Bab 5
Aku bersetuju dengan kata-kata basi ini, hidup adalah satu lantunan gema. Itulah yang aku rasa. Aku, seorang pembunuh sedang diburu oleh seorang pembunuh lain. Satu permainan jagat rimba yang memerah tenaga dan akal fikiran maha tinggi.
Pembunuh itu sedang menghidu-hiduku. Aku juga sedang menghidu-hidunya. Begitulah caranya takdir berputaran. Suatu hari nanti, mahu tak mahu, aku pasti akan disergap atau diperangkap. Aku akan ditembak atau diradak. Aku akan mengelepar sendirian, kejang dan mati perlahan-lahan. Dengan mata terbelalak, pastinya.
Aku selalu berfikir secara rasional. Sejauh mana pun aku berlari, di ceruk mana pun bersembunyi, aku dan pemburu itu akan bertemu juga nanti. Aku tak tahu sama ada di tangannya aku akan mati atau di tanganku denyut jantungnya akan terhenti.
Buat masa ini, kakiku akan terus melangkah, mencari adromeda hatiku. Seperti mana kata Mel Gibson dalam filem Conspiracy Theory. "Cinta memberikan kita sayap. Cinta membuatkan kita mampu terbang."
Cinta telah lama memberikan aku sayap. Aku sedang terbang.
Orang-orang di Kampung Kilat ada cerita dan luka sendiri. Kampung Kilat adalah lembah duka kami. Lembah duka yang tak pernah menjanjikan apa-apa, menawarkan apa-apa. Kami semua terperangkap dalam keretakan hidup yang sama. Ada dua orang gila yang sangat masyhur di Kampung Kilat tengik itu; ayahku dan ibu Ria. Kebetulan, aku dan Ria bercinta. Anak orang gila bercinta dengan anak orang gila. Gila yang bertimpa-timpa.
Aku, Tajul dan Leon selalu berkumpul di rumah Pitak untuk buang-buang waktu. Rumah kecil Pitak terletak di hujung laluan ke Kampung Gaharu. Rumahku di bahagian tengah. Manakala rumah Leon letaknya paling hujung, hampir di bibir sungai kecil Kampung Kilat yang ditutupi sampah sarap. Bukan sampah sahaja tapi almari, TV, katil dan segala macam perabot yang rosak dihumban ke dalam sungai itu. Rumah Tajul kedudukannya selang tiga rumah dari rumah Ria. Sepelaung sahaja.
Pada dasarnya, Pitak memang lebih cerdas otaknya daripada kami. Kalau mengira, dia lebih pantas. Leon paling azab. Dia selalu berada di carta terbawah antara kami semua. Mungkin kerana Pitak bekerja dengan tauke Cina, kiraannya tepat dan bagus. Leon pula kalau mengira sampai terpaksa dihitung dengan jari-jari kaki sekali, terutamanya kalau kiraan darab dan bahagi. IQ aku dan Tajul cuma diparas sederhana. Di sekolah pun pelajaran kami sedang-sedang sahaja. Tak lebih, tak kurang. Cuma Bahasa Inggerisku agak bagus sedikit dari semua.
Di antara kami, Tajul ada banyak kelebihan. Dia pandai mengaji al-Quran dan sudah khatam tiga kali. Dia pandai tajwid dan berlagu. Aku pula sekali pun belum khatam. Ayat Kursi pun aku tidak hafal. Pitak juga sama teruk seperti aku. Leon pula hanya belajar mengaji setakat juz amma. Dia hanya hafal surah al-Fatihah dan tiga Qul sahaja untuk dibaca masa mahu tidur.
Cita-cita Tajul selepas keputusan SPM diumumkan nanti, dia mahu sambung belajar di sekolah tahfiz. Dia mahu jadi seorang hafiz. Leon pula selalu keliru mahu jadi apa. Cita-citanya selalu berubah-ubah seperti cuaca.
"Channarong cakap dengan kau?" Mata Tajul bulat merenungku, seperti tidak percaya.
Kami duduk di bawah pokok ketapang yang rendang. Daun-daun riuh dipukul angin. Aku duduk di atas batu depan Tajul dan Leon. Debur ombak yang menendang tiang-tiang kurus jeti, melatari pagi yang cerah tapi kosong.
"Dia panggil aku. Aku nak lari pun dah tak sempat," ceritaku dengan muka serius seperti baru sahaja terlepas dari bahaya yang dahsyat.
"Dia cakap apa?" Tajul tak sabar mahu tahu.
Leon diam mendengar. Ada jerawat tumbuh tepi kanan hidungnya. Besar dan merah. Mukanya memang berjerawat.
"Dia tanya mak kau." Aku memandang Leon. Mata Leon terkebil-kebil macam cicak tersepit celah pintu. Dia senyap. Kami sama-sama terdiam. Malaikat lalu.
Tumpuan aku dan Tajul masih kepada Leon. Leon menghela nafas perlahan. Lalu tunduk memandang hujung selipar. Jari-jari kakinya yang panjang terjulur keluar dari selipar. Leon bertubuh tinggi. Dia lebih tinggi daripada aku dan Tajul. Rangka bahunya lebar macam perenang. Aku kira ketinggian dan susuknya amat sesuai sebagai pemain bola keranjang.
"Kenapa dia cari mak aku?" tanya Leon perlahan, seolah bertanya pada dirinya sendiri.
"Mak kau masih kerja dengan Narong lagi, kan?" Aku cuba memastikan.
Leon terdiam. Ada sesuatu di matanya yang tak dapat kutafsirkan. Tajul memandangku. Kemudian pandangannya terhala pada Leon. Dahi Tajul mula dipenuhi bintik-bintik peluh. Tajul memang kuat berpeluh. Ketiaknya selalu basah.
Leon masih bungkam. Kami menunggu reaksinya.
"Kenapa dia cari mak kau?" Tajul mengulangi pertanyaan yang Leon ajukan tadi.
Leon memandang kami dengan mata bingung.
"Mana aku tahu, " jawabnya serak.
Semasa mencari Ria, aku menulis kronologi mudah tentang dirinya, mengikut tafsiranku sendiri. Begini cerita hidup Ria dari sudut pandangku.
Ria anak bongsu dari tiga beradik. Ayahnya bekerja sebagai bouncer di sebuah kelab malam. Ayahnya seorang kaki perempuan, pemabuk dan tahi judi. Tiada satu pun benda baik yang boleh aku ingat tentangnya. Melainkan namanya, Rafli.
Ibu Ria menghidap penyakit gila selepas bersalin atau pun nama lainnya postpartum depression. Selepas mengalami kemurungan yang panjang tanpa rawatan, tekanan yang dialaminya semakin buruk.
Keadaan lebih menekan apabila Rafli bertindak meninggalkan mereka begitu sahaja. Anak dan isterinya dicampak tanpa nafkah, tanpa rasa bersalah.
Tekanan hidup membuatkan ibu Ria makin menderita dan bertambah gila. Abang sulung Ria, Romi, terpaksa memikul beban keluarga. Dia masih di tingkatan empat ketika Rafli meninggalkan mereka terkontang-kanting. Romi terpaksa berhenti sekolah. Tiada cara lain untuknya melainkan mencari kerja bagi menyuap mulut ibu dan adik-adiknya.
Bermula sebagai budak parkir, Romi memasuki dunia yang lebih gelap. Ternyata, Romi memiliki keberanian yang sangat luar biasa. Pada usia yang masih hingusan, dia berani melakukan kerja-kerja penyeludupan. Dalam masa empat tahun, Romi sudah menjadi ketua gengster termuda di daerah Bagan.
Romi dan orang-orangnya aktif melakukan rompakan bersenjata. Romi sangat licik dan mahir mengatur strategi. Dia tangkas serta bijak membuat perancangan. Pergerakannya macam belut. Romi antara penjenayah paling sukar untuk ditangkap. Bila pihak polis mula menggiatkan operasi besar-besaran memburunya, termasuk unit jenayah dan kongsi gelap D7. Romi terpaksa bersembunyi.
Romi akhirnya lenyap, tak pulang-pulang. Ghaib seperti ayahnya, Si Rafli.
Tugas menjaga ibu mereka dan menyara keluarga terhempuk pula di bahu Zihan, anak kedua. Zihan ini lain macam sikapnya. Seperti ayahnya, dia bukanlah jenis yang suka pada tanggungjawab. Zihan lemas dihimpit bebanan keluarga dan masalah ibunya yang gila. Siang malam Zihan mencari-cari jalan untuk melepaskan diri. Macam-macam cara dan kaedah yang cuba dia fikirkan.
Waktu itu Zihan bekerja sebagai kerani di sebuah firma guaman. Zihan bukanlah cerdik sangat. Tapi, dengan paras rupa yang cantik, dia bijak mencari ruang dan peluang. Dia pintar memanipulasi keadaan. Dia opurtunis yang menawan.
Majikan Zihan, bernama Ghazi bin Hatim, seorang lelaki sederhana dan peguam yang cukup baik hati. Kadang-kadang terlebih baik hati. Ghazi tidaklah muda belia, sudah 32 tahun usianya. Sebagai bujang tua, kehadiran Zihan memberikan satu sensasi baharu kepada Ghazi. Dia mula memberikan perhatian lebih pada keraninya. Jerat manis yang sedang menanti-nanti mangsa.
Kelebihan Zihan ialah memiliki pakej menarik dengan postur tubuh yang tinggi ramping, mata foxy dan bibir sensuous. Merasakan dirinya cantik, Zihan ingin menjadi peragawati. Dia selalu membayangkan dirinya berdepan dengan kilaun lampu-lampu jurugambar di atas pentas peragaan.
Zihan tahu Ghazi suka padanya dari bahasa tubuh. Bab itu dia tidaklah bodoh. Dia pun mula mengatur perancangan tanpa tangguh. Akal cetek Zihan bergerak dalam skala yang terbatas tapi sangat pantas. Baginya, menjerat Ghazi adalah satu titik yang akan membawanya mencapai tujuan yang lain. Bak kata orang cerdik pandai, peluang yang baik harus diciptakan.
Suatu hari, macam drama Melayu adaptasi novel popular, Zihan pura-pura menghilangkan diri. Dia tak pergi kerja berhari-hari. Ghazi mula risau. Sepanjang hari dahinya berkerut sahaja memikirkan tentang Zihan. Hatinya jadi tak tenang, tak aman.
Panggilan daripada Zihan sampai tepat pada masanya. Bos dan pekerja pun berjumpa. Sambil menangis Zihan bercerita tentang nasibnya yang sebatang kara, tentang tekanan hidupnya yang direka-reka, tentang tendensi mahu bunuh diri.
Mendengar soal bunuh diri, Ghazi terus mengambil keputusan drastik. Dengan hati suci murni, Ghazi mencadangkan agar Zihan tinggal di rumahnya untuk sementara waktu, di bawah pengawasan ibunya. Dia mahu Zihan bertenang sehinggalah Zihan dapat berfikir dengan jelas tentang hala tuju hidupnya. Pucuk dicita ulam mendatang dengan sambal siap terhidang. Untuk gadis dangkal dan tak panjang akal seperti Zihan, peluang itu tersangatlah mahal.
Ibu Ghazi, seperti juga Ghazi, sangat baik hati. Selalu bersangka baik. Namanya Ainul Mardiah. Nama bidadari.
Dalam masa singkat, Zihan berjaya mengambil hati semua orang di rumah Ghazi, termasuk orang gaji yang dipanggil Mak Cik D. Nama penuh Mak Cik D ialah Delaila Azra Fawwaza. Terkejut juga Zihan mendengar nama penuh Mak Cik D. Belum pernah seumur hidup dia mendengar nama orang gaji sesedap dan sebagus itu. Selalunya nama orang gaji Mak Jah, Mak Temah atau Mak Kiah. Tidak pun Mak Som. Tiba-tiba Zihan berjumpa dengan orang gaji yang sudah tua bernama Delaila Azra Fawwaza. Seminggu jugalah dia ambil masa untuk percaya.
Singkat cerita, semua orang sukakan Zihan, tak ketinggalan ayah Ghazi, Hatim. Hatim tidak berpangkat Dato. Walaupun rumahnya besar terbeleduh tapi tak ada kolam renang. Sungguhpun dia usahawan berjaya, Hatim kekalkan sifat dirinya yang tampak biasa-biasa.
Begitulah Zihan dengan pintar dalam bodoh mengatur strategi yang cukup tersusun. Ibunya dan adiknya mula disingkirkan jauh. Itu caranya untuk melepaskan diri daripada mereka. Pandai-pandailah mereka hidup sendiri. Mujur ada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Dengan duit bantuan itu, dapatlah Ria dan ibunya meneruskan hidup. Dan mujurlah imam Kampung Kilat sangat prihatin dan selalu menghulurkan bantuan.
Ria tiada pilihan. Dia harus berkorban. Tanpa fikir panjang, dia berhenti sekolah. Ibunya kini semakin agresif dan perlu selalu diawasi. Ria pula tak sanggup untuk menghantar ibunya ke hospital gila.
Suatu hari, muncullah adik lelaki Ghazi yang telah lama menghilang diri. Konflik datang. Dia seorang pelukis jalanan. Kononnya, selama ini dia hidup penuh misteri dengan karya-karya lukisan berwajah ngeri di kota Paris. Dengan penampilannya yang pelik, dia nampak menarik. Matanya sadis tapi romantik. Raut wajah pula sipi-sipi Orlando Bloom dari arah sisi.
Aku tak tahu nama sebenar adik Ghazi. Dia hanya dikenali sebagai G. Nak dijadikan cerita, baru seminggu kenal, Zihan sudah mula mempercayai kata-kata G. Penghujungnya, kedua-dua makhluk tak berguna sesen itu bersepakat untuk menghilangkan diri.
Zihan tinggalkan surat untuk Ghazi, menjelaskan sebab dia lari.
Tulis Zihan, dia ke Paris atas kehendaknya sendiri, tidak dipaksa. Dia yakin dengan janji-janji G untuk membantunya menjadi model di Paris. Paris adalah impiannya. Dia dengan penuh takzim meminta maaf kerana telah menipu keluarga Ghazi tentang identiti dirinya. Dia masih ada ibu dan seorang adik. Dengan karangan ayat yang cantik dan tidak berbelit-belit, Zihan meminta jasa baik Ghazi untuk menjenguk-jenguk mereka. Tak cukup itu, dia minta Ghazi menanggung ibu dan adiknya.
Keluarga Ghazi sedih dan terkilan atas tindakan Zihan yang tiada akal. Begitu mudah dia termakan pujuk rayu si pelukis jalanan yang nakal. Begitu pandirnya dia mempercayai kata-kata lelaki yang baru seminggu dikenalinya.
Ghazi lantas teringatkan seorang kawan G yang juga seorang pelukis. Nama gelarannya Rasta kerana dia berambut rastafarian. Ghazi menemui Rasta. Dahulu Rasta pernah bergelandangan di Paris. Pernah pergi mengembara ke Eropah.
Ghazi minta Rasta mencari Zihan. Mulanya Rasta enggan. Malas dia mahu masuk campur urusan keluarga orang. Tetapi, setelah dihulur dengan wang upah yang agak tebal, mata Rasta jadi cerah. Bercahaya-cahaya. Rasta memberikan persetujuan untuk mencari Zihan setelah berbincang dengan Ghazi selama beberapa jam. Sampai kebas punggung Rasta mendengar macam-macam penjelasan Ghazi.
Dengan penuh wibawa, Rasta meyakinkan Ghazi yang dia mahir segala selok-belok di Paris. Jangan bimbang. Dia tahu tempat-tempat di mana G suka melepak. Itu akan menyenangkan kerjanya membawa Zihan pulang. Ghazi meletakkan harapan tinggi pada Rasta.
Hari berganti hari, minggu berganti minggu. Satu pekan. Satu purnama. Dari bulan sabit ke bulan separuh. Dari bulan penuh ke bulan gerhana, Rasta tidak pulang-pulang juga. Dia ghaib entah ke mana. Ghazi hampa dan kecewa. Akhirnya, dia berserah. Tiada apa yang dapat dilakukannya lagi. Dia sudah berikhtiar, sudah berusaha dan dia gagal.
Sebagai orang yang baik hati, berbudi luhur, suka menolong orang, suka buat amal, Ghazi teringatkan amanat Zihan tentang keluarganya. Ghazi dengan penuh ihsan telah membawa Ria ke rumah mereka setelah ibunya yang gila meninggal dunia akibat lemas di sungai. Ibunya ditemui selepas tiga hari tersangkut di dalam sampah sarap dalam keadaan tubuh yang menggelembung.
Ria mengalami trauma teruk selepas kematian ibunya. Dia tak dapat bercakap untuk beberapa lama. Keluarga Ghazi menjaga dan merawatnya. Memberikan perlindungan dan kasih sayang untuk gadis malang itu sehingga dia dapat bangkit semula daripada segala kesedihannya.
Itulah kronologi tentang Ria yang aku tulis mengikut sudut pandanganku yang tak semestinya betul. Ria tinggal bersama keluarga Ghazi yang menjadi keluarga angkatnya sehingga aku menemuinya hari itu, pada hari dia hilang daripadaku. Pada hari aku melihatnya dalam pakaian pengantin yang membuatkan aku cemburu. Pada hari aku menembak sebuah lampu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro