Bab 6
Untuk mencari wang saku, aku, Tajul dan Leon menjual barang-barang seludup dari kapal. Barang-barang itu kami beli dari 'kaki-kaki' dan buruh pelabuhan.
Barang-barang yang datang tidak tentu jenama atau jenisnya. Kadang-kadang pakaian, jam tangan, tas tangan, teropong, kaca mata, kasut, pemetik api, kamera, tali pinggang, atau barangan kosmetik wanita. Pakaian dalam wanita pun ada. Semua itu mengikut kapal dagang yang berlabuh.
Dari berjualan barang-barang seludup, dapatlah sedikit keuntungan dan wang saku. Itulah sahaja ikhtiar hidupku. Dengan duit untung itu juga kami guna untuk pusingan modal. Beli atas beli dari 'kaki-kaki' yang datang dua minggu sekali.
Sudah tentu aku ada port daganganku sendiri. Aku akan ke pejabat-pejabat kerajaan dan swasta. Merata pejabat aku pergi. Naik turun tangga. Menapak sini sana tunjuk muka. Dari satu pintu ke satu pintu pejabat. Kadang-kadang kena perambat. Kena marah. Kena maki. Macam-macam kena. Aku buat muka tarpal saja untuk cari duit.
Begitulah aku membuat establishement menjual barang-barang seludup kapal. Keuntungan yang sedikit itu aku jimat. Tahun ini aku mahu belikan Ria sepasang baju kurung untuk hari raya. Sudah tiga kali raya aku tengok dia pakai baju kurung yang sama.
Sebelah malam, kalau rajin, aku pergi menjual barang-barang di kelab-kelab dangdut sekitar Bagan. Waktu itu kelab dangdut memang popular dan menjadi tempat tumpuan pekerja asing dari Indonesia dan lelaki tua Melayu yang jenis kemaruk perempuan joget dan berjiwa kabaret.
Aku kenal rapat tiga orang pelayan yang selalu melanggan minyak wangi daripadaku. Mereka semua menggunakan nama tipu. Bagi aku yang belum kenal hidup, mereka semuanya nampak baik-baik. Aku tak tahu kenapa orang suka memandang serong pada mereka. Aku suka berbual-bual dengan mereka. Antaranya, Miss Tijah, Noni dan Sona. Sebelah siang, mereka bekerja di tempat lain. Aku tak tahu di mana. Sebelah malam mereka bekerja di kelab dangdut. Menjadi pelayan dan kadang-kadang penari.
Tajul dan Leon ada kawasan dan pelanggan mereka sendiri. Kami menghormati kawasan masing-masing. Bagan tidaklah besar mana. Jika siang, detak jantungnya bergerak laju dengan segala urusan perniagaan dan rencah hidup manusia. Bila malam melebar sayap, rona Bagan pun berubah. Kelab dangdut, kelab malam, rumah urut dan rumah-rumah pelacuran mula hangat bernyawa.
Salah satu kelab dangdut yang paling terkenal waktu itulah ialah Kelab Cempaka Biru. Di situlah Miss Tijah, Noni dan Sona bekerja sampingan.
Izinkan aku bercerita sedikit tentang profil kawan-kawanku. Antara aku, Pitak dan Leon, Tajul la yang hidupnya agak sempurna. Ayah Tajul seorang buruh pelabuhan dan ibunya pekerja kilang. Datuknya seorang guru silat. Datuknya ada sedikit mirip pelakon Tamam Idris. Kurus dan berjanggut putih. Tajul selalu bersemangat tinggi dalam pelajaran dan cita-cita. Satu kelebihannya ialah dia pandai mengaji. Suaranya juga lemak merdu kalau mengalunkan azan.
Kadang-kadang Tajul menggantikan bilal surau yang sering sakit. Dia menjadi harapan keluarganya. Aku, Leon dan Pitak tiada harapan dalam bidang apa-apapun. Kami bukan harapan sesiapa. Kami seperti sudah dapat melihat masa depan Tajul yang bakal gemilang, terutamanya dalam lapangan agama dan pelajaran.
Kisah hidup Leon bagiku sangat sedih. Aku tidak tahu bagaimana Leon boleh menghadapi dunia ini. Dia dilahirkan tanpa ayah yang sah. Leon anak luar nikah. Leon tak pernah melihat ayahnya. Dia hanya mendengar cerita dari ibunya yang ayah kandungnya seorang kelasi Filipina bernama Leondros. Leondros melanggan ibu Leon ketika kapalnya berlabuh di pelabuhan Bagan.
Leon dinamakan dengan nama lelaki yang menghamili ibunya. Ibu Leon tidak tahu nama keluarga ayahnya. Dia hanya tahu Leondros sahaja. Perkenalan mereka berlaku pada satu malam di bulan September. Sembilan bulan kemudian Leondros bin Abdullah dilahirkan.
Leon agak pemuram orangnya. Adakalanya dia baran dan cepat terasa. Aku memahami sikapnya. Aku dapat melihat badai dalam matanya. Dia sering berasa hina pada mata semua orang. Membesar tanpa seorang ayah dengan status sebagai anak luar nikah bukanlah mudah.
Memang ibu Leon seorang pelacur. Tapi Leon anak yang baik. Leon tidak bersalah apa-apa. Dia bayi suci sebagaimana bayi lain yang dilahirkan ke dunia ini. Tak kira apa, Leon sangat menyayangi ibunya. Aku selalu melihat betapa peritnya Leon menelan kenyataan tentang ibunya. Aku kagum dan salut pada kekuatannya. Aku tahu bagaimana Leon menderita. Aku dapat merasakan pedih dan laranya. Aku tak tahu apakah aku sekuat Leon jika aku adalah dia?
Cara pandangku terhadap Leon tak pernah berubah biar siapa pun ibunya. Yang bersalah ialah perbuatan ibunya. Yang berdosa adalah ibunya. Tapi, pada mata masyarakat, Leon tetap hina. Dia selamanya dilabel sebagai anak haram. Kadang-kadang aku keliru kenapa takdir menentukan jalan hidup Leon sebagai golongan yang dihina. Kenapa budak sebaik Leon dipilih menjadi anak pelacur?
Kisah hidup Pitak juga tragis. Seperti Leon, Pitak juga berbinkan Abdullah. Sungai takdir telah membawa Pitak ke Kampung Kilat. Dia ditemui dalam sebuah kotak di tempat pembuangan sampah. Dia dibuang mungkin kerana kecacatannya. Pitak hampir-hampir dibaham anjing liar. Dia sendiri sudah hilang suara kerana menangis terlalu lama. Malah sudah kebiruan kerana semalaman ditimpa hujan. Tapi hayatnya panjang. Seorang tukang kebun sekolah menemui Pitak dan menjadikannya sebagai anak angkat.
Setelah kematian ayah angkatnya, Pitak harus mencari hidupnya sendiri. Dia bekerja sebagai penjual ikan, bekerja dengan seorang tauke Cina.
Maka, hiduplah Pitak sebatang kara. Setiap hari raya, Pitak akan menyambutnya sendirian. Tapi dia tetap gembira. Tetap bahagia. Tiada apa pun di dunia ini yang mampu membuatkan dia berduka. Kata Pitak, kalau dia mati sekalipun, dia akan mati dalam keadaan yang bahagia. Dia takkan tinggalkan dunia ini dengan hati yang berduka nestapa. Pitak tak pernah menyusahkan sesiapa. Dia rajin bekerja dan berhemat dengan wang simpanannya. Nama sebenar Pitak ialah Hanafi. Orang-orang kampung memanggilnya Pi.
Dari kecil, rambut Pitak selalu dibotakkan kerana kepalanya mudah dijangkiti kutu dan kudis buta. Nama Pi kemudian ditambah dengan 'botak' dan akhirnya menjadi Pitak saja.
Aku pula tak pernah tahu susur galurku. Yang aku tahu, aku dinamakan sempena nama pelukis bernama Ari Harapan. Aku tak tahu di mana ayahku dan Ari Harapan berjumpa dan bersahabat. Aku hanya tahu asal namaku ketika menemui diari lama ayah sebelum aku meninggalkan Kampung Kilat. Tidak banyak yang ditulis dalam diari itu melainkan tarikh aku dilahirkan, juga alamat terakhir Ari Harapan di Paris.
Ayahku tak pernah ada album gambar. Aku tak pernah melihat gambarnya sewaktu dia muda. Aku kenal dirinya setelah dia menjadi bekas pesakit gila. Tubuhnya yang kurus tinggi dengan mata yang terperosok dalam dan tulang pipi yang menonjol, tidak memberikan apa-apa gambaran lampau tentang dirinya. Aku tak kenal masa silamnya.
Pandangan matanya selalu kosong seperti langit buram. Aku tak kenal siapa dia dahulu. Apakah dia lelaki romantis, skeptis, pesimis, aku tidak tahu. Aku juga tidak tahu apakah dia Picasso, Van Gogh atau Salvador Dali? Aku hanya tahu ayahku seorang pelukis. Antara kami selalu ada jurang yang dalam. Dia hidup dalam dunianya. Dan aku dengan diriku. Aku langsung tidak mengenalinya, biarpun dalam tubuh kami mengalir darah yang sama.
Kata-kata Khalil Gibran yang ditulis ayahku dalam diarinya masih aku ingat.
"Suatu hari kau bertanya kepadaku yang mana lebih penting? Hidupku atau hidupmu? Aku akan menjawab, hidupku. Lalu kau pergi dariku tanpa mengetahui kaulah hidupku."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro