Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 15

Seminggu sudah berlalu sejak aku bertemu Narong. Siang malam aku berharap agar dia menukar fikiran. Harapan memang tipis, ibarat bergantung pada ranting kecil. Tapi tidak mustahil. Segala-galanya boleh berlaku.

Aku memujuk hatiku untuk bersabar. Kata kuncinya sabar.

Aku yakin, Narong akan pasti menerimaku nanti. Jaraknya cuma masa. Dan aku menunggu-nunggu saat itu berlaku. Aku tak mahu bertangguh untuk memasuki dunia gelap Narong. Aku mahu menjadi orang kepercayaannya, kemudian memusnahkannya dari dalam. Rencana yang terdengar sangat lunak dan ideal.

Aku kembali ke bukit hantu setiap pagi, bergayutan di tebing. Aku cuba tenangkan badai dalam diriku.

Setiap kali pulang, aku akan melencong ke rumah Ria, dengan tujuan untuk melihatnya. Ria sudah jarang keluar. Dia lebih selesa berkurung menjaga ibunya. Aku bimbang, lama-kelamaan Ria juga akan turut gila seperti ibunya. Potensi untuk menjadi gila memang ada pada dirinya.

Rumah Ria nampak sunyi dari jauh. Pintu rumahnya selalu bertutup rapat. Hanya jendela sahaja yang dibuka kecuali hari hujan dan bila malam. Pitak akan menghantar ikan segar setiap hari ke rumah Ria seperti biasa. Kadang-kadang menghantar sayuran dan keperluan dapur lain, mengikut pesanan Ria.

Hanya pada waktu pagi, sebelum matahari meninggi, Ria akan keluar menyidai pakaian. Itulah saat aku pergi melihatnya. Aku akan bersembunyi tepi dinding rumah jirannya. Aku ikuti gerak-geri Ria sehinggalah dia masuk dan menutup pintu.

Ria tetap indah pada mataku walaupun matanya sudah tidak seindah dahulu lagi. Kadang-kadang aku terlepas melihatnya bila Ria keluar awal menyidai pakaian.

"Ria ada tanya aku?" Aku cuba merisik tentang Ria dari Pitak.

"Tak. Dia tak tanya kau langsung."

Ria seperti sudah melupakan aku. Hatiku perit. Aku tak tahu apakah dia masih mencintai aku? Aku rasa telah begitu jauh darinya. Sungguh aneh. Sedangkan, aku yang ingin melupakannya, ingin pergi jauh darinya.

"Kau pergilah jumpa dia," usul Pitak.

Aku diam.

"Kau nak aku cakap apa kat Ria?" Pitak menawarkan bantuan.

"Tak ada apa nak cakap." Aku menamatkan kata-kata.

Rutinku setiap pagi kembali mengikut jadual, mendaki bukit hantu. Di sana, aku duduk bermenung dan menunggu-nunggu panggilan daripada Narong. Aku tahu, aku harus menunggu lebih lama. Mungkin berbulan-bulan. Mungkin makan tahun sebelum aku dapat melaksanakan misiku mencari Giri. Aku latih diriku untuk bertenang. Tapi tak mengapa. Every dog has it's day.

Malam itu ayahku pulang awal. Dia tidur di atas kerusi malas dengan dengkuran yang kuat sambil mengerang perlahan seperti dalam kesakitan. Dari dalam bilik aku sudah dapat mendengar dengkurannya. Aku keluar untuk memeriksa keadaannya. Aku lihat dia menggigil dan meringkuk kesejukan. Dia tidur dengan pakaian kotor. Aku ke bilik mengambil selimut. Tubuhnya yang kurus itu aku tutup dengan selimut. Aku raba dahinya, panas berhaba. Dia demam.

Setiap kali ayahku sakit atau demam, dia pasti akan berdengkur dengan kuat. Lama aku duduk di sisinya. Dia meracau-racau. Aku hiba melihatnya.

Aku renungi wajah cengkung ayahku, ada garis derita masa lalu. Air mataku terasa mahu mengalir. Aku tak tahu apa yang membuatkan dia menderita begitu. Aku pegang tangannya dan perlahan-lahan kucium dahinya.

"Terima kasih, ayah," ucapku perlahan. Tiba-tiba malam itu aku rasa berhutang nyawa pada ayahku kerana telah membesarkan aku walaupun dia gila. Dia boleh sahaja tinggalkan aku di tepi jalan atau tekup mukaku dengan bantal. Undang-undang takkan mendakwanya kerana dia ada rekod gila. Tapi ayahku tidak membunuhku. Dia melawan kegilaannya setiap hari untuk menghidupkan aku.

Ada ketukan di pintu. Aku terkejut. Ketukan itu bukan ketukan Pitak, Tajul, mahupun Leon. Aku kenal bunyi ketukan mereka. Mungkin Ria. Ya, barangkali Ria. Hanya Ria sahaja yang tak pernah mengetuk pintu rumahku. Aku tak kenal bunyi ketukannya. Langsung aku bergegas ke pintu.

Di luar tiada orang. Bulu romaku berdiri. Aku lihat jam di dinding. Baru pukul 9.33 malam. Mana mungkin hantu keluar seawal itu. Barangkali budak-budak nakal mahu mengganggu. Atau pun angkara Man Gelong. Man Gelong memang terkenal dengan kesukaannya mengusik orang kampung. Aku yakin itu kerjanya.

Entah siapa yang mula memanggilnya dengan nama Man Gelong, aku tak tahu. Tiada siapa yang tahu apa nama sebenarnya. Man Gelong memang biul. Kadang-kadang dia merayau-rayau tanpa tujuan. Satu tentangnya yang paling aku ingat, dia pintar berhujah. Dia orang gila yang pandai. Barangkali kerana terlalu pandai, dia jadi sewel.

Man Gelong selalu makan di warung kampung di kepala simpang. Kadang-kadang pagi, kadang-kadang petang. Kegemarannya berdebat dengan siapa sahaja. Dengan semua orang di warung dia mahu berdebat. Aku jarang bercakap dengannya. Kalau aku sedang makan di warung, dia selalu datang makan dan duduk semeja denganku.

"Aku kenal kau," tegur Man Gelong suatu hari, separuh berbisik.

"Kau pernah ada dengan aku masa kita bertarung melawan Portugis di Melaka. Kau tentu tak ingat, kan? Kau tahu tak, memori boleh diperturunkan melalui genetik?" katanya, masih dengan suara perlahan, lantas matanya mengitari keadaan, seperti mengawasi sesuatu.

"Kau tahu kenapa kita kalah di Melaka? Kau kena tikam, aku kena meriam." Man Gelong pandang aku.

"Sebab orang-orang Melayu Melaka sendiri yang mengkhianati perjuangan bangsa kita. Orang Melayu sendiri yang bersekongkol dengan Ninacatu dan pedagang-pedagang asing untuk menjatuhkan Melaka. Orang Melayu Melaka sendiri yang buka pintu pertahanan pada Portugis. Portugis tak kuat. Pasukan Melaka lebih kuat. Kita ada senjata hebat, ada 600 meriam. Disebabkan pengkhianatan dan percayakan fitnah, kita kalah. Tapi jangan bimbang, kau dan aku tak mati. Kita akan berjuang lagi. So long my friend," katanya, tersenyum sambil menepuk bahuku. Dia bangkit lalu pergi. Aku lega.

Sejak itu, kalau nampak Man Gelong di warung, aku akan berpatah balik.

Man Gelong tinggal di kawasan perumahan berdekatan dengan Kampung Kilat. Dia tinggal di sebuah rumah besar. Ayahnya seorang kapten kapal dagang dan selalu pergi berlayar. Dengar cerita, orang tuanya sudah lama berpisah.

Man Gelong tinggal sendirian di rumah yang dipanggilnya makmal. Kata Man Gelong, dia seorang saintis. Menurutnya, dia sedang mencipta formula pil ajaib untuk buat orang gembira selama-lamanya. Pil itu melenyapkan rasa sedih, takut, bimbang dan bosan. Kata Man Gelong, dia akan patenkan pil gembiranya itu.

Petang itu ketika aku duduk di warung, Man Gelong datang. Melihatnya aku jadi tak senang. Dia langsung duduk denganku sambil tersengih-sengih.

"Bagi saya air gembira loka!" laung Man Gelong pada pak cik pembuat minuman.

"Air gembira loka air apa?" Pak cik laung balik dengan muka menyampah.

"Air sirap bandung. Itu pun tak tahu." Man Gelong merungut.

Pakaian Man Gelong tidaklah seperti orang gila. Dia selalu berpakaian kemas. Cuma kadang-kadang rambutnya serabut. Dia tak pernah meminta-minta duit kerana dia memang banyak duit. Kadang-kadang aku tengok duitnya tebal berlipat. Mungkin dia macam Anakku Sazali, boleh buka peti besi ambil duit yang bapanya peruntukkan untuk dia hura sana hura sini.

"Kau nak minum apa? Aku belanja. Cakap saja kau nak minum apa," pelawanya.

"Apa-apa pun tak apa," balasku.

"Bagi racun Paraquat !" teriak Man Gelong pada pak cik tadi.

"Kaulah yang minum Paraquat!" balas pak cik pembuat minuman.

"Kau nak air suam apa? Air suam-suam kuku?" tanya Man Gelong kemudian.

Aku cuma senyum.

"Pak cik, bagi dia air suam-suam kuku. Cancel racun tadi!"

"Kau nak belajar main gitar?" tanya Man Gelong kemudian. Banyak betul soalannya, sampai aku naik rimas.

"Kalau kau nak belajar main gitar, kau datang jumpa aku. Aku ajar kau percuma. Aku suka buat amal. Aku buat amal ajar orang main gitar."

Air gembira loka Man Gelong sampai. Begitu juga dengan air suam kuku untukku.

"Nanti aku cari kau kalau nak belajar," ujarku, sengaja berjanji. Man Gelong terlihat senang. Aku tak mahu berlama-lama dengannya.

"Air suam-suam kuku pak cik, kau tak nak minum?" tanyanya bila aku mahu pergi tanpa minum.

"Lain kali aku minum. Hari ni aku balik minum air suam-suam kuku kaki aku kat rumah," jawabku.

"Jangan lupa, kalau nak belajar cari aku!" jerit Man Gelong ketika aku melangkah keluar dari kedai. Aku angkat tangan.

Dalam menunggu tawaran kerja daripada Narong, khabar tentang Romi sampai. Polis masih memburunya. Ada orang kata dia sudah mati ditembak. Ada orang kata dia ada di Dannok, Thailand. Segala macam desas-desus yang tersebar. Aku percaya Romi masih hidup dan masih bersembunyi. Dia sangat licik dan pandai melepaskan diri.

Entah kenapa, aku turut mengagumi Romi. Aku rasa cemburu padanya kerana dia berani dan berhati kering. Tanpa aku sedar, aku sudah mulai mengagumi susuk seorang penjahat waktu itu.

Aku teringatkan Man Gelong. Man Gelong suka mengenakan semua orang. Ada-ada saja yang dilakukannya. Deria humor Man Gelong agak ekstrem. Funny bonenya berlebih-lebih hingga kadang-kadang membawa padah padanya. Dia selalu dipukul dan diusir dari kampung kami.

Man Gelong pernah menggergaji tangga rumah Pak Lah, imam masjid kami dengan tujuan untuk bergurau. Ketika mahu ke masjid untuk menunaikan solat subuh, Pak Lah jatuh sehingga kakinya patah. Semasa orang tua itu sedang dirawat di hospital, Man Gelong datang membawa bunga jenazah. Bunga itu dicurinya dari jirat Cina. Anak-anak Pak Lah mengejarnya. Mujur dia lepas. Kalau tidak mungkin parah juga dia kena belasah.

Man Gelong pernah membakar jamban rumah Tajul. Karim, ayah Tajul yang sedang memerut, nyaris maut. Macam-macam hal yang dilakukan Man Gelong. Ada yang lucu, ada yang menyakitkan hati, ada yang melampaui batas dari akal sihat. Ayah Man Gelong selalu datang membayar segala kerugian pada mangsa-mangsa Man Gelong.

Orang-orang Kampung Kilat selalu naik angin dengan kerenah Man Gelong, kecuali Pak Lah. Pak Lah tak pernah marah atau mengusir Man Gelong. Pak Lah selalu membayar sarapan Man Gelong jika kebetulan dia ada di warung.

Pak Lah adalah satu-satunya tokoh di Kampung Kilat yang amat aku hormati dan sanjungi. Dia seorang imam yang sangat baik hati dan tak pernah menilai orang. Semua orang baik baginya, walaupun ada yang jahat. Semua orang dilayannya dengan baik, dengan senyuman dan dengan doa yang baik-baik.

Aku mahu menutup pintu bila mataku terpandang sekeping kertas kecil di hujung kaki. Barangkali kertas itu telah diselitkan di bawah pintu. Kertas itu bertulisan tangan dengan pen berdakwat merah.

Datang esok.

Hanya dua perkataan yang ditulis. Aku terkaku. Naluriku pantas memberikan satu nama. Narong!

Bibirku perlahan-lahan mengorak senyuman. Langkah pertamaku akan bermula. Ada hutang yang perlu dilangsai.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro