu bau colognenya. Ketakutan menghentam dinding dadaku.

"Aku nak cari kerja. Lepas kumpul duit, lepas kau ambil SPM, kita kahwin. Kau nak kahwin kan dengan aku?" soalku tanpa berfikir, seolah-olah perkahwinan itu perkara enteng.

Ria tergelak. Seakan mengejek. Aku rasa diperkecil. Itulah pertama kali dia berani gelakkan kata-kataku.

"Kau ingat kahwin senang?"

"Apa tujuan kita sayang menyayang, kalau bukan untuk berkahwin?"

Ria gelak lagi. Aku sakit hati. Perkahwinan adalah impian kami untuk masa depan. Kenapa sekarang dia memandang ringan? Jangan-jangan dia sudah tak sayangkan aku. Aku mula bimbang. Mana mungkin dia tak sayang aku. Dia gilakan aku.

"Lepas kahwin, hidup kita macam mana?" tanya Ria seakan-akan mahu menguji tahap kecerdasanku.

"Kita hidup macam orang biasa. Aku kerja. Kau jaga rumah. Aku jadi ayah. Kau jadi ibu."

"Lepas tu?'

"Lepas tu kita tua."

"Lepas tu?"

"Lepas tu kita mati."

"Lepas tu?"

"Lepas tu kita tak ada lagi di dunia ni."

"Itu saja?"

"Itu sajalah. Kau nak apa?"

Ria terdiam seketika. Aku dengar dia mengeluh.

"Kalau kau nak pergi, pergi sajalah," katanya kemudian.

Aku tak faham.

"Pergi mana?" tanyaku.

"Semua orang yang aku sayang dah tak ada sekarang. Dia orang dah tinggalkan aku. Kau pun boleh pergi tinggalkan aku." Ria bersikap dramatik.

Gelap malam menutupi wajahnya. Sunyi menelan kami. Rumah-rumah di Kampung Kilat nampak semakin padat dalam cahaya malam dari tempat kami duduk. Tapak rumahku agak tinggi. Ini membolehkan aku melihat sebahagian dari pelabuhan dan lampu-lampu kecil kapal.

Aku hantar Ria pulang. Kami tak bercakap sepanjang jalan. Aku berjalan di belakang. Dia berjalan di hadapan. Aku lepaskan dia pergi ketika sudah hampir ke rumahnya. Aku tunggu sehingga dia menutup pintu, barulah aku pulang.

Malam itu aku tak dapat tidur. Fikiranku jadi aktif berganda-ganda. Aku terfikirkan apa yang dikatakan Ria. Apa yang aku mahu buat dengan hidupku? Sekadar berkahwin sahaja?

Kemudian aku teringatkan Giri lagi. Kemudian Narong. Aku dengar rintik hujan menimpa bumbung zink. Mula-mula halus, kemudian kasar-kasar. Kesepian malam pun dirampas oleh muzikal hujan lebat.

Aku terlentang di atas tilam span keras menatap siling dalam gelap. Tempias hujan terpercik masuk dari celah tingkap. Fikiranku berselirat.

Dari bawah pintu bilik, aku nampak cahaya dari ruang tamu. Aku tahu ayahku belum tidur. Hatiku tergerak untuk melihat apa yang sedang dia lakukan. Aku bangun, buka pintu bilik perlahan-lahan. Bunyi keriut pintu dibenamkan oleh bunyi keras hujan.

Dari pintu yang terkuak sempit, aku lihat ayahku sedang berdiri menghadap jendela. Dia sedang tertawa melihat hujan.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro