Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 8


Hari Ahad yang lengang. Aku terjaga lewat.

Leon tidur di rumahku. Kami berbual panjang sampai dini hari. Macam-macam persoalan yang kami fikirkan. Macam-macam teori. Macam-macam kod rahsia. Ancaman Narong membuat kami makin bimbang. Makin tertekan.

Di sebalik kengerian bertemu Narong, aku merasa begitu bertenaga. Seperti ada semangat baharu yang meletup-letup dalam diriku. Aku tak memberitahu Leon apa yang aku rasa. Aku diamkan sahaja. Leon masih berduka tentang ibunya. Aku turut berduka kerana tak dapat membantunya.

Malam itu kami tertidur dengan tubuh yang terasa remuk. Aku bermimpi Mak Cik Sutiah pulang dengan selamat. Dia tersenyum manis macam selalu. Ayahku tidak pulang semalaman. Entah ke mana dia pergi. Aku tak peduli.

Selepas mandi, aku mengajak Leon berjumpa Pitak untuk sarapan. Leon tak banyak cakap, dia mengikut sahaja. Hatinya masih tak tenteram untuk pulang ke rumah. Aku tak memberitahu Leon tentang mimpiku semalam. Aku yakin Mak Cik Sutiah tidak apa-apa. Dia selamat dan sedang bersembunyi daripada Narong di suatu tempat.

Kami makan roti canai di kedai mamak. Tajul datang kemudian. Dia masih memakai kopiah selepas kuliah subuh. Aku ceritakan tentang pertemuan kami dengan Narong. Tajul teruja dan ingin tahu semuanya.

Petang itu, kami berkumpul di rumahku. Pitak datang dengan bau hanyir ikan dan kasut but hitam yang selalu dipakainya di pasar. Kasut but getah itu tingginya melepasi lutut Pitak dan lebih besar daripada kakinya. Bila dia berjalan, kasut getah itu berbunyi-bunyi, kedepeh-kedepeh.

"Aku dah cakap Narong tu pembunuh. Pengamal ilmu hitam. Entah dah berapa ramai orang yang dia bunuh. Mungkin mak kau tahu rahsia dia. Sebab tu Narong takut bila mak kau lari." Pitak membentang teori.

"Jalan selamat, repot polis!" tegas Tajul.

"Kalau kita repot polis, orang Narong akan cari kita. Orang dia ada merata. Bahaya," bantah Leon. Aku pandang wajahnya yang sugul. Matanya letih.

"Soalannya sekarang, di mana kita nak cari mak kau? Kawan-kawan dia pun tak tahu dia ada di mana," desis Pitak dengan muka risau.

Kami terdiam. Masing-masing melayan fikiran. Senyap. Leon memicit-micit dahi. Bingung. Sedih.

"Aku ada cadangan!" Pitak bersuara.

"Cadangan apa?" tanyaku lesu.

"Hanya orang yang bekerja dengan Narong saja tahu apa yang berlaku," ujar Pitak dengan yakin.

"Dia orang tentu tahu sebab apa Mak Cik Sutiah lari. Kau dengan Leon pergi jumpa dengan dua orang kakak tu. Tanya dia orang. Siasat dia orang."

"Maksud kau, kita kena bersekutu dengan pelacur?" Tajul menyampuk.

"Kalau macam tu caranya, aku tak mahu masuk campur. Aku tak mahu terpalit dengan dosa pelacur. Perkara-perkara yang melibatkan dosa, melibatkan pelacur, aku out. Lagipun kita rugi apa kalau seorang pelacur hilang?" Tajul memanah dengan kata-katanya yang tak langsung memikirkan tentang perasaan Leon.

Aku rasa mahu 'tapak kaki' sahaja mukanya. Pitak juga seperti tak menyenangi kata-kata pedih Tajul tadi. Air muka Leon kulihat sudah berubah.

Niat aku dan Pitak cumalah mahu membantu Leon. Mahu menghulur belas rahim. Kami tidak berniat mahu bersekongkol dengan mana-mana pelacur.

Sebagai kawan, kami cuba membantu Leon mencari ibunya. Tak kira siapa ibunya. Kami tahu pekerjaan mencari Mak Cik Sutiah berbahaya kerana melibatkan Narong. Kami sedar akan akibat dan risikonya. Jika keadaan menjadi semakit sulit dan rumit, kami tiada pilihan melainkan melaporkan pada polis. Begitu fikirku.

Aku pandang Tajul. Tajul balas dengan pandangan angkuh.

"Salah ke aku cakap?" tanyanya tanpa perasaan.

"Kalau kau rasa pekerjaan mencari seorang pelacur yang hilang sangat mulia, teruskanlah!" selar Tajul dengan senyum sindir.

Aku hiba memikirkan perasaan Leon ketika itu. Kuping telinga Leon sudah merah. Rahangnya bergerak-gerak. Dia bingkas bangun. Pandangan kami bertiga tertuju ke arah Leon. Aku fikir Leon mahu menyerbu Tajul. Tapi tidak. Dia keluar terus. Begitulah selalunya Leon. Kalau marah, dia pergi.

"Leon!" Aku panggil. Tapi Leon sudah pergi.

Mataku beralih ke arah Tajul lagi. Tajul angkat bahu dan bangun. Dia melintasiku. Keluar.

Aku biarkan Tajul pergi. Hatiku tiba-tiba berdenyut sakit seperti ada paku karat. Tanpa kasut, aku menyusul Tajul. Dia belum pergi jauh.

"Tajul!" jeritku. Kemarahanku menghasut.

Aku bayangkan aku adalah Leon. Aku bayangkan kesakitan yang Leon tanggung. Aku tak minta Tajul menyanjung ibu Leon yang sememangnya seorang pelacur. Aku cuma mahu dia menjaga sedikit sahaja perasaan Leon. Bukannya Leon bersalah pun. Susah benarkah mahu menjaga perasaan seorang kawan?

Tajul berhenti. Dia menunggu. Kami berhadapan. Tajul tersenyum padaku.

"Kau mahu apa, pembela pelacur?" ucapnya bersahaja.

Aku terus tinju mukanya. Aku tak sangka penumbukku begitu kuat sehingga Tajul tumbang.

Aku belum puas. Sakit hatiku belum lunas. Kolar baju Tajul kucekak dan kutarik naik. Tajul tak melawan. Mukanya aku tumbuk sekali lagi. Darah meleleh dari hidungnya. Tajul pekup hidung. Dia tertunduk-tunduk melawan kesakitan.

Aku mahu belasah Tajul lagi. Tapi penumbukku terhenti apabila bajuku tiba-tiba terasa ditarik orang dari belakang. Pitak yang menarik bajuku. Entah bila orang kerdil itu ada di belakang.

"Sudah!" tempik Pitak. Penumbuk tak jadi kulayangkan. Aku pandang Tajul yang sedang kesakitan. Masih pekup hidungnya.

"Lain kali, belajar hormat perasaan orang. Belajar jaga air muka orang. Kau tu nak jadi ustaz... Orang yang kau hina-hina tu mungkin bertaubat, jadi lebih baik daripada kau. Nabi pun tak pernah hina-hina orang, siapa kau nak hina orang?" kataku dalam nafas yang putus-putus. Tanganku menggeletar. Buku limaku terasa kebas.

Aku tak tahu apakah tindakan aku itu betul? Aku dan Tajul selalu saja berlaga ego. Aku dengan emosiku. Dan dia dengan sikap selalu berasa benar.

Aku pergi mencari Leon. Dia tak ada di rumah. Aku pergi mencarinya di bawah pokok ketapang rendang tepi laut. Dia tiada di sana.

Aku pulang dan berharap Leon akan datang ke rumahku malam nanti bila perasaannya sudah tenang.

Tanganku masih terasa sakit kerana menumbuk Tajul. Walaupun terselit sedikit rasa megah, aku rasa cuak juga. Sambil menuam tanganku, aku mencari-cari jawapan sekiranya hidung Tajul patah. Ibu Tajul seorang yang garang dan suka menyerang orang. Aku seriau juga membayangkan muka ibunya yang macam samseng perempuan.

Lebih kurang pukul dua belas tengah hari, aku bergerak ke Kelab Dangdut Cempaka Biru. Aku ada urusan di sana. Aku harus menemui Miss Tijah. Ada minyak wangi untuknya.

Noni dan Sona sudah pergi bekerja. Sebelah malam mereka bekerja sambilan di kelab dangdut sama seperti Miss Tijah. Aku tak tahu kenapa dalam banyak-banyak kerja sambilan, mereka memilih untuk menjadi pelayan dan penari di kelab dangdut. Cara pandang dan tahap pengisian hidup mereka tentulah berbeza dengan apa yang aku faham.

Miss Tijah bercuti hari itu. Dia selalu bangun awal walaupun tidak bekerja. Selewat mana pun dia tidur, dia akan bangun selepas subuh kerana takut mukanya sembab kalau terlebih tidur.

Miss Tijah dan rakan-rakannya tinggal menyewa di tingkat atas Kelab Dangdut Cempaka Biru, sebuah bangunan rumah kedai. Dengar kata, tauke Cempaka Biru membayar sewa rumah mereka.

Miss Tijah baru pulang daripada mencuci rambut di sebuah salun tak jauh dari Cempaka Biru. Dia jalan melenggang. Dari jauh Miss Tijah sudah melambai. Usia Miss Tijah aku kira mungkin awal tiga puluhan.

Miss Tijah sudah lama bekerja sambilan di Cempaka Biru. Kata orang, dia pelayan paling disayangi tauke. Dia pernah kahwin dan bercerai dua kali. Miss Tijah selalu kata dia sudah serik mahu berkahwin lagi. Cukuplah dua kali berkahwin untuknya.

"Barang ada?" tanya Miss Tijah dengan senyum mesra. Cara Miss Tijah menyebut 'barang' seolah-olah aku ini penjual dadah.

Aku pernah bertanya padanya kenapa dia menggunakan nama Miss Tijah? Mengikut penjelasannya, Miss Tijah ialah nama seorang penyanyi Melayu lama yang terkenal dengan lagu Trek Tek Tek sekitar tahun 1938. Miss Tijah pada zaman itu adalah superstar opera Melayu. Pandai juga Miss Tijah tentang sejarah muzik Melayu.

Aku hulurkan beg plastik berisi kotak minyak wangi Chanel yang entah original, entah tiruan. Aku peduli apa. Janji aku jual dan dapat untung. Kibaran rambut Miss Tijah berbau harum.

"Berapa?" tanyanya.

"Harga biasa. Tak lebih. Tak kurang."

Miss Tijah sudah tahu hargaku. RM25 diambil dari dompet warna coklat tua yang dikepit di bawah ketiak dan diberikan kepadaku.

"Ari, jangan balik lagi. Temankan kakak minum," pinta Miss Tijah. Aku tak berdaya menolak. Aku memang suka berbual-bual dengannya. Aku suka mendengar dia ketawa. Aku suka melihat matanya yang besar berkelip-kelip indah.

Kami berbual-bual agak lama. Macam-macam hal. Itu ini. Begitu begini. Miss Tijah menasihatiku agar sambung belajar. Aku cuma mendengar dan angguk-angguk.

"Kalau tak ada orang nak tanggung Ari belajar, biar kakak tanggung." Miss Tijah menawarkan. Aku senyum-senyum. Tak ada niatku untuk sambung belajar. Cukuplah sampai SPM.

Lepas minum, aku mahu pulang, sekali lagi Miss Tijah menahan.

"Jangan balik lagi. Ada orang nak jumpa Ari," kata Miss Tijah perlahan. Aku dapat rasakan ada sesuatu dalam nada suaranya. Aku ragu.

"Siapa?" tanyaku.

"Dia ada di rumah kakak. Ikut kakak..."

Seperti dipukau, aku menonong ikut Miss Tijah menuju ke tangga. Kami berdua menapak naik ke rumah kedai atas Kelab Dangdut Cempaka Biru. Rohani dan jasmaniku kacau.

Aku mengekori Miss Tijah menghampiri pintu bercat kelabu. Miss Tijah membuka pintu grille dengan serangkai kunci.

Miss Tijah menjemput aku masuk. Aku takut-takut tapi tetap masuk. Miss Tijah mengangkat kasut kami lalu diletakkan di atas rak kasut tepi pintu. Rak kasut itu penuh dengan macam-macam jenis kasut perempuan sampai bertindan-tindan.

Perasaanku merusuh. Betulkah ada orang yang mahu jumpa aku? Atau Miss Tijah hanya mengada-adakan cerita? Perempuan pelayan mana boleh percaya. Entah-entah dia mahu goda aku, mahu mencemar keterunaanku.

"Orang yang nak jumpa dengan Ari ada dalam bilik. Tunggu kejap, kakak bagi tahu dia Ari datang."

Ruang rumah kedai itu luas dengan bentuk memanjang. Ada tiga pintu bilik yang bertutup. Bumbungnya tinggi. Aku langut melihat air well yang terletak di bahagian tengah. Cahaya masuk dari situ. Air well yang hanya ada di rumah lama berfungsi untuk pencahayaan dan ventilasi udara. Tidak banyak perabut di ruang tamu selain daripada meja kopi, set sofa dan sebuah peti TV. Bingkai kaca cross stitch dengan gambar pemandangan rumah desa Inggeris tergantung di suatu sudut. Ada nama Sona yang ditulis senget di bawah sekali menandakan Sona yang membuat cross stitch itu.

Miss Tijah menuju ke pintu bilik di hujung sekali. Dia masuk. Pintu ditutup perlahan.

Aku masih termangu. Resah bercampur takut. Tidak sampai dua minit, Miss Tijah keluar. Pintu bilik dibiarkan renggang sedikit.

"Masuk dalam bilik," jemputnya seraya merapatiku.

"Tapi..." Kata-kata Miss Tijah terhenti.

Aku berdebar.

"Ari jangan terkejut, ya?" ujar Miss Tijah. Bibirnya sedikit bergetar.

"Siapa yang nak jumpa saya ni, kak?" desakku dengan rasa berdebar. Mataku menikam wajah Miss Tijah. Dia menghindari pandanganku.

"Ari masuk bilik, tengok siapa."

Aku tiada pilihan. Kakiku melangkah berat. Jantungku berdegup cepat. Pintu bilik yang renggang aku tolak perlahan.

Sebaik sahaja pintu melebar, aku lihat ada sekujur tubuh sedang tersandar lemah di kepala katil. Dari cahaya malap yang menembus dari kaca jendela, aku dapat melihat wajah wanita itu. Aku terkejut bukan kepalang.

Hampir aku tidak percaya dengan apa yang aku lihat. Perempuan di atas katil itu ialah Mak Cik Sutiah. Keadaannya menyedihkan. Kaki kirinya bersimen. Mukanya bengkak dan luka-luka. Mata kanannya nampak biru kehitaman. Ada garis jahitan di bawahnya. Rupa Mak Cik Sutiah sudah tidak seperti wajahnya lagi. Rambutnya diikat longgar.

Aku terkaku. Lidahku kelu. Mak Cik Sutiah melambai lesu, mahu aku mendekatinya. Air mataku sudah bertakung di tubir mata.

"Ari," panggilnya lemah.

Aku dekati Mak Cik Sutiah. Mak Cik Sutiah tepuk lembut tepi tilam, menyuruh aku duduk. Aku menurut.

Air mataku bertakung. Aku tak dapat bercakap. Suaraku tersangkut di kerongkong. Aku nampak mata kiri Mak Cik Sutiah merah. Ada darah beku tepi anak mata. Mata kanannya pula hampir tertutup kerana bengkak dengan garisan jahitan yang panjang. Bibirnya juga ada kesan luka. Aku genggam tangan Mak Cik Sutiah. Tangannya panas seperti sedang demam. Dadaku sesak. Untuk seketika, aku tak dapat bersuara.

"Jangan beritahu Leon mak cik ada kat sini... Mak cik tak mahu dia tengok mak cik macam ni. Mak cik tak mahu dia sedih..." Suara Mak Cik Sutiah tersekat-sekat. Air jernih jatuh perlahan dari penjuru matanya. Melihat kecederaannya, aku tahu itu bukan kemalangan, melainkan dicederakan atau dipukul.

Aku masih tak dapat berkata apa-apa. Jari-jariku menggigil.

Mak Cik Sutiah menelan liur. Bibirnya kering. Aku dengar dia menarik nafas. Matanya lalu dipejamkan. Dia teresak perlahan. Esakannya seakan-akan tidak keluar kerana harus melawan kesakitan yang amat sangat.

Miss Tijah muncul di muka pintu. Aku tak sanggup berada di situ lebih lama. Nafasku jadi sesak tiba-tiba. Aku bergegas keluar.

Di ruang tamu, Miss Tijah menceritakan kepadaku apa yang berlaku.

Ada seorang pelanggan aneh. Dia dikenali hanya dengan nama Giri. Tiada siapa tahu apa hubungan Giri dengan Narong. Mungkin kawan baik, rakan perniagaan, adik-beradik, jembalang dan tuan. Tiada yang tahu.

Giri hanya akan muncul pada waktu tengah malam. Bayang-bayangnya akan muncul setiap kali bulan terang. Kemudian dia menghilang seperti sayap kelawar yang besar. Wajahnya tak pernah dilihat jelas. Kecuali perempuan-perempuan yang dilanggannya yang kemudian hilang. Tiada siapa tahu bagaimana rupanya. Bagaimana suaranya.

"Kakak tak sanggup nak cerita semua. Ari tak patut dengar." Miss Tijah nampak berat mahu meneruskan cerita.

"Tolong cerita. Saya nak dengar," desakku.

Ini cerita yang aku dengar dari mulut Miss Tijah hari itu. Cerita yang masih aku ingat. Masih terakam kemas dalam fikiranku.

Seperti yang dinyatakan, susuk Giri sangat misteri. Sama ada dia manusia atau siluman, tiada siapa dapat pastikan. Dialah makhluk celaka yang mendapat kepuasan diri dengan cara menyeksa perempuan.

Kata Miss Tijah, Narong pernah beritahu Mak Cik Sutiah, Giri orang yang 'sakit'. Sutiah diminta mengubat 'sakit' Giri. Bagi Narong, apalah sangat nyawa seorang pelacur yang akan dijadikan korban buat seekor iblis bernama Giri.

Menurut cerita, Giri tak pernah muncul sebagai dirinya. Dia muncul dengan berbagai-bagai rupa. Dia boleh ada di mana-mana dan hilang begitu sahaja.

Modus operasi Giri, mudah. Dia hanya perlu mencari mangsa di rumah pelacuran Narong. Tiada siapa yang peduli jika seorang pelacur mati. Tiada siapa yang akan mencari jika ada seorang pelacur tiba-tiba hilang dan tidak pulang. Faktor itulah yang menyenangkan pergerakan Giri.

Ramai korban Giri hilang lenyap. Tak tahu berapa jumlahnya. Dan Narong pula begitu taat melindunginya. Pelacur datang, pelacur pergi. Begitulah dengan Giri. Dia datang dan pergi. Dia tidak muncul selalu. Lama sekali barulah dia timbul.

Maka, tibalah giliran Sutiah untuk melayan Giri setelah dia muncul semula. Kali ini Giri menggunakan pendekatan yang berbeza. Dia tidak terus menyerang. Dia beraksi sebagai pelanggan biasa. Datang dan pergi beberapa kali.

Kemuncaknya tiba pada suatu malam.

Narong tidak ada ketika Giri sampai dalam hujan renyai. Sutiah melayannya seperti yang diarahkan Narong. Tiba-tiba Giri naik gila. Dia membelasah Sutiah. Sutiah ditumbuk, diterajang, diikat. Kemudian dihentak ke besi katil. Rahang dan gigi Sutiah patah. Giri merakam dengan perakam video ketika Sutiah meleding-leding menahan sakit. Giri mendapat kepuasan diri ketika melihat Sutiah kesakitan.

Sutiah merayu-rayu minta dilepaskan. Rayuan dan air mata Sutiah malah membuatkan Giri makin kesetanan. Dia menyeksa Sutiah dengan berbagai cara. Tubuh Sutiah kemudian dikelar-kelar. Dibuat corak-corak dengan pisau lipat. Giri teruja melihat Sutiah menggelupur berlumuran darah. Dia merakam semuanya dengan penuh ghairah. Terutamanya percikan darah di atas lantai.

Sutiah diseksa separuh mati. Kemudian ditinggalkan nyawa-nyawa ikan. Giri menyangka Sutiah telah mati malam itu. Jantung Sutiah terhenti hampir lima minit ketika Giri memeriksa nafasnya. Selepas Giri pergi, Sutiah tersedak dengan darahnya sendiri. Dia ditinggalkan dalam takungan darah.

Mendengar cerita Miss Tijah, aku terhenyak. Tubuhku menggeletar. Darahku membuak panas. Membayangkan seorang perempuan diperlakukan begitu, meskipun dia perempuan hina, hatiku hancur. Apatah lagi perempuan itu adalah ibu kawanku sendiri.

Aku sama sekali tidak bersimpati dengan kerja Mak Cik Sutiah sebagai pelacur. Aku bersimpati dengan apa yang telah Giri lakukan padanya. Tiada siapa pun di dunia ini yang layak diperlakukan sekejam itu.

Aku bayangkan bagaimana perasaan Leon jika dia tahu apa yang berlaku. Tentu hatinya luluh. Membayangkan sahaja sudah membuatkan aku nanar. Aku tak berani memikirkan keadaan Mak Cik Sutiah ketika dikerjakan Giri. Aku mahu termuntah memikirkannya.

Kawan-kawan Mak Cik Sutiah membawanya ke hospital dengan teksi yang selalu mereka langgan. Mereka adalah dua perempuan yang aku dan Leon temui malam itu.

Selepas seminggu dirawat, Mak Cik Sutiah minta dibawa ke rumah Miss Tijah. Narong senyap-senyap mencari Sutiah tanpa huru-hara. Dia mahu pastikan Sutiah mati kerana Sutiah sudah melihat Giri. Kesilapan terbesar Giri ialah meninggalkan Sutiah tanpa membuang tubuhnya. Orang jahat pasti akan melakukan kesilapan walau sepintar mana pun mereka.

"Macam mana kakak kenal dengan Mak Cik Sutiah?" tanyaku setelah diam yang panjang. Miss Tijah menyeka air mata.

"Sutiah pernah datang sini untuk minta kerja. Dia mahu lari dari Narong. Kakak bawa dia jumpa tauke. Tauke sanggup ambil dia bekerja. Kemudian dia tak datang. Rupa-rupanya dia sudah ada di hospital."

Aku kagum dengan keberanian Miss Tijah. Tentu sekali dia sudah tahu bahaya yang sedia menantinya. Tapi dia tak peduli.

"Bagan ni kecil saja, kak. Saya takut lambat laun Narong dapat cari kakak." Aku menyuarakan kebimbangan.

"Kakak tak kesahlah, Ari. Kakak kena tolong Sutiah. Kalau kakak mati pun, matilah," nekad Miss Tijah. Aku terharu dengan keberaniannya. Aku pula yang berasa kerdil kerana tak mampu berbuat apa-apa.

Aku pulang dengan hati yang penuh badai. Marah, sedih, dendam, rawan bercampur-campur.

Itulah pertama kali dalam hidupku, aku rasa mahu membunuh seseorang. Aku mahu mencari Giri. Aku mahu mengajarnya. Mengingati apa yang dilakukannya pada Mak Cik Sutiah, urat sarafku terbakar.

Aku pergi untuk mencari Leon di stesen kereta api. Aku berjalan kaki ke stesen kereta api melalui jalan pintas yang tembus ke terminal bas.

Dari jauh aku nampak Leon sedang duduk termenung di hujung platform. Hatiku lega. Aku cuba tenangkan diri. Wajah Mak Cik Sutiah masih belum hilang di ruang mata. Gambaran dirinya yang parah sukar untuk kupadam. Suara Miss Tijah menceritakan tentang Giri menikam gegendang telingaku.

Leon mengangkat kepala bila mendengar bunyi seliparku. Wajahnya murung. Aku duduk di sebelah Leon.

Stesen lengang. Kereta api ke selatan baru saja meninggalkan stesen. Leon diam. Aku pun diam. Kami sama-sama memandang ke arah landasan.

"Mak kau selamat," kataku memecahkan kebisuan kami. Sebuah kereta api kargo sedang lalu. Rel bergetar. Leon pantas menoleh padaku.

"Apa?" Dia bertanya. Pendengarannya diganggu bunyi kereta api kargo yang sedang lalu.

"Mak kau selamat," ulangku lebih kuat sedikit dari tadi.

Leon terlonjak bangun.

"Sekarang dia ada di mana?" Muka Leon berubah merah. Aku ikut bangun. Pergelangan tangannya kupegang.

"Duduk," tegasku. Bibir Leon terketar perlahan. Air matanya mula bergenang.

"Duduk..." suruhku sekali lagi. Tangannya masih kupegang, meminta dia bertenang.

Leon akur. Dia duduk. Nafasnya bergelombang. Matanya penuh api seperti lautan yang sedang terbakar.

"Bila kau jumpa mak aku?" tanyanya terketar, menahan perasaan.

"Dia ada di tempat yang selamat. Aku tak boleh beritahu di mana. Mak kau tak mahu kau tahu. Dia bimbangkan keselamatan kau. Dia cuma mahu kau tahu dia selamat," kataku menambah-nambah ayat.

Leon nampak lega sedikit, meski wajahnya masih ditutupi garis runsing. Aku nampak ketakutan melintas di ruang matanya.

"Aku nak jumpa mak aku. Bawa aku jumpa dia!" Leon tiba-tiba bangun semula.

"Sabar, nanti dia balik," pujukku baik-baik.

"Bagi tahu aku dia ada di mana. Bagi tahu!" bentak Leon. Tanpa kuduga, serentak itu dia mencekak leherku.

"Bagi tahu... Bagi tahu!!" Leon menjerit-jerit di mukaku.

Aku tak dapat bernafas. Aku cuba cekau mukanya. Leon sudah hilang pertimbangan, barangkali kerana terlalu sedih dan marah. Aku tiada pilihan. Perutnya aku lutut. Leon terhenyak. Leherku dilepaskan. Dalam kesakitan, Leon seakan-akan baru tersedar daripada tingkahnya tadi. Dia terduduk lemah.

Aku batuk-batuk dan tercungap-cungap mengatur nafas. Mujur tak ada orang di situ. Tiada siapa yang melihat Leon mencekikku.

Sempoyongan, Leon bangun dan pergi.

Aku tak menahannya. Dia perlukan ruang untuk bertenang. Biar dia bertenang. Aku nampak Leon berhenti di tiang platform. Dia terlihat lemah di situ, tak mampu melangkah.

Aku pergi kepadanya. Nafasnya terhenyah. Dia menangis tertahan-tahan. Aku rangkul bahunya yang terhinggut perlahan. Aku bawa dia pergi dari situ. Kakinya terseret-seret mengikutku.

Kubawa Leon ke rumahku. Aku memberinya minum. Dia meneguk sedikit. Aku minta dia berehat. Lama dia duduk termenung. Aku tak mengganggunya.

"Kenapa mak tak mahu jumpa aku?" Leon bertanya sayu dengan mata berkaca dipenuhi air mata.

"Keselamatan kau yang dia bimbang. Dia minta kau bersabar sampai dia pulang," jawabku cuba memujuknya. Leon sapu air mata dengan belakang tangan.

"Mak kau sanggup lakukan apa saja untuk kau. Dia sayangkan kau," sambungku untuk menenteramkannya.

"Aku pun sanggup lakukan apa saja untuk mak aku. Aku sayang mak aku. Hanya dia saja aku ada." Leon ditumbuk sebak semula.

"Kau berehat dulu. Aku masak Maggi."

Aku ke dapur mencari stok Maggi yang memang selalu ada. Aku tahu, Leon belum makan. Kalau sedang bersedih, Leon memang tak lalu makan. Aku kenal sangat perangainya.

Kedengaran ketukan di pintu ketika aku sedang masukkan serbuk Maggi ke dalam periuk. Aku kenal ketukan itu. Itu ketukan Tajul. Dia ada cara sendiri mengetuk pintu.

Aku pergi buka pintu. Leon masih duduk termenung. Dia statik di situ. Tajul datang. Hidungnya berplaster. Mukanya monyok. Leon melihatnya sekilas. Kemudian membuang pandang ke arah lain.

"Ari, aku... Aku... Nak minta maaf pada Leon." Suara Tajul tersangkak-sangkak.

Aku luaskan pintu supaya Tajul dapat masuk tapi Tajul tak masuk.

"Leon, aku minta maaf," kata Tajul dari muka pintu. Leon tak mengendahkannya.

"Bagi dia masa," kataku perlahan pada Tajul.

"Aku nak minta maaf pada kau. Aku tumbuk kau. Kau boleh tumbuk aku balik nanti," ujarku. Tajul tak berkata apa-apa. Dia pergi dengan muka sedih.

Aku ke dapur semula. Selesai masak, aku bawa dua mangkuk Maggi ke ruang tamu. Leon sudah hilang.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro