Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 4

Jalur cahaya matahari menyelit masuk daripada celah papan jendela yang renggang. Silau yang menikam membuat aku terbangun.

Haba panas bumbung zink sudah mula menggigit kulit. Bilik yang pengap makin meruap. Walaupun tidur tanpa baju dan seluar pendek, belakangku lencun berpeluh. Di luar, hari sudah terbentang terang.

Sekilas, aku kerling jam loceng di tepi tempat tidur. Jarum jam sudah melebihi angka sembilan.

Aku terlompat bangun. Bau hapak tilam yang bersatu dengan air liur basi pada bantal sudah sebati di lubang hidung. Tilam itu sebenarnya sudah tidak layak lagi dipanggil tilam kerana spannya sudah keras dan menipis. Tapi hanya tilam buruk itulah saja yang aku ada sebagai alas tidur.

Pantas kusambar tuala hapak penuh tahi lalat yang tersepuk di hujung tilam. Tuala itu masih lembab kerana aku lupa menyidainya semalam dan bergegas ke bilik air.

Seminggu dua kali, aku dan kawan-kawanku akan ke dermaga, tempat kami mencari rezeki. Rutin itu sudah berjalan sejak kami di tingkatan lima. Lepas menyisir rambut dengan hanya menggunakan jari-jari, aku memakai baju dan seluar. Kunci pintu. Tutup tingkap. Siap.

Itu aku. Sepuluh tahun lalu. 17 tahun usiaku. Hidup berjalan seperti biasa. Tiada apa-apa yang berlaku. Bagan, bandar kecil tempat aku membesar, menjemukan macam selalu.

Secara geografi, Bagan sebuah bandar pelabuhan. Kedudukannya menghadap Selat Melaka yang memisahkan tanah besar dan Pulau Pinang. Bagan, seperti bandar-bandar pelabuhan lain sentiasa sibuk dengan kapal dagang dan kapal tangki.

Aku tinggal di sebuah kampung setinggan yang jaraknya lima kilometer dari pelabuhan. Aku dan ayahku adalah penghuni kampung haram yang kami namakan Kampung Kilat.

Kampung Kilat mendapat namanya kerana rumah-rumah yang didirikan siap secepat kilat, macam magis. Warga Kampung Kilat terdiri daripada semua ras dan profesion. Daripada pekerja gudang, pendatang, pekerja lori sampah, penagih dadah, bapa ayam, penyangak, tukang cuci, pekerja loji, pencabul bersiri, penyeluk saku, bomoh penipu, pelacur, penarik beca, pedagang kaki lima, penjual air jampi, penjual kismis cerdik, orang-orang baik, orang-orang jahat yang belum jadi baik, orang-orang baik setelah jadi jahat, kuntilanak dan segala macam spesies manusia. Yang tidak ada cuma alien.

Pagi itu adalah hari untuk berniaga. Aku menyelit, menyusup dan berlari. Aerial TV dan piring Astro nampak berceracak di atas bumbung-bumbung rumah. Penghuni Kampung Kilat bukan semuanya miskin melarat. Ramai yang mampu melanggan saluran TV berbayar. Malah ada yang berkereta besar.

SPM sudah selesai. Aku merasa lega dan bebas. Kebebasan ini mahu aku nikmati puas-puas macam unggas. Aku tak peduli aku akan dapat keputusan apa. Aku bukanlah bagus dalam pelajaran. Aku tahu tahap diriku.

Aku berlari menentang angin. Langit terang bulan Januari ikut berlari di atasku. Sambil menyelit laluan rumah-rumah, telingaku menangkap suara orang berbual, suara perempuan marah-marah, lagu daripada radio dan bunyi sudip yang diketuk pada kuali.

Aku berlari terus. Untuk sampai cepat ke dermaga, aku biasanya menggunakan jalan pintas iaitu melalui Kampung Gaharu. Kampung Gaharu merupakan sebuah 'kawasan hitam' yang terletak bersempadan dengan kampung kami.

Mengikut cerita, Kampung Gaharu mendapat nama daripada sejarah seorang tauke Cina yang menjalankan perusahaan membuat gaharu di situ lama dahulu. Sekarang kedai gaharu itu sudah tidak ada lagi. Yang kekal hanya nama gaharu.

Jika di Surabaya dahulu ada kawasan pelacuran terbesar di Asia Tenggara bernama Dolly, di Kampung Gaharu ada sarang pelacuran yang tak kalah hebat. Barang siapa yang masuk ke Kampung Gaharu pasti dapat melihat sebuah rumah papan lama yang bercat kuning sebam berbumbung rendah. Tingkap-tingkap di rumah itu semuanya bertutup rapat. Hanya pintu depannya terbuka luas siang dan malam. Sentiasa mengalu-alu siapa sahaja yang mahu datang. Sinar lampu dari dalam selalu nampak samar-samar dari luar.

Itulah 'hotel' tak berbintang yang dipanggil Hotel Ah Tai. Tempat pelacur-pelacur Kampung Gaharu mencari makan. Rumah itu disekat dengan bilik-bilik kecil. Rumah kotor itu sudah berpuluh kali diserbu pihak berkuasa. Lalu ditutup untuk beberapa lama. Kemudian tumbuh lagi. Beroperasi lagi. Diserbu lagi. Tutup. Buka. Tutup. Buka. Begitulah kitaran riwayatnya yang berulang-ulang.

Untuk ke jalan pintas, aku perlu melewati rumah pelacuran yang kini dikendali seorang bapa ayam bernama Channarong atau pun Narong. Tiada siapa tahu apa nama sebenarnya. Begitu juga dengan bangsanya. Ada yang kata dia orang Siam, orang Melayu, Siam campur Melayu, Cina campur Siam dan entah apa campuran lagi. Ada yang lebih gila kata Channarong itu berdarah Siam campur Siam. Apa punya bahlul, aku pun tak tahu.

Narong berwajah seperti orang Melayu dan fasih berbahasa Melayu. Jadi aku anggap dia orang Melayu, walaupun tiada siapa yang tahu apa bangsa dan agamanya. Ramai juga yang kata, Narong seorang ketua gengster, perompak dan penembak tepat. Cerita-cerita itu disampaikan dari satu mulut ke satu mulut dengan perisa yang ditambah-tambah. Juga dengan frekuansi yang berbeza.

Penampilan Narong yang sentiasa tenang, berwajah bersih dan kemas itu sangat bertentangan dengan cerita-cerita ngeri tentang dirinya. Narong tidaklah nampak ganas. Malah, nampak langsung tak ganas. Biasa-biasa sahaja lagaknya. Wajahnya bersih terjaga rapi. Seolah-olah dia selalu membuat rawatan muka. Dia tidak bertatu atau berparut di muka. Dia tidak berjalan dengan gaya gengster seperti dalam filem gengster Melayu. Tunjuk jaguh di mana-mana dengan rokok terkepit di bibir.

Perwatakan Narong yang jarang tersenyum itu membuatkan dia tampak sedikit misteri. Ramai yang kata, di lengan kiri Narong ada satu tangkal kecil bertali hitam. Namun tak seorang pun pernah nampak tangkal hitam itu. Semuanya hanya berdasarkan cakap-cakap tak berasas. Hearsay semata-mata.

Mengikut satu lagi versi yang tersebar, Narong dikatakan pernah menjadi pembunuh upahan. Terlalu banyak cerita yang aku dengar tentang Narong sehingga sukar untuk dipastikan yang mana cerita yang benar, yang mana cerita fiksyen, yang mana cerita adaptasi.

Cerita terbaru yang sampai ke telingaku, Narong dikatakan kebal. Dia tak lut peluru atau sebarang senjata. Kekebalannya terletak pada tangkal yang dipakai di lengan kiri. Ada pula info tambahan. Narong seorang pengamal ilmu hitam. Setiap malam bulan mengambang dengan bintang pecah lapan, Narong akan membunuh untuk dijadikan korban.

Yang paling gila, Narong dikatakan seorang peminum darah manusia. Itu untuk menambah kekuatan dan tenaga dalamannya. Aku fikir sedikit hari nanti, pasti keluar cerita Narong boleh terbang macam kelawar. Walaupun semua cerita itu sangat mengarut, anehnya, aku mula percaya. Malah, aku turut menambah-nambah.

Adakalanya aku terfikir, bagaimana kalau cerita-cerita yang disebarkan itu benar? Bagaimana kalau Narong betul-betul seorang pembunuh? Bagaimana kalau Narong memang benar-benar peminum darah? Bagaimana kalau dia memang seekor iblis atau baal? Bagaimana kalau siang dia manusia, malam kelawar?

Makin banyak andaian yang dibuat orang tentang Narong, makin cepat pula aku percaya. Cerita bohong memang lebih berwibawa untuk dipercaya daripada cerita benar.

Setiap kali melihat Narong dari jauh, aku sudah rasa mahu terkencing. Aku akan mengelak daripada bertembung dengan Narong. Kalau terserempak juga, aku akan percepatkan langkah dan berusaha keras untuk tidak bertentang mata dengannya. Mana tahu, dia boleh pukau orang dari pandangan mata.

Menurut cerita-cerita tak rasmi, Narong dikatakan selalu membawa kerambit atau lawi ayam. Itu antara faktor yang membuatkan aku paling seriau. Melihat dia dari belakang sahaja, darahku sudah berderau.

Pagi itu ketika melintasi Hotel Ah Tai, tali seliparku putus. Percayalah, perkara paling ingin kita elakkan selalu berlaku pada waktu-waktu kritikal. Contohnya, dalam filem, ketika watak hero mahu melarikan diri daripada orang jahat yang mengejarnya dengan tukul, enjin keretanya pasti takkan dapat dihidupkan. Babak seperti itu selalu ada.

Aku terpaksa berhenti untuk memasukkan semula tali kepitan selipar. Ketika itulah aku nampak susuk Channarong sedang menuju ke arahku. Langkah kakinya perlahan tapi mantap. Tubuhnya yang tegap kian menghampiri. Jantungku dipalu kuat macam rebana ubi. Kakiku terpaku seperti terkena fros. Aku tak dapat mengelak lagi. Narong sudah tercegat di hadapanku macam watak orang jahat di dalam filem.

Narong tenang-tenang sahaja memandangku. Macam selalu, rambutnya bersisir kemas. Dia memakai T-shirt hitam polos tanpa lengan dan berseluar jean stonewash. Tidak ada pula di lengannya sebarang tangkal. Aku terkaku dengan selipar masih di tangan. Bau cologne yang dipakainya dapat kuhidu. Begitulah dekatnya jarak antara aku dengan Narong. Ibarat dekatnya maut dengan urat mereh.

"Kau tinggal dekat dengan rumah Sutiah?" tanyanya baik-baik. Aku menahan tanganku daripada menggigil. Gigiku sudah rasa macam mahu terkancing. Sutiah adalah ibu kawanku, Leon. Ibunya seorang pelacur yang bekerja dengan Narong.

Itulah pertama kali aku mendengar suara Narong. Matanya masih menancap. Aku tergagap. Dalam kepala, aku hanya fikirkan lawi ayam yang sudah pasti tersembunyi di pinggang atau di belakang Narong. Secepat kilat, lawi ayam itu boleh merobek rengkungku.

Aku bersiaga. Kalau aku nampak tangannya bergerak saja, aku pecut. Aku tak peduli. Aku tak mahu mati muda.

"Kau nampak Sutiah?" Suara Narong datang mengejutkan aku lagi.

Aku telan liur, rasa macam tak lepas. Aku geleng.

"Kau kawan anak Sutiah?" tanyanya terus bila melihat aku masih terkaku. Tentu saja dia nampak wajahku yang sudah bertukar pucat.

Aku angguk.

Narong rupa-rupanya tahu siapa aku. Itu bermakna dia juga tahu aku tinggal di mana dan berkawan dengan siapa. Dia tahu tentang aku, tentang Leon. Ini petanda bahaya. Macam mana aku mahu lepaskan diri daripada pembunuh di depanku itu?

"Suruh anak Sutiah jumpa aku. Petang ni pun boleh," pesan Narong sebelum pergi. Aku melihatnya dari belakang. Langkahnya gagah macam pendekar. Aku masih terketar.

Selepas dia jauh sedikit, barulah aku boleh menarik nafas. Cepat-cepat aku pakai selipar. Nasib baik aku tak terkencing tadi. Pundiku terasa memang sudah penuh.

Bergegas aku ke dermaga. Berlari dengan lutut yang terasa masih longgar. Di belakangku, matahari yang sudah menyala 4.6 bilion tahun sedang memancar. Sambil berlari aku berfikir, kenapa gengster besar macam Channarong mahu mendapatkan maklumat remeh daripada budak seperti aku? Itu bukanlah ciri-ciri gengster berjiwa besar. Kalau aku jadi Narong, aku takkan sekat budak umur 17 tahun di tengah jalan, semata-mata untuk mendapatkan maklumat.

Ketika aku sampai di dermaga, Tajul dan Leon sedang duduk di bawah pokok ketapang rendang, tepi jalan ke jeti kecil yang menghadap dermaga, tempat aku dan Ria selalu berpacaran. Kedua-dua budak dungu itu duduk di atas bongkah-bongkah batu yang kami ambil dari tepi laut dan letakkan di situ sebagai tempat duduk.

Laut berkilau-kilau di bawah langit dengan awan gebu bertompok-tompok. Aku lega melihat mereka masih ada di situ kerana aku tahu 'kaki' yang kami tunggu tentunya belum tiba.

Aku belum ceritakan tentang Tajul. Dia kawan baik aku dan Leon. Kami bertiga sudah bersahabat sejak kecil. Dilahirkan di hospital kerajaan yang sama. Belajar di sekolah yang sama. Dalam kelas yang sama. Pitak, seorang lagi sahabat kami, jarang menyertai kami. Dia sibuk bekerja sebagai penjual ikan di pasar dengan seorang tauke. Kami berkawan rapat empat serangkai.

Pitak dilahirkan kerdil. Tingginya hanya empat kaki dua inci. Ruas-ruas tangannya pendek. Jari-jarinya kontot. Walaupun kerdil, Pitak suka cakap tinggi. Angan-angannya tinggi. Cita-citanya tinggi. Harapannya tinggi. Cuma dia saja yang tak tinggi-tinggi.

Kami menamakan diri kami Bagan Boys kerana kami teringin mahu menubuhkan band. Tapi kami semuanya tak tahu bermain muzik. Menyanyi apatah lagi. Jadi, Bagan Boys itu melambangkan kegagalan kami untuk menubuhkan band.

Di hujung pantai, ada batu besar tertulis Bagan Boys dengan cat merah. Itu kerja tangan Leon. Dia suka menconteng. Leon obsesi dengan warna merah. Semua seluar dalamnya berwarna merah.

Sungguhpun dilahirkan dengan kekurangan fizikal, Pitak selalu riang. Tiada istilah sedih untuknya. Dia tak pernah menyesal dilahirkan kerdil. Tak pernah bersungut hidup sebagai orang katik. Selalu bangga dengan dirinya. Cakapnya besar sentiasa. Kata Pitak, setiap orang wajib bercita-cita besar kerana jika cita-cita itu berkecai, serpihannya masih tetap besar. Entah kata-kata siapa yang dia kutip.

Pitak sedikit pun tidak kesah dengan segala keadaan. Dia orang paling positif yang pernah aku jumpa. Tiada siapa pun yang mampu membuat dia terluka. Keyakinan dirinya tinggi.

"Tak ada siapa pun yang boleh buat aku sedih. Aku sendiri pun tak boleh buat aku sedih." Pitak optimis.

Pitak selalu sahaja ada cerita untuk digembar-gemburkan. Macam-macam cerita. Ada-ada sahaja akalnya. Kadang-kadang Pitak cepat emosi dan mudah terasa. Maklumlah dia pendek. Orang pendek memang cepat terasa. Dan yang paling dia suka ialah membuat provokasi.

Atas semua kekurangan yang aku sebut tadi, Pitak tetap bahagia dengan caranya sendiri. Perkara-perkara kecil dan kesempitan hidup tak pernah menggugahnya. Hari esok sentiasa memberinya harapan. Walaupun kadang-kadang aku meluat dengan perangainya, tapi itulah dirinya. Sama ada orang benci atau suka, dia takkan berubah.

Yang paling Pitak pantang ialah bila ada orang menganggapnya cacat.

"Aku bukan cacat!" marahnya.

"Pendek bukan cacat!" ulangnya keras-keras.

Kegemaran Pitak ialah memperkecil-kecilkan aku, Tajul dan Leon. Dia selalu menyoal kami tentang perkara-perkara yang kami tidak tahu. Motifnya, tentulah untuk menampakkan kami bodoh.

"Kau bertiga ni layak ke hidup?" Pitak mencemuh kami.

"Apa cita-cita kau, siamang?" tanya Pitak padaku dengan penuh lagak.

"Aku nak jadi bapak ayam!" jawabku cepat. Sengaja mahu bakar keadaan. Leon terbahak.

"Mulia betul cita-cita kau... Nak meraung aku dengar," sindir Pitak.

"Kau, lanun?" Pitak memandang Leon. Kadang-kadang Pitak memangggil Leon sebagai Lanun Sulu kerana ayah Leon orang Filipina.

"Aku nak jadi pembantu bapak ayam!" sambut Leon bersahaja. Kali ini, aku pula terbahak.

"Kemas jawapan kau." Aku memuji Leon dan kami sama-sama tergelak.

"Kau berdua selamat berkongsi neraka," kata Pitak seakan-akan sudah berputus asa dengan kami.

"Kau pula, lebai?" Pitak menuding Tajul.

"Aku nak jadi penguat kuasa tangkap bapak ayam dengan pembantu bapak ayam," sahut Tajul bersemangat.

"Bukan itu saja. Aku nak tangkap dan rejam semua pelacur. Terutama pelacur-pelacur di Kampung Gaharu," tambah Tajul, lebih bersemangat. Muka Leon berubah drastik. Kami semua tahu siapa ibunya.

Pitak cepat-cepat menukar topik kerana tak mahu Leon tersinggung. Memang betul ibu Leon perempuan yang tidak bermoral, tapi aku dan Pitak sependapat yang Leon tidak harus dihukum. Tajul pula selalu mencuit-cuit isu pekerjaan ibu Leon. Itu membuatkan Leon selalu berasa tak selesa dan sering merah muka.

Waktu itu baru aku tahu, sesetengah manusia dengan mudah boleh melukakan orang lain semata-mata kerana merasa lebih beragama. Selalunya, aku dan Pitak akan tersepit antara dua keadaan, untuk menjaga hati Leon, di samping mengendurkan kelantangan Tajul. Kadang-kadang kami sendiri tak tahu siapa yang harus kami berpihak. Sering kami rasa bersalah kerana mempertahankan perasaan Leon kerana ibunya pendosa. Secara logik seorang pendosa tidak harus mendapat belas kasihan daripada sesiapa.

Begitulah selalunya Pitak merendah-rendahkan kami. Kerjanya setiap hari ialah mengkritik kami. Baginya, kami tak layak hidup. Tak layak jadi manusia. Tak layak menghirup oksigen percuma Tuhan.

Bila petang, aku suka duduk atas saluran paip besar yang menghala ke lautan. Hari itu, ketika aku duduk sendirian Pitak datang.

"Kau fikir apa?" tanya Pitak ketika melihat aku termenung memandang ke tengah laut yang melepaskan gulungan ombak.

"Aku tengah berkhayal," jawabku.

"Kau berkhayal apa?"

"Aku berkhayal tentang dunia yang penuh khayalan."

"Kau nak tahu satu benda?" tanya Pitak dengan matanya yang sering merendah-rendahkan aku.

"Benda apa?"

"Suatu hari nanti aku akan selamatkan kau," kata Pitak penuh yakin.

"Selamatkan aku dari apa?"

"Selamatkan kau dari kebodohan kau!"

Pitak tergelak.

Di belakang Kampung Kilat ada sebuah bukit kecil tapi curam menghadap laut dan pelabuhan Bagan. Aku, Pitak, Tajul dan Leon selalu mendaki bukit itu dahulu. Kerja jahat kami di situ ialah mencampak batu-batu ke laut. Kami sanggup bersusah payah mengangkat batu untuk dihumban ke laut. Siapa yang dapat mencampak batu paling besar dan airnya mendebur lebih tinggi, orang itu dikira pemenang.

Itu cerita dahulu. Semenjak seorang gadis Cina bunuh diri dengan terjun dari tebing bukit itu, kami tak berani lagi ke sana. Ditambah pula dengan cerita beberapa orang nelayan yang nampak kelibat gadis Cina itu di tepi tebing. Diupah pun kami tak berani ke ke bukit itu lagi. Kami panggil bukit itu bukit hantu sempena hantu gadis Cina itu.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro